Antara Yang Bernama Air dan Api

26 03 2009

Waktu itu, dinihari yang mempunyai titisan hujan yang damai. Mengetuk gegendang telinga dengan baik-baik saja, dari jendela kamar.  Barangkali sepasang mata ini sedang katup meraikan pembaringan seperti sekujur mayat berkafan, namun bagai ada suara dari rasa terdalam di perdu hati membisikkan; “antara yang bernama air dan api…” lalu layar mata dipintas gambaran azali. Katup mata jadi rapat, memerah genang yang sukar.

Saya tidak pasti apakah yang sedang saya fikirkan tika dinihari itu, cuma bagai terlintas frasa jiwa; “kejahatan dan kedosaan itu bagai api yang memakan kayu-kayu kering” lalu datang pula frasa bening dari butiran tasbih; “dan air di kali itu bagai mencanai jasad batu yang keras menjadi lunak”. Katup mata jadi rapat, masih memerah genang yang laju.

Barangkali itu pengajaran dari sanubari yang ingin dibicarakan buat pagi ini.

Yang bernama api; fitrahnya membakar dan menyala. Memiliki keturunan dari neraka, membawa hangat dan perit, bias kepada azab abadi bila janji Tuhan tiba. Pasti.

Api yang membakar daunan, ranting kering; ah, sangat mudah. Sekali sambar sudah jadi makanan api yang mengenyangkan neraka. Begitulah laksana pahala dan amal kebajikan yang rangup-rangup diratah api dosa. Tanpa sengaja dan tanpa sedar. Kenapa amal kebajikan itu rangup dan kering? Tidak ikhlas, riak, ungkit, hilang suntikan iman lalu keringlah sebuah pengabdian pada Tuhan. Bagai daun yang tidak hijau, malah layu dan mati. Kerana itulah mudah sahaja dimakan api. Di mana imanmu yang basah kepada Tuhan? Kering iman. Berbakaranlah dalam kedosaan.

Air yang bening itu, namanya bibit cinta dari Pencinta. Kamu tahu bukan, batu itu fitrahnya keras dan degil. Sedang air itu sejenis lena yang sangat damai dan sabar, tidak lemah tapi lembut. Begitulah halnya kebajikan dan amal ibadat yang kamu lakukan. Untuk melentur keras batu yang menjadi jantung dalam sanubari, bukanlah dengan sekelip mata. Perlu berkali-kali dan selalu, lalu panjanglah jalan mujahadah. Kerana itulah air itu juga namanya sabar. Berikhlaslah.

Namun, apa kamu tidak percaya, bahawa ”kun fa yakun” itu hak Tuhan? Banyak perkara perlukan sebab untuk terjadi, dan perlukan sunnatullah untuk mendampingi alam. Namun, apabila yang berlaku itu tanpa sebab, yakinlah pada imanmu bahawa itulah namanya Jalal dan Jamalullah. Maka wajiblah kamu benar-benar sedar bahawa tiadalah kuasa yang sangat hakiki melainkan Kekuasaan Allah Yang Maha Esa. Allah Maha Agung, lalu bersedarlah kita ini hamba.

Lalu biarkan genang dingin memahat keras batu di sanubari itu…





38 haribulan, 58 jam sehari

17 03 2009

BARANGKALI ada bulan yang bersepai jatuh di atas hari-hari yang membina tahunan. Lalu, bertaburanlah hari membentuk besar kepalanya yang tersendiri, sehingga menjadikan 38 haribulan sebagai sepurnama. Seterusnya, menjadilah 58 jam dalam sehari. Ah, itu barangkali namanya sebuah kerosakan atas muka bumi.

Maka, rindulah benarnya saya pada Melati Jiwa. Terasa sunyi pula tanpa cerita, perkongsian. Selalu sahaja, pabila berada di kafe, dalam kenderaan, menikmati bintang malam, atau di pembaringan menatap buku-buku yang mesra menceritakan ilham dan ilmu Tuhan, teringat benar pada Melati Jiwa. Ingin rasanya berkongsi bicara di sini. Jadi dalam sesempit waktu ini, mahu juga perkatakan satu dua perkara.

Kitab Suci. Al-Quran, bacalah selalu. Biarlah betapa sibuknya kita menelaah kitab-kitab yang bertambun, dua tiga puluh rak sekalipun, Kitab Agung ini mesti diberi haknya. Mesti dibaca, ditafsir, difahami dan diamalkan. Jika bukan kerana kitab inilah manual hidup kita sebagai seorang muslim, tentu kita sudah jadi kafir. Samalah seperti kereta, sudah namanya Volvo, usahlah kita sibuk buka buku manual Proton, atau Honda untuk merujuk hal ehwal enjinnya. Kalau hendak buka buku Produa, cukup sahajalah menjadi Kancil. Kurang lebihnya begitulah.

Zikir. Kita semua tahu bahawa hati itu milik Allah. Harus ingatannya pun kepada Allah selayaknya. Bukan pada yang lain. Lebih-lebih lagi dunia itu mudah membawa kepada kedurjanaan. Jika benar hati kita penuh dengan ingatan pada-Nya, tiadalah sempat berbuat dosa maksiat. Mengajari hati menyebut Allah itu perlu kepada ‘keselaluan’ bukan pada kadang-kadang sahaja. Berzikir pada Allah harus dididik sentiasa. Juga mengajari akal supaya mesra mengagungkan Allah dalam apa sahaja perkara. Iman itu bukan takat pada lojika, nescaya sukarlah untuk percayai kiamat dan alam ghaib. Kerana itulah Iman itu pada ketaatan. Lojika tidak mudah untuk taat pada sesuatu yang tidak mengikut sifir kejadiannya.

Selawat. Apakah kita ini hanya berselawat dan menyebut-nyebut nama baginda ketika Maulidurrasul? Atau pada tiap hari yang lain, kita ini bukan umat Muhammad? Sedang pada Hari Kiamat, mahu pula dapat syafaat Nabi Muhammad. Apabila kita mencintai sesuatu, kita tentu mahu dampingi selalu. Hendak selalu menyebut dan memanggil. Bertemu dan bersama. Serupalah juga seperlu kecintaan pada Allah dan Rasul. Kalau benarlah kita mencintai keduanya, pastinya selalu disebut-sebut, dirapati dan diulang-ulang selalu. Buat selalu apa yang disukai-Nya, dan menjauhi apa yang dibenci.

Apa kita ini akan hidup untuk selama-lamanya tanpa mati? Atau kita sudah tahu bahawa kita akan masuk kubur bila? Jadi tunggu apa lagi? Berzikirlah, berselawatlah, bacalah Al-Quran, seterusnya jadilah seorang hamba yang bertakwa dan beriman hingga selama-lamanya.

Kita ini banyak dosa? Bertaubatlah, atau masih mahu tunggu nyawa di kerongkongan?

Biarlah kita ini sesibuk manapun, janganlah sampai kesibukan dunia itu menjadi fitnah kepada hak akhirat yang lebih utama dan abadi itu.

Duhai hati, bersabarlah. Duhai Tuhan, Allah Yang Maha Esa, takwakanlah setiap detik nadi ini bernyawa kepada-Mu.





Kembali

26 02 2009

BAHARU selesai satu dua perkara untuk urusan pengajian ijazah sarjana di Universiti Malaya (susah juga hendak sambung master ini gamaknya) doakan saya moga dipermudahkan dan dijayakan.

Pagi ini masih hujan menyambut hari baharu. Sejuk. Rindu benar mahu menjengah Melati Jiwa, juga melihat-lihat emel yang sudah bersawang barangkali. Sekembali dari Kuala Lumpur tempoh hari, komputer riba saya yang hitam itu sudah mula meragam. Iyalah, rupa-rupanya diserang virus. Habis aplikasi tidak berfungsi, malah banyak pula bebarang yang hilang di samping virus di dalamnya beranak-pinak pula. Bila keadaan semakn kritikal, mahu tidak mahu; terpaksalah dihukum mandatori; format semua sekali. Sepuluh sen pun tak tinggal. Sapu licin semua sampah sarap, kuman virus yang ada. Lalu, akan bermulalah hidup baharu esok atau lusa.

Justeru, mohon maaf buat para pengunjung Melati Jiwa yang kerap benar bertanya mengapa entri tidak bersalin baharu; sibuk. Tambah lagi komputer ditimpa kemalangan maut. Maka, sukar benarlah mahu dijengah Melati selalu. Emel pun sudah bersawang. Kepada pengurus saya yang seorang itu, mohon maaf; barangkali manuskripnya akan keterlewatanlah. Saya akan cuba juga siapkan dalam masa terdekat. Buku pinjaman dari pustaka daerah pun masih ’setia’ tidak dipulangkan lagi. Aduh, selalu saja melangkaui tarikh. Berusaha!

Fotografi; sibuk juga. Terbaharu, minggu lalu pergi ‘menembak’ pasangan Hapiz dan Farida di taman tasik sebelah rumah. Manis sungguh pasangan yang bersatu dari dua benua ini. Nasib baik tidak dihurung semut di bawah pokok ceri. Apapun, terima kasih menggunakan perkhidmatan kami, mohon maaf atas segala kekurangan dan selamat berbahagia. Moga berkat perkahwinan hingga ke syurga. (Bulan madu di Pariskah?) :-D

Minggu sebelum itu pula, kami berhambat ke syarikat VAC di sini. Iyalah, Menteri Sumber Manusia datang melawat. Maka, kami pun ditugaskan sebagai ‘media penembak’ bagi program pagi itu. Kekadang, penat juga pikul kamera ke hulu hilir. Tapi, harapnya berbaloilah. (kepada yang berkenaan, faham-fahamlah ya)

Petang ini, ada jemputan dari Pengarah Hospital Pekan. Bukan jemputan kendurilah, tapi jemputan ‘menembak’ sedikit habuan rasmi hospital :-D (hehe) Jadi, saya hendak persiapi ‘peluru-pelurunya’lah.

Tutup dulu cerita bab fotografi.

Kepada Lilah, nanti kita balas tag tempoh hari. Waktu ni kita sibuk lagi. Tapi, sebenarnya tidaklah sibuk tahap gaban itu. Cuma komputer masih masuk ICU. Nanti kita balas ya. Terima kasih atas ingatanmu ;-)

Lalu, saya pun laparlah. Maka, nanti sahajalah peperkaraan di laman ini disambung. Insya Allah.

Kalian doakan saya, ya. Syukran. Allahu yajzikuoum bilkher.





Kecintaan Itu Bernama Puisi Rindu (II)

13 02 2009

TERASA terlalu lama saya tidak menjenguk laman Melati Jiwa. Sebelum ini, meskipun tidak menulis di sini, singgah juga meninjau-ninjau. Minggu lalu (hingga hari ini juga) sangat sibuk. Ini pun baharu saja kembali ke Pahang. Urusi beberapa perkara di ibu negara, lalu berkejar kembali ke Pekan pula. Perkara begini sangat mencuri tenaga saya. Jujurnya, saya berat sedikit untuk menerima perkara yang perlu dilakukan mengejut. Namun, kerapnya begitulah. (Padahal, bila tiba saat kematian pun, akan mengejut juga). Apapun, alhamdulillah, Allah urusi dan bantu terlalu banyak perkara; moga kita terus berusaha untuk mensyukuri-Nya.

Pertama, mohon maaf kepada pengunjung Melati Jiwa yang sebilangannya kerap benar bertanya, bilakah mahu ‘update’ dan sambungi tulisan lalu. Insya Allah, dengan keberkatan Jumaat ini, kita cuba kongsikan sesuatu.

Awal pagi ini, ada panggilan yang diterima; berita kematian. Sebetulnya, hampir sepanjang minggu ini, ada sahaja khabaran kematian yang sampai kepada kami. Baharu kelmarin, ustaz Adham kembali ke rahmatullah. Ukhti hubungi saya tika itu di Sri Kembangan, katanya ustaz baharu meninggal jam 8 malam itu. Ada haru dan tangis yang menyusuli. Allah, terimbas segala kenangan, lalu besarlah rasanya sebuah kehilangan.

Semalam pula, anak kepada saudara kami yang berada di Kampung Marhum, Pekan dijemput Ilahi. Usianya pun muda  lagi. Belum sempat menghirup nafas baharu, pagi ini ada lagi khabaran kematian. Seorang sahabat abah yang meninggal kerana menghidapi kanser. Namun itu semua penyebab, hakikatnya Tuhan juga penentunya.  Oleh itu, kepada diri; bersedarlah kamu bahawa kematianmu juga sedang sangat hampir. Maka awasilah, setiap detik yang kamu usahakan untuk duniamu, pastikan akhirat menjadi dasarnya supaya kamu tidak menyesal bila dijemput kembali menghadap Ilahi sedikit masa nanti. Sedikit saja masa nanti. ‘Bersabarlah’ menantinya. (Apa benar kamu menantinya?).

Perkara yang sangat biasa kita dengari, dan sangat tahu tentangnya; seruan berzikir dan berselawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W. Sedarkanlah diri kita semua bahawa berzikir dan mengingati Allah siang dan malam itu adalah suatu kewajipan. Jika di dalam kehidupan seharian, kita dituntut supaya sentiasa mengingati Allah, di dalam solat apatah lagi.

Permasalahan yang membelenggu kita adalah; di dalam solatpun, kita masih lalai dari mengingati Allah. Habis, saat bilakah lagi mahu kita ingat pada Kuasa Agung yang meminjamkan segala kurniaan kepada kita?

Analoginya, secara mudah digambarkan seperti ini; katakan anda sedang bercakap dengan seseorang. Anda memanggilnya, tapi dalam masa yang sama anda tidak pandang kepadanya. Malah, anda memalingkan pandangan ke arah lain, bahkan mungkin langsung membelakanginya. Sedang lidah anda terus memanggil namanya. Selain itu, ada juga meminta-minta pelbagai kehendak padanya, tapi anda tidak mahu pun untuk mengenalinya. Bila bercakap dengannya, anda acuh tidak acuh saja. Bahkan  selalu saja melakukan kebenciannya.

Begitu jugalah dalam solat. Kita bermula dengan “Allahu Akbar”, namun adakah benar kita sedarkan hati, jiwa dan akal kita terhadap “Allah Maha Besar” itu? atau kita mula menjelajahi alam, memikirkan “apakah yang hendak anda buat lepas ini? Alamak, kunci hilang, di mana ya? Oh, baharu ingat, ada letak dalam kocek baju dalam almari belakang pintu… (dan sebagainya)”. Sedar-sedar, andapun sudah selesai memberi salam kedua. Maka, dengan cepat-cepat anda pun mahu segera meluru mendapatkan kunci yang hilang itu “nasib baik aku ingat di mana letaknya” lalu anda sebenarnya lupa akan kehilangan yang lebih besar; kehilangan kewajipan akhirat; solat.

Dengan begitu mudah, kita mempiciskan hal ehwal solat untuk dunia yang sangat sedikit. Kerugian yang lebih besar, kita tidak menjaga adab dengan Tuhan. Itulah namanya biadab. Kita hanya menyebut nama-Nya, tetapi menjahilkan diri untuk mengenali-Nya sedang Dia sangat mengenali kita langsung mengurniakan segala macam anugerah kepada kita. Lalu, di manakah kebertanggungjawaban kita pada-Nya yang telah menghidupkan kita?

Ingatlah, kita ini hamba. Ya, hanya hamba. Oleh itu, janganlah belajar untuk menjadi biadab dengan Tuan. Ikhlaslah menjalani beribadatan pada-Nya. Kamu hanya hamba. Dan tuanmu itu Tuhan Yang Maha Agung; Allah SWT.

Ringkasnya, bagaimana mahu beradab dengan Tuhan?

“Selalulah muroqobah (ingat-ingatkan sentiasa) akan Kewujudan-Nya, Keagungan-Nya, dan Kesempurnaan-Nya dalam setiap apa yang kita lakukan sebagai hamba. Sesungguhnya hamba tidak akan terlepas dari pengawasan Tuhannya. Jika kamu sedang bersolat, belajarlah untuk mendidik hati dan akalmu untuk mengingati akan “Kewujudan, Keagungan dan Kesempurnaan-Nya” itu.

Bersambung…

 





Kejora itu…

6 02 2009

gemerlapan semesta

Bila malam gelita,
bulan jadi pelita.

Bila bulan sunyi,
bintang pun temani.

Bila ombak pecah,
jari-jari pantai mendakapi;
kemas supaya bisa bersatu,
lalu lautpun disapa
lembut bayu yang damai…

Bila alam terus bersuara;
biarkanlah.
Kerana mereka membacakan keagungan
Tuhan kepada jiwa yang mahu,
setulus kejora yang berbisik
dalam hati sekuntum bunga,
menggembur taman nurani
untuk membeli hari esok
dengan senyum kesyukuran,
yang menukar tangis jadi tawa.

Terima kasih, abang…





Belasungkawa

4 02 2009

SAYA sedang berada di surau Penor tika itu. Sedang dengar kuliah Tuan Guru Dr Jahid. Malam itu, Februari 1, kami ikuti kuliah bulanan seperti biasa. Kali ini bab solat jadi topik utama. Seperti biasalah, saya buat catatan pada Pesona Peribadi. Lewati jam 8.47 malam, ada kelip-kelip pada sisi Pesona Peribadi. Oh, ada mesej yang masuk. Mulanya saya bercadang hanya akan membacanya setelah usai kuliah, namun selang beberapa detik, saya buka juga.

“Oh, mesej dari Anis.”

Sekilas baca, saya kalih pandangan pada kanda, Ukhti di sebelah, “Angah, baca ni…” saya unjukkan padanya mesej;

” Papa anis dh xde. “

Ada genang. Ada haru. Apa yang pasti, saya sangat terkejut. Saya keluar dari dewan solat, ke ruang sebelah dapur, hubungi Anis. Ya Allah, harusnya saya yang patut kuat dan menahan tangisnya, namun getaran itu menerpa saya juga. Saya rasa benar-benar tersentak dengan khabaran dari tiga pupu saya itu. Innalillahi wainna ilaihi roji’un…

Sepanjang malam itu, banyak juga panggilan dan mesej yang masuk bertanyakan keadaan Anis. Saya cuma minta mereka semua mendoakan kebaikan dan ketenangan buat semua. Hajatnya saya seperti mahu ke rumah Anis malam itu juga, namun keadaan tidak begitu mengizinkan. Lalu, saya tangguh saja sehingga esok. Mahu benar-benar untuk bersama Anis. Mahu berkongsi beban yang ditanggungnya.

Namun, kita merancang. Allah jua yang mengurusi segalanya. Esoknya kami ke Pekan seperti biasa hantar mak ke hospital. Saya anggar jenazah akan dikebumikan di Kg. Marhum, jadi bercadang juga mahu pulang ke kampung. Namun, bila menelefon Anis, jenazah akan dikebumikan di Batu 8, Kuantan. Pagi itu, kesihatan abah kurang baik. Saya mahu naiki bas, sudah kelewatan. Saya pun tak pasti perkuburan Batu 8 itu di mana. Akhirnya saya cuma dapat hubungi Anis beberapa kali sedari pagi, dan setelah urusan selesai.

Walau bagaimanapun, alhamdulillah, pengurusan berjalan lancar. Selesai sebelum masuk zohor. Ramai katanya yang datang. Kalau tak silap saya, Angah pun ikut sekali dengan bas dari maahad. Wakil kami di sini. Solat jenazah pun sampai 3 kali di rumah. Ramai juga yang berziarah. Alhamdulillah, allahyarham orang baik-baik. Moga dicucuri rahmat hingga ke syurga dan ditempatkan di kalangan hamba-hambaNya yang soleh.

Baharu tadi, hubungi Anis (sebenarnya rindu padanya). Alhamdulillah, katanya mama pun sudah makin baik keadaanya. Iyalah, waktu hari pertama itu, memang masing-masing dalam keadaan ‘terkejut’. Iya, papa pergi tiba-tiba saja. Baharu petang itu, mereka satu keluarga makan di luar, di Taman Gelora, pekena rojak. Keadaan baik-baik saja. Cuma, bila tiba maghrib, papa mahu ambil wuduk, namun rebah dan dengan ketenangan rohnya dijemput Tuhan. Alhamdulillah, papa orang baik-baik lagi bertuah, pergi sebagai tetamu Allah. Kita doakanlah kebaikan untuknya.

Sebelum ini, memang papa ada masuk wad sebab diabetis. Kata Anis, luka di kaki papa kena cuci tiap hari di hospital. Tapi, Alhamdulillah, keadaan baik-baik saja. Papa pun sudah keluar wad. Cuma, sejak lama dulu, memang papa ada dhidapi sakit jantung. Apapun, semua itu hanya asbab. Allah jua urusi segala.

Buat saudara saya Anis, bertabahlah sayang… Saya tahu Anis sangat kuat untuk ini semua. Iya, Allah kan Maha Adil. Dia mengambilnya tika kita semua sudah benar-benar kuat untuk menerima dugaan ini. Allah kan tidak membebani hamba-hambaNya perkara yang tidak sanggup kita pikuli? Cuma kuncinya; sabar. Dan saya cukup yakin Anis memang sabar. Anis anak yang baik. Teruskanlah baktimu buat ayahbonda, di manapun alam mereka berada. Bakti kita sentiasa berjalan untuknya. Anis, jika dirimu perlukan sedikit kekuatan, sangat sudi untuk diri ini bersamamu, adik-adikmu, ibumu dan seluruhnya meskipun hanya sekelumit cuma yang mampu daku hadirkan buatmu. Saya sayang padamu.

Moga segala yang berlaku, menjadikan kita lebih rapat dan lunak beribadah kepada-Nya. Perbanyakkan taubat dan amal ikhlas kepada-Nya. Moga kita menjadi hamba-hamba yang bertakwa, lalu beruntunglah di dunia dan akhirat.

Al-Fatihah…

 





Kecintaan Itu Bernama Puisi Rindu (I)

30 01 2009
“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat untuk Nabi. (Oleh itu) wahai orang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepada-Nya.” (al-Ahzab;56)

JUMAAT ini cepat benar mengejar usia yang makin dekat ke pangkalan. Apabila waktu yang ditetapkan itu tiba, maka kita akan beradulah di dalam perut bumi; yang bernama liang lahad.

Dunia ini bukan untuk selama-lamanya. Kita akan mati. Ya, sangat akan mati. Dan pernyataan ini sangat benar. Jesteru, percayalah bahawa kita akan kaku di pembaringan. Lalu, dalam mahu atau tidak, kita pun diselenggara. Dengan cermat sebagai ‘orang baru lepas mati’, kita pun dimandikan. Iya, mandi macam biasa. Cuma kali ini kita ‘dimandikan’.

Dengan ‘keharuman’ air mawar, kita pun dipakaikan pakaian putih bersih. Itulah saatnya tubuh kita ini dikafankan. Kita pun dunia ini lagi tidak pandai untuk pakai kain kafan sendiri. Kalau mahu disuruh pakai sendiri, waktu hidup pun tak terpakai. Jadi, bila kita mati nanti, dengan penuh cermat, akan adalah yang menolong kita pakai kain kafan tersebut. Waktu itu, kita dalam keadaan paling bersih setelah dilahirkan, dihidupkan kemudian dimatikan.

Kita diurusi bagai pengantin. Putih bersih. ‘Cantik’ sangat.

Disolatkan, diusung ke perkuburan. Mengapa? tidak gembirakah diusung? Waktu hidup dulu mana pernah kita diarak begitu. Sekali itu sajalah.

Kita pun dikebumikan. Iya, dimasukkan atau ditanam di dalam bumi. Dulu-dulu kita duduk diam-diam dalam perut emak. Tapi bila dah besar macam ni; sudah pandai baca entri macam ni, maka tentulah tidak muat hendak masuk perut emak semula. Jadi, ke perut bumilah kita ‘tidur’ pula. Duduk diam-diam ya.

Tapi, boleh diamkah? Nanti, malaikat bergandingan pun menjengah. Waktu itu kita seorang diri sahaja. Kalau ada amalan, bolehlah jadi teman. Kalau baik amalan, malaikat pun datang dalam keadaan baik-baiklah. Kalau sebaliknya…

Cerita ini panjang lagi. Lambat lagi habis. Saya pun terpaksa potong dulu yang panjang itu. Nanti episod lain, saya sambung lagi kalau ada umur.

Cuma, konklusi untuk kali ini;

Nanti, kita kan dah mati. Lepasi alam barzakh, kita pun bangkit semula di Mahsyar yang Allah telah janjikan. Malah, wajib pula kita beriman padanya. Waktu itu, kita tentu mahu tunggu syafaat Nabi kita. Jadi, macam mana nak dapat syafaat kalau tak ikut sunnah?

Dulu-dulu, waktu Baginda Nabi Muhammad berada di hujung hayatnya, Baginda sebut nama kita. “Ummati… ummati…” kenapa? Sebab Nabi sangat kasih dan cintakan kita ini, umat Baginda. (Sebab itulah kalau orang bercinta, dia suka sebut nama ‘kecintaannya’ selalu).

Habis tu, kita ini cintakan Nabi atau tidak?

Moga ‘kecintaan’ ini bersambutan.

Para muslimin muslimat sekalian, tidak rugi kita cuba amalkan selalu selawat ini, moga bertambah kecintaan kita kepada Manusia Agung itu. Percayalah, cinta itukan boleh dipupuk.

Pupuklah hatimu untuk mencintai Baginda...

Ayuh, pupuklah.

Kecintaan itu bernama puisi rindu.

Bersambung…





Dunia, bersujud sudah!

27 01 2009

DUNIA, pada ketika kamu memanggilnya, maka dia akan datang kepadamu dengan segala macam pesona sehingga kanu tidak sabar untuk memilikinya.

Namun, apabila kamu mahu melihat akhirat, dunia akan mencuri pandanganmu. Pada tika itu, bayangan dunia pasti masih hidup di balik kelopak matamu meskipun kamu mahu katup dan tidak mahu melihatnya. Lalu kamu pun mengadu kepada Pencipta Dunia, sehingga matamu jadi basah.

Apabila kamu memilih akhirat, dunia akan merayu padamu. Tika itu, boleh jadi kamu pun goyah dengan rayuan yang sememangnya kamu bisa cair. Lalu kamu menutup telingamu. Tidak mendengarnya. Enggan menyelami bisikannya. Lalu, kamu sangat rindu dengan suara azan dan al-Quran di samping tahlil yang menggegarkan jiwamu.

Apabila kamu tidak mahukan dunia, nescaya dunia akan melamarmu. Lalu kamu menjadi sedih; kenapa masih dunia mencarimu sedangkan kamu sangat mahu melepaskannya. Dunia pun mula berbisik dalam hatimu. Maka kamu semakin kuat diuji. Lalu, kamu harus sentiasa mendidik hatimu dengan zikir tulus kepada Pemilik Hati Yang Maha Agung. Bila lama-lama, kamu pula mabuk dengan cinta dari syurga. Bermakna, gagal lagilah dunia untuk kali ini.

Apabila kamu menolak dunia, nescaya dunia akan sujud kepadamu. Maka, sekuat badai di lautan api, kamu pun tundukkan nafsumu. Lalu, kamu benamkan dahi ke bumi Tuhan dengan lautan iman yang sangat rindu. Kamu harus terus mendidik hatimu untuk Tuhan. Seraya seluruh kerajaan dirimu menjadi aliran zikir yang mengalir dalam darah ke segenap saraf. Menjadi makanan setiap sisi daging dan organ. Kamu ajarkan sekalian jasad menyebut nama Allah. Akhirnya, kamu sedar bahawa kamu itu tidak wujud. Kerana yang wujud itu Allah. Abadi selama-lamanya.

Maka katakanlah pada dunia; sudah cukup Tuhan untukku. Lalu aku bersedia untuk memilih akhirat.

 





Ayuh, sertai!

22 01 2009

gerhanask1-2

ESOK, 23 Januari 2009, bertempat di tempat letak kereta masjid Sultan Ahmad Shah, Kuantan akan diadakan Hari Solidariti Palestin. Boleh kata seharianlah esok. Dari pagi sampai malam, sekali kuliah maghrib dan solat hajat.

Sesi pameran dan program sebelah siangnya dari jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengahari.

Bagi yang berkelapangan, marilah beramai-ramai sertai kami!

;-)

 

~alamak, rasa macam demam pula…~





Lensa Jati di Fotopages kini berpindah

20 01 2009

ALHAMDULILLAH. Pertama, terima kasih kepada junior saya, saudara Asyrazi atas keperihatinan beliau menyelamatkan saya dari terus menggunakan produk yang disokong ramai puak Israel itu, sejak saya membina Lensa Jati di Fotopages.

Jadi, setakat ini, http://www.photoblog.com/lensajati/ merupakan satu alternatif blog foto untuk saya terus menggempur karya fotografi di sana.

Sehubungan itu, anda pun dijemputlah berkunjung ke laman foto Lensa Jati yang baru itu.

Jadi, entri kali ini hanyalah untuk membuat pengumuman ini. Memandangkan saya sedang sibuk dengan projek penulisan buat minggu ini, maka tidak sempatlah untuk saya berceloteh panjang.

Insya Allah, esok saya akan cuba untuk berkongsi dengan anda semua satu selawat – ingatkan saya jika terlupa.

Ketemu nanti.

Wassalam.

Ayuh, teruskan doa buat saudaramu di Palestin, boikot Israel!