Karya

Perkongsian karya dan pandangan.

Sebuah artikel ;

” Sudahnya kucing tidak berbulu…”

(tersiar dalam FOKUS II, Al-Qalam edisi 2, sesi 2006-2007 – Disiplin, menelusuri konteks Mahasiswa PMMM)
Oleh: AINAA MARDHIAH BINTI SUHAIMI
Mahasiswi Tahun 2, Pengajian Islam, Universiti Muhammad V, Rabat.

Dari penjuru masjid berhadapan Darul Quran itu, kelihatan seorang pemuda bertatih dengan dua lututnya berusaha merapati kerusi roda berdekatan pintu masjid usai solat zohor berjamaah. Kecacatan lahiriyah tidak menjadi penghalang kelangsungan disiplin terhadap diri dan agama. Seruan Tuhan disambut seawalnya, sebaiknya, pada waktunya. Melihat di pengkarangan masjid, masih ramai anak muda sebaya dengannya lebih selesa memilih untuk memenuhi tuntutan melepak, berbual kosong. Inikah simbol disiplin anak muda hari ini?. Jauh benar perjalanan mencari hidayah meskipun jalannya bak sekangkang kera di antara kedai kopi dan masjid. Itulah bezanya ‘yang mencari’ apatah lagi yang tidak mencari. Biarpun hidayah lalu di hadapan mata, andai dipejam, enggan dibuka kelopak mata kejahilan, tidak akan ketemu. Moga tidak terkatup selama-lamanya. Bimbang kalau-kalau mata itu terbuka, sudah berada di alam lain. Alam mahsyar yang tiada alasan pada hijab kebenaran. Saat itu usah disebut-sebut kenapa hidayah tidak kunjung tiba.

Apa ada dengan disiplin?

Secara umum, perkataan disiplin membawa makna yang sangat subjektif, tidak terikat pada skop tertentu sahaja. Boleh dikatakan hampir setiap perkara punyai disiplinnya yang tersendiri. Didefinisikan disiplin itu sebagai; 1. latihan pemikiran dan kelakuan supaya boleh mengawal diri sendiri dan patuh pada tatatertib; 2. peraturan yang ditetapkan untuk melatih seseorang supaya berkelakuan baik; 3. kepatuhan kepada peraturan yang telah ditetapkan; 4. hukuman atau denda kerana melanggar sesuatu peraturan yang ditetapkan; 5. bidang atau lapangan kajian. Kamus Dewan, edisi ketiga, cetakan kedua 1996, halaman 308

Sama ada sedar atau tidak hakikatnya kita sedang membicarakan perihal pembentukan sahsiah mahasiswa muslim menuju pembaikan akhlak islamiyah. Membuka spekulasi seluasnya sekitar disiplin mahasiswa Islam.

Hanya Jauhari Mengenal Manikam

Disiplin pada ilmu. Menjaga hakcipta intelek sebagai salah satu khazanah ilmu yang tidak patut dicerobohi sewenang-wenangnya. Disiplin ilmu yang dilihat di sini mencakupi perihal menjaga hal ehwal naqal (periwayatan) sesuatu harta atau khazanah intelek. Selainnya, seseorang mahasiswa patut menjaga rasa hormat pada ilmu. Sumber ilmu pengetahuan mengikut pandangan Dr. Toha Jabir Al-‘Alwani di dalam bukunya “الأزمة الفكرية المعاصرة ” terbahagi kepada tiga elemen penting, iaitu wahyu yang merangkumi Al-Quran dan As-Sunnah, keduanya kajian atau eksperimen, dan yang ketiga pancaindera yang didominasi oleh akal.

Membuka diskusi perihal elemen pertama, Al-Quran dan As-Sunnah sebagai sumber ilmu pengetahuan, seseorang mahasiswa seharusnya turut mengambil berat disiplin ilmu pada kedua-duanya. Sebagai contoh, menjaga disiplin dari segi mengeluarkan atau meriwayatkan hadis, atau mentafsir Al-Quran.

Usaha menjalankan kajian atau percubaan tertentu juga perlu kepada disiplin. Setiap perkara perlu diteliti agar selaras dengan Islam. Matlamat tidak menghalalkan cara. Tanpa sedar, banyak hal yang kita rasakan baik tujuannya, tetapi usaha ke arahnya itu tidak murni di sisi Islam. Contohnya, sekumpulan mahasiswa ingin melakukan kajian berkenaan tahap kecekapan Suruhan Raya Pilihanraya (SPR) di universiti mereka. Kajian yang dilakukan tentu akan memberi ilmu pengetahuan dan faedah yang baik pada mereka serta masyarakat sekitar disamping memberi pengalaman. Akan tetapi, jika tidak dijaga disiplin dalam usaha tersebut, akan berlaku perkara-perkara yang tidak sejajar dengan syariat Islam. Boleh jadi terdapat unsur penipuan, pengkhianatan, penyelewengan maklumat, fitnah dan sebagainya. Kata kuncinya; tuntutan disiplin pada setiap individu. Oleh sebab itu, Al-Quran dan As-Sunnah perlu menjadi pedoman dalam apa sahaja usaha yang dilakukan.

1. Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang Menciptakan,
2. Dia Telah menciptakan manusia dari segumpal darah.
3. Bacalah, dan Tuhanmulah yang Maha pemurah,
(Al-‘Alaq)

Membaca. Aktiviti membaca tidak terhad pada kitab atau bahan bacaan, tetapi ‘membaca’ sesuatu objek melalui pancaindera yang dimanipulasikan dengan akal juga dikira sebagai membaca. Pastinya ia juga merupakan sumber ilmu pengetahuan. Tetapi, berpada-padalah dalam menggunakan nikmat pancaindera yang Allah anugerahkan. Jangankan pula melihat perkara-perkara yang haram. Kononnya mahu menggunakan akal berfikir tentang kejadian tertentu, tetapi hujung pangkalnya mengotorkan minda, menggelapkan hati, itu hanyalah perbuatan tidak berdisiplin yang mengguna pakai nikmat bukan pada tempatnya.

Walau bagaimanapun, gelaran seorang mahasiswa amat menuntut kepada pembacaan seluasnya pada bahan-bahan bacaan dalam pelbagai bidang. Tiada erti malas membaca jika mahasiswa tersebut benar-benar memegang disiplin yang kuat untuk dirinya. Seseorang yang berdisiplin, tekadnya kuat dan segala apa yang dibuatnya adalah untuk Allah dan Islam.

Malas. Ponteng kuliah? Tidak serius pada isu pendidikan dan akademik? Individu yang seronok bermalas-malasan, ponteng kuliah dan lain-lain tabiat yang sepertinya, barangkali mereka terlupa bahawa diri mereka memakai gelaran sebagai mahasiswa. Katanya masa sentiasa tidak cukup untuk banyak hal akademik, tetapi sentiasa banyak masa untuk bersama-sama U-Tube, chatting yang tidak berfaedah, Friendster, MySpace dan pelbagai lagi yang entah apa namanya. Tidak salah menggunakan kemudahan internet bahkan dianjurkan, tetapi harus menjaga disiplin padanya. Buatlah sesuatu yang dapat memberi faedah dan tidak hanya merugikan kita kelak.

Menjaga disiplin merangkumi mengambil endah perihal menghormati ilmu. Hormat yang merupakan adab dalam menzahirkan norma dan nilai budaya mahasiswa Islam. Kita lihat sebagai contoh, kitab suci Al-Quran, seharusnya disiplin padanya dijaga, namun jika diperhatikan adab dalam senario kita hari ini, terkadang letaknya Al-Quran hanya dilantai, sama rendahnya dengan kaki, di lalu-lalang orang. Seolah-olah tiada harga! Di manakah adab? Di manakah disiplin? Andai Kitab Suci diperlakukan begitu, buku-buku pelajaran di kuliah apatah lagi. Langsung dibuat lapik duduk. Aduhai, memegang gelaran mahasiswa, namun seolah-olah pengertiannya teramat jauh daripada apa yang digelarkan. Kalaupun pada bangsa Arab Maghribi ini seolah-olah tiada salahnya semua itu, janganlah ada walau seorang pun di kalangan mahasiswa-mahasiswi kita yang menjauhkan disiplin dengan ilmu. Boleh jadi walau hanya dengan sekelumit perkara yang sangat ringan, tetapi bila dipandang berat, terbias keberkatannya pada kita. Hanya Tuhan yang Maha Mengetahui.

Memotong atau dipotong

1. Demi masa.
2. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian,

3. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasehat menasehati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasehati supaya menetapi kesabaran.(Al-‘Asr)
Pengurusan waktu. Masa itu adalah kehidupan, hayat yang tidak terbayar dengan harga. Merangka pengurusan waktu yang baik akan menjadikan hidup kita lebih bermakna. Akan tetapi pengurusan masa tidak akan berfaedah jika tidak disandarkan pada disiplin yang kukuh seseorang mahasiswa.
Tepati jadual hidup. Sebagai seorang mahasiswa, perancangan perlu kemas supaya masa yang berlalu dapat dimanfaatkan semaksimum mungkin. Tidak salah merancang, akan tetapi sedikit sebanyak mari kita ambil kira sekitar lima perkara penting padanya.

SMART – Suitable ( مناسب ), Measurable ( قابل للقياس), Achievable ( قابل للإنجاز), Realistic ( واقعي ), Time board (لوحة وقتِ) .
Apa yang dikatakan sebagai SMART?- Suitable. Sesuai. Membuat perancangan yang sesuai dengan diri sendiri, masa dan keadaan.
Measurable. Memperihalkan berkenaan perancangan yang boleh (dapat) disukat atau diukur.
Achievable. Mampu untuk dicapai.
Realistic. Realistik; sewajarnya.
Time board. Perihal perancangan waktu yang sistematik.

Mahasiswa yang cemerlang adalah mahasiswa yang mampu menjadualkan dirinya dan berusaha berdisiplin pada jadual tersebut. Sebagai contoh, seseorang mahasiswa membuat jadual hidupnya untuk perangkaan satu hari; solat-solat sunat harian, ulangkaji pelajaran, membaca kitab, satu minggu; hadiri kuliah di universiti dan di masjid pada hari-hari tertentu, puasa sunat Isnin, Khamis, belajar berkumpulan, halaqah usrah dan sebagainya. Satu bulan; target buku yang habis dibaca, ulasan kitab, puasa sunat pada hari dalam bulan Islam tertentu, minggu-minggu riadah, menghubungi keluarga. Satu tahun, target 5 tahun terdekat, 10 tahun, dan sebagainya. Daripada jadual tersebut dapat dianalisis perihal ibadah, aktiviti harian, mingguan, bulanan, tahunan serta target yang dicapai.

Analisis dan selalu muhasabah diri. Memerhatikan dengan terperinci disiplin pada usia, umur sendiri dan orang lain, juga sekitar. Sebilangan perkara dapat dilaksanakan selari dengan disiplin diri sendiri tetapi bertentangan dengan disiplin sekitar, ataupun masa. Mahasiswa yang bijak akan mengatur hidup sebaiknya dan memerhatikan setiap detik itu adalah peluang kejayaan. “Hidup dan kehidupan meletakkan manusia tercari-cari makna sebenarnya, jesteru berbuat sesuatu dengan perhitungan akal seperti si buta yang tidak pernah takutkan malam.”

Barangsiapa yang hanya membuat perancangan adalah orang yang bermimpi. Barangsiapa yang hanya bekerja adalah hamba pekerjaan. Tetapi siapa yang bekerja menurut perancangan itulah orang yang memperoleh kemenangan.

Bunga yang wangi

Etika sosial. Disiplin pada hak-hak yang sepatutnya. Disiplin pada hak diri sendiri, hak pada rakan, guru, persatuan dan sebagainya. Menjadikan seseorang mahasiswa itu ‘cantik’ luar dan dalam. Andai seorang mahasiswa benar-benar memelihara disiplinnya pada diri sendiri dan sekeliling, dia tidak akan sewenang-wenangnya menjatuhkan air muka rakannya di hadapan khalayak, meskipun hanya dengan panggilan atau gelaran yang padanya hanya gurauan. Sekali-kali tidak memandang rendah pada guru apatah lagi mengumpat atau ‘cakap belakang’. Disipilin itu adab yang punya peraturan untuk dijaga.Yang kurik itu kundi, yang merah itu saga ; Yang baik itu budi, yang indah itu bahasa.
Jangan sesekali belajar untuk melentur peribadi membelakangi disiplin, walhal Islam itu sendiri suatu simbol disiplin yang tidak punya galang gantinya. Kerana apabila diri sudah terbiasa dididik tanpa disiplin, kelak menjadi tabiat buruk yang tidak mampu disingkirkan dari diri. Menyoroti pepatah arab, يفقد الهر وبره ولا يفقد عاداته “bulu kucing boleh ditanggal tetapi perangai kucing tidak boleh berubah”. Sudahnya kucing tidak berbulu, namun kucing tetap kucing, cuma namanya barangkali berubah sedikit, mungkin hilang gelarannya sebagai kucing gebu yang comel, tapi tabiat kekucingannya tetap gah pada dirinya. Begitulah nisbahnya pada akhlak dan tabiat buruk seseorang payah berubah kerana telah sebati pada diri individu tersebut, tidak seperti pakaian yang boleh ditukar ganti. Jika berbudi pekerti murni pastinya terbias membawa kebaikan bersama, akan tetapi jika sebaliknya, melukut di tepi gantang itu lebih baik daripada bermastautin di dalam gantang dengan membawa bubuk.

Kupu-kupu pun terbang dari saku

Pengurusan kewangan. disiplin pengurusan kewangan. belanja. Disiplin sumber kewangan. Perihal halal-haramnya sumber kewangan. Kerap kali kita dengar betapa sinonimnya perniagaan internet di kalangan para pelajar universiti, persis skim cepat kaya yang entah mana dihumban hukum-hakam syariat Islam padanya. Mememangnya berniaga itu amat dianjurkan dalam Islam. Tetapi Islam telah menggariskan disiplin perniagaan yang halal dan murni tanpa punyai unsur riba’, rasuah, syubhah dan sebagainya.

Meneliti sumber kewangan sahaja tidak lengkap melainkan turut dilihat pada hal belanjawannya. Mahasiswa yang cemerlang mampu membiduk dirinya mengikuti disiplin pengurusan wang yang selaras dengan Islam. Sistematik dan tanpa pembaziran. Lebih-lebih lagi mahasiswa yang belajar di seberang laut, isu perbelanjaan mendominasi topik terpenting membantu kecemerlangan. Usahlah gara-gara tersilap berbelanja, belum sampai hujung bulan poket sudah kosong. Pada waktu itu masyhurlah pepatah, ” Biar poket kosong asal jiwa kaya, daripada poket penuh dengan wang, tetapi otak kosong dengan ilmu.” Padahal, kalau otak penuh dengan ilmu, pasti disiplin pengurusan kewangan juga ditepati sebaiknya.

Mahasiswa dan disiplin

Mahasiswa itu bunyinya gah pada nama. Namun janganlah sampai berlagak dengan Tuhan, walhal sesedut nafas pun kita masih berhutang dengan Yang Maha Memberi. Seharusnya setiap individu mahasiswa saling membantu usaha pembaikan sesama sendiri. Meletakkan disiplin pada ukhwah sesama rakan seperjuangan, membaiki kekurangan dan tidak hanya pandai menunding jari pada yang bersalah. Sebaliknya genggamkan sepuluh jari menggapai tangan sahabat-sahabat yang perlukan sokongan untuk menempuhi mehnah dan tribulasi sebagai mahasiswa. Jangan biarkan karam bersama sampan yang pecah jika masih mampu untuk berenang. Moga-moga dengan berlalunya walau sedetik waktu sebagai seorang mahasiswa, semakin mengajar erti disiplin dan mensyukuri kurnian Tuhan. Berdisiplin pada Pencipta dan Rasul itu terlebih dahulu penting pada tangga prioriti dalam menghidupkan seorang mahasiswa mukmin cemerlang.

10. Orang-orang beriman itu Sesungguhnya bersaudara. Dengan itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat. (Al-Hujurat)

 

 

… sisipan salah sebuah puisi dari antologi Wilayah Cinta

Penilaian: Sajak 3 bintang

Andai Kau Mengerti

 

Usah disapa derita lama

Redup sirna senyum duka

Imbas layar bersama

Rabitah Hangat Semalam

Tautan rindu mekar setaman.

Ukhti,

Tambatkan untukku kuda putih

Kenalkan Abrar padaku

Bawaku pergi bersama

Rindu salam agung dari Raudhah

Titipan cinta Habibullah

Sampaikan salamku salammu

Moga disambut mesra

Ukhti,

Ingin saja kudakap temu

Kaupandang senyum sayu

Mari sini sayang

Ukhti, air mata ini gugur sudah

Kaucuba seka dengan jari rindu

Istighfar dulu

Munajat dulu.

Kata ukhti ku di sisi

Seiring bersama

Jangan kau tinggalku sendiri

Bawaku bersama

Dalam lara gelita

Kulihat ukhti dengan mata yang lain

Empangan ini pecah lagi

Sendu kaku bisu

Selindung kelam rahsia

Hujanku di sini

Megamu di sana

Andai kau mengerti.

Ainaa Mardhiah Suhaimi

Rabat, Morocco3/5/2006 =10:23:34

Tersiar di majalah Sastera.net, edisi pertama

Advertisements

3 responses

27 05 2008
muhammad al amin

cinta itu anugerah alloh yang tak bisa dipungkiri oleh siapapun umat manusia, Cinta itu Ibadah yang akan membawa surga bagi siapa saja yang menjalanankan sesuai syariat, cinta itu bukan nafsu bagi manusia yang menjalani dengan landasan keimanan.

27 05 2008
ainaamardhiah

Cinta yang hakiki mengajar jiwa lunak dan manja dengan Tuhannya. Cinta Ilahi itulah segala-galanya. Allah… Allah… Allah…

Marhaban, saudara Muhammad Al-Amin dari tanah seberang…

9 03 2009
ellysaharudin

salam ainaa.. sy mahu senarai karya novel beserta penerbit boleh..
sy amat berminat dengan tulisan anda…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




%d bloggers like this: