Kepada Kamu…

5 07 2011

BEBURUNG pagi meratib zikir alam lagi. Ya, seperti hari-hari yang lain. Masih udara yang sama, tetapi dalam nafas yang berbeza. Meniti hari yang sukar dalam dunia yang sangat mampir kiamat. Kiamat sudah dekat. Kenapa masih terlalu ramai yang menjauh kalam Tuhan. Jiwa sakit dengan dosa. Berkecai melihat fana yang gegarnya mematikan bicara! Ah, petaka apakah ini?!

Apa lagi yang mahu dirimu nyatakan? Apa tidak puas mahu mencari identiti diri? Masih keliru dengan asal usul kejadianmu? Hei kamu! Itu bukan alasan untuk kamu memekakkan seruan Ilahi, melumpuhkan daya mujahadah menjadi hamba yang sejati. Kembalilah, sayang…

Jika bilangmu dunia ini tidak serasi dengan jiwamu; benar. Kerana duniamu itu kotor, dan kamu itu bersih. Fitrah kamu itu suci. Maka jadikan dunia ini sebagai tunggangan untuk kamu pergi ke syurga. Hati kamu milik Allah. Zikir selalu namaNya, nescaya Dia akan selalu memandangmu, menenangkanmu.

Usah gusar jika cita-citamu terhadap dunia tidak kesampaian. Asah lagi kematanganmu, kelak kau kan tahu apa hikmah disebalik setiap kejadian. Berimanlah bahawa tiada satu pun yang Allah ciptakan ini sia-sia. Pasti ada bicara di sebaliknya.

Bertumbuhkan kamu menjadi khalifah Allah di muka bumi ini. Jangan kamu terpengaruh dengan dunia yang sangat gila itu. Usah kamu kejar ribuan bahkan jutaan kawan, kerana itu bukan tujuan hidupmu, dan masih terlalu ramai yang buta kerana terlalu mencari kawan.

Namun, jika kamu mahu berkawan, carilah yang beriman. Yang kenal Al-Quran. Tahu siapa Allah, kenal siapa Nabi Muhammad Sallahhu ‘Alaihi Wasallam. Carilah sahabat yang memimpin tanganmu untuk menjadi makmum, yang mengajakmu sama-sama berpuasa, yang mengajarmu cara mati syahid.

Jagalah agamamu, sayang…

(Saya sangat sedih…)