Awas, Penipuan Pembeli!

25 01 2011

ADAKALANYA, detik hati yang pertama itu; benar dan tidak harus diketepikan. Namun, ada kalanya gerak hati kita juga tersilap. Serupa melihat kulit buku yang hambar, tidak semestinya isinya juga hambar.

Minggu lalu, ada seorang kenalan saya berminat untuk menyambung bayar kereta kami, memandangkan kami ini bertukar kepada kereta yang lain, yang sedikit besar lagi, dan selesa untuk perjalanan yang jauh. Iyalah, kami kerap mudik ke hulu-hilir. Mencari-cari jugalah kenderaan yang lebih selesa.

Namun, atas beberapa sebab, kenalan saya ini tidak jadilah untuk menyambung bayar kereta saya. Memandangkan urusan untuk tukar kereta sudah dibuat separuh jalan, saya pun usahakan juga untuk menjual kereta ini. Saya telah berhubung dengan beberapa pihak bank, namun urusan jual kereta dimestikan melalui ‘dealer’. Maka akan banyaklah kerugian di situ (tambah tolak sepuluh ribu ringgit juga keuntungan yang akan diraih oleh dealer). Atas nasihat seorang rakan yang bekerja di syarikat kereta terpakai; usahakanlah untuk jual sendiri, kemudian baru rujuk pada bank untuk urusan tukar nama dan geran.

Atas usaha itulah, maka berbondong-bondonglah orang menanya, tetapi yang betul-betul serius membeli ; namanya Siti R******* binti Mohd Taib. Bagus orangnya. Cekap, dan sangat bersedia memberi komitmen yang penuh. Alkisah si perempuan yang namanya Siti ini, hantar sms pada saya katanya mahu tahu keterangan lanjut tentang kereta. Dia berikan emel kerana nombor yang digunakan adalah dari kod UK.

Iklan saya war-warkan melalui Mudah.my. Iklan saya tulis dalam Bahasa Melayu. Sedangkan si Siti ini beremel dengan saya menggunakan bahasa Inggeris. Maka disebabkan namanya pun berbintikan nama Melayu-Islam, saya pun membalas setiap emelnya menggunakan bahasa Melayu. Iyalah, dia minat untuk beli kereta pun bila baca iklan bahasa Melayu, masakan tidak faham Bahasa Melayu pula kan?

Saya disuruhnya membuka akaun dalam Paypal. Katanya agensi ini amat selamat dan terpercaya. Saya menolak cadangan bayaran melalui Paypal dan memintanya membuat transaksi bersumberkan bank-bank nasional yang ada di Malaysia ini. Namun, katanya Paypal jugalah yang lebih selamat. Saya telah persoalkan tentang cukai dan bayaran-bayaran tambahan yang mungkin perlu apabila berurusan dengan Paypal, namun katanya; Paypal jugalah yang lebih  tersangat selamatnya.

Berikutan saya juga memerlukan butiran pembeli untuk tukar nama pada geran, saya pun mintalah salinan kad Pengenalan beliau. Juga, disebabkan Paypal ini, pendaftarannya percuma, maka saya pun daftarlah, tetapi tidak menghubungkan mana-mana akaun bank padanya. Hanya akaun Paypal kosong.

Setelah berhubung dengan bank, saya pun memberi info terkini kepada si Siti itu bahawa kereta akan boleh diambil apabila bayaran selesai dibuat, dan memandangkan sudah akhir bulan dan minggu depan cuti Tahun Baru Cina, urusan JPJ, Puspakom, geran dan segala alam itu mungkin akan memakan masa seminggu. Saya juga memaklumkan bahawa saya telah daftar Paypal (tapi tak beritahu daftar separuh jalan).

Saya pun melakukan aktiviti harian seperti biasa. Sambil-sambil mengemas rumah, saya tekan-tekan juga rangkaian internet dan emel. Fuh, perempuan ini sudah bayar RM37 ribu ke akaun Paypal saya?! Kereta saya jual dengan harga RM34 ribu, katanya lagi 3 ribu adalah untuk urusan penghantaran kereta tersebut ke tempatnya. Treler yang besar tahap gaban punya agensi akan datang ke alamat rumah tertera untuk ambil kereta setelah saya terima bayaran. (Dalam hati: wah, kayanya Minah ni! Tapi kenapa susah-susah beli kereta dari sini sedangkan orang sini pun nak beli kereta dari UK. Hmm… mungkin sebab ini kereta Jepun, dia pun orang Malaysia, beli dari Malaysia – noktah).

Untuk itu, saya pun diminta bayarkan RM3ribu ke akaun AM Bank, namanya Nadia H***m binti *****. Alkisahnya si Nadia ini pegawai agensi penghantaran kereta guna kontena yang tahap gaban besarnya itulah. Sebelum Si Siti beri nama Nadia ini kepada saya, seorang pegawai urusan bernama Ibrahim **** telah menghantar emel komfirmasi sejurus setelah transaksi RM37ribu yang dibuat oleh Siti itu diterima. Si Ibrahim ini juga memberitahu prosedur yang sama: bayar secepatnya kepada agen mereka si Nadia itu bagi membolehkan Paypal membayar RM37ribu itu kepada saya dengan segera. Kira macam kita dahulukan duit kita dahululah, baharu mereka bayar semula bila sudah ada penyata dari bank, bukti pembayaran nanti.

Bermula petang semalam, hingga tengahari ini; akhirnya saya mula mengesyaki sesuatu.

Dua emel terakhir yang saya terima sebelum malam ini, menyebabkan si perempuan yang berbintikan nama orang Melayu-Islam itu diistilahkan sebagai meng-kantoi-kan diri sendiri. Emel sebelumnya, saya nyatakan bahawa saya ini tidak faham sangat bahasa Inggeris, dan tidak pandai dalam urusan-urusan Paypal, jual-beli kereta dan segala alam itu (buat-buat lurus tahap bendul konkrit yang baru siap). Jadi, Minah ini pun terjemahkan maksudnya dalam bahasa ala-ala Melayu.

Ingat lagi, waktu emel pertama yang dihantar, saya dan suami pun kagumlah; “wah, pandai betul si orang Melayu ini ‘bercakap’ dalam bahasa Inggeris. Kita tulis Melayu, dia jawab Inggeris. Makna kata, dia ni faham Melayu, tapi sebab dah lama duduk UK, bahasa Inggeris dah macam air. Kagum!”

Tapi, silapnya dalam emel yang sudah hampir-hampir mencapai tahap klimaks, dia tiba-tiba nak ‘cakap’ Melayu pula. Barangkali supaya saya yang lurus bendul ala-ala tak tahu satu habuk ini lebih cepat faham, dan lebih cepat hantar duit.

Dari perkataan yang digunakan itu, maka fahamlah saya bahawa si Siti ini bukan orang Melayu dan cuba terjemahkan maksudnya melalui web terjemahan. Malangnya jadi ayat berbahasa Indonesia + pelat India sedikit. ini yang dia mahu terjemahkan (emel pertama dalam bahasa Melayu);

“halo terima kasih untuk mesej, aku ingin kau pergi ke depan dan
membuat bayaran dan e-mel bukti pembayaran ke paypal bagi mereka untuk
kredit akaun anda segera setelah possible.let aku tahu selepas anda
membuat bayaran.”

Ha… saya pun balas lagi. Saya katakan padanya;

“Ok, untuk buat bayaran RM3K tersebut kepada Nadia H***m, saya perlukan number phone dia dan number pejabat untuk memastikan wang yang saya bank in tersebut selamat diterima. Juga, untuk memastikan jika ada masalah berbangkit, saya boleh rujuk beliau.”

… dan Siti balas lagi, tapi kali ini web terjemahannya sangat-sangat cikai;

“halo teman, saya mau o jari kembali ke saya segera setelah anda
mendapatkan kenalan dengan agen. 016***0879 ini adalah nombor agen.”

Haha, apakah yang berlaku selepas itu?

Setelah saya mula merasakan Si Siti itu tidak wujud di alam nyata, saya mula membuat sedikit kajian. Google punya google, akhirnya saya terbaca kes yang sama, sebiji sebotol macam apa yang sedang berlaku.  Maka, sahlah bahawa ini adalah satu penipuan yang besar!

Alhamdulillah, kami terselamat dari bala penipuan ini. (Walaupun awalnya hampir terpercaya dengan tidak sengaja).

Apa lagi yang berlaku bila saya tidak bank-in duit RM3ribu itu dan tidak pula menelefon Minah ejen itu?

Dengan susah payah, si Nadia yang mengaku merupakan ejen syarikat servis penghantaran kereta itu menelefon saya. Aduhai, dengan pelat-pelat ala bangla, dia pun mengaku berada di Kuala Lumpur – bertanya, bila saya akan buat bayaran?

“Oh, saya memang nak buat bayaranlah, tapi saya nak tahu ni ofis kat mana?”

“di Kuala Lumpur.”

“oh, macam tu… Ada number phone pejabat tak? supaya senang nanti nak buat urusan”

“O… kita kat sini baru lagi. Syarikat kami semua pakai handphone.

Saya mula hendak tergelak.

“Oh, macam tu. Number faks ada?”

“kita guna emel and handphone je. Ni syarikat baru lagi kat KL. Kita dari oversea.”

“Aih, macam mana you boleh buat bisnes masuk Malaysia, kalau tak daftar line telefon, faks pun takde. Ni HQ dekat mana?

“sorry, what?”

head quaters dekat mana?”

sorry….” tup! putus.

Saya pun tergelak sendiri. Tahu sudah mereka mula kantoi. Tidak lama selepas itu, nombor yang sama memanggil lagi.

“Hello… hello…” sambil bunyi macam radio rosak yang biasa orang buat kalau hendak ertikan “line-tak-elok-dekat sini” saya pun hairanlah bila di tengah bandar KL itu pun talian seperti sedang ribut petir. Selepas tiga empat kali helo, talian diputuskan. Saya senyum lagi. Tak lama selepas itu;

Hello… oh, sorry. Line selalu macam ni…”

“Oh, takpe..” dalam hati; kat Malaysia mana selalu dah buat alasan zaman batu macam tu.

Saya pun tanya punya tanya, sampai Minah Nadia ini sudah nak angkat bendera putih, mahu passing talian kepada ‘pegawai’nya yang lain. Akhirnya, dia tanya. “So, you nak alamat company di UK ke?” saya jawab “Yes“. Dengan nada yang sedikit marah, dia letak telefon. Hah, dasar penipu! Tidak lama kemudian, dia pun mesej ‘alamat’ yang dimaksudkan itu. Iya, yang tak pernah wujudpun dalam peta dunia.

Haih, kalau ikutkan hati, mahu saja balas, “saya tahu ini semua tipu! Saya akan buat laporan polis” … dan beberapa lagi ayat yang hendak bagi puas hati sendiri (Contohnya ayat tipu: ayah saya kerja di UK, boleh cari company awak). Tetapi, bila difikir semula, tiada gunanya mencurahkan petrol yang makin mahal ini kepada bara api. Bukan setakat rugi duit, malah boleh memakan diri.

(Oh, banyak sudah saya taip rupa-rupanya) – ini gara-gara hendak lepaskan perasaanlah ni. Apapun, buat rakan-rakan di luar sana, berhati-hatilah dengan scam yang pelbagai rupa bentuk ini. Semoga kita terselamat. Taqwa pun dah bangun, ibu hendak susukan Taqwa pula.

Akhir kata; sesiapa yang di Malaysia ini yang mahu beli kereta Honda City saya yang masih belum terjual itu, silakan berurusan dengan rasmi dengan saya 😀 (sempat lagi~~)

Anda boleh baca kes yang hampir sama di sini:

Forum 1

Facebook 2

 


Tindakan

Information

3 responses

26 01 2011
ayong

hoh…baca senapas!!!
klaka lah ‘cerita’ ni.. sedap jugak klu dapt kantoi kan org!! ~JAHATTT!
INGAT! ape2 urusan yg sepatutnya kita dapat duit, tapi kita kena dahulukan duit kita~ini tipu!
*mcm kisah Gores dan Menang..
Nak bagi duit tapi kita kena bagi dulu…haisshhh!!

3 04 2012
naza

tolong saya . saya rasa was2 tentang pembeli diluar . pembeli kata dah buat bayaran .betul ke ? saya gunakan akaun pay pal . kalau nak tahu saya akan 2 email , 1 email sendiri lagi 1 email paypal . tapi yang terima hanya email sendiri . saya check email akaun pay pal tiada bayaran . apa pendapat korang ? saya rasa macam main2 je atau penipuan .

15 05 2012
ainaamardhiah

salam. Berhati-hatilah selalu terutama pada perkara yg melibatkan money transaction ni… jangan mudah percaya. Senang saja kita boleh tertipu. fikir panjang, selidik dan selidik. paling kurang pun google la kejap kat forum manalah tau ada isu yang sama… moga kita terselamat dunia akhirat. amen

Tinggalkan komen