PAGI ini, hujan membasahi hari baharu. Rindu. Sejuk-sejuk begini, teringat ketika tinggal di Rabat waktu musim sejuk. Sudahlah tiga musim bersejuk (luruh, sejuk, bunga), semusim panas dalam setahun. Sejuk sudah semacam lali sahaja. Tapi bila di Malaysia, datang musim tengkujuh, sejuknya lain macam sahaja. Maha Suci Allah dalam segala hal.
Mengingat kembali tentang mimpi, impian, dan cita-cita. Ada kalanya, tatkala terlalu dihurung impian dan cita-cita, maka dalam tidurpun kita bermimpi tentangnya. Kerana impian dan cita-cita itu adalah hasrat hati yang terdalam untuk digapai duduknya setinggi awan.
Waktu dulu, apabila saya mula mengubah cita-cita untuk menjadi doktor, maka saya pun menjadi bertambah seronok apabila dilantik terlibat dalam program Doktor Muda peringkat daerah sekitar tahun 1998. Bilik rawatan di sekolah waktu itu di bawah tanggungjawab kami yang bergelar Doktor Muda Sekolah. Saya selalu tersenyum apabila melihat sijil doktor muda dan pengalaman waktu sekolah rendah.
Menjejakkan kaki ke sekolah menengah, saya juga bersyukur ditempatkan di sekolah menegah agama perempuan tertua di Pahang. Iya, banyak kebaikannya bila sekitar usia 13-15 belajar sesama akhawat sahaja. Ukhuwah juga terasa erat. Farah Hanan adalah antara sahabat yang terlama saya kenal dan belajar bersama-sama sejak sekolah rendah, menengah bahkan hingga kini masih berhubung. (Siti Nur Sharbanu pun sama, cuma waktu sekolah rendah dia ‘budak baru’ yang berhijrah ke Pekan akhir 90-an.
Memandangkan sekolah saya waktu itu tidak memperuntukkan aliran sains tulen bagi tingkatan 4, maka saya pun berhijrah ke SMK(A) TAHAP, Jerantut, Pahang. Iya, saya masih membawa cita-cita yang sama. Mahu jadi seorang doktor dan sangat meminati subjek Biologi (dan Bahasa Melayu).
Namun, semenjak akhir tingkatan 3 (PMR), saya mula mengalami sakit pinggang yang pada awalnya sekejap-sekejap saja. Melangkah tingkatan 4, saya mula terpaksa kerap ke hospital. Entah bermacam-macam doktor sudah saya jumpa. Bahkan lebih dari 5 orang doktor pakar dari bidang yang berbeza, dari hospital yang berbeza. Saya mula kerap berulang alik menjalani rawatan fisio terapi. Sakit, sakit dan sakit. Dua minggu saya ke sekolah, dua minggu saya duduk di rumah. Sudahlah Jerantut dengan Pekan itu boleh tahan jauhnya.
Saya mula keciciran banyak topik dalam setiap subjek. Laporan-laporan makmal berlambak-lambak tidak disiapkan. Saya buat juga perlahan-lahan walaupun mula rasa ‘down’. Setiap kali hendak ke sekolah, saya akan bersiap awal dan mula berjalan perlahan-lahan dari asrama ke kelas. Mungkin pernah sehingga 30 minit baharu sampai. Biasanya saya buat-buat berjalan sambil baca nota kecil, atau kutayyib. Iyalah, bosan juga berjalan terlalu perlahan dan lambat. Malu pun ada. Kekadang ada Kak Ita (Marsita Jahron) tolong temankan jalan. Kekadang Along (Maizatul Nazira Nazir) dan kekadang silih berganti sepanjang perjalanan yang dekat itu, tapi jauh waktunya. Paling tidak tahan, waktu naik atau turun tangga. Rasa seperti patah renyuk pinggang, rusuk segala. Allahu Akbar. Setiap langkah itu sangat-sangat menguji kesabaran dan ketabahan. Dua minggu sebelum SPM, habis penuh meja di tepi katil wad di Hospital Kuantan dengan buku rujukan Fizik, Biologi, Kimia. Mana-mana yang sempat, saya baca dan ulang baca bila tidak faham-faham.
Bila masih terlalu kerap menghadiri temujanji dengan doktor pakar yang berbagai-bagai, saya mula rasa muak. Bahkan mula rasa bosan. Bahkan hampir rasa benci. Kenapa doktor masih tidak dapat memberi rawatan yang benar-benar tepat dengan keadaan saya waktu itu. Masih mencuba itu-ini. Sayalah mangsanya.
Pernah suatu ketika, saya pergi klinik swasta bersama-sama warden. Terasa sakit yang tidak dapat ditahan. Lalu, diberinya ubat tahan sakit. Namun, saya alah dan mengalami pendarahan dalaman yang agak berpanjangan dan berulang. Maka, bertambah lagi saya ‘marah’ pada doktor. (Sebenarnya kita tidak layak untuk bosan menjadi pesakit, kerana sakit itu Allah datangkan supaya kita mengingati-Nya. Astghfirullah…)
Akhirnya saya beralih ke rawatan alternatif, dan mula memakan ginseng, suplimen-suplimen dari bahan semulajadi, doa, sabar dan positifkan minda untuk sihat. Alhamdulillah, dengan Kehendak dan Kekuasaan Allah, ketumbuhan pada buah pinggang yang saya alami mengecut dan Alhamdulillah, saya sembuh. Alhamdulillah. Allah Maha Kaya, Maha Kuasa.
Dipendekkan cerita, sejak episod tidak puas hati dengan doktor itu berlalu dan berulang terlalu banyak kalinya, maka saya mula tidak-mahu-jadi-doktor. Tidak mahu. Saya mula padam cita-cita itu dan berdiam. Senyap-senyap “aku mahu jadi pendakwah bebas”. Tapi saya tidak bercita-cita pun untuk jadi pensyarah.
Namun, alhamdulillah, dengan jadi pensyarah, ilmu dapat dikongsi, para pelajar pun membahagiakan kita juga. Bergelar pensyarah pada usia 22 tahun, bahkan anak murid saya pun ada yang lebih tua dari saya. Dalam satu kursus intensif Bahasa Arab, salah seorang pelajar itu adalah sahabat saya waktu sekolah tingkatan 1 hingga 3. Segan benar saya mahu berdiri di hadapan dewan kuliah, sedang sahabat saya ada di hadapan saya. Namun, itu semua pengalaman yang mendidik jiwa dan raga.
Kesimpulan; impian yang kita impikan tidak semestinya menjadi realiti. Barangkali realitinya sudah terjadi di alam mimpi – hanya supaya kita berasa cukup kerana pernah mengalaminya walau untuk satu malam yang singkat.
Namun, untuk mengimpikan impian menjadi kenyataan sehingga bermimpi di siang dan malam hari, tanpa usaha, daya, doa dan tawakal, maka akan kekallah kita dalam mimpi itu – ini malas namanya.
Walhal, orang yang berkerja keras siang dan malam hari, tidur tanpa mimpi, berusaha sehabis nadi untuk mencapai cita-cita yang diimpi – tanpa doa, dan tawakal, penguat keimanan kepada Allah, sama ada impian dan cita-citanya tercapai atau tidak, keadaannya tidak akan tenang. Kerana Allah telah berjanji bahawa ketenangan itu adalah dengan mengingati-Nya. Tiada gunanya berjaya di dunia jika tiada ketenangan dalam jiwa.
Bebaslah kalian untuk bercita-cita dan membina impian – pastikan kalian bersandar pada Allah. Dialah penentu segalanya. Pastinya cita-cita tertinggi orang yang beriman adalah untuk bertemu Tuhannya dalam keredhaan yang menyaluti naluri dan jasmani. Allah itu Ada!
subhanaAllah.. perkongsian yang cukup menarik.
Salam ustazah…ingat sy lagi x?…hehe
cam kenal je sahabat ustazah 2…
Perjalanan mengejar dan merealisasikan impian bukan selama dua atau tiga tahun. Selama-lamanya. Selamat mencapai impian.
assalam..mekasih sudi selitkan nama sy di sini..ehe :))
Salam.
Farah Hanan itu memang ada selalu di Melati Jiwa.. 🙂