“TAQWA Si Kecil ini masih lagi demam hari ini sejak diberi suntikan vaksin DPT dua hari lalu. Kasihan ibu tengok anak kecil ini yang suam-suam badannya. Namun, ubat demam sudah diberi tiga kali sehari. Suka benar dia hirup ubat yang manis itu. Ibu doakan anak ibu cepat sembuh… ” (Berat Taqwa sudah 5kg waktu timbang di klinik kelmarin).
Sejak semalam, hujan mencurah-curah membasahi daerah ini. Sejuk, dan rimas dengan nyamuk yang bergerombolan. Hujan lebat-renyai-lebat tidak berhenti-henti. Lalu, menjelang pagi ini, bilik Taqwa sudah mula berair. Kami sudahpun awal-awal lagi memberitahu tuan rumah hujung tahun lalu bahawa rumah ini, meskipun baharu siap, tetapi ada beberapa tempat yang bocor. Kata beliau, kawasan ini pernah dilanda puting beliung kecil yang turut menjejaskan atap rumah ini ketika mula-mula siap pembinaannya. Kecil pun tidak kecil jugalah jika sampai mesin keropok sebelah rumah habis terbang ke kampung seberang. Kami pun tidaklah merungut, cuma memberitahu. Kini, hujan masih lagi mencurah-curah.
Malam tadi, Taqwa meragam sedikit. Tidak mahu tidur. Puas ayahnya cuba pujuk, diam sekejap dan berbunyi semula. Tidaklah menangis terlalu kuat, cuma merengek-rengek, hendak bermain dan tak mahu tidur. Badannya suam-suam, tidak selesa gamaknya. Ayah bacakan ayat al-Quran pada air, selawat dan lumurkan pada muka dan badannya, baru reda sedikit dan mahu menyusu semula. Akhirnya, Taqwa tidur juga atas pangkuan ibu. Bahkan ibu dan ayah pun tidur bersila separuh malam, tunggu Taqwa benar-benar lena.
Kadangkala, manusia terlalu mudah untuk merungut dan “berbunyi” sedangkan hanya diuji dengan sedikit masalah dan ketidakselesaan. Padahal, solat 5 waktu, puasa, zakat dan sekelumit amal itu sudah cukup memberi lesenkah kepada kita untuk “memprotes” kejadian Pencipta? Allahummaghfirlana…
Masih terlalu banyak nikmat Allah yang belum disyukuri. Adilkah untuk kita merungut dan menyalahkan takdir-Nya dan ujian yang menimpa? Dalam qunut saban subuh kita bersaksi “…dan kepada-Mu kami memuji atas segala yang diqada’kan…”…
komen terkini