Impian (Bahagian I)
9 01 2011KATA Ibnu Sirin, mimpi itu adalah suatu medium untuk merealisasikan apa yang tidak dapat direalisasikan di alam bukan mimpi. Itu antara salah satu mafhum kata-kata beliau.
Itu fasal mimpi. Impian? Iya, kita hampir bebas mengimpikan apa sahaja. Menelusuri landas syariat dan keimanan yang kukuh, binalah impianmu – pasti Dia akan mengganjarkan kebaikan padamu.
Cita-cita tidak hanya terikat dengan material yang abstrak, tetapi juga pada niat. Contohnya, kita bercita-cita untuk membantu ibu dan ayah apabila besar nanti (waktu kecil pun boleh bantu – bahkan setiap masa), atau kita bercita-cita mahu hadiahkan sesuatu kepada seseorang pada suatu waktu nanti. Itupun kira cita-citalah.
Dulu-dulu, saya suka sangat bercita-cita untuk jadi jururawat. Sebab mak saya adalah seorang jururawat yang cemerlang. Saban tahun mak dapat sijil anugerah cemerlang. Walaupun waktu itu ayah saya adalah jurutera, tetapi saya merasakan jururawat adalah suatu cita-cita yang sangat serasi.
Namun, pada suatu hari, sekitar tahun 1998 barangkali; guru kelas saya, Cikgu Nawawi bertanyakan cita-cita seisi murid dalam kelas. Waktu itu, antara rakan yang duduk dalam satu kumpulan ialah, Farah Hanan, Nurul Aina, Salihin juga Nadzrul Shah. Seorang demi seorang berdiri dan nyatakan cita-cita masing-masing. Nadzrul berdiri dan menyatakan cita-citanya mahu jadi seorang doktor. Sejurus, saya pula berdiri dan dengan bangganya menyatakan mahu jadi jururawat. Spontan, cikgu menyampuk “Oh, kalau macam tu, besar nanti awak kerja bawah Nazrul lah…” Saya terdiam.
Mulai dari saat itulah saya mula menukar cita-cita mahu jadi doktor (tidak puas hati bila kena kerja bawah orang). Sebelum itu saya tidak perasan agaknya yang jururawat kena kerja bawah doktor. Bila diingat kembali zaman budak-budak, rasa geli hati pula…
(bersambung di entri akan datang – Taqwa dah bangun tidur, ibu pun kena pergi uruskannya dan susukan si manja itu)
Komen-komen : 3 Comments »
Kategori : Bicara Hati
komen terkini