Berbahagialah Duhai Sekalian Jiwa

13 02 2011

BERBAHAGIALAH anda semua. Alhamdulillah, kita telah pun dilahirkan dalam keadaan yang cukup sempurna. Beragama Islam dan besar panjang dalam kenikmatan yang melimpah ruah. Subhanallah. Cukup banyak nikmat Allah kurniakan. Kenapa lagi kita tidak berasa bahagia?

Kesyukuran itu adalah sebuah kebahagiaan. Maka, berbahagialah untuk menikmati kesyukuran terikhlas kepada Yang Maha Pemberi Nikmat.

Kita tiada alasan untuk tidak bersyukur, jesteru kita adalah makhluk yang sentiasa bahagia.

Tatkala ujian datang memberati pundakmu, berbahagialah kerana Allah sedang melihat betapa kuat kita untuk bersabar. Bahkan, itu semuanya adalah kerana Wujudnya Allah, sedang kita ini asalnya tiada; menjadi ada untuk menjalani percaturan yang sementara. Berbahagia sahajalah.

Tatkala menjalani ibadah solat, puasa, zakat dan seumpamanya – berbahagialah kalian menikmati tiap detik ibadah itu. Kerana ia adalah anugerah! Berbahagia menikmatinya adalah bersyukur kepada-Nya.

Bahagialah duhai jiwa. Andaikata menitis air matamu pada berat ujian yang menimpa sekalipun – berbahagialah kerana Allah masih mengurniakan air mata untuk menjadi bukti hati kita masih lembut untuk menzikiri kewujudan-Nya. Percayalah!

Tidak Allah jadikan sesuatu itu dengan sia-sia. Berbahagialah.





Diet Pemakanan Ibu Hamil

28 01 2010

Hari ini, genaplah satu bulan usia kandungan yang kerap buat ibu tidak sedap badan. Meskipun masih sangat awal, namun ibu sudah mula semakin penat lantas perlu meningkatkan kesabaran dan kekuatan. Terima kasih kepada suami tercinta atas sokongan dan semangat, atas segala-galanya. Terima kasih, abang.

Jesteru, dalam masa yang sama, ibu perlulah mengikuti diet pemakanan yang betul. Artikel di bawah adalah ditulis oleh Miey Ahmad. Moga bermanfaat buat ibu-ibu yang diharapkan sihat sejahtera selalu.

Pentingnya pemakanan sepanjang kehamilan.

Diet sihat yang seimbang adalah penting untuk tubuh anda dan bayi berada dalam keadaan sihat walafiat. Ini kerana semua makanan yang anda makan akan menjadi makanannya juga.

Antara zat yang penting dalam pemakanan ibu hamil ialah:

  1. Protein – meningkatkan tahap kepekaan. Terbentuk dari asid amino. Tirosin boleh meningkatkan penghasilan dopamine, norepinephrine and epinephrine. Pengambilan makanan berprotein boleh meningkatkan tenaga mental. Makanan yang mengandungi protein termasuklah ikan, ayam, daging dan telur. Kekacang (seperti yangterdapat dalam Diafood), susu, keju dan tofu.
  2. Karbohidrat – Anti stres dan memberi ketenangan. Karbohidrat merangsang pelepasan insulin ke dalam aliran darah. Ia akan mengeluarkan asid amino dari dalam darah kecuali trptophan yang akan diserap ke dalam serotonin. Kerana itulah ramai yang berdiet akan mengalami depresi lebih kurang dua minggu kerana tahap pengambilan karbohidrat yang terlalu rendah. Makanan yang mengandungi karbohidrat termasuklah roti, gandum, nasi, emping dan buah-buahan. Untuk kesan yang lebih baik, makan protein dan karbohidrat secara berasingan.
  3. Asid Folik – mencegah dipresi. Kekurangan asid folik boleh mengakibatkan paras serotonin di dalam otak menurun. 200 mikrogram mencukupi untuk mengatasi dipresi dan jumlah ini boleh didapati dari sayur bayam atau meminum segelas jus oren. Ia juga merupakan salah satu unsur vitamin B untuk membantu mengelakkan kecacatan saraf tunjang (NTD), seperti spina bifida pada bayi yang belum lahir.
  4. Selenium – mencegah dari cepat marah. Kemurungan, keradangan, degil dan susah hati berlaku kerana kekurangan selenium. Selenium boleh diperolehi dari kekacang (Diafood), sandwich tuna dan biji bunga matahari.
  5. Flavonoids – Tindakan antioksida dari flavonoids melindungi dari berlakunya hilang ingatan disebabkan oleh faktor ketuaan dengan cara menghalang kerosakan akibat radikal bebas dan meningkatkan aliran darah. Koko di dalam susu Intel-Lac mengandungi flavonoids yang diperlukan untuk kesihatan minda.
  6. Zat Besi – amat penting bagi membantu sel-sel darah merah dalam badan manusia dan mencegah anemia. Kekurangan zat besi dikaitkan dengan masalah ingatan jangka pendek. Sekiranya kekurangan zat besi berlaku di kalangan kanak-kanak ia boleh merencatkan keupayaan pembelajaran mereka. Penyelidik mendapati zat besi membantu meningkatkan aktiviti neurotransmiter di dalam otak. Ia boleh didapati dari daging merah, hati, limpa, ikan bilis, tauhu dan tempe.
  7. Vitamin E – Tahap vitamin E yang rendah di dalam darah dikaitkan dengan kelemahan sewaktu ujian mengingat. Vitamin E boleh mengurangkan kerosakan tisu disebabkan oleh radikal bebas. Diafood mengandungi vitaminE.
  8. Kalsium – kalsium boleh didapati daripada sumber susu, hasil tenusu, majerin, dan keju. Kalsium tambahan perlu diambil oleh ibu yang mengalami masalah kekurangan zat besi untuk membantu perkembangan gigi dan tulang bayi. Selain itu, kalsium dapat mengurangkan gejala kebas-kebas atau kekejangan pada ibu sewaktu tempoh kehamilan terutama pada trimester ketiga. Malah berdasarkan kajian terhadap pesakit darah tinggi mendapati kalsium berperanan mengurangkan kecenderungan seseorang ibu daripada mendapat penyakit darah tinggi ketika hamil.
  9. DHA – DHA penting terhadap perkembangan minda bayi. Ia juga berfungi untuk memantapkan lagi pertumbuhan penglihatan dan otak bayi sejak dalam kandungan lagi.

Doakan ibu dan baby sihat selalu, moga diberkati, dirahmati dan dimudahkan segala urusan.





Antara Yang Bernama Air dan Api

26 03 2009

Waktu itu, dinihari yang mempunyai titisan hujan yang damai. Mengetuk gegendang telinga dengan baik-baik saja, dari jendela kamar.  Barangkali sepasang mata ini sedang katup meraikan pembaringan seperti sekujur mayat berkafan, namun bagai ada suara dari rasa terdalam di perdu hati membisikkan; “antara yang bernama air dan api…” lalu layar mata dipintas gambaran azali. Katup mata jadi rapat, memerah genang yang sukar.

Saya tidak pasti apakah yang sedang saya fikirkan tika dinihari itu, cuma bagai terlintas frasa jiwa; “kejahatan dan kedosaan itu bagai api yang memakan kayu-kayu kering” lalu datang pula frasa bening dari butiran tasbih; “dan air di kali itu bagai mencanai jasad batu yang keras menjadi lunak”. Katup mata jadi rapat, masih memerah genang yang laju.

Barangkali itu pengajaran dari sanubari yang ingin dibicarakan buat pagi ini.

Yang bernama api; fitrahnya membakar dan menyala. Memiliki keturunan dari neraka, membawa hangat dan perit, bias kepada azab abadi bila janji Tuhan tiba. Pasti.

Api yang membakar daunan, ranting kering; ah, sangat mudah. Sekali sambar sudah jadi makanan api yang mengenyangkan neraka. Begitulah laksana pahala dan amal kebajikan yang rangup-rangup diratah api dosa. Tanpa sengaja dan tanpa sedar. Kenapa amal kebajikan itu rangup dan kering? Tidak ikhlas, riak, ungkit, hilang suntikan iman lalu keringlah sebuah pengabdian pada Tuhan. Bagai daun yang tidak hijau, malah layu dan mati. Kerana itulah mudah sahaja dimakan api. Di mana imanmu yang basah kepada Tuhan? Kering iman. Berbakaranlah dalam kedosaan.

Air yang bening itu, namanya bibit cinta dari Pencinta. Kamu tahu bukan, batu itu fitrahnya keras dan degil. Sedang air itu sejenis lena yang sangat damai dan sabar, tidak lemah tapi lembut. Begitulah halnya kebajikan dan amal ibadat yang kamu lakukan. Untuk melentur keras batu yang menjadi jantung dalam sanubari, bukanlah dengan sekelip mata. Perlu berkali-kali dan selalu, lalu panjanglah jalan mujahadah. Kerana itulah air itu juga namanya sabar. Berikhlaslah.

Namun, apa kamu tidak percaya, bahawa “kun fa yakun” itu hak Tuhan? Banyak perkara perlukan sebab untuk terjadi, dan perlukan sunnatullah untuk mendampingi alam. Namun, apabila yang berlaku itu tanpa sebab, yakinlah pada imanmu bahawa itulah namanya Jalal dan Jamalullah. Maka wajiblah kamu benar-benar sedar bahawa tiadalah kuasa yang sangat hakiki melainkan Kekuasaan Allah Yang Maha Esa. Allah Maha Agung, lalu bersedarlah kita ini hamba.

Lalu biarkan genang dingin memahat keras batu di sanubari itu…





Kecintaan Itu Bernama Puisi Rindu (II)

13 02 2009

TERASA terlalu lama saya tidak menjenguk laman Melati Jiwa. Sebelum ini, meskipun tidak menulis di sini, singgah juga meninjau-ninjau. Minggu lalu (hingga hari ini juga) sangat sibuk. Ini pun baharu saja kembali ke Pahang. Urusi beberapa perkara di ibu negara, lalu berkejar kembali ke Pekan pula. Perkara begini sangat mencuri tenaga saya. Jujurnya, saya berat sedikit untuk menerima perkara yang perlu dilakukan mengejut. Namun, kerapnya begitulah. (Padahal, bila tiba saat kematian pun, akan mengejut juga). Apapun, alhamdulillah, Allah urusi dan bantu terlalu banyak perkara; moga kita terus berusaha untuk mensyukuri-Nya.

Pertama, mohon maaf kepada pengunjung Melati Jiwa yang sebilangannya kerap benar bertanya, bilakah mahu ‘update’ dan sambungi tulisan lalu. Insya Allah, dengan keberkatan Jumaat ini, kita cuba kongsikan sesuatu.

Awal pagi ini, ada panggilan yang diterima; berita kematian. Sebetulnya, hampir sepanjang minggu ini, ada sahaja khabaran kematian yang sampai kepada kami. Baharu kelmarin, ustaz Adham kembali ke rahmatullah. Ukhti hubungi saya tika itu di Sri Kembangan, katanya ustaz baharu meninggal jam 8 malam itu. Ada haru dan tangis yang menyusuli. Allah, terimbas segala kenangan, lalu besarlah rasanya sebuah kehilangan.

Semalam pula, anak kepada saudara kami yang berada di Kampung Marhum, Pekan dijemput Ilahi. Usianya pun muda  lagi. Belum sempat menghirup nafas baharu, pagi ini ada lagi khabaran kematian. Seorang sahabat abah yang meninggal kerana menghidapi kanser. Namun itu semua penyebab, hakikatnya Tuhan juga penentunya.  Oleh itu, kepada diri; bersedarlah kamu bahawa kematianmu juga sedang sangat hampir. Maka awasilah, setiap detik yang kamu usahakan untuk duniamu, pastikan akhirat menjadi dasarnya supaya kamu tidak menyesal bila dijemput kembali menghadap Ilahi sedikit masa nanti. Sedikit saja masa nanti. ‘Bersabarlah’ menantinya. (Apa benar kamu menantinya?).

Perkara yang sangat biasa kita dengari, dan sangat tahu tentangnya; seruan berzikir dan berselawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W. Sedarkanlah diri kita semua bahawa berzikir dan mengingati Allah siang dan malam itu adalah suatu kewajipan. Jika di dalam kehidupan seharian, kita dituntut supaya sentiasa mengingati Allah, di dalam solat apatah lagi.

Permasalahan yang membelenggu kita adalah; di dalam solatpun, kita masih lalai dari mengingati Allah. Habis, saat bilakah lagi mahu kita ingat pada Kuasa Agung yang meminjamkan segala kurniaan kepada kita?

Analoginya, secara mudah digambarkan seperti ini; katakan anda sedang bercakap dengan seseorang. Anda memanggilnya, tapi dalam masa yang sama anda tidak pandang kepadanya. Malah, anda memalingkan pandangan ke arah lain, bahkan mungkin langsung membelakanginya. Sedang lidah anda terus memanggil namanya. Selain itu, ada juga meminta-minta pelbagai kehendak padanya, tapi anda tidak mahu pun untuk mengenalinya. Bila bercakap dengannya, anda acuh tidak acuh saja. Bahkan  selalu saja melakukan kebenciannya.

Begitu jugalah dalam solat. Kita bermula dengan “Allahu Akbar”, namun adakah benar kita sedarkan hati, jiwa dan akal kita terhadap “Allah Maha Besar” itu? atau kita mula menjelajahi alam, memikirkan “apakah yang hendak anda buat lepas ini? Alamak, kunci hilang, di mana ya? Oh, baharu ingat, ada letak dalam kocek baju dalam almari belakang pintu… (dan sebagainya)”. Sedar-sedar, andapun sudah selesai memberi salam kedua. Maka, dengan cepat-cepat anda pun mahu segera meluru mendapatkan kunci yang hilang itu “nasib baik aku ingat di mana letaknya” lalu anda sebenarnya lupa akan kehilangan yang lebih besar; kehilangan kewajipan akhirat; solat.

Dengan begitu mudah, kita mempiciskan hal ehwal solat untuk dunia yang sangat sedikit. Kerugian yang lebih besar, kita tidak menjaga adab dengan Tuhan. Itulah namanya biadab. Kita hanya menyebut nama-Nya, tetapi menjahilkan diri untuk mengenali-Nya sedang Dia sangat mengenali kita langsung mengurniakan segala macam anugerah kepada kita. Lalu, di manakah kebertanggungjawaban kita pada-Nya yang telah menghidupkan kita?

Ingatlah, kita ini hamba. Ya, hanya hamba. Oleh itu, janganlah belajar untuk menjadi biadab dengan Tuan. Ikhlaslah menjalani beribadatan pada-Nya. Kamu hanya hamba. Dan tuanmu itu Tuhan Yang Maha Agung; Allah SWT.

Ringkasnya, bagaimana mahu beradab dengan Tuhan?

“Selalulah muroqobah (ingat-ingatkan sentiasa) akan Kewujudan-Nya, Keagungan-Nya, dan Kesempurnaan-Nya dalam setiap apa yang kita lakukan sebagai hamba. Sesungguhnya hamba tidak akan terlepas dari pengawasan Tuhannya. Jika kamu sedang bersolat, belajarlah untuk mendidik hati dan akalmu untuk mengingati akan “Kewujudan, Keagungan dan Kesempurnaan-Nya” itu.

Bersambung…

 





Kecintaan Itu Bernama Puisi Rindu (I)

30 01 2009
“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat untuk Nabi. (Oleh itu) wahai orang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepada-Nya.” (al-Ahzab;56)

JUMAAT ini cepat benar mengejar usia yang makin dekat ke pangkalan. Apabila waktu yang ditetapkan itu tiba, maka kita akan beradulah di dalam perut bumi; yang bernama liang lahad.

Dunia ini bukan untuk selama-lamanya. Kita akan mati. Ya, sangat akan mati. Dan pernyataan ini sangat benar. Jesteru, percayalah bahawa kita akan kaku di pembaringan. Lalu, dalam mahu atau tidak, kita pun diselenggara. Dengan cermat sebagai ‘orang baru lepas mati’, kita pun dimandikan. Iya, mandi macam biasa. Cuma kali ini kita ‘dimandikan’.

Dengan ‘keharuman’ air mawar, kita pun dipakaikan pakaian putih bersih. Itulah saatnya tubuh kita ini dikafankan. Kita pun dunia ini lagi tidak pandai untuk pakai kain kafan sendiri. Kalau mahu disuruh pakai sendiri, waktu hidup pun tak terpakai. Jadi, bila kita mati nanti, dengan penuh cermat, akan adalah yang menolong kita pakai kain kafan tersebut. Waktu itu, kita dalam keadaan paling bersih setelah dilahirkan, dihidupkan kemudian dimatikan.

Kita diurusi bagai pengantin. Putih bersih. ‘Cantik’ sangat.

Disolatkan, diusung ke perkuburan. Mengapa? tidak gembirakah diusung? Waktu hidup dulu mana pernah kita diarak begitu. Sekali itu sajalah.

Kita pun dikebumikan. Iya, dimasukkan atau ditanam di dalam bumi. Dulu-dulu kita duduk diam-diam dalam perut emak. Tapi bila dah besar macam ni; sudah pandai baca entri macam ni, maka tentulah tidak muat hendak masuk perut emak semula. Jadi, ke perut bumilah kita ‘tidur’ pula. Duduk diam-diam ya.

Tapi, boleh diamkah? Nanti, malaikat bergandingan pun menjengah. Waktu itu kita seorang diri sahaja. Kalau ada amalan, bolehlah jadi teman. Kalau baik amalan, malaikat pun datang dalam keadaan baik-baiklah. Kalau sebaliknya…

Cerita ini panjang lagi. Lambat lagi habis. Saya pun terpaksa potong dulu yang panjang itu. Nanti episod lain, saya sambung lagi kalau ada umur.

Cuma, konklusi untuk kali ini;

Nanti, kita kan dah mati. Lepasi alam barzakh, kita pun bangkit semula di Mahsyar yang Allah telah janjikan. Malah, wajib pula kita beriman padanya. Waktu itu, kita tentu mahu tunggu syafaat Nabi kita. Jadi, macam mana nak dapat syafaat kalau tak ikut sunnah?

Dulu-dulu, waktu Baginda Nabi Muhammad berada di hujung hayatnya, Baginda sebut nama kita. “Ummati… ummati…” kenapa? Sebab Nabi sangat kasih dan cintakan kita ini, umat Baginda. (Sebab itulah kalau orang bercinta, dia suka sebut nama ‘kecintaannya’ selalu).

Habis tu, kita ini cintakan Nabi atau tidak?

Moga ‘kecintaan’ ini bersambutan.

Para muslimin muslimat sekalian, tidak rugi kita cuba amalkan selalu selawat ini, moga bertambah kecintaan kita kepada Manusia Agung itu. Percayalah, cinta itukan boleh dipupuk.

Pupuklah hatimu untuk mencintai Baginda...

Ayuh, pupuklah.

Kecintaan itu bernama puisi rindu.

Bersambung…





Hijab Sang Pencinta

21 11 2008

hadiah-hijab

25 OGOS lalu, saya mula berumur 21 tahun. Waktu itu saya di Pulau Pinang, sedang demam teruk. Saya pulang ke Pahang, demam sangat panas dan hampir tidak sedarkan diri. Mengalami halusinasi yang membuatkan saya jadi tidak boleh duduk sendiri. Terasa sangat terganggu. Bila keadaan jadi tidak boleh dikawal sendiri, saya panggil adik bongsu saya, pengang tangannya erat. Alhamdulilah semua sudah kembali baik. (imbas memori sebentar).

Entri ini termasuk antara tulisan yang melewati harinya. Sangat banyak ‘bank-tulisan-lewat’ ini. Barangkali sangat sibuk, dan tidak punya cukup waktu bicara dengan Melati Jiwa.

Ini pun, sambil-sambil memasak tengahari – sempat lagi mengomel di sini 😀

Semalam, hampir seharian saya menghadap hadiah hari lahir yang Angah berikan. Sebelum ini, saya cuma membeleknya sekejap-sekejap. Baharu semalam saya buka sampul plastiknya, mula membaca dan menghabiskannya. Kalau saya tidak pulang lagi semua buku perpustakaan, tentu saya juga belum baca novel Ramlee Awang Murshid itu. Mujur sahaja sempat ke perpustakaan kelmarin. Lega sedikit.

Hijab Sang Pencinta – sangat lunak dengan jiwa perjuangan menentang kemungkaran yang diadun dalam epik segar dan tersendiri. Kebatilan tetap akan tumpas dengan kebenaran, meskipun keadaannya seolah-olah kemenangan berpihak kepada kebatilan. Janji Tuhan sangat benar. Wajib kita berbaik sangka dengan Allah. Menerima ketentuan dan ujian dengan reda serta sabar. Yakin dengan Allah, kita tidak akan rugi.

Sebuah penceritaan orang sufi yang bertakwa dan sangat kuat tawakalnya kepada Allah. Sebuah lagi pengajaran tentang apa itu ‘ikhlas’.

Untuk tahu lebih lanjut, bacalah karya Ramlee Awang Murshid ini; episod terakhir Bagaikan Puteri ; Hijab Sang Pencinta.

(kekadang baca karya ini, terasa seperti pengembaraan Artakus oleh Ahmad Patria Abdullah, cuma barangkali Saga Artakusiad itu lebih lunak dan puitis, dalam keampuhan suara peperangan yang keras).





Nota bunuh diri : Bahasa

14 11 2008

CB029650

HARI ini Jumaat. Sedikit sebanyak, saya rasa bahagia setelah selesai meletakkan noktah akhir pada proposal master yang sangat lewat disiapkan. Terlalu banyak urusan yang perlu dilunasi. (Semalam, saya baharu saja menduduki ujian statik memandu. Aha, sempat juga setakat markah 90%. Bulan hadapan mahu masuk kerja, mulalah kalut mengambil lesen kereta.)

Pagi tadi, sempat saya ke sekolah lama (SMA Tengku Ampuan Fatimah, Pekan). Lama sudah tidak menjejak ke sana. Rasa gembira dapat bertemu para ustazah yang pernah mengajar saya dahulu. Dulu-dulu, selalu saja saya kena berdiri dalam kelas waktu kelas bahasa arab gara-gara tidak dapat jawab soalan ustazah Anum. Waktu yang paling kami suka dalam setahun adalah bila ustazah Anum sakit tekak, dan tiada suara untuk mengajar kami. Jadi, kami diam-diam buat kerja sekolah sajalah. Tidak perlu dengar leter ustazah. Namun, lima enam tahun tak dengar suara ustazah, rindu pula rasanya. Bila jumpa ustazah tadi, nampak seperti awet muda pula. Berseri selalu sifu bahasa arab saya yang seorang ini.

Sains dalam bahasa inggeris. Itu antara masalah yang dihadapi para pelajar di sekolah ini. Saya pergi mengambil laporan prestasi akademik adik bongsu saya yang sedang berada di tingkatan 1. Markah sains untuk keseluruhan tingkatan, paling tinggi pun 65%. Saya tidak melihat kesilapan ini hanya terletak pada pelajar, namun pihak pengajar juga harus lebih teliti dengan keputusan yang menyedihkan ini. Masalah kekurangan guru di sekolah menengah agama bukan isu baharu. Tetapi permasalahan belajar sains dan matematik dalam bahasa inggeris itu bukan isu lama yang tidak begitu wajar untuk terus dipertahankan.

Sekembali dari sekolah, saya buka emel, dan membaca coretan penulis muda tanah air ini di mel ADABUNA, langsung saya rasa mahu kongsikan di sini. Para pembaca juga dijemput bertandang ke blog beliau di http://kawat.blogspot.com

(di bawah ini adalah tulisan beliau, saudara Nazmi Yaakub)

“Nota bunuh diri

Saya terjumpa nota bunuh diri. Seorang Bahasa terkulai di kerusi dengan sebilah pisau di dadanya. Pisau itu ada tanda ‘Made in English’. Bersama-sama nota bunuh diri itu, ada slip keputusan peperiksaan. Ada cop mohor kementerian. Dalam tulisan rumi, dalam bahasa Inggeris. Ada timbunan akhbar hari ini.

Ini nota bunuh diri itu:-

Pejuang, sarjana, ahli akademik, birokrat dan semua yang ada kaitan dengan perjuangan bahasa Melayu boleh bungkus barang masing-masing dan balik kampung. Keputusan UPSR tak jejaskan pengajaran dan pembelajaran walaupun ajar dalam bahasa Inggeris.

Pengarang dan penulis berhentilah menulis novel dan cerpen dalam bahasa Melayu. Budak-budak lebih suka baca buku teks Sains dan Matematik yang dalam bahasa Inggeris.

Budak-budak suka belajar bahasa Inggeris. Baik budak bandar atau budak kampung, mereka semua bercakap, belajar dan mengiggau dalam bahasa Inggeris. Tak percaya, masuklah ceruk pedalaman dari Dabong di Kelantan hingga rumah panjang di Sabah dan Sarawak: semua budak-budak bercakap dalam bahasa Inggeris.

Pilihan raya nanti tak payah sokong mana-mana. Baik parti pemerintah atau parti pembangkang. Parti pemerintah dah tak boleh harap dan parti pembangkang pun lebih minat papan tanda dalam banyak bahasa. Atau lebih minat pinda tarikh peralihan kuasa. Atau mungkin isu bahasa ini bukan isu penting dalam agama. Dan tak lama lagi mereka pun akan cakap dalam bahasa Inggeris.

Dan percayalah, tak lama lagi negara kita akan setaraf dengan Amerika Syarikat (AS)! Ya setaraf dengan AS yang berada di ambang kemelesetan!”





Dapatkan buku kami!

27 07 2008

1) MENGGELEDAH NURANI

Judul: Menggeledah Nurani
Genre: Kumpulan puisi
Penulis: Fahd Razy
Halaman: 120 (tidak termasuk kata pengantar dan kulit)
Penerbit: GKLN Publishing House
ISBN: 978-983-44127-0-8
Tahun: 2008
Harga: RM15

MENGGELEDAH NURANI merupakan kumpulan puisi persendirian pertama Fahd Razy yang menghimpunkan sejumlah 80 buah puisi yang ditulis antara 2001-2008. Naskhah ini dibahagikan kepada 2 bahagian iaitu Menggeledah Nurani dan Angin Sejarah. Menggeledah Nurani merakamkan puisi-puisi bernuansa Islam yang bersifat peribadi dan tercetus dari rasa kehambaan dan kekaguman kepada Pencipta manakala Angin Sejarah lebih sejagat sifatnya, merangkumi sejarah, ketamadunan, sosio-politik, serta isu-isu semasa. Naskhah ini turut menghimpunkan puisi-puisi yang telah memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2005, 2006, dan 2007, Hadiah Puisi Sains Karyanet 2004 dan 2005, Anugerah Penyair Alam Siber 2006, dan Sayembara Puisi Al-Fikrah MAIDAM-DBPWT 2007.-GPH-

2) BAHASA BUMI

Judul: Bahasa Bumi
Genre: Antologi puisi

Penyelenggara: Ainaa Mardhiah Suhaimi, Syazlin Sazali, Maisarah Shukri
Halaman: 190
Penerbit: GKLN Publishing House
ISBN: 978-983-44127-2-2
Tahun: 2008
Harga: RM15

BAHASA BUMI merupakan naskhah pertama Grup Karyawan Luar Negara yang menghimpunkan sejumlah 50 orang penulis luar negara termasuk Zaid Akhtar, Muhaimin Sulam, Fahd Razy, Hafez Iftiqar, Adibah Abdullah, Siddiq Osman, Ainaa Mardhiah Suhaimi, Syafiq Zulakifli, Alirfan Jindullah, Khairil Idham Ismail, Lailati Mahat dan ramai lagi. Para penulis ini kesemuanya sedang menuntut di pelbagai institut pengajian di seluruh dunia termasuk Sudan, Maghribi, Mesir, Jordan, Rusia, Jepun, India, Indonesia, Australia, Jerman, Republik Czech, United Kingdom, Ireland, dan Amerika Syarikat. Keseluruhan karya mempamerkan kepelbagaian tema dan teknik, merangkumi sejarah, politik, falsafh, tarbiyah dan dakwah, isu-isu semasa dan global, selain kemanusiaan dan kemasyarakatan. Usaha mengumpul 50 penulis luar negara ini akan dijadikan aktiviti tahunan penerbitan GKLN sebagai usaha menyemarakkan lagi kegiatan penulisan dari khalayak ini. Turut termuat 5 buah puisi yang telah memenangi Sayembara Puisi Islami Maghribi 2008 (SEMPURI) yang berlangsung pada awal tahun 2008.-GPH-

3. MENGEMIS DI KOTA LARANGAN

Judul: Mengemis di Kota Larangan
Genre: Antologi cerpen
Penyelenggara: Adibah Abdullah, Rebecca Ilham, Hafez Iftiqar
Halaman: 180
Penerbit: GKLN Publishing House
ISBN: 978-983-44127-1-5
Tahun: 2008
Harga: RM15

MENGEMIS DI KOTA LARANGAN merupakan antologi susulan kepada Sayembara Cerpen Grup Karyawan Luar Negara 2008 yang berlangsung pada awal tahun ini. Menghimpunkan 15 buah cerpen, karya-karya yang termuat dipilih dari sekian banyak penyertaan yang diterima untuk sayembara tersebut, termasuklah 5 buah cerpen terbaik yang dipilih untuk menerima hadiah. Keseluruhan cerpen mengangkat suasana luar negara sesuai dengan pengalaman dan latar belakang penulisnya selain menyentuh pelbagai isu termasuklah sosiopolitik, perbezaan ideologi, sejarah tamadun, keamanan dan kemanusian, selain daripada kekeluargaan dan kasih sayang.-GPH-

Senarai cerpen: 1) Mengemis di Kota Larangan 2) Wahidah dan Secebis Tabah Khalilullah 3)Jihat ideologi Duka Andalus Lama 4) Usrah Terakhir di Penarek 5) Warkah Buat Rabiah 6) Inkarnasi Samuel di Nazareth 7) Wira 8 ) Mencerakinkan Kelabu 9) Impian Galsan Tschinag 10) Idealis 11) Kerna Cinta Zulaikha 12) Sayang Tak Terungkap 13) Manik-manik Berdebu 14) Sempadan Khaliq 15) Hadiah Dari Langit
Senarai penulis: Rebecca Ilham, Muhaimin Sulam, Hafez Iftiqar, Adibah Abdullah, Siddiq Osman, Lailati Mahat, Ainaa Mardhiah Suhaimi, Muhd Syukri Rosli, Emil Azhar, Rifhan Rasuli, Saiful Haq, Badriyah Ali, Noor Ayuni CZ

4) PAKEJ 2008

Dapatkan 1 set (3 judul buku) dengan harga RM42 termasuk pos.
– Menggeledah Nurani
– Mengemis di Kota Larangan
– Bahasa Bumi

Untuk sebarang tempahan, sila emelkan nama serta alamat berserta butiran tempahan (judul dan naskhah) kepada fahd_razy@yahoo.co.uk atau hubungi Fahd Razy di 0122968901 (nombor ini sah sehingga 7 September sahaja)
PERHATIAN: Kos pos RM1 bagi setiap naskhah buku.

iklan dari sesawang kami; http://gklnpublishinghouse.blogspot.com/





Diserang Virus!!!

22 04 2008

DISERANG. Gara-gara mahu memuat turun aplikasi Kamus Dewan dari internet, Pena Peribadi saya : Si Dell ini diserang virus pula. Nyaris-nyaris saja hilang fail-fail tesis dalamnya. Cuak. Itulah akibatnya bila tidak berhati-hati mengurusi tetamu yang bertandang. Disangka teman, rupa-rupanya musuh bertanduk. Saya pun tidak pasti bagaimana boleh diserang. Saya rasa sudah betul apa yang saya klik. Silap tekan pula. ~ ujian ~

Begitulah kita, saban hari, detik waktu yang berlalu kita sentiasa diperhatikan dan terdedah dengan bahaya serangan dalam senyap atau ‘bising’. Canggung langkah sedikit, gelincir. Bila-bila sahaja boleh diserang seribu satu macam virus yang handal-handal. Anti-virusnya?

Iman kita ini, bukan murah-murah : namun bagai senang-senang sahaja dicerobohi virus beraneka. Malanglah kalau kita tidak sedar bahawa kita ni sebenarnya dijangkiti virus yang mampu membawa ‘maut’!  ~ kalau rasa fail tesis itu berharga, fail iman? ~

Virus yang menyerang iman, hadirnya bolehjadi dianggap biasa. Dirasakan teman, hakikatnya lawan. Mula-mula dia datang, dia menyapa, salamnya bersambut : macam baik saja. Terus-terus selalu sahaja mahu ke hulu hilir bersama. Tidak sedar, makin bersama, makin tipis iman di dada. Suatu hari, Tuhan jentik pintu hati. Ada tazkirah yang lagaknya seperti rotan dan cemeti. Pedih rasa ‘ter’sebat. Bila pakai cermin mata, telek ‘member’ dekat-dekat : ah, penangan syaitan rupanya! ~ pekena anti virus cepat-cepat ~

Dalam banyak hal yang kita henyak dalam hidup ini, kita tidak sedar dengan tipu daya musuh iman itu. Duduk, berdiri, berjalan dan sebagainya perhitungan iman tetap ada. Banyak hal, kita selesa dengan pilihan, pekerjaan, rutin yang kita buat. Namun, adakah segala perbuatan kita itu disaring dengan ‘anti-virus’ yang boleh dipercayai? Ada banyak juga anti-virus yang sebenarnya me’marhaban’kan lagi tentera-tenteranya bersarang, menyerang secara senyap dalam pekung iman kita. Berhati-hatilah. ~ Ya Allah, peliharalah iman kami selama-lamanya ~

Anti-virus yang dipercayai harus punya lesen yang sah di sisi undang-undang al-Quran dan as-Sunnah. Harus bebas dari perkara-perkara yang kabur, bimbang kalau-kalau tanpa sedar iman kita terjebak dalam arus kelabu yang akhirnya menghitamkan hati. Anti-virus juga perlu di‘update’ setiap masa. Supaya iman kita sentiasa segar dan bertenaga dengan ingatan yang kuat kepada Allah. Jangan sesekali mencuba-cuba terima sesuatu perbuatan, perkara atau apa sahaja tanpa saringan syariat Islam. 

Kekadang, sesuatu perkara itu bukanlah asing bagi kita. Sudah cukup kenal, namun perkenalan kita dengannya tidak diteliti dari segi hukum hakam dan undang-undang syariat yang betul. Tidak hairanlah bila suatu masa, saya ditanya : “salahkah saya (lelaki) berbual dengan kawan saya (perempuan) tu? Bincang pelajaran saja. Kalau jumpa, bukan buat apapun. Tanya khabar saja.” Semacam malas sahaja saya untuk menjawab ‘soalan’ seperti itu. Cukup untuk kita sama-sama ingat ; Ulama zuhud, seperti Maimu’ bin Mahran, mengatakan, “Tiga hal yang jangan sampai dirimu melakukannya, antara lain, … jangan engkau mendatangi wanita meskipun engkau beralasan: “Aku ingin mengajarkannya kitabullah.” (Siyar A’lal Nubala, 5/17) 

Selalulah ingat, bahawa syaitan itu virus terbesar iman kita. Namun, teringat pula prof saya yang mengajari Usuluddin semester musim bunga-musim panas ini, katanya; (lebih kurang begini) manusia itu apabila dia melakukan kejahatan/kemaksiatan, dia didorong oleh syaitan. Namun, jika dia sudah beristi’azah (lalu dia membaca a’uzubillallahi min asy-syaitonirrojim) tetapi kejahatan itu masih terdorong; maka dia bukan lagi didorong oleh syaitan, bahkan nafsu. Siapa lebih jahat? Syaitan atau nafsu? Bila nafsu sudah buat kerajaan sendiri (menang pilihanraya dalam diri), syaitan sudah boleh goyang kaki. Tak perlu bersusah payah menggoda insan, sebab nafsu insan itu sendiri sudah macam dia.

Kalau kita kira dari segi kebahayaan virus ini; virus nafsu yang jahat itu asalnya dari dalam diri insan. Kemudi hati dan imannyalah yang harus waspada terhadap selumbar dalam daging itu. Berhati-hati dengan setiap bisikannya. ~ Awas, virus! ~

Dalam 99 kebaikan, syaitan itu masih mahu menyelitkan walau satu kejahatan. Yang mana tidak mustahil dengan satu kejahatan itu, habis punah 99 kebaikan yang telah dibina.

Wallahu a’lam.

~masa untuk berbicara dengan Melati Jiwa sudah habis, saya harus berhenti sekarang dan berkalih kepada ‘bicara’ munazoroh al-adyan pula. Peperiksaannya insya Allah petang nanti. Doakan kecemerlangan bersama~

… semalam, malamnya berbulan yang sangat terang; ah! Perlu kuat! Sabar itu indah …





Ibn Tufail

5 12 2007

2043305762_d19b3a5761.jpg

Ibn Tufail
Ahli falsafah yang mendahului zaman.
oleh hosmu pada 20/10/2005, 9:41 am

Dunia Islam telah melahirkan ramai ahli falsafah yang hebat. Namun begitu, falsafah Islam tetap dianggap sebagai satu kelompok yang hilang dalam sejarah pemikiran manusia. Maka tidak hairanlah, sejarah lebih mengenali tokoh-tokoh falsafah Yunani dan barat jika dibandingkan dengan ahli falsafah Islam.

Walaupun beberapa tokoh falsafah Islam seperti al-Kindi, al-Farabi, dan Ibn Sina mendapat pengiktirafan dari Barat, tetapi mereka tidak mendapat tempat yang sewajarnya jika dibandingkan dengan ahli falsafah Yunani seperti Plato dan Aristotle. Kajian-kajian mengenai tokoh berkenaan masih belum memadai dan jauh daripada memuaskan.

Walaupun para sarjana, ilmuwan, dan ahli falsafah Islam telah menghasilkan sejumlah karya-karya yang besar tetapi kebanyakan tulisan mereka belum diterjemahkan.

Tidak kurang juga yang musnah disebabkan oleh peperangan dan penaklukan yang dilakukan oleh kuasa asing. Malahan kajian yang dibuat terhadap pemikiran falsafah beberapa tokoh terkenal seperti Ibnu Rusyd tidak diberikan penilaian yang adil. Kajian dan terjemahan yang dibuat oleh S.Van den Berg terhadap kitab “Lima Baida al-Thaan”, tulisan Ibnu Rusyd mengenai metafizik misalnya tidak mendapat sorotan yang meluas wahal kajian tersebut dapat membantu kita memahami dan mendekati pemikiran ahli falsafah itu dengan lebih mendalam lagi.

Begitu juga dengan pemikiran falsafah Ibn Tufail tidak banyak diketahui oleh umat Islam sendiri. Ibn Tufail yang lahir pada tahun 1106 Masihi di Asya, Granada lebih dikenali sebagai ahli hukum, perubatan, dan ahli politik yang handal. Semasa pemerintahan al-Mu’min ibn Ali, Ibn Tufail atau nama asalnya, Abu Bakr Muhammad ibn Abdul Malik ibn Muhammad ibn Muhammad ibn Tufail al-Qisi pernah dilantik sebagai pembantu gabenor Wilayah Sabtah dan Tonjah di Maghribi.

Beliau juga pernah menjadi doktor peribadi kepada pemerintah al-Muwahidin, Abu Ya’kub Yusuf. Selepas bersara, tempatnya digantikan oleh anak muridnya iaitu Ibnu Rusyd. Semasa hayatnya, Ibn Tufail pernah dilantik sebagai menteri dan merupakan ahli politik yang dihormati oleh pihak pemerintah.

Selain itu, beliau juga melibatkan dirinya dalam bidang pendidikan, pengadilan, dan penulisan. Walaupun Ibn Tufail dikatakan telah menulis banyak buku tetapi hanya sebuah sahaja kitab yang diwariskan kepada generasi umat Islam hari ini. Kitab itu ialah “Hay ibn Yaqzan” yang memuatkan pandangannya secara umum, dengan gaya bahasa yang menarik dan imiginasi yang indah. Buku ini dianggap sebagai warisan paling unik yang ditinggalkan oleh seorang ahli falsafah Islam.

Buku ini kemudiannya diterjemahkan ke dalam berbagai-bagai bahasa dunia. Yang menarik dalam buku itu, Ibn Tufail berusaha menerangkan bagaimana manusia mempunyai potensi untuk mengenali Allah. Katanya, semua ini dapat dilakukan dengan membuat penelitian terhadap alam sekitar dan sekelilingnya.

Menerusi buku itu, Ibn Tufail cuba merangka satu sistem falsafah berdasarkan perkembangan pemikiran yang ada pada diri manusia. Beliau berusaha mengungkap persoalan serta hubungan antara manusia, akal, dan Tuhan. Untuk itu, beliau telah menggunakan watak Hayibn Yaqzan yang hidup di sebuah pulau di Khatulistiwa sebagai gambaran percampuran empat unsur penting dalam kehidupan iaitu panas, sejuk, kering, dan basah dengan tanah. Watak itu hidup terpencil dan dapat mempertahankan kelangsungan hidupnya dengan pimpinan akal dan bantuan pancaindera. Langkah Ibn Tufail menggunakan analog! watak tersebut dalam bukunya dianggap sebagai suatu perkara yang luar biasa dalam penulisan karya yang berbentuk falsafah.

Watak itu tidak pernah mengenali kedua-dua ibu bapanya. Tetapi alam telah memberinya seekor kijang yang menyusu dan memberinya makan. Setelah dewasa, dia mengarahkan pandangannya terhadap perkara yang ada di sekelilingnya. Di sini dia mulai membahaskan tentang kejadian dan rahsia perubahan yang berlaku disekelilingnya. Pada anggapannya di sebalik alamnya terdapat sebab-sebab yang tersembunyi yang mentadbir dan membentuknya. Hay bin Yaqzan selalu membahas dan menganalisa sesuatu perkara sehingga dia mampu mengetahui bahawa kebahagian dan kesengsaraan manusia itu bergantung kepada hubungannya dengan Allah. Dengan watak “Hay” itu, Ibn Tufail berjaya membuat huraian yang menarik sekaligus membantu kita memahami pemikiran falsafahnya.

Buku itu juga mengandungi pengamatan Ibn Tufail mengenai ilmu metafizik, matematik, fizik, dan sebagainya. Ibn Tufail melihat alam ini sebagai baru dan ditadbir oleh Tuhan yang satu dan berkuasa penuh. Dalam diri manusia pula terdapat roh yang menjadi sumber dan asas kehidupan mereka di muka bumi ini. Falsafah Ibn Tufail bukan sekadar menyentuh perkara yang berkaitan dengan metafizik tetapi juga sains tabii seperti fizik. Ibn Tufail mendapati bahawa lapisan udara yang tinggi lebih sejuk dan nipis daripada lapisan yang rendah. Hal ini disebabkan kepanasan berlaku di permukaan bumi bukannya di ruang dan lapisan udara.

Beliau juga mendapati bahawa kepanasan boleh dihasilkan melalui geselan, gerakan cahaya sama ada daripada apt ataupun matahari. Meskipun pandangan itu dianggap sebagai satu perkara yang biasa pada hari ini tetapi pandangan ini sebenarnya telah menyediakan landasan kepada ahli sains untuk melakukan kajian terhadap kepanasan dan segala fenomena yang berkaitan dengannya. Pemikiran falsafah Ibn Tufail juga meliputi perkara yang berhubung dengan masyarakat. Beliau menyifatkan masyarakat terdiri daripada sebahagian besar anggota-anggota yang malas. Lantaran itu, mereka mudah terpengaruhi dan terikut-ikut dengan nilai yang sedia ada tanpa mahu memperbahaskannya.

Ibn Tufail hidup hampir sezaman dengan Ibnu Bajjah. Maka sebab itu beliau mudah menerima pandangan falsafah Ibnu Bajjah, al-Farabi, dan beberapa ahli falsafah Islam yang lain dengan baik. Menurut sesetengah pengkaji dan pemikir, Ibn Tufail banyak dipengaruhi oleh falsafah Ibnu Bajjah sebagaimana yang dapat diperhatikan pada pertengahan buku Hay bin Yaqzan yang banyak membawa saranan yang terdapat dalam kitab “al-Mutawwahid”. Dalam buku itu, Ibnu Bajjah telah melakukan pembelaan terhadap tulisan-tulisan al Farabi dan Ibnu Sina.

Namun begitu, Ibnu Tufail tidak menerima saranan itu bulat-bulat melainkan selepas dibahaskan secara kritis. Selain itu beliau seorang yang berpegang kepada logik dalam mengungkap realiti alam dan kehidupan manusia.

Barangkali bertitik tolak daripada sikapnya itu, beliau tidak menyepi dan mengasingkan diri seperti mana yang dilakukan oleh segelintir ahli falsafah lain. Sebaliknya beliau bergiat dalam hal-hal yang berkaitan dengan kemasyarakatan dan mengambil bahagian secara aktif dalam urusan pemerintahan serta kenegaraan. Kegiatan ini dilakukannya sehingga beliau menghembuskan nafas yang terakhir pada 1185 Masihi.

(moga perkongsian ini bermanfaat, terutama bagi mahasiswa semester 5, Rabat yang akan menduduki ‘imtihan nihaie’ Tarikh al-Fikr bil-Gharb Islami, 12 Disember ini. Selamat studi. Buat yang berangkat ke tanah suci, moga beroleh haji mabrur, moga selamat pergi dan kembali, dimudahkan urusan, diikhlaskan amal. Doakan kami di sini…)