Kelahiran Anak Kedua Kami

28 03 2012

SUBHANALLAH, Alhamdulillah. Bagai terlalu cepat waktu berlarian meninggalkan kita. Terasa seperti baharu semalam meniti saat-saat perhitungan menyambut kelahiran puteri sulung kami, Taqwa Hanna, kini Adam Mukmin pula selamat dilahirkan. Subhanallah. Allah Maha Kaya. Terasa sangat kerdil diri ini untuk memikul sekelumit syukur yang sangat tidak cukup atas kurniaanNya yang Maha Besar, Maha Hebat… Terima kasih Tuhan.

ADAM MUKMIN BIN FIKRI, 3.2kg, 17 Mac 2012, 8.34 pagi, bersalin normal, Hospital Pekan.





Pakej Fotografi Perkahwinan

17 02 2011

Lihat lebih foto, ketahui lebih info di http://lensajati.wordpress.com/





Taqwa Photoshoot

9 01 2011

Taqwa Photoshoot Januari 08, 2011





Air Naik?

8 01 2011

MALAM terasa sangat dingin. Angin bertiup kencang. Dari jendela, kelihatan pokok kelapa di seberang jalan bergoyang kuat. Aliran dan kocakan air makin kuat kedengaran. “Air sungai melimpah?”. Abu Taqwa tidak puas hati, lalu dalam renyai hujan yang manja-manja menyinggah muka, turun menempel di tepi pagar. Dari situ, jelaslah rumah sebelah sudah dinaiki air. Rumah jiran hadapan juga sudah dinaiki air separas lutut. Nampak gayanya, kalau hujan tidak berhenti sepanjang malam, boleh jadi berperahulah kita.

Dalam gelap malam dingin itu, kami doakan mereka semua selamat dan tidak mengalami kerosakan harta benda. Alhamdulillah rumah kami agak tinggi dari kawasan sekitar. Namun, didoakan agar kita semua selamat dari musibah ini.

Awal pagi ini, kelihatan air sedikit surut. Alhamdulillah. Walau bagaimanapun, keadaan masih sungguh sejuk untuk Abu Taqwa keluar ‘menembak’ gambar terbaru keadaan sekeliling.

Hari ini, Abu Taqwa mahu makan laksa, jadi kami pun mahu bersiap keluar cari ikan sambil jalan-jalan di kawasan pantai sekejap. Mahu lihat air bergelora di laut sana.

(Gambar: Keadaan pagi semalam)





Sungai Sebelah Rumah

7 01 2011

DALAM nafas pagi yang segar, Taqwa bersenyum semanis fajar membuatkan ibu hilang kantuk. Di luar masih hujan. Parit di sebelah rumah kami sudah jadi anak sungai yang mengalir deras – airnya jernih. Bila hujan sidang sedikit, ada dua tiga orang anak-anak jiran pergi memancing, menangguk ikan di ‘sungai’ itu. Seronok sungguh budak-budak itu bila ikan keli yang besar menjadi habuan mereka, selalu.

Dari jendela dapur, rumah ini sudah seperti berada di tengah air. Tanah bendang di belakang rumah sudah dipenuhi air – menjadikan rumah ini kononnya seperti pulau kecil. Rasa tenang mendengar kocakan air yang melaju di tepi dan belakang rumah. Namun, dalam masa yang sama memberi petanda kemungkinan banjir yang telah melanda kawasan-kawasan yang lebih rendah. Moga kita diselamatkan daripada musibah.

Pagi jumaat yang hening ini, terasa penuh bila dapat berada di samping insan tersayang, dalam kehangatan kasih. Semoga Allah memberkati kita semua hingga ke syurga.

Program hari ini adalah gotong-royong rumah. Ayuh mulakan dengan penuh keceriaan kita satu keluarga! (Taqwa pun kena jadi AJK tugas juga) 😉





Selamat Hari Ulangtahun Perkahwinan, abang…

10 10 2010

ALHAMDULILLAH, sedar tidak sedar, sudah genap setahun usia perkahwinan kita. Moga dengan pertambahan usia bersama, maka bertambah mekar cinta dan kasih sayang kita seisi keluarga. Terima kasih yang tidak terhingga atas segala pengorbanan abang dalam menjalani hidup bersama. Mohon maaf atas segala silap dan salah sama ada sedar atau tidak. Maaf zahir dan batin. Terima kasih abang, atas segala-galanya. Sayang cintakan abang.

Hadiah teristimewa menjelang hari ulangtahun kita, Taqwa Hanna binti Fikri. Semoga cahaya mata ini menjadi anak yang solehah, cemerlang di dunia dan akhirat. Amin.





Salam Aidilfitri 1431H

20 09 2010

TERASA baharu sahaja Ramadhan menjelma, namun dalam sedar atau mamai, kini Syawal pula yang  bakal pergi. Bertambah hari dan bulan menggantikan tahun demi tahun – maka bertambah jualah amanah dan tanggungjawab menuju Sang Pencipta.

Walaupun bagaikan berada di hujung waktu tika melewati Melati Jiwa, namun harapnya tidak terlambat untuk turut serta mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua pengunjung laman ini khususnya, dan sekalian kenalan amnya.

Sambutlah salam mesra dari saya dan suami (dan bakal cahaya mata yang menunggu masa saja untuk menjengah ibu dan ayahnya). Salam Aidilfitri, maaf zahir dan batin.

Pesanan; Kepada sesiapa yang menitipkan ucapan raya ke talian telefon saya, tetapi tidak berbalas, janganlah berkecil hati. Bahkan ingatan anda amat saya hargai. Saya sangat berterima kasih. Mohon maaf tidak dapat membalasnya atas alasan teknikal yang tidak dapat dielakkan.





Setanggi Cinta Abadi

10 10 2009

ALHAMDULILLAH, dengan izin Allah SWT, selamatlah kami diijabkabulkan tanggal 10 Oktober 2009. Saya mewakili kaum keluarga mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua yang hadir dan bertungkus lumus menjayakan majlis kami. Moga Allah mengganjarkan sebaik-baik kebaikan kepada kalian. Doakan kebahagiaan kami di dunia akhirat.





Jemputan Walimatul ‘Urus

1 10 2009

Melati Jiwa dengan rendah hati menjemput anda sekalian ke majlis kami…





Alhamdulillah, saya masih bernyawa…

8 09 2009

“SAYA sakit tanganlah”

“Ngapa?”

“Entahlah, stress sangat kot”

“Uih, peliknya, stress sampai sakit tangan.”

LALU saya pun minta tolong sepupu saya pandukan kereta. Terasa makin lemah pula kedua-dua belah tangan. Barangkali insiden gara-gara cek ditendang HSBC itu masih menjadi trauma.

Usai dua tiga urusan di bandar Kuantan, kami pun mahu kembalilah ke Pekan. Mahu hantar Angah di Maahad, dan ambil kereta sepupu saya di Kempadang. Kira sempat juga berehat separuh jalan sebelum terpaksa memandu juga hingga ke rumah. Namun, di suatu lampu isyarat…

Bumm!! (tidak pasti bagaimana bunyi yang diterjemah dalam ejaan)

“Kereta kita kena langgar!”

“Man, baik awak tengok, kereta belakang langgar kita.”

“Ha’ah la, depan dia kemek” tambah Angah dari kerusi belakang.

Beberapa detik di luar, sepupu saya masuk ke tempat pemandu.

“Kereta ok. Takde apa-apa.”

“Tak kemek ke?”

“Ok”

Maka, kira okeylah keadaan itu lalu kami pun meneruskan perjalanan. Berhenti satu dua tempat untuk beli juadah berbuka dan hantar Angah balik maahad. Menunggu Man mendapatkan keretanya di Kempadang sudah buat hari makin malam. Nampaknya, memang berbuka puasa di jalananlah kali ini.

“Awak okey ke nak drive ni?”

“Okey…”

“Betul ke ni?”

“Insya Allah, Okey la ni. Cuma tangan je la sakit sikit.”

Mahu tidak mahu, tetap kena balik juga. Man memandu di hadapan dan saya mengekori. Hari makin gelap. Radio IKIM sengaja dipasang. Sesekali Man telefon, dan saya masih ok. Cuma setelah beberapa waktu, Man hilang dari pandangan bila menyusup potong bas di hadapan. Waktu itu azan sudahpun berkumandang. Saya pun berbukalah. Bismillah…

Cuma di suatu selekoh yang sedikit curam, saya masih menyuap mufin kastard yang enak itu. Entah bagaimana, dalam keadaan tangan yang lemah, stereng berada di luar kawalan. Kereta mula menjunam ke arah bertentangan. Nyaris-nyaris bertembung dengan kereta dari hadapan. Sekitar 5 saat, kereta jadi liar dan barangkali tayar belakang terangkat ke kiri dan kanan. Saya rasa sudah mati. Kereta menuju ke gaung sedang saya masih memulas stereng, namun tidak berfungsi. Tayar belakang terkunci sebelah. Tetiba teringat pesan abah, kalau terbabas, jangan tekan brek. Sebaik sahaja saya ‘lepas brek’, tiba-tiba kereta meluru ke jalan raya secara mendadak. Nyaris-nyaris disantap pembahagi jalan. Cepat-cepat saya balas stereng. Dan akhirnya kembali seperti biasa.

Saya mula menggeletar, dan mula rasa pening yang teramat sangat. Asma’ul husna masih terpasang di IKIM. Bunyi keriut brek kecemasan masih terngiang-ngiang menjerit di telinga. Keadaan kereta yang berkocak-kocak masih terasa. Bahu dan dada baharu terasa sakit disentap tali pinggang keledar. Alhamdulillah, saya masih bernyawa. Apabila melihat gaung di hadapan beberapa detik sebelum itu, saya hanya ingat bahawa ajal sudah sampai.

Dengan terketar-ketar, saya tiba di rumah. Kaki dan tangan jadi lemah. Bila mak tanya, saya jawab; kereta terbabas.

Semalam, kami ke bengkel, periksa brek kereta. Kata Pak Cik Jak, brek baik lagi. Masih bagus. Saya cuma boleh duduk dalam kereta. Masih fobia untuk memandu dan tangan masih sakit. Bertambah sakit. Minta abah periksa angin tayar, baharu tahu bahawa salah satu angin tayar belakang terlebih 10 tekanannya. Patutlah kereta terangkat di belakang dan tayar terkunci. Ditambah lagi dengan tayar depan yang tidak sama bunganya (gara-gara tukar mengejut bila hampir meletup tika terlanggar lubang di jalan lama suatu masa dahulu). Perkara serupa ini nampak sahaja remeh, tapi bila tak kena gayanya, boleh meragut nyawa. Kata Pak Cik Jak; kereta memang membantu kita, tapi ada masa kereta membunuh kita. Kata abah, kalau bawa laju dan jalan ke gaung itu ada palang besi atau pembahagi, tidak mustahil kereta boleh terbalik dalam keadaan tayar pun tak sama tekanannya itu. Syukur Allah selamatkan.

Semalam, sekembali dari pergi berurut di kampung, baharu perasan bahawa bumper belakang kereta jatuh sedikit. Ada kesan dilanggar. Kiranya, benarlah kancil tempoh hari melanggar kami dari belakang. Cuma alhamdulillah tidak kemek. Jadi, esok abah kena bawa kereta ke bengkel lagilah.

Nak menaip di sini pun, rasa sengal-sengal saja bahu ini. Saya mahu berehat. Doakan moga keadaan baik dan saya cepat sembuh. Tadi, doktor kata saya masih trauma. Kegagalan fungsi anggota pun boleh disebabkan stress yang terlampau dan trauma. Saya perlu berehat lagi. Doakan saya.