Bagai sangat tercabut jantung ini…

3 09 2009

“PAKAILAH kain kafan…” tersentak sebentar bila suara DJ seolah-olah kedengaran berkata begitu. Iya, dalam keadaan kelam kabut tahap gaban, memang lain yang dikata, lain yang didengar. Sebenarnya iklan di corong radio itu adalah ‘pakailah kain kapas’. Apa-apa sahajalah, apa yang benar, tika itu sedang sangat letih dan dalam sedar tidak sedar memacu kereta keluar simpang yang sangat sibuk menjelang tengahari.

Kekalutan itu bermula seawal pagi lagi.

Bukan tahapnya bagai nak mati, bahkan bagai dah mati, atau termati.

Keadaan mula jadi terdesak bila HSBC menelefon abah. Katanya ada cek kena tendang. Cek tersebut, sayalah yang menandatanganinya. Kata abah, kalau kene tendang, Bank Negara akan tutup akaun dan dikenakan denda. Tiba-tiba jadi makin cuak. Lagi terketar-ketar bila pegawai HSBC menelefon saya pula. Katanya, mesti buat segera urusankan pembayaran sebelum jam 11 pagi. Saya cuma ada kurang 45 minit. Keadaan makin tegang bila ada satu dua urusan di ofis yang membuatkan saya semakin dihambat waktu.

Mengisi borang keluar masuk, saya pun bergegas ke bank. Ya, saya juga mahu pos surat. Tapi sampul suratnya tiada. Sempat telefon abah, tanyakan jalan mana yang paling cepat untuk sampai ke HSBC. Bila kalut begitu, jalan pun boleh lupa.

Dalam kesesakan lampu isyarat, entah macam mana, saya telah tersilap jalan. Maksudnya, silap memilih laluan. Lorong yang dituju cuma sekitar 200 meter di hadapan, namun saya telah terpaksa melalui jalan lain yang sangat jauh untuk berpatah balik. Degup jantung makin laju. Ah, dunia saja semua ini!

Cuba bertenang dan bernafas. Tangan makin sejuk. Kereta sudah berada di hadapan HSBC, namun tiada walau satu ruang pun untuk parkir kenderaan. Ada lagi 3 minit. Rasa bagai kaki tangan mula menggeletar. Ah, saya tidak suka kalut dan stres begitu. Sekali lagi saya perlu pusing jalan lain dan berusaha untuk parkir di hadapan masjid. Akhirnya, pada minit ke berapa entah, dapatlah memarkir kereta nun jauh di hadapan masjid. Bermakna, saya perlu berjalan kaki ke bank. Boleh jadi, berlari barangkali.

“Saya tak ingat nombor akaun”

Wanita cina itu geleng kepala saja. Saya sangat cuak akibat sangat tergesa-gesa. Wanita itu minta saya tunggu sebentar sementara pegawai yang lain turun. Saya pun berdirilah (sebab kerusi semua penuh). Tiba-tiba seorang lelaki india datang kepada saya. Menyatakan sesuatu, namun saya kurang fahami (walaupun tok saya orang india).  Oh, rupa-rupanya dia ingat saya bekerja sebagai pegawai bank di situ, jadi dia minta masukkan deposit di ATM. (oh, macam tu…)

Pegawai yang dimaksudkan pun turun dan menyapa, “Cik Ainaa ke?” saya sengih ala-ala sumbing akibat cuak yang melampau. “Sempat lagi? Maaflah, susah dapat parking tadi.” Lelaki itu tidak menjawab cuma menggeleng. Saya pun mulalah makin ketar. Ah, dunia ini penuh pancaroba. Kemudian, dia tersenyum dan saya pun melunaskan urusan. – Alhamdulillah. Lega –

Keluar dari pintu kaca HSBC, saya melihat berbondong-bondong manusia dan kenderaan di bangunan bertentangan. Ya, itu namanya pejabat pos. Lalu, baharulah saya teringat surat yang tidak bersampul itu ada di dalam kereta. Dan kereta ada nun jauh di sana. Jalan kaki lagilah ya…

Sambil-sambil berjalan, saya meninjau-ninjau juga di mana tempat untuk beli sampul surat. Ada. Tapi sangat jauh. Dalam keadaan sesak begini, mustahil dapat parkir kenderaan.

Saya duduk dalam kereta dan hidupkan enjin. Terkelip-kelip. Tak tahu hendak buat bagaimana. Surat itu perlu dipos. Usah setem, sampul pun tiada. Lalu saya pun bercadang mahu buat sampul surat sendiri sahaja. Lipat-lipat, dan boleh guna gam di pejabat pos nanti. Saya keluar dan buka but kereta. Oh, entah dari mana datangnya sebungkus sampul surat dalam bonet. Baharu boleh tersenyum.

Tulis alamat sudah selesai. Tapi…

Nampak gayanya perlulah saya berjalan lagi ke pejabat pos yang lebih jauh dari HSBC (jauh sikit, tapi jauh banyak dari kereta).

Alhamdulillah. Selesai. Tapi…

Saya mula jadi tugu di hadapan pejabat pos. Terkebil-kebil dan mula rasa dahaga. Ish, bulan puasa ni. Setelah agak lama berdiri, baharulah saya memulakan langkah pulang (kembali ke kereta nun jauh di sana). Rasa macam nak menangis pun ada. Kaki tangan rasa lemah saja. Apapun, alhamdulillah urusan selesai.

Entahlah, semenjak dua ini, selalu saja disergah kekalutan yang membuatkan saya hilang arah. Tidaklah sampai sesat, cuma sangat tidak berdaya bila terpaksa, dipaksa, memaksa menggesa melunaskan urusan tertentu dalam masa yang singkat dan segera tahap gaban. Saya sangat penat. Dicampur terkejut terima panggilan bank sudah bagai hendak tercabut jantung. Itu belum panggilan izrail yang memang sudah pasti menghentikan degupan jantung. Astaghfirullahhal ‘azim.

Petang itu, bergegas urusan ke Tanjung Lumpur pula. Hingga selesai isya’. Ok saja. Cuma masih terkesan dengan kekalutan waktu pagi.

Malam, bila baharu dapat melepaskan lelah diri, baharu terasa sakit-sakit tangan. Barangkali letih sangat, tekanan urusan dan kerja, ditambah tidak cukup rehat. Maka, berehatlah untuk ibadat yang lebih berkualiti pula nanti.

Dunia tidak pernah menjanjikan kebahagiaan kepada penghuninya melainkan kesibukan yang melalaikan serta kerosakan yang memakan iman dan diri. Namun, dunia adalah medan untuk menjalani kebahagiaan di akhirat yang kekal abadi. Moga kita tidak tergolong dalam golongan yang rugi. Moga Allah limpahkan ketaqwaan kepada kita semua. Amen.





38 haribulan, 58 jam sehari

17 03 2009

BARANGKALI ada bulan yang bersepai jatuh di atas hari-hari yang membina tahunan. Lalu, bertaburanlah hari membentuk besar kepalanya yang tersendiri, sehingga menjadikan 38 haribulan sebagai sepurnama. Seterusnya, menjadilah 58 jam dalam sehari. Ah, itu barangkali namanya sebuah kerosakan atas muka bumi.

Maka, rindulah benarnya saya pada Melati Jiwa. Terasa sunyi pula tanpa cerita, perkongsian. Selalu sahaja, pabila berada di kafe, dalam kenderaan, menikmati bintang malam, atau di pembaringan menatap buku-buku yang mesra menceritakan ilham dan ilmu Tuhan, teringat benar pada Melati Jiwa. Ingin rasanya berkongsi bicara di sini. Jadi dalam sesempit waktu ini, mahu juga perkatakan satu dua perkara.

Kitab Suci. Al-Quran, bacalah selalu. Biarlah betapa sibuknya kita menelaah kitab-kitab yang bertambun, dua tiga puluh rak sekalipun, Kitab Agung ini mesti diberi haknya. Mesti dibaca, ditafsir, difahami dan diamalkan. Jika bukan kerana kitab inilah manual hidup kita sebagai seorang muslim, tentu kita sudah jadi kafir. Samalah seperti kereta, sudah namanya Volvo, usahlah kita sibuk buka buku manual Proton, atau Honda untuk merujuk hal ehwal enjinnya. Kalau hendak buka buku Produa, cukup sahajalah menjadi Kancil. Kurang lebihnya begitulah.

Zikir. Kita semua tahu bahawa hati itu milik Allah. Harus ingatannya pun kepada Allah selayaknya. Bukan pada yang lain. Lebih-lebih lagi dunia itu mudah membawa kepada kedurjanaan. Jika benar hati kita penuh dengan ingatan pada-Nya, tiadalah sempat berbuat dosa maksiat. Mengajari hati menyebut Allah itu perlu kepada ‘keselaluan’ bukan pada kadang-kadang sahaja. Berzikir pada Allah harus dididik sentiasa. Juga mengajari akal supaya mesra mengagungkan Allah dalam apa sahaja perkara. Iman itu bukan takat pada lojika, nescaya sukarlah untuk percayai kiamat dan alam ghaib. Kerana itulah Iman itu pada ketaatan. Lojika tidak mudah untuk taat pada sesuatu yang tidak mengikut sifir kejadiannya.

Selawat. Apakah kita ini hanya berselawat dan menyebut-nyebut nama baginda ketika Maulidurrasul? Atau pada tiap hari yang lain, kita ini bukan umat Muhammad? Sedang pada Hari Kiamat, mahu pula dapat syafaat Nabi Muhammad. Apabila kita mencintai sesuatu, kita tentu mahu dampingi selalu. Hendak selalu menyebut dan memanggil. Bertemu dan bersama. Serupalah juga seperlu kecintaan pada Allah dan Rasul. Kalau benarlah kita mencintai keduanya, pastinya selalu disebut-sebut, dirapati dan diulang-ulang selalu. Buat selalu apa yang disukai-Nya, dan menjauhi apa yang dibenci.

Apa kita ini akan hidup untuk selama-lamanya tanpa mati? Atau kita sudah tahu bahawa kita akan masuk kubur bila? Jadi tunggu apa lagi? Berzikirlah, berselawatlah, bacalah Al-Quran, seterusnya jadilah seorang hamba yang bertakwa dan beriman hingga selama-lamanya.

Kita ini banyak dosa? Bertaubatlah, atau masih mahu tunggu nyawa di kerongkongan?

Biarlah kita ini sesibuk manapun, janganlah sampai kesibukan dunia itu menjadi fitnah kepada hak akhirat yang lebih utama dan abadi itu.

Duhai hati, bersabarlah. Duhai Tuhan, Allah Yang Maha Esa, takwakanlah setiap detik nadi ini bernyawa kepada-Mu.





Kembali

26 02 2009

BAHARU selesai satu dua perkara untuk urusan pengajian ijazah sarjana di Universiti Malaya (susah juga hendak sambung master ini gamaknya) doakan saya moga dipermudahkan dan dijayakan.

Pagi ini masih hujan menyambut hari baharu. Sejuk. Rindu benar mahu menjengah Melati Jiwa, juga melihat-lihat emel yang sudah bersawang barangkali. Sekembali dari Kuala Lumpur tempoh hari, komputer riba saya yang hitam itu sudah mula meragam. Iyalah, rupa-rupanya diserang virus. Habis aplikasi tidak berfungsi, malah banyak pula bebarang yang hilang di samping virus di dalamnya beranak-pinak pula. Bila keadaan semakn kritikal, mahu tidak mahu; terpaksalah dihukum mandatori; format semua sekali. Sepuluh sen pun tak tinggal. Sapu licin semua sampah sarap, kuman virus yang ada. Lalu, akan bermulalah hidup baharu esok atau lusa.

Justeru, mohon maaf buat para pengunjung Melati Jiwa yang kerap benar bertanya mengapa entri tidak bersalin baharu; sibuk. Tambah lagi komputer ditimpa kemalangan maut. Maka, sukar benarlah mahu dijengah Melati selalu. Emel pun sudah bersawang. Kepada pengurus saya yang seorang itu, mohon maaf; barangkali manuskripnya akan keterlewatanlah. Saya akan cuba juga siapkan dalam masa terdekat. Buku pinjaman dari pustaka daerah pun masih ‘setia’ tidak dipulangkan lagi. Aduh, selalu saja melangkaui tarikh. Berusaha!

Fotografi; sibuk juga. Terbaharu, minggu lalu pergi ‘menembak’ pasangan Hapiz dan Farida di taman tasik sebelah rumah. Manis sungguh pasangan yang bersatu dari dua benua ini. Nasib baik tidak dihurung semut di bawah pokok ceri. Apapun, terima kasih menggunakan perkhidmatan kami, mohon maaf atas segala kekurangan dan selamat berbahagia. Moga berkat perkahwinan hingga ke syurga. (Bulan madu di Pariskah?) 😀

Minggu sebelum itu pula, kami berhambat ke syarikat VAC di sini. Iyalah, Menteri Sumber Manusia datang melawat. Maka, kami pun ditugaskan sebagai ‘media penembak’ bagi program pagi itu. Kekadang, penat juga pikul kamera ke hulu hilir. Tapi, harapnya berbaloilah. (kepada yang berkenaan, faham-fahamlah ya)

Petang ini, ada jemputan dari Pengarah Hospital Pekan. Bukan jemputan kendurilah, tapi jemputan ‘menembak’ sedikit habuan rasmi hospital 😀 (hehe) Jadi, saya hendak persiapi ‘peluru-pelurunya’lah.

Tutup dulu cerita bab fotografi.

Kepada Lilah, nanti kita balas tag tempoh hari. Waktu ni kita sibuk lagi. Tapi, sebenarnya tidaklah sibuk tahap gaban itu. Cuma komputer masih masuk ICU. Nanti kita balas ya. Terima kasih atas ingatanmu 😉

Lalu, saya pun laparlah. Maka, nanti sahajalah peperkaraan di laman ini disambung. Insya Allah.

Kalian doakan saya, ya. Syukran. Allahu yajzikuoum bilkher.





Ayuh, sertai!

22 01 2009

gerhanask1-2

ESOK, 23 Januari 2009, bertempat di tempat letak kereta masjid Sultan Ahmad Shah, Kuantan akan diadakan Hari Solidariti Palestin. Boleh kata seharianlah esok. Dari pagi sampai malam, sekali kuliah maghrib dan solat hajat.

Sesi pameran dan program sebelah siangnya dari jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengahari.

Bagi yang berkelapangan, marilah beramai-ramai sertai kami!

😉

 

~alamak, rasa macam demam pula…~





Lensa Jati di Fotopages kini berpindah

20 01 2009

ALHAMDULILLAH. Pertama, terima kasih kepada junior saya, saudara Asyrazi atas keperihatinan beliau menyelamatkan saya dari terus menggunakan produk yang disokong ramai puak Israel itu, sejak saya membina Lensa Jati di Fotopages.

Jadi, setakat ini, http://www.photoblog.com/lensajati/ merupakan satu alternatif blog foto untuk saya terus menggempur karya fotografi di sana.

Sehubungan itu, anda pun dijemputlah berkunjung ke laman foto Lensa Jati yang baru itu.

Jadi, entri kali ini hanyalah untuk membuat pengumuman ini. Memandangkan saya sedang sibuk dengan projek penulisan buat minggu ini, maka tidak sempatlah untuk saya berceloteh panjang.

Insya Allah, esok saya akan cuba untuk berkongsi dengan anda semua satu selawat – ingatkan saya jika terlupa.

Ketemu nanti.

Wassalam.

Ayuh, teruskan doa buat saudaramu di Palestin, boikot Israel!





Sempat?

19 01 2009

SEMPAT rasanya. Baru balik dari perpustakaan. Kepala rasa pening-pening pula. Tiba-tiba mata diterjah kantuk yang entah dari mana asal usulnya. Aduh, ini bukannya waktu tidur. Waktu kena betul-betul diuruskan dengan baik. Ada empat buah buku yang perlu dibaca sebelum hujung minggu. Ada lembaran manuskrip yang perlu disiapkan sebelum hujung bulan. Sempat ke?

Pagi tadi sempat lagi hantar mak naik ambulan. Saya tak naiklah. Saya naik letak barang saja. Mak bertugas ke Chini minggu ini. Di kem PLKN di sana. Maka, berdiamlah mak di kem sana sehingga hari Jumaat. Moga segala urusan kerja mak di sana dimudahkan. Banyak-banyak selawat dan zikir 😉 Sayang mak!

Saya rasa, tempoh masa untuk beberapa urusan yang agak banyak juga ini sudah makin pendek. Tapi saya harap sempat untuk urusi semuanya. Moga Allah mudahkan.

Pun dalam keadaan macam ini, sempat lagi saya ‘menembak’ habuan-habuan Lensa Jati bila keluar rumah. Ada saja aktiviti yang mahu dibuat, sambil sempat menghalau stres yang suka ketuk pintu jiwa.

Bila banyak masa ‘menembak’, maka sempat lagilah pula ber’fotopages‘. Almaklum saja Fotopages saya yang lama itu sudah berhutan rimba lama tidak diselenggara. (Gara-gara lupa username dan password langsung). Jadi, senang-senang, saya buat sajalah laman blog foto yang baharu. Lalu lahirlah blog kedua di bawah ‘Galeria Ainaa Suhaimi’ yang masih menggunakan nama Lensa Jati (selain lensajati.wordpress.com yang juga terbengkalai lagi pembinaannya, ini versi anak cicit dialah). Sempat lagi. (boleh faham ke?)

Antara sebab saya terpaksa juga (tak terpaksa pun, suka saja…) hidupkan Lensa Jati di Fotopages pula antaranya;

– Saya kan suka muat naik gambar untuk Melati Jiwa.

– Sekarang kapasiti gambar dalam blog ini sudah makin terhad dan akan habis. Untuk muat naik dengan kapasiti yang lebih besar, tentulah saya perlu upgrade ke akaun berbayar.

– Saya tidak mahu bayar. Sebab saya hendak blog yang free dengan kapasiti unlimited 😀

– Dengan merajinkan diri memuat naik di Fotopages sambil menulis entri di sana, saya dapat menghubungkan link foto di sana ke Melati Jiwa.

– Jadi, saya pun dapatlah menambunkan gambar tanpa had di Melati Jiwa juga.

– Maka, jimatlah duit saya dengan blog yang percuma dan kerajinan yang bertambah. 😉

Sempat lagi saya berleter di sini, sedangkan saya kena baca buku.

Ok, jumpa lagi. Selamat datang juga ke laman Lensa Jati di http://ainaasuhaimi.fotopages.com/

Oh, saya tak sempat beli ikan di pasar tadi. Lupa. 😀





Kawasan Larangan

16 01 2009

jangan-buang-kucing-di-sini

ANDA berada di kawasan larangan membuang kucing. Sila patuhi etika kemanusiaan dan kebinatangan. Dilarang membuang kucing di sini. Kerjasama anda semua amat dihargai.

“Abah, nampak tak apa yang saya nampak?” tanya saya sebelum keluar dari perut kereta. Abah pandang sekeliling, tapi gagal mengesan apa-apa perubahan.

“Saya nampak. Ada perempuan pakai baju warna pink tu. Beberapa saat yang lalu…”

“La… patutlah ada kotak satu lagi depan pintu kita. Abah pun pelik juga…” akhirnya abah juga menyedari.

SEJAK memang diketahui umum bahawa keluarga kami ini ‘mesra-kucing’, malah di kedai gambar kami pun, macam-macam aksi kucing jadi modelnya, maka mulalah kami dijenamakan sebagai; nurseri kucing – pembela kucing – klinik kucing – tempat buang kucing.

Semenjak dua ini, selalu saja saya sempat menjejaki suspek yang melakukan jenayah pembuangan haiwan (kucing) di rumah/kedai kami. Bulan lalu, seorang (yang dirahsiakan namanya) dengan suka-suka-hati-dia-saja memberi arahan begini kepada rakannya; “kau letak je kucing tu kat kedai sebelah…” (ekoran daripada seekor binatang yang kuat benar mengiau di ‘tempat mereka’).

Waktu itu di ‘kawasan kami’ memang sudah ada ‘kucing ibu’ yang sedang berpantang lepas bersalin 5 ekor anaknya. Maka, semakin gamatlah keadaannya. (perkhidmatan mengurut ibu kucing selepas dan sebelum bersalin pun ada juga biasanya.)

Bukan hendak marah atau apa, cuma kekadang; “suka-hati-mereka-saja” membuang-buang di tempat kami. Kekadang, masalahnya sebab kami ini tidak cukup kaki tangan untuk menyelenggara anak-anak dan ibu-bapa kucing yang terbuang itu. Tidak diselenggara, tidak sampai hatilah sangat. Jadi, berpada-padalah ya.

Namun, selain kes jenayah ‘pembuangan’, kami juga sering menjadi mangsa jenayah ‘kecurian’ yang dilakukan oleh para manusia tidak bertanggung jawab yang ‘suka-hati-dia-saja’ mencuri ‘ahli keluarga kami’. Tak baik tau! (Mak kata, nanti mak nak tuntut di akhirat siapa yang curi kucing kami tu).

Mencuri adalah satu kesalahan. Patut dihukum! ~Tapi, kalau curi hati?~

Berbuat baiklah kepada semua yang Allah hadirkan untuk kita. Siapapun mereka. Selagi bukan namanya musuh (yang wajib diperang), maka berbuat baiklah. Bersangka baik dan ikhlaslah selalu. Semua itu rahmah.

Tapi awas! Jangan pula ‘berbuat baik’ dengan apa-apa yang dianjurkan oleh “Musuh Yang Paling Wajib Diperangi” yang berada dalam sanubari kita itu pula. Sekuat laung untuk boikot Israel, kuatkanlah juga ‘laung’ untuk boikot nafsu dan syaitan yang bakal menjanjikan sebesar-besar jihad itu. Sahutlah jihad terbesar ini! Allahuakbar!

 





Jihad Selagi Mampu

12 01 2009

refugees_2

CUKUP! Jiwa sudah tidak tahan lagi. Palestin terus digilis. Saudara-saudara di sana sedang derita dengan tangis dan tragedi. Pembunuhan, penyeksaan, penyembelihan! Sedang saya di sini? Saya mesti lakukan sesuatu!

Bila makin baca berita saban hari, lagi tidak senang duduk jadinya. Kejap ‘call’ sana, kejap ‘call’ sini. Mesti lakukan sesuatu! Doa harus selalu, dan usaha harus padu. Kalaulah ada peluang, tentu sampai ke tanah Aqsa itu mahu saya jejaki. Mahu sama-sama bantu dan jihad.

Alhamdulillah, menyempat juga semalam daftar sebagai sukarelawan Sekretariat Solidariti untuk Palestin. Untuk waktu terdekat ini, insya Allah, kita akan buat Hari Solidariti Palestin pada 16 Januari.

Pada kesempatan ini juga, berkenanlah saya  menyeru sesiapa yang berminat untuk menjadi sukarelawan, bolehlah kita sama-sama berganding bahu (terutama sekitar Pahang). Selain sukarelawan Sekretariat Solidariti untuk Palestin, anda juga berpeluang menjadi sukarelawan bagi Badan Nadwah Islamiyah Pahang, (QUDWAH).

QUDWAH juga akan mengadakan program-program berbentuk motivasi untuk pelajar sekolah sepanjang tahun ini. Jika anda adalah pelajar IPT atau graduan di sekitar Kuantan, anda juga dipelawa untuk menyertai kami sebagai urus setia/fasilitator untuk program tersebut. (informasi)

Sebagai umat Islam yang mengucap dua kalimah syahadah, jangan kita lupa bahawa di bahu kita terpikul tanggung jawab. Tanggung jawab berdakwah, mencegah kemungkaran, menyeru kebaikan dalam hal sekecil-kecilnya hingga sebesar-besarnya. Dari amanah untuk diri sendiri sehinggalah terhadap masyarakat, negara, untuk Islam. Jika kita membantu agama Allah, tidak akan sia-sia. Ini janji.

Waktu terus berkejaran. Palestin masih dihujani peluru. Denyut nadi terus laju. Dari papan kekunci sebuah komputer, ada dialog yang meniti petang yang redup…

melati: tak tahan bila ghaza terus digilis, bagai dipanggil2 utk menyertai
sahabat: sudah sunnatullah. utk tahridul ummah dan persatuan ummat ini (tersenyum)
melati: huh.. kalaulah ada peluang utk ke sana…. wallah… mahu sama2 juang di sana
sahabat: (senyum)
sahabat: iraq, afghan semua sama
melati: ummm
sahabat: (masih senyum)
sahabat: bumi islam bukan gaza saja, bnyk. jd kita harus dukung dan support semua dunia islam
dan selalu semangat utk berjuang
sahabat: Allahu akbar
melati: Allahuakbar!

sejenak…

sahabat: dah nikah belum ni?
melati: belum
sahabat: kenapa belum?
sahabat: kamu tu dah cantik
sahabat: berilmu
sahabat: (senyum)
sahabat: seharusnya didampingi lelaki soleh
sahabat: (senyum lagi)
melati: kalau sampai jodohnya… adalah nanti (bersahaja)
sahabat: (senyum)
melati: tapi… lelaki itu harus sedia dimadukan
sahabat: maksudmu?
melati: juang dan jihad adalah suami pertama
sahabat: (masih senyum)
sahabat: ia lah
sahabat: harus tuh
sahabat: tapi kamu kalau dah nikah
sahabat: ketaatan kamu pada si suami pejuang itu
sahabat: jihad kamu adalah menjaganya
sahabat: (senyum lagi)
melati: (tidak puas hati)
melati: tp sy pun mahu juang
sahabat: (senyum)
sahabat: kamu nikah saja dulu
sahabat: nanti baru kamu tau mana yg lebih penting
sahabat: (masih lagi bersenyum)
sahabat: skrg belum nikah
sahabat: wajar saja semangat
sahabat: (seperti tergelak)
melati: (senyap – tidak mahu bicara lagi)

 

Untuk Islam, jihad selagi mampu. Moga syahid jadi penutup ajal yang satu. Terus! Terus! Terus!





Puisi Kecintaan

11 01 2009
gambarz_12041

ORANG ramai membakar bendera Israel ketika tunjuk perasaan membantah keganasan di Gaza, di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat, di ibu negara, semalam.

MACAM biasa, hujung minggu berdua dengan mak, jalan kaki sekitar tiga empat kilometer ke kawasan sekitar. Jalan perlahan-lahan, saya lagukan selawat sa’adah untuk mak. Mak hendak hafal, tapi lupa sikit-sikit perkataannya. Dulu, ada kumpulan Hijjaz nyanyikan selawat sa’adah itu. Pagi rasa hening saja. Demam pun sudah kebah sedikit, cuma ada batuk kecil dan masih ‘suara-orang-demam’ lagi.

Pagi-pagi lagi hati panas dengan berita-berita akhbar tentang Israel laknatullah. Geram sangat, jadi sayu di hujungan doa. Terasa lemah benar juang diri ini, sedang saudara-saudara di luar sana sangat derita dizalimi tanpa peri kemanusiaan. Sudah tidak ada kedamaian di tanah lahir sendiri, lalu menjadi padang jarak padang terkukur dengan simbahan darah yang segar.

Menghirup nafas pagi yang segar di sini, saya masih berjalan perlahan-lahan dengan mak. Banyak yang kami bicarakan. Berkenaan cara beradab dengan Tuhan, jangan sampai biadab. Wajib kita sentiasa merasa-rasakan adanya Tuhan, kewujudan-Nya, keagungan-Nya dan kesempurnaan-Nya. Dalam apa sahaja yang berlaku di dunia ini, itulah adab yang perlu kita hambakan kepada Tuhan – ingat akan kewujudan-Nya, keagungan-Nya dan kesempurnaan-Nya.

Melalui jalan-jalan lengang dekat pokok kemboja, saya teringat sesuatu lalu mengajak mak mengingatinya juga. Tentang pohon kemboja. “Mak ingat tak puisi kecintaan?” tanya saya. Mak diam saja, seperti sedang mengingat-ngingat memori itu. Langkah kaki terus berjalan. Lalu saya bicarakan untuk mak sebuah puisi kecintaan;

Kulihat bunga kemboja yang putih bertaburan,
kulihat daun dedaunan yang kering berjatuhan,
kutanya pada diri…
pernahkah Tuhan berjanji
adakah esok untukku?
Sedang aku berdosa…

Serangkap, dan kami bicarakan… Serangkap dan kami bicarakan…

Kulihat daun nyuir melambai
dibelai sang bayu…
kulihat pepasir memutih
dibelai ombak gemalai,
kutanya pada diri…
bilakah nanti diri ini
akan semesra itu
dengan sinar cinta-Mu…

Al-Quran adalah suara-Mu
zikir munajat adalah suaraku
di sinilah kita berbicara
dan berbual mesra…

Namun cahaya-Mu
membakar lautan rinduku
leburlah rasa
jiwa dan ragaku
namun kutetap cari dan mencari
cinta-Mu Ya Allah,
cinta Yang Hakiki…

Tuntunilah Ya Allah…
perjalanan ini Ya Allah…
Kegelapan malam yang kabur adalah kamarku
sinar cahaya-Mu yang meneranginya…
Tuntunilah Ya Allah…

Kami terus berjalan, mak pun sambung-sambung juga bait-bait puisi kecintaan. Ya, mak ingat lagi.

Lama berjalan, kami berdiam pula. Saya mula teringat kembali khabar pagi tadi – ya, masih sekitar isu saudara di Palestin sana. Puisi kecintaan?

Suasana hingar bingar, perang dan darah. Tangis dan tragedi. Puisi kecintaan?

Israel terus bertanduk. Manusia terus menjerit, demonstrasi serata dunia. Puisi kecintaan?

Palestin terus digilis.

 





Demam…

9 01 2009

mawar-putih

Masuk hari ketiga sudah. Kepala ini rasa beratlah benar. Hendak buat macam-macam, serba serbi rasa tidak kena. Pening sungguh. Secara tidak langsung, Scott Emulsion pun jadi rajin disuap masuk ke mulut. Kalau tidak, culaslah sangat hendak makan ubat-ubatan ini. ~Ya Rab…~

Kekadang, Allah uji kita sedikit sahaja, tapi berat sangat kira rasai. Namun, sebagai hamba, wajiblah kita bersyukur dengan apa jua pemberian Tuhan. Segala-galanya pasti ada hikmah-Nya. Cuma mungkin kita tidak nampak, tidak sedar, tidak tahu. Yang Maha Tahu hanyalah Allah, Tuhan sekalian alam.

Bila makan tak lalu, tekak rasa pahit, batuk dan selsema, kepala rasa nak pecah, mulalah badan ini rasa manja-manja hendak baring saja. Apa tidak sedarkah, saudara-mara kita di luar sana, makan tak cukup, air tiada, perut terburai, kepala memang pecahpun – ditembusi peluru jahat Israel, dan seterusnya… Dimanalah letaknya rasa juang diri? (uh, sakitnya batang hidung ini – tempias hebat!)

Ya Allah, bantulah kami. Teguhkanlah juang kami walau di bumi manapun kaki ini berpijak. Ringankanlah lidah dan hati kami mendoai saudara-saudara di luar sana. Hidayahkanlah kami kekuatan dan kesabaran dalam menegakkan agamamu, menentang musuh zahir dan musuh yang kabur. Musuh Israel, dan musuh dunia yang menghanyutkan iman umat Islam di sini, di sana dan di mana-mana. Tuhan, bantulah kami, kuatkan kami…

اللهم ارجع فلسطين لاهلها وانصر اخوننا في غزه وارحم شهدائنا في غزه وثبتهم واعطهم العزيمه والصمود… اللهم امين

 اللهم عليك باليهود ولا تبقي منهم عددا الله امين يا الله

~ Sayu saja hati ini ~

Ok, eloklah saya berhenti dahulu di sini, atau akan lewatlah abah makan tengahari. Ikan belum siang lagi.

Hari ini Jumaat.

~ Selawat ~