Awas, Penipuan Pembeli!

25 01 2011

ADAKALANYA, detik hati yang pertama itu; benar dan tidak harus diketepikan. Namun, ada kalanya gerak hati kita juga tersilap. Serupa melihat kulit buku yang hambar, tidak semestinya isinya juga hambar.

Minggu lalu, ada seorang kenalan saya berminat untuk menyambung bayar kereta kami, memandangkan kami ini bertukar kepada kereta yang lain, yang sedikit besar lagi, dan selesa untuk perjalanan yang jauh. Iyalah, kami kerap mudik ke hulu-hilir. Mencari-cari jugalah kenderaan yang lebih selesa.

Namun, atas beberapa sebab, kenalan saya ini tidak jadilah untuk menyambung bayar kereta saya. Memandangkan urusan untuk tukar kereta sudah dibuat separuh jalan, saya pun usahakan juga untuk menjual kereta ini. Saya telah berhubung dengan beberapa pihak bank, namun urusan jual kereta dimestikan melalui ‘dealer’. Maka akan banyaklah kerugian di situ (tambah tolak sepuluh ribu ringgit juga keuntungan yang akan diraih oleh dealer). Atas nasihat seorang rakan yang bekerja di syarikat kereta terpakai; usahakanlah untuk jual sendiri, kemudian baru rujuk pada bank untuk urusan tukar nama dan geran.

Atas usaha itulah, maka berbondong-bondonglah orang menanya, tetapi yang betul-betul serius membeli ; namanya Siti R******* binti Mohd Taib. Bagus orangnya. Cekap, dan sangat bersedia memberi komitmen yang penuh. Alkisah si perempuan yang namanya Siti ini, hantar sms pada saya katanya mahu tahu keterangan lanjut tentang kereta. Dia berikan emel kerana nombor yang digunakan adalah dari kod UK.

Iklan saya war-warkan melalui Mudah.my. Iklan saya tulis dalam Bahasa Melayu. Sedangkan si Siti ini beremel dengan saya menggunakan bahasa Inggeris. Maka disebabkan namanya pun berbintikan nama Melayu-Islam, saya pun membalas setiap emelnya menggunakan bahasa Melayu. Iyalah, dia minat untuk beli kereta pun bila baca iklan bahasa Melayu, masakan tidak faham Bahasa Melayu pula kan?

Saya disuruhnya membuka akaun dalam Paypal. Katanya agensi ini amat selamat dan terpercaya. Saya menolak cadangan bayaran melalui Paypal dan memintanya membuat transaksi bersumberkan bank-bank nasional yang ada di Malaysia ini. Namun, katanya Paypal jugalah yang lebih selamat. Saya telah persoalkan tentang cukai dan bayaran-bayaran tambahan yang mungkin perlu apabila berurusan dengan Paypal, namun katanya; Paypal jugalah yang lebihย  tersangat selamatnya.

Berikutan saya juga memerlukan butiran pembeli untuk tukar nama pada geran, saya pun mintalah salinan kad Pengenalan beliau. Juga, disebabkan Paypal ini, pendaftarannya percuma, maka saya pun daftarlah, tetapi tidak menghubungkan mana-mana akaun bank padanya. Hanya akaun Paypal kosong.

Setelah berhubung dengan bank, saya pun memberi info terkini kepada si Siti itu bahawa kereta akan boleh diambil apabila bayaran selesai dibuat, dan memandangkan sudah akhir bulan dan minggu depan cuti Tahun Baru Cina, urusan JPJ, Puspakom, geran dan segala alam itu mungkin akan memakan masa seminggu. Saya juga memaklumkan bahawa saya telah daftar Paypal (tapi tak beritahu daftar separuh jalan).

Saya pun melakukan aktiviti harian seperti biasa. Sambil-sambil mengemas rumah, saya tekan-tekan juga rangkaian internet dan emel. Fuh, perempuan ini sudah bayar RM37 ribu ke akaun Paypal saya?! Kereta saya jual dengan harga RM34 ribu, katanya lagi 3 ribu adalah untuk urusan penghantaran kereta tersebut ke tempatnya. Treler yang besar tahap gaban punya agensi akan datang ke alamat rumah tertera untuk ambil kereta setelah saya terima bayaran. (Dalam hati: wah, kayanya Minah ni! Tapi kenapa susah-susah beli kereta dari sini sedangkan orang sini pun nak beli kereta dari UK. Hmm… mungkin sebab ini kereta Jepun, dia pun orang Malaysia, beli dari Malaysia – noktah).

Untuk itu, saya pun diminta bayarkan RM3ribu ke akaun AM Bank, namanya Nadia H***m binti *****. Alkisahnya si Nadia ini pegawai agensi penghantaran kereta guna kontena yang tahap gaban besarnya itulah. Sebelum Si Siti beri nama Nadia ini kepada saya, seorang pegawai urusan bernama Ibrahim **** telah menghantar emel komfirmasi sejurus setelah transaksi RM37ribu yang dibuat oleh Siti itu diterima. Si Ibrahim ini juga memberitahu prosedur yang sama: bayar secepatnya kepada agen mereka si Nadia itu bagi membolehkan Paypal membayar RM37ribu itu kepada saya dengan segera. Kira macam kita dahulukan duit kita dahululah, baharu mereka bayar semula bila sudah ada penyata dari bank, bukti pembayaran nanti.

Bermula petang semalam, hingga tengahari ini; akhirnya saya mula mengesyaki sesuatu.

Dua emel terakhir yang saya terima sebelum malam ini, menyebabkan si perempuan yang berbintikan nama orang Melayu-Islam itu diistilahkan sebagai meng-kantoi-kan diri sendiri. Emel sebelumnya, saya nyatakan bahawa saya ini tidak faham sangat bahasa Inggeris, dan tidak pandai dalam urusan-urusan Paypal, jual-beli kereta dan segala alam itu (buat-buat lurus tahap bendul konkrit yang baru siap). Jadi, Minah ini pun terjemahkan maksudnya dalam bahasa ala-ala Melayu.

Ingat lagi, waktu emel pertama yang dihantar, saya dan suami pun kagumlah; “wah, pandai betul si orang Melayu ini ‘bercakap’ dalam bahasa Inggeris. Kita tulis Melayu, dia jawab Inggeris. Makna kata, dia ni faham Melayu, tapi sebab dah lama duduk UK, bahasa Inggeris dah macam air. Kagum!”

Tapi, silapnya dalam emel yang sudah hampir-hampir mencapai tahap klimaks, dia tiba-tiba nak ‘cakap’ Melayu pula. Barangkali supaya saya yang lurus bendul ala-ala tak tahu satu habuk ini lebih cepat faham, dan lebih cepat hantar duit.

Dari perkataan yang digunakan itu, maka fahamlah saya bahawa si Siti ini bukan orang Melayu dan cuba terjemahkan maksudnya melalui web terjemahan. Malangnya jadi ayat berbahasa Indonesia + pelat India sedikit. ini yang dia mahu terjemahkan (emel pertama dalam bahasa Melayu);

“halo terima kasih untuk mesej, aku ingin kau pergi ke depan dan
membuat bayaran dan e-mel bukti pembayaran ke paypal bagi mereka untuk
kredit akaun anda segera setelah possible.let aku tahu selepas anda
membuat bayaran.”

Ha… saya pun balas lagi. Saya katakan padanya;

“Ok, untuk buat bayaran RM3K tersebut kepada Nadia H***m, saya perlukan number phone dia dan number pejabat untuk memastikan wang yang saya bank in tersebut selamat diterima. Juga, untuk memastikan jika ada masalah berbangkit, saya boleh rujuk beliau.”

… dan Siti balas lagi, tapi kali ini web terjemahannya sangat-sangat cikai;

“halo teman, saya mau o jari kembali ke saya segera setelah anda
mendapatkan kenalan dengan agen. 016***0879 ini adalah nombor agen.”

Haha, apakah yang berlaku selepas itu?

Setelah saya mula merasakan Si Siti itu tidak wujud di alam nyata, saya mula membuat sedikit kajian. Google punya google, akhirnya saya terbaca kes yang sama, sebiji sebotol macam apa yang sedang berlaku.ย  Maka, sahlah bahawa ini adalah satu penipuan yang besar!

Alhamdulillah, kami terselamat dari bala penipuan ini. (Walaupun awalnya hampir terpercaya dengan tidak sengaja).

Apa lagi yang berlaku bila saya tidak bank-in duit RM3ribu itu dan tidak pula menelefon Minah ejen itu?

Dengan susah payah, si Nadia yang mengaku merupakan ejen syarikat servis penghantaran kereta itu menelefon saya. Aduhai, dengan pelat-pelat ala bangla, dia pun mengaku berada di Kuala Lumpur – bertanya, bila saya akan buat bayaran?

“Oh, saya memang nak buat bayaranlah, tapi saya nak tahu ni ofis kat mana?”

“di Kuala Lumpur.”

“oh, macam tu… Ada number phone pejabat tak? supaya senang nanti nak buat urusan”

“O… kita kat sini baru lagi. Syarikat kami semua pakai handphone.

Saya mula hendak tergelak.

“Oh, macam tu. Number faks ada?”

“kita guna emel and handphone je. Ni syarikat baru lagi kat KL. Kita dari oversea.”

“Aih, macam mana you boleh buat bisnes masuk Malaysia, kalau tak daftar line telefon, faks pun takde. Ni HQ dekat mana?

“sorry, what?”

head quaters dekat mana?”

sorry….” tup! putus.

Saya pun tergelak sendiri. Tahu sudah mereka mula kantoi. Tidak lama selepas itu, nombor yang sama memanggil lagi.

“Hello… hello…” sambil bunyi macam radio rosak yang biasa orang buat kalau hendak ertikan “line-tak-elok-dekat sini” saya pun hairanlah bila di tengah bandar KL itu pun talian seperti sedang ribut petir. Selepas tiga empat kali helo, talian diputuskan. Saya senyum lagi. Tak lama selepas itu;

Hello… oh, sorry. Line selalu macam ni…”

“Oh, takpe..” dalam hati; kat Malaysia mana selalu dah buat alasan zaman batu macam tu.

Saya pun tanya punya tanya, sampai Minah Nadia ini sudah nak angkat bendera putih, mahu passing talian kepada ‘pegawai’nya yang lain. Akhirnya, dia tanya. “So, you nak alamat company di UK ke?” saya jawab “Yes“. Dengan nada yang sedikit marah, dia letak telefon. Hah, dasar penipu! Tidak lama kemudian, dia pun mesej ‘alamat’ yang dimaksudkan itu. Iya, yang tak pernah wujudpun dalam peta dunia.

Haih, kalau ikutkan hati, mahu saja balas, “saya tahu ini semua tipu! Saya akan buat laporan polis” … dan beberapa lagi ayat yang hendak bagi puas hati sendiri (Contohnya ayat tipu: ayah saya kerja di UK, boleh cari company awak). Tetapi, bila difikir semula, tiada gunanya mencurahkan petrol yang makin mahal ini kepada bara api. Bukan setakat rugi duit, malah boleh memakan diri.

(Oh, banyak sudah saya taip rupa-rupanya) – ini gara-gara hendak lepaskan perasaanlah ni. Apapun, buat rakan-rakan di luar sana, berhati-hatilah dengan scam yang pelbagai rupa bentuk ini. Semoga kita terselamat. Taqwa pun dah bangun, ibu hendak susukan Taqwa pula.

Akhir kata; sesiapa yang di Malaysia ini yang mahu beli kereta Honda City saya yang masih belum terjual itu, silakan berurusan dengan rasmi dengan saya ๐Ÿ˜€ (sempat lagi~~)

Anda boleh baca kes yang hampir sama di sini:

Forum 1

Facebook 2

 





Taqwa 3 bulan

25 01 2011

“ASSALAMUALAIKUM…” dari ruang tamu, kedengaran suami tercinta memberi salam. Ibu cepat-cepat buka selak pintu, dan menyorok diam-diam di belakang daun pintu. Tunggu punya tunggu, cik abang tak juga melangkah masuk. Ibu tahan suara. Tiba-tiba, ada orang tiup celah pintu tempat persembunyian Ibu. Terkejut. Ketawa pecah. Ibu pun menjelma. Oh, rupa-rupanya ayah Taqwa sudah tercatuk di hadapan muka pintu sambil memengang ‘teddy bear‘ dan hamper Anakku. Senyum. Taqwa dapat hadiah lagi!

“Abang naik motor bawa ‘teddy bear‘?” – Ayah Taqwa hanya tersenyum. “Sebab itulah tak sempat beli ikan, takkan nak bawa anak patung pergi pasar”. Betul juga. Ibu pun lupa hari itu ayah Taqwa pergi kerja naik motor. Taqwa bangun dari tidur, semacam tahu-tahu saja ada hadiah untuknya. Tidak dilupakan, terima kasihlah kepada anak-anak homeroom ayah Taqwa atas hadiah ini. Banyak hadiah Taqwa! ๐Ÿ˜€

Sedar tidak sedar, kita sudahpun berada di hujung bulan. Masih ada beberapa perkara yang belum sempat kami uruskan menjelang Februari ini. Semoga segalanya dimudahkan dan diberkati. Insya-Allah.

Minggu hadapan cuti Tahun Baru Cina. Taqwa pun hendak balik kampunglah jumpa atuk, nenek, moyang dan Ummi Yong dia. Cuti kali ni, kalau Ummi ada di rumah, senang sedikitlah ibu hendak keluar ke mana-mana (urusan fotografi contohnya). Ummi boleh tolong susukan Taqwa, maka ibu tidaklah terlalu kalut untuk perah susu dan buat stok dalam peti Tok Ma nanti. Waktu ibu ke luar daerah untuk sesi fotografi bulan lalu, sehari ibu bekalkan seliter lebih susu untuk Taqwa. Itu pun, nyaris-nyaris tak cukup walaupun ibu tinggalkan Taqwa dengan Tok Ma kurang 24 jam. (Dan ibu pun demamlah bengkak susu sebab Taqwa berjauh dengan ibu walau sekejap).

Walau apapun, moga cuti kali ini dapat merapatkan hubungan silaturahim sesama kita. Bagi yang bakal melangsungkan perkahwinan dan pertunangan. Tahniah. Moga Allah berkati kalian hingga ke syurga.

Ibu nak masak kejap. Bertemu di entri akan datang.





24 01 2011

PAGI ini sedang berlalu. Dalam redup pagi yang sejuk, ada getar yang kabur; sangat kabur sehingga gagal untuk jiwa benar-benar serasi mendakapnya. Rasa ini, seperti yang pernah datang dulu, bahkan berkali-kali. Terpulang padamu untuk memberikan sejuta alasan. Hakikat kejadian alam; berjalan dan akan pergi. Terpulanglah. Pulanglah.

Kelmarin, baharu saya jengah kotak emel yang sudah berhabuk tidak dibuka. Ya Allah, banyak benar emelnya. Tidak terbaca – hanya melihat sekali lalu. Sedih. Hati mula sayu. Sudah terlalu banyak perkara yang berlaku. Sedang saya seakan-akan kaku, bisu. Melihat sahaja jerih itu tumpah? Maafkan daku andai terabai tanggungjawab itu. Maafkanlah.

Melihat berlambak-lambak borang keahlian, manuskrip entah ke mana, karya entah ke mana. Terkedu. Kasihan penulis-penulis muda di luar sana. Kalaupun saya tidak dapat membantu mereka, sekurang-kurangnya saya hulurkan pandangan, sokongan malah bantuan selagi daya. Terasa saya benar-benar tidak bertanggungjawab terhadap Grup Karyawan Luar Negara akhir-akhir ini. Maafkan daku kerana tidak menjengah kalian.

Menulislah. Tambahlah ilmu. Berkongsilah ilmu. Teruskan menulis. Menulislah.





Impian (Bahagian II)

17 01 2011

PAGI ini, hujan membasahi hari baharu. Rindu. Sejuk-sejuk begini, teringat ketika tinggal di Rabat waktu musim sejuk. Sudahlah tiga musim bersejuk (luruh, sejuk, bunga), semusim panas dalam setahun. Sejuk sudah semacam lali sahaja. Tapi bila di Malaysia, datang musim tengkujuh, sejuknya lain macam sahaja. Maha Suci Allah dalam segala hal.

Mengingat kembali tentang mimpi, impian, dan cita-cita. Ada kalanya, tatkala terlalu dihurung impian dan cita-cita, maka dalam tidurpun kita bermimpi tentangnya. Kerana impian dan cita-cita itu adalah hasrat hati yang terdalam untuk digapai duduknya setinggi awan.

Waktu dulu, apabila saya mula mengubah cita-cita untuk menjadi doktor, maka saya pun menjadi bertambah seronok apabila dilantik terlibat dalam program Doktor Muda peringkat daerah sekitar tahun 1998. Bilik rawatan di sekolah waktu itu di bawah tanggungjawab kami yang bergelar Doktor Muda Sekolah. Saya selalu tersenyum apabila melihat sijil doktor muda dan pengalaman waktu sekolah rendah.

Menjejakkan kaki ke sekolah menengah, saya juga bersyukur ditempatkan di sekolah menegah agama perempuan tertua di Pahang. Iya, banyak kebaikannya bila sekitar usia 13-15 belajar sesama akhawat sahaja. Ukhuwah juga terasa erat. Farah Hanan adalah antara sahabat yang terlama saya kenal dan belajar bersama-sama sejak sekolah rendah, menengah bahkan hingga kini masih berhubung. (Siti Nur Sharbanu pun sama, cuma waktu sekolah rendah dia ‘budak baru’ yang berhijrah ke Pekan akhir 90-an.

Memandangkan sekolah saya waktu itu tidak memperuntukkan aliran sains tulen bagi tingkatan 4, maka saya pun berhijrah ke SMK(A) TAHAP, Jerantut, Pahang. Iya, saya masih membawa cita-cita yang sama. Mahu jadi seorang doktor dan sangat meminati subjek Biologi (dan Bahasa Melayu).

Namun, semenjak akhir tingkatan 3 (PMR), saya mula mengalami sakit pinggang yang pada awalnya sekejap-sekejap saja. Melangkah tingkatan 4, saya mula terpaksa kerap ke hospital. Entah bermacam-macam doktor sudah saya jumpa. Bahkan lebih dari 5 orang doktor pakar dari bidang yang berbeza, dari hospital yang berbeza. Saya mula kerap berulang alik menjalani rawatan fisio terapi. Sakit, sakit dan sakit. Dua minggu saya ke sekolah, dua minggu saya duduk di rumah. Sudahlah Jerantut dengan Pekan itu boleh tahan jauhnya.

Saya mula keciciran banyak topik dalam setiap subjek. Laporan-laporan makmal berlambak-lambak tidak disiapkan. Saya buat juga perlahan-lahan walaupun mula rasa ‘down’. Setiap kali hendak ke sekolah, saya akan bersiap awal dan mula berjalan perlahan-lahan dari asrama ke kelas. Mungkin pernah sehingga 30 minit baharu sampai. Biasanya saya buat-buat berjalan sambil baca nota kecil, atau kutayyib. Iyalah, bosan juga berjalan terlalu perlahan dan lambat. Malu pun ada. Kekadang ada Kak Ita (Marsita Jahron) tolong temankan jalan. Kekadang Along (Maizatul Nazira Nazir) dan kekadang silih berganti sepanjang perjalanan yang dekat itu, tapi jauh waktunya. Paling tidak tahan, waktu naik atau turun tangga. Rasa seperti patah renyuk pinggang, rusuk segala. Allahu Akbar. Setiap langkah itu sangat-sangat menguji kesabaran dan ketabahan. Dua minggu sebelum SPM, habis penuh meja di tepi katil wad di Hospital Kuantan dengan buku rujukan Fizik, Biologi, Kimia. Mana-mana yang sempat, saya baca dan ulang baca bila tidak faham-faham.

Bila masih terlalu kerap menghadiri temujanji dengan doktor pakar yang berbagai-bagai, saya mula rasa muak. Bahkan mula rasa bosan. Bahkan hampir rasa benci. Kenapa doktor masih tidak dapat memberi rawatan yang benar-benar tepat dengan keadaan saya waktu itu. Masih mencuba itu-ini. Sayalah mangsanya.

Pernah suatu ketika, saya pergi klinik swasta bersama-sama warden. Terasa sakit yang tidak dapat ditahan. Lalu, diberinya ubat tahan sakit. Namun, saya alah dan mengalami pendarahan dalaman yang agak berpanjangan dan berulang. Maka, bertambah lagi saya ‘marah’ pada doktor. (Sebenarnya kita tidak layak untuk bosan menjadi pesakit, kerana sakit itu Allah datangkan supaya kita mengingati-Nya. Astghfirullah…)

Akhirnya saya beralih ke rawatan alternatif, dan mula memakan ginseng, suplimen-suplimen dari bahan semulajadi, doa, sabar dan positifkan minda untuk sihat. Alhamdulillah, dengan Kehendak dan Kekuasaan Allah, ketumbuhan pada buah pinggang yang saya alami mengecut dan Alhamdulillah, saya sembuh. Alhamdulillah. Allah Maha Kaya, Maha Kuasa.

Dipendekkan cerita, sejak episod tidak puas hati dengan doktor itu berlalu dan berulang terlalu banyak kalinya, maka saya mula tidak-mahu-jadi-doktor. Tidak mahu. Saya mula padam cita-cita itu dan berdiam. Senyap-senyap “aku mahu jadi pendakwah bebas”. Tapi saya tidak bercita-cita pun untuk jadi pensyarah.

Namun, alhamdulillah, dengan jadi pensyarah, ilmu dapat dikongsi, para pelajar pun membahagiakan kita juga. Bergelar pensyarah pada usia 22 tahun, bahkan anak murid saya pun ada yang lebih tua dari saya. Dalam satu kursus intensif Bahasa Arab, salah seorang pelajar itu adalah sahabat saya waktu sekolah tingkatan 1 hingga 3. Segan benar saya mahu berdiri di hadapan dewan kuliah, sedang sahabat saya ada di hadapan saya. Namun, itu semua pengalaman yang mendidik jiwa dan raga.

Kesimpulan; impian yang kita impikan tidak semestinya menjadi realiti. Barangkali realitinya sudah terjadi di alam mimpi – hanya supaya kita berasa cukup kerana pernah mengalaminya walau untuk satu malam yang singkat.

Namun, untuk mengimpikan impian menjadi kenyataan sehingga bermimpi di siang dan malam hari, tanpa usaha, daya, doa dan tawakal, maka akan kekallah kita dalam mimpi itu – ini malas namanya.

Walhal, orang yang berkerja keras siang dan malam hari, tidur tanpa mimpi, berusaha sehabis nadi untuk mencapai cita-cita yang diimpi – tanpa doa, dan tawakal, penguat keimanan kepada Allah, sama ada impian dan cita-citanya tercapai atau tidak, keadaannya tidak akan tenang. Kerana Allah telah berjanji bahawa ketenangan itu adalah dengan mengingati-Nya. Tiada gunanya berjaya di dunia jika tiada ketenangan dalam jiwa.

Bebaslah kalian untuk bercita-cita dan membina impian – pastikan kalian bersandar pada Allah. Dialah penentu segalanya. Pastinya cita-cita tertinggi orang yang beriman adalah untuk bertemu Tuhannya dalam keredhaan yang menyaluti naluri dan jasmani. Allah itu Ada!





Taqwa Photoshoot

9 01 2011

Taqwa Photoshoot Januari 08, 2011





Impian (Bahagian I)

9 01 2011

KATA Ibnu Sirin, mimpi itu adalah suatu medium untuk merealisasikan apa yang tidak dapat direalisasikan di alam bukan mimpi. Itu antara salah satu mafhum kata-kata beliau.

Itu fasal mimpi. Impian? Iya, kita hampir bebas mengimpikan apa sahaja. Menelusuri landas syariat dan keimanan yang kukuh, binalah impianmu – pasti Dia akan mengganjarkan kebaikan padamu.

Cita-cita tidak hanya terikat dengan material yang abstrak, tetapi juga pada niat. Contohnya, kita bercita-cita untuk membantu ibu dan ayah apabila besar nanti (waktu kecil pun boleh bantu – bahkan setiap masa), atau kita bercita-cita mahu hadiahkan sesuatu kepada seseorang pada suatu waktu nanti. Itupun kira cita-citalah.

Dulu-dulu, saya suka sangat bercita-cita untuk jadi jururawat. Sebab mak saya adalah seorang jururawat yang cemerlang. Saban tahun mak dapat sijil anugerah cemerlang. Walaupun waktu itu ayah saya adalah jurutera, tetapi saya merasakan jururawat adalah suatu cita-cita yang sangat serasi.

Namun, pada suatu hari, sekitar tahun 1998 barangkali; guru kelas saya, Cikgu Nawawi bertanyakan cita-cita seisi murid dalam kelas. Waktu itu, antara rakan yang duduk dalam satu kumpulan ialah, Farah Hanan, Nurul Aina, Salihin juga Nadzrul Shah. Seorang demi seorang berdiri dan nyatakan cita-cita masing-masing. Nadzrul berdiri dan menyatakan cita-citanya mahu jadi seorang doktor. Sejurus, saya pula berdiri dan dengan bangganya menyatakan mahu jadi jururawat. Spontan, cikgu menyampuk “Oh, kalau macam tu, besar nanti awak kerja bawah Nazrul lah…” Saya terdiam.

Mulai dari saat itulah saya mula menukar cita-cita mahu jadi doktor (tidak puas hati bila kena kerja bawah orang). Sebelum itu saya tidak perasan agaknya yang jururawat kena kerja bawah doktor. Bila diingat kembali zaman budak-budak, rasa geli hati pula…

(bersambung di entri akan datang – Taqwa dah bangun tidur, ibu pun kena pergi uruskannya dan susukan si manja itu)





Air Naik?

8 01 2011

MALAM terasa sangat dingin. Angin bertiup kencang. Dari jendela, kelihatan pokok kelapa di seberang jalan bergoyang kuat. Aliran dan kocakan air makin kuat kedengaran. “Air sungai melimpah?”. Abu Taqwa tidak puas hati, lalu dalam renyai hujan yang manja-manja menyinggah muka, turun menempel di tepi pagar. Dari situ, jelaslah rumah sebelah sudah dinaiki air. Rumah jiran hadapan juga sudah dinaiki air separas lutut. Nampak gayanya, kalau hujan tidak berhenti sepanjang malam, boleh jadi berperahulah kita.

Dalam gelap malam dingin itu, kami doakan mereka semua selamat dan tidak mengalami kerosakan harta benda. Alhamdulillah rumah kami agak tinggi dari kawasan sekitar. Namun, didoakan agar kita semua selamat dari musibah ini.

Awal pagi ini, kelihatan air sedikit surut. Alhamdulillah. Walau bagaimanapun, keadaan masih sungguh sejuk untuk Abu Taqwa keluar ‘menembak’ gambar terbaru keadaan sekeliling.

Hari ini, Abu Taqwa mahu makan laksa, jadi kami pun mahu bersiap keluar cari ikan sambil jalan-jalan di kawasan pantai sekejap. Mahu lihat air bergelora di laut sana.

(Gambar: Keadaan pagi semalam)





Sungai Sebelah Rumah

7 01 2011

DALAM nafas pagi yang segar, Taqwa bersenyum semanis fajar membuatkan ibu hilang kantuk. Di luar masih hujan. Parit di sebelah rumah kami sudah jadi anak sungai yang mengalir deras – airnya jernih. Bila hujan sidang sedikit, ada dua tiga orang anak-anak jiran pergi memancing, menangguk ikan di ‘sungai’ itu. Seronok sungguh budak-budak itu bila ikan keli yang besar menjadi habuan mereka, selalu.

Dari jendela dapur, rumah ini sudah seperti berada di tengah air. Tanah bendang di belakang rumah sudah dipenuhi air – menjadikan rumah ini kononnya seperti pulau kecil. Rasa tenang mendengar kocakan air yang melaju di tepi dan belakang rumah. Namun, dalam masa yang sama memberi petanda kemungkinan banjir yang telah melanda kawasan-kawasan yang lebih rendah. Moga kita diselamatkan daripada musibah.

Pagi jumaat yang hening ini, terasa penuh bila dapat berada di samping insan tersayang, dalam kehangatan kasih. Semoga Allah memberkati kita semua hingga ke syurga.

Program hari ini adalah gotong-royong rumah. Ayuh mulakan dengan penuh keceriaan kita satu keluarga! (Taqwa pun kena jadi AJK tugas juga) ๐Ÿ˜‰





Belajarlah Untuk Menjadi Pensyukur

6 01 2011

“TAQWA Si Kecil ini masih lagi demam hari ini sejak diberi suntikan vaksin DPT dua hari lalu. Kasihan ibu tengok anak kecil ini yang suam-suam badannya. Namun, ubat demam sudah diberi tiga kali sehari. Suka benar dia hirup ubat yang manis itu. Ibu doakan anak ibu cepat sembuh… ” (Berat Taqwa sudah 5kg waktu timbang di klinik kelmarin).

Sejak semalam, hujan mencurah-curah membasahi daerah ini. Sejuk, dan rimas dengan nyamuk yang bergerombolan. Hujan lebat-renyai-lebat tidak berhenti-henti. Lalu, menjelang pagi ini, bilik Taqwa sudah mula berair. Kami sudahpun awal-awal lagi memberitahu tuan rumah hujung tahun lalu bahawa rumah ini, meskipun baharu siap, tetapi ada beberapa tempat yang bocor. Kata beliau, kawasan ini pernah dilanda puting beliung kecil yang turut menjejaskan atap rumah ini ketika mula-mula siap pembinaannya. Kecil pun tidak kecil jugalah jika sampai mesin keropok sebelah rumah habis terbang ke kampung seberang. Kami pun tidaklah merungut, cuma memberitahu. Kini, hujan masih lagi mencurah-curah.

Malam tadi, Taqwa meragam sedikit. Tidak mahu tidur. Puas ayahnya cuba pujuk, diam sekejap dan berbunyi semula. Tidaklah menangis terlalu kuat, cuma merengek-rengek, hendak bermain dan tak mahu tidur. Badannya suam-suam, tidak selesa gamaknya. Ayah bacakan ayat al-Quran pada air, selawat dan lumurkan pada muka dan badannya, baru reda sedikit dan mahu menyusu semula. Akhirnya, Taqwa tidur juga atas pangkuan ibu. Bahkan ibu dan ayah pun tidur bersila separuh malam, tunggu Taqwa benar-benar lena.

Kadangkala, manusia terlalu mudah untuk merungut dan “berbunyi” sedangkan hanya diuji dengan sedikit masalah dan ketidakselesaan. Padahal, solat 5 waktu, puasa, zakat dan sekelumit amal itu sudah cukup memberi lesenkah kepada kita untuk “memprotes” kejadian Pencipta? Allahummaghfirlana…

Masih terlalu banyak nikmat Allah yang belum disyukuri. Adilkah untuk kita merungut dan menyalahkan takdir-Nya dan ujian yang menimpa? Dalam qunut saban subuh kita bersaksi “…dan kepada-Mu kami memuji atas segala yang diqada’kan…”…





Dahulu berdua, kini bertiga…

4 01 2011

KESEJUKAN fajar masih menggigit kulit hingga ke tulang terdalam. Masih merasai perit yang sama sejak kembali ke Kuala Besut ini. Tentunya, rutin yang sama juga berjalan, cuma – dahulu berdua, kini bertiga.

Jika dulu-dulu, menghantar suami ke muka pintu, boleh lambai lama-lama sampai hilang bunyi deruan enjin kereta. Tapi sekarang, lambai juga tapi sambil pasang telinga kalau-kalau si manja pula memanggil ibu.

Bila petang, menyambut suami tercinta pulang kerja, sempat lagi menyorok belakang pintu, meskipun sudah sangat sarat mengandung. Cuma terkadang kantoi bila si dia pergi mengintai dari tingkap dapur, dan menjerkah “ha… abang dah nampak!” atau ada masanya dia masuk dan ‘buat-buat’ mencari “assalamualaikum… mana sayang ni? ish, takde pun… mana ya? haa… menyorok ya…” lalu dakapan erat diberi (walaupun itulah yang sering berulang saban hari). Kini, hendak menyorok, susah sedikitlah pabila si Taqwa ini selalu keluarkan suara memanggil-manggil. Dari atas dukungan ibu, Taqwa terkelip-kelip matanya menyambut kepulangan ayah dalam silau petang. Bahagia terasa.

Dalam apa jua keadaan, hakikatnya itu adalah suatu pembaharuan. Hari yang berganti adalah sentiasa baharu untuk cinta dan tanggungjawab yang lebih baharu. Terserah kepada kita bagaimana untuk menghargai dan mengurusinya. Apa yang penting, ketulusan dalam menjalani hidup sebagai khalifah Allah itu harus sentiasa ada dan dirasai.

Dahulu berdua, kini bertiga ; ada perkara yang berubah, ada tanggungjawab yang bertambah, ada amanah yang dianugerah, ada tolak ansur yang lebih menyerlah, dan pastinya kasih sayang terasa semakin bercambah. Biarpun perubahan yang diharungi, namun saban hari, ungkapan cinta tetap sama, bahkan semakin mendalam – seutuh ikatan lillahi Taala. ” I love you, abang…”

(Taqwa masih lena. Jadi ibu hendak buatkan kek coklat untuk ayah. Bahan-bahannya sudah disediakan lepas subuh tadi lagi. Pagi ini, mahu bawa Taqwa pergi klinik. Untuk rutin pemeriksaan kesihatan bulan ketiga, dan suntikan vaksin DPT (Difteria, Pertusis, Tetanus & Polio – dulu Polio tidak disuntik, sebaliknya dititiskan di dalam mulut bayi, tetapi sekarang 4 serangkai dalam satu suntikan) yang sudah lewat sebulan gara-gara tiada stok di klinik bulan lalu.)