Kejora itu…

6 02 2009

gemerlapan semesta

Bila malam gelita,
bulan jadi pelita.

Bila bulan sunyi,
bintang pun temani.

Bila ombak pecah,
jari-jari pantai mendakapi;
kemas supaya bisa bersatu,
lalu lautpun disapa
lembut bayu yang damai…

Bila alam terus bersuara;
biarkanlah.
Kerana mereka membacakan keagungan
Tuhan kepada jiwa yang mahu,
setulus kejora yang berbisik
dalam hati sekuntum bunga,
menggembur taman nurani
untuk membeli hari esok
dengan senyum kesyukuran,
yang menukar tangis jadi tawa.

Terima kasih, abang…





Belasungkawa

4 02 2009

SAYA sedang berada di surau Penor tika itu. Sedang dengar kuliah Tuan Guru Dr Jahid. Malam itu, Februari 1, kami ikuti kuliah bulanan seperti biasa. Kali ini bab solat jadi topik utama. Seperti biasalah, saya buat catatan pada Pesona Peribadi. Lewati jam 8.47 malam, ada kelip-kelip pada sisi Pesona Peribadi. Oh, ada mesej yang masuk. Mulanya saya bercadang hanya akan membacanya setelah usai kuliah, namun selang beberapa detik, saya buka juga.

“Oh, mesej dari Anis.”

Sekilas baca, saya kalih pandangan pada kanda, Ukhti di sebelah, “Angah, baca ni…” saya unjukkan padanya mesej;

” Papa anis dh xde. “

Ada genang. Ada haru. Apa yang pasti, saya sangat terkejut. Saya keluar dari dewan solat, ke ruang sebelah dapur, hubungi Anis. Ya Allah, harusnya saya yang patut kuat dan menahan tangisnya, namun getaran itu menerpa saya juga. Saya rasa benar-benar tersentak dengan khabaran dari tiga pupu saya itu. Innalillahi wainna ilaihi roji’un…

Sepanjang malam itu, banyak juga panggilan dan mesej yang masuk bertanyakan keadaan Anis. Saya cuma minta mereka semua mendoakan kebaikan dan ketenangan buat semua. Hajatnya saya seperti mahu ke rumah Anis malam itu juga, namun keadaan tidak begitu mengizinkan. Lalu, saya tangguh saja sehingga esok. Mahu benar-benar untuk bersama Anis. Mahu berkongsi beban yang ditanggungnya.

Namun, kita merancang. Allah jua yang mengurusi segalanya. Esoknya kami ke Pekan seperti biasa hantar mak ke hospital. Saya anggar jenazah akan dikebumikan di Kg. Marhum, jadi bercadang juga mahu pulang ke kampung. Namun, bila menelefon Anis, jenazah akan dikebumikan di Batu 8, Kuantan. Pagi itu, kesihatan abah kurang baik. Saya mahu naiki bas, sudah kelewatan. Saya pun tak pasti perkuburan Batu 8 itu di mana. Akhirnya saya cuma dapat hubungi Anis beberapa kali sedari pagi, dan setelah urusan selesai.

Walau bagaimanapun, alhamdulillah, pengurusan berjalan lancar. Selesai sebelum masuk zohor. Ramai katanya yang datang. Kalau tak silap saya, Angah pun ikut sekali dengan bas dari maahad. Wakil kami di sini. Solat jenazah pun sampai 3 kali di rumah. Ramai juga yang berziarah. Alhamdulillah, allahyarham orang baik-baik. Moga dicucuri rahmat hingga ke syurga dan ditempatkan di kalangan hamba-hambaNya yang soleh.

Baharu tadi, hubungi Anis (sebenarnya rindu padanya). Alhamdulillah, katanya mama pun sudah makin baik keadaanya. Iyalah, waktu hari pertama itu, memang masing-masing dalam keadaan ‘terkejut’. Iya, papa pergi tiba-tiba saja. Baharu petang itu, mereka satu keluarga makan di luar, di Taman Gelora, pekena rojak. Keadaan baik-baik saja. Cuma, bila tiba maghrib, papa mahu ambil wuduk, namun rebah dan dengan ketenangan rohnya dijemput Tuhan. Alhamdulillah, papa orang baik-baik lagi bertuah, pergi sebagai tetamu Allah. Kita doakanlah kebaikan untuknya.

Sebelum ini, memang papa ada masuk wad sebab diabetis. Kata Anis, luka di kaki papa kena cuci tiap hari di hospital. Tapi, Alhamdulillah, keadaan baik-baik saja. Papa pun sudah keluar wad. Cuma, sejak lama dulu, memang papa ada dhidapi sakit jantung. Apapun, semua itu hanya asbab. Allah jua urusi segala.

Buat saudara saya Anis, bertabahlah sayang… Saya tahu Anis sangat kuat untuk ini semua. Iya, Allah kan Maha Adil. Dia mengambilnya tika kita semua sudah benar-benar kuat untuk menerima dugaan ini. Allah kan tidak membebani hamba-hambaNya perkara yang tidak sanggup kita pikuli? Cuma kuncinya; sabar. Dan saya cukup yakin Anis memang sabar. Anis anak yang baik. Teruskanlah baktimu buat ayahbonda, di manapun alam mereka berada. Bakti kita sentiasa berjalan untuknya. Anis, jika dirimu perlukan sedikit kekuatan, sangat sudi untuk diri ini bersamamu, adik-adikmu, ibumu dan seluruhnya meskipun hanya sekelumit cuma yang mampu daku hadirkan buatmu. Saya sayang padamu.

Moga segala yang berlaku, menjadikan kita lebih rapat dan lunak beribadah kepada-Nya. Perbanyakkan taubat dan amal ikhlas kepada-Nya. Moga kita menjadi hamba-hamba yang bertakwa, lalu beruntunglah di dunia dan akhirat.

Al-Fatihah…

 





Dunia, bersujud sudah!

27 01 2009

DUNIA, pada ketika kamu memanggilnya, maka dia akan datang kepadamu dengan segala macam pesona sehingga kanu tidak sabar untuk memilikinya.

Namun, apabila kamu mahu melihat akhirat, dunia akan mencuri pandanganmu. Pada tika itu, bayangan dunia pasti masih hidup di balik kelopak matamu meskipun kamu mahu katup dan tidak mahu melihatnya. Lalu kamu pun mengadu kepada Pencipta Dunia, sehingga matamu jadi basah.

Apabila kamu memilih akhirat, dunia akan merayu padamu. Tika itu, boleh jadi kamu pun goyah dengan rayuan yang sememangnya kamu bisa cair. Lalu kamu menutup telingamu. Tidak mendengarnya. Enggan menyelami bisikannya. Lalu, kamu sangat rindu dengan suara azan dan al-Quran di samping tahlil yang menggegarkan jiwamu.

Apabila kamu tidak mahukan dunia, nescaya dunia akan melamarmu. Lalu kamu menjadi sedih; kenapa masih dunia mencarimu sedangkan kamu sangat mahu melepaskannya. Dunia pun mula berbisik dalam hatimu. Maka kamu semakin kuat diuji. Lalu, kamu harus sentiasa mendidik hatimu dengan zikir tulus kepada Pemilik Hati Yang Maha Agung. Bila lama-lama, kamu pula mabuk dengan cinta dari syurga. Bermakna, gagal lagilah dunia untuk kali ini.

Apabila kamu menolak dunia, nescaya dunia akan sujud kepadamu. Maka, sekuat badai di lautan api, kamu pun tundukkan nafsumu. Lalu, kamu benamkan dahi ke bumi Tuhan dengan lautan iman yang sangat rindu. Kamu harus terus mendidik hatimu untuk Tuhan. Seraya seluruh kerajaan dirimu menjadi aliran zikir yang mengalir dalam darah ke segenap saraf. Menjadi makanan setiap sisi daging dan organ. Kamu ajarkan sekalian jasad menyebut nama Allah. Akhirnya, kamu sedar bahawa kamu itu tidak wujud. Kerana yang wujud itu Allah. Abadi selama-lamanya.

Maka katakanlah pada dunia; sudah cukup Tuhan untukku. Lalu aku bersedia untuk memilih akhirat.

 





Saya kan kakak…

18 01 2009
Selagi tidak menangis adik yang seorang lagi tu, selagi itulah disakatnya... Haih, Amin... Amin...

Selagi tidak menangis adik yang seorang lagi tu, selagi itulah disakatnya... Haih, Amin... Amin... (gambar sekitar tahun 1996)

“MARI sini, saya tengokkan,” sambil mengusap kepala Amin yang tampak berbenjol sudah di bahagian belakangnya. Ada juga kesan merah-merah. Katanya bahagian bawah dagunya pun sakit. Saya usik sikit, “sakit ke?”. Terus, dari lengan sampai ke tangan, pun merah-merah sikit. Usap pun usap juga, leter pun leter juga. Tapi dalam hati ini, sayu sebenarnya. (Ya Allah, kenapalah sampai jadi macam ini adik aku)…

“Macam mana sampai boleh jadi macam ni? Cuba awak bagitahu saya…”

“Budak-budak tu, dia pulas tangan Amin ke belakang, pastu ada yang hentam kat dada. Belakang pun kena…” cerita Sang Amin sambil tunjuk bagaimana tangannya dipegang, dan sebatang tubuhnya ‘dibantai’.

“Kepala tu?”

“Lepas tu, diorang hentak helmet kat kepala Amin…” rendah saja nada Amin. Ada nada sayu, sangat kasihan. Sedihnya hati ini mendengarnya. Melihat pula dia yang hincut pagi-pagi. Rupa-rupanya bertumbuk malam tadi. Kasihan pun, leter masih lagi. Bukan mahu marahkan Amin, tapi jangan sampai berlaku lagi perkara begini.

Punca berlaku ‘kes belasah’ ini tidak dapat diketahui. Amin masih tak bersedia untuk bercerita barangkali. Jadi, bermain-mainlah selalu hal ini di benak.

Entahlah. Tapi, andailah saya berada tika Amin dibelasah oleh budak-budak itu, rasanya saya masih berani untuk menjerkah supaya mereka melepaskan adik saya. Walaupun ‘apalah sangat yang ada dengan jeritan/jerkahan’ orang yang lemah macam saya pula, perempuan pula… namun sekurang-kurangnya saya tidak mahu benarkan mereka menyakiti adik saya. Meskipun taek-won-do saya pun tak sampai tali pinggang hitam, tapi kalau keadaan terdesak, keselamatan diri sendiri jatuh tempat kedua. Yang penting, orang yang kita sayangi tidak disakiti. Lagipun, saya kan kakak.

“Amin, awak janganlah nakal-nakal sangat. Saya ni tak daya hendak jaga awak yang dah besar panjang tu. Tapi, apa-apapun yang berlaku pada adik saya yang seorang ni, awak kenalah tahu, saya ni sayang awak. Tunggu awak saja kena sayang diri sendiri.”

Saya kan kakak awak.

 





Hitungan (I)

14 01 2009

medina-azzahara-sepanyol1

KITA tidak tahu. Barangkali kita juga tidak mahu. Namun bila apa yang dinamakan takdir itu menentu, kamu pasti akan fahami sesuatu. Meskipun belum bersedia untuk mahu. Ataupun, langsung tidak mahu untuk mahu. Makhluk yang bernama ‘masa’ itu akan terus berlarian. Meninggalkan sisa hidup kamu dengan pasti.

Menghitung hari, membenam rasa. Lalu saya mula sedari ; ini amat sukar.

Tunggulah ketikanya, pasti akan kelihatan apa itu hitungan. (uh, diri ini tidak mahu menunggu, dan tidak mahu melihat waktu yang tiba).

Belajarlah bersenyum dengan kasih sayang Tuhan. Takdir itu sebuah cinta dari langit.

Ini amat sukar.

… maka yang memudahkan itulah Allah, Tuhan Sekalian Alam.

 

(Lembar kali ini hanya sebuah monolog. Kalau kurang mengerti, boleh abaikan sahaja)





Nota Putih

1 01 2009

nota-putih

Pada suatu petang, saya telah menjumpai selembar nota yang dicatat pada suatu malam, sekitar bandaraya Pudu;


Melalui malam-malam di jalanan kota,
mata ini melihat anak bulan muda Sya’ban yang merah hangat tirusnya bagai mencalari naluri.
Jiwa mula enggan menumpu banyak perkara.
Rasa benar-benar sedang tuntas mencari apakah nilai sebenar sebuah jiwa.
Dan sedang tidak tahu apakah caranya harus perbuat pada sebatang diri.
Ada segumpal dendam yang sangat sakit pada pundak nurani, sedang alam roh mati entah di mana.
Lalu mula timbul rasa benci diri.
Dan layar mata disebat hina kejahilan lalu yang buat jadi gila dan diam membuta makrifat dalam celik yang bebal mengenal Tuhan. Oh, beratnya ini.

Pesanan kepada penulis nota ini;
Hanya pada Tuhan tempat untuk dirimu membaik rasa serta menyuci jiwa dan raga.
Wahai Tuhan, bantulah… terimalah hamba-Mu itu. Tuhan, bantulah…

Hari ini saya seperti telah hilang beberapa cupak yakin diri. Dalam usaha mahu bina sebuah yakin itu benar-benar perlukan sokongan dan semangat. Ya, yakin boleh! Insya-Allah, boleh!

Ayuh ke pustaka esok pagi, boleh?

~nanti kita beli ‘cokelep’ ya…





Demam?

31 12 2008

betul-ke-demam-ni?
PANAS? Boleh tahan juga. Demamkah? (buat muka sepuluh sen). Sebenarnya ada beberapa perkara yang belum dapat disiapkan minggu ini. Bila didesak supaya dapat siapkan, jadi semacam demam pula. (tambah lagi, berkecil hati dengan orang semalam itu – La… merajuk ke?). Buat biasa-biasa saja. Boleh?

Kenapalah senyap sahaja. Ok, nanti kita turun beli ‘cokelep’. Ok?

Angguk. Masih lagi senyap.

“Dah… dah. Pegi masak. Sikit lagi abah naik, nak makan tengahari. Masak, ya… boleh?”
“Baiklah.”

“Emm… nak makan ‘cokelep’lah.”
“Ok. Petang karang kita beli, ya. Ok?”
Angguk.

 

~hanya sebuah monolog dalaman yang tersembul pula ke paparan Melati Jiwa gara-gara ‘demam dalam hati’ yang kononnya ingin dirahsiakan, tapi…~

Berusaha!

 





Kawan Karib (II)

29 12 2008

ug4-1

HENDAK menulis, namun seperti tak tertulis pula. Ada urusan pelbagai yang menghambat supaya didahulukannya. Walaupun begitu, sebenarnya roh menulis itu tetap ada. Projek penulisan? Oh, masih sangkut dan moga dapat berjalan dengan jayanya (jangan minit terakhir saya terpaksa menolak lamarannya… – oh, tidak!). Saya akan berusaha untuk penuhi. Doakan saya…

Rentetan episod yang lalu; Kawan Karib (I). Saya telah menoktahkan cerita fasal merajuk dengan Azian. Juga tentang Fizzah.

Sambungan;

Baru-baru ini, saya bersama sahabat yang bernama Farah Hanan Aminallah, (dan individu yang terbabit) pergi mengikuti kursus Pra Perkahwinan di resort dekat dengan rumah saya. Boleh jadi, waktu itu adalah kali kedua saya bersama Farah dengan jangka waktu yang lama sejak 3 tahun lebih tidak bersua. Kali pertama jumpa dan bersembang agak lama adalah bila Farah baru pulang cuti dan bertandang ke rumah. Jadi, gara-gara terlalu lama memendam rindu dan cerita antara dua insan ini, saya jadi susah benar hendak berhenti bercakap dengannya. Meskipun kursus itu mengambil masa 2 hari, namun masih tidak mencukupi untuk kami saling bertukar cerita (walhal setakat yang saya kenali, saya adalah antara manusia yang paling tidak berkenan bercakap-cakap di belakang ketika menghadiri seminar atau ceramah atau apa-apa yang perlu diberi perhatian di hadapan, namun bila Sang Farah ini ada di sebelah, mulut jadi gagal dikunci). p/s: Jangan tiru aksi ini.

Seingat saya, kami mula rapat bermula darjah 4. Farah satu kumpulan dengan saya (termasuk juga si Nurul Aina (kembar nama), Nadzrul Shah, Salihin dan Hanif.) Dulu-dulu lagi, Farah selalu kena gastrik. Kekadang pucat saja mukanya, lalu perlu ke hospital. Kasihan sahabat saya seorang ini. Farah baik, nampak pendiam tapi dengan saya, mulut dia jadi banyak juga. Boleh tahan. Seorang yang manis sangat. Kekadang, seronok juga saya mengusik gadis ini. Ahah. Saya pun tidak pasti kenapa saya berkenan sangat dengan budak cerewet ini :-D.

Ketika waktu makan dalam kursus baru-baru ini, suka saya tengok Farah lama-lama. Iyalah, inilah dia orangnya yang selalu teman saya makan keropok di kantin (macam Fizzah juga). Dari bangku sekolah rendah, hinggalah sekolah menengah; menu keropok di kantin sekolah jadi antara ‘kegemaran’ kami. Kekadang kami pergi borong keropok dan jambu batu yang diletak asam boy dengan pak cik di pagar masjid sebelah sekolah bila petang-petang ada kelas taek-won-do. Wah, nikmat sungguh bersahabat.

Namun, bila tingkatan 4, saya sudah mula berpindah ke sekolah di daerah lain – Jerantut. Kami sudah jarang punya waktu bersama, meskipun dahulu kami selalu selalu benar berahsia dan kongsi cerita. Kekadang, abah bising gara-gara bil telefon rumah melambung. Memang benar, waktu untuk bersama di sekolah pun tidak mencukupi untuk kami berbicara, hingga ‘terpaksa’ bersambung dalam telefon pula (padahal, esoknya di sekolah dapat jumpa lagi).

Dulu-dulu, hampir tiap pagi saya akan dapat bunga. Itupun kalau si pemberi bunga itu ‘lewat’. Tahu sudah. Sahabat saya seorang ini, Siti Nur Sharbanu Azmi namanya. Tiap kali dia terlewat (bermakna saya terpaksa menunggunya dan mungkin telah terlepas satu dua buah bas ke sekolah), dengan tersengih-sengih dia akan menghulurkan sekuntum bunga pada saya. Jadi, tidak jadilah saya mahu marah. Tapi, kekadang, saya pula yang lewat. Aha, sungguh setia Banu menunggu. Kami satu perumahan yang sama. Cuma rumah Banu di lorong belakang. Farah pula di perumahan yang lain. Jadi, selalu sahaja pergi balik dengan Banu. Kekadang, ada masa kami ke masjid petang-petang untuk mengulangkaji pelajaran (‘study’ lah sangat). Bila Farhana (yang baru-baru ini melahirkan seolah Abdullah Fahri itu) berpindah ke taman perumahan kami, geng kami pun bertambahlah.

(tak habis lagi, tapi mahu berhenti sebelum laksa pahang yang kami buat tadi habis) 😀

bersambung…





Lilah saya…

27 12 2008

ala... x ready lg...

DARI luar jendela, hujan masih lebat membasahi bumi. Malam jadi pekat. Syahdu saja terasa. Lalu jiwa mula dihambat rindu. Baharu tadi dapat ‘bertemu’ Khadijah Khalilah di Yahoo Messenger. Mahu bersemuka, berdakap dan bersama; jasad terpisah antara benua. Cukuplah bertemu secara maya buat mengubat rindu di kalbu. Terasa lama benar tidak bersua, usai terpisah kerana juang dan ilmu-Nya. Moga kita sama-sama cemerlang dunia akhirat, sahabat!

Khadijah Khalilah. Teman sebilik, sebelah meja, sebelah katil, sebelah almari, setalam makan, dua kepala, empat tangan, empat kaki (bukan berkaki empat), dua jiwa, satu persahabatan.

Lama tidak merisik khabar Lilah saya ini. Di hujung khabaran baharu tahu sahabat saya ini diserang lelah dek cuaca sejuk di Morocco sana (Rabat lah). Kalau dulu-dulu, selalu sahaja Lilah (selaku warden merangkap ketua kebersihan sejagat) akan memaksa saya memakan ubat. Bila tiba musim sejuk, mudah benarlah saya diusik lelah, batuk, demam dan yang berkaitan. Maka, sahabat saya inilah antara yang paling prihatin dan sangat baik hati ‘merawat’ pesakit luar kawalan di Salsabiela sana. Kekadang, tatkala liat mahu ke farmasi (juga gara-gara ‘ikat perut’ atau ‘kurang bajet’) sedar-sedar Lilah sudah belikan ubat lalu disuruhnya makan. Terima kasih, sahabat. Haru.

Bila malam-malam, kami selalu ‘pillow-talk’ sama-sama. Kadang-kadang sampai larut pagi. Ada sahaja yang ingin dikongsi, teman bicara. Ada masa kita ketawa bersama, juga menyeka air mata yang mengalir di pipi seorang sahabat. Susah senang kita harungi. Adatlah hidup penuh pancaroba, kelemahan dan kekurangan, juga kelalaian buat kita terjerumus melakukan kesalahan, namun sahabatlah cermin yang bersuara. Mengingatkan kita mana yang salah dan benar, lalu dari situ sebenarnya simbahan kasih sayang, meskipun tidak dapat kita lihat dengan mata; kerana layaknya dirasai dengan hati.

Buat Khalilah saya; moga cepat sembuh. Moga sentiasa ceria dan tenang selalu. (Lilah kalau senyum, cantik sangat, boleh jadi model Colgate) 😀

Benarlah sahabat, kekadang kita berkongsi mimpi yang sama dalam tidur yang rindu.

~Tiba-tiba rasa nak melepaskan bicara di Melati Jiwa pula sebelum minum susu panas dan masuk ke kamar, tidur dan mahu mimpi sahabat…~

Rindu kamu.

(ok Lilah… 1, 2 mula!)

Terkapar-kapar ku kelemasan
Sakit dilambung ombak kerinduan
Di dalam tidur di dalam jaga
Diburu oleh mimpi yang serupa
Mengapa aku jadi tak menentu
Keranamu…

Ku menyusuri jalan berliku
Membiarkan hari-hari berlalu
Tiada salam tiada pesan
Memaksa diri untuk melupakan
Namun wajahmu bermain di mata ku
Tiap waktu…

( korus )
Malam ku suram, siang ku kelam
Ku kegelisahan, mencari-cari
Kemana pergi, harga diri ini
Bertanyakan berita, merisik khabar
Mendengar cerita, melaluinya
Kau kuhampiri, tiap hari
Bersama luka dihati

Mengapa aku jadi tak menentu
Kerana mu…

~ Sudirman, Merisik Khabar.





Aufa dua bulan

23 12 2008

20122008_009_1

SEDAR tak sedar sudah dua bulan umur anak saudara seorang ini. Beberapa hari lalu umminya hantarkan MMS pengubat rindu ke Pekan Bandar Diraja ini. (Aufa kena gigit nyamuk, Mak Cik Sara letak bedak sejuk. Gambar ini diambil tatkala budak kecil ini sedang melangsungkan sejenis pekerjaan sambilan).

Rasa lama benar anak ini berada di Kuala Lumpur sana. (Ayong, kalau cuti, meh la balik Pekan). Yang dirindu jauh di mata, dekat di hati. (tapi sebelum tidur, dekat saja gambar Aufa di mata ni) 😀

Alamak, perut ini lapar sudah.

Jumpa kemudian – sudah tidak boleh tumpu untuk menaip.