Sungai Sebelah Rumah

7 01 2011

DALAM nafas pagi yang segar, Taqwa bersenyum semanis fajar membuatkan ibu hilang kantuk. Di luar masih hujan. Parit di sebelah rumah kami sudah jadi anak sungai yang mengalir deras – airnya jernih. Bila hujan sidang sedikit, ada dua tiga orang anak-anak jiran pergi memancing, menangguk ikan di ‘sungai’ itu. Seronok sungguh budak-budak itu bila ikan keli yang besar menjadi habuan mereka, selalu.

Dari jendela dapur, rumah ini sudah seperti berada di tengah air. Tanah bendang di belakang rumah sudah dipenuhi air – menjadikan rumah ini kononnya seperti pulau kecil. Rasa tenang mendengar kocakan air yang melaju di tepi dan belakang rumah. Namun, dalam masa yang sama memberi petanda kemungkinan banjir yang telah melanda kawasan-kawasan yang lebih rendah. Moga kita diselamatkan daripada musibah.

Pagi jumaat yang hening ini, terasa penuh bila dapat berada di samping insan tersayang, dalam kehangatan kasih. Semoga Allah memberkati kita semua hingga ke syurga.

Program hari ini adalah gotong-royong rumah. Ayuh mulakan dengan penuh keceriaan kita satu keluarga! (Taqwa pun kena jadi AJK tugas juga) 😉