Alhamdulillah, saya masih bernyawa…

8 09 2009

“SAYA sakit tanganlah”

“Ngapa?”

“Entahlah, stress sangat kot”

“Uih, peliknya, stress sampai sakit tangan.”

LALU saya pun minta tolong sepupu saya pandukan kereta. Terasa makin lemah pula kedua-dua belah tangan. Barangkali insiden gara-gara cek ditendang HSBC itu masih menjadi trauma.

Usai dua tiga urusan di bandar Kuantan, kami pun mahu kembalilah ke Pekan. Mahu hantar Angah di Maahad, dan ambil kereta sepupu saya di Kempadang. Kira sempat juga berehat separuh jalan sebelum terpaksa memandu juga hingga ke rumah. Namun, di suatu lampu isyarat…

Bumm!! (tidak pasti bagaimana bunyi yang diterjemah dalam ejaan)

“Kereta kita kena langgar!”

“Man, baik awak tengok, kereta belakang langgar kita.”

“Ha’ah la, depan dia kemek” tambah Angah dari kerusi belakang.

Beberapa detik di luar, sepupu saya masuk ke tempat pemandu.

“Kereta ok. Takde apa-apa.”

“Tak kemek ke?”

“Ok”

Maka, kira okeylah keadaan itu lalu kami pun meneruskan perjalanan. Berhenti satu dua tempat untuk beli juadah berbuka dan hantar Angah balik maahad. Menunggu Man mendapatkan keretanya di Kempadang sudah buat hari makin malam. Nampaknya, memang berbuka puasa di jalananlah kali ini.

“Awak okey ke nak drive ni?”

“Okey…”

“Betul ke ni?”

“Insya Allah, Okey la ni. Cuma tangan je la sakit sikit.”

Mahu tidak mahu, tetap kena balik juga. Man memandu di hadapan dan saya mengekori. Hari makin gelap. Radio IKIM sengaja dipasang. Sesekali Man telefon, dan saya masih ok. Cuma setelah beberapa waktu, Man hilang dari pandangan bila menyusup potong bas di hadapan. Waktu itu azan sudahpun berkumandang. Saya pun berbukalah. Bismillah…

Cuma di suatu selekoh yang sedikit curam, saya masih menyuap mufin kastard yang enak itu. Entah bagaimana, dalam keadaan tangan yang lemah, stereng berada di luar kawalan. Kereta mula menjunam ke arah bertentangan. Nyaris-nyaris bertembung dengan kereta dari hadapan. Sekitar 5 saat, kereta jadi liar dan barangkali tayar belakang terangkat ke kiri dan kanan. Saya rasa sudah mati. Kereta menuju ke gaung sedang saya masih memulas stereng, namun tidak berfungsi. Tayar belakang terkunci sebelah. Tetiba teringat pesan abah, kalau terbabas, jangan tekan brek. Sebaik sahaja saya ‘lepas brek’, tiba-tiba kereta meluru ke jalan raya secara mendadak. Nyaris-nyaris disantap pembahagi jalan. Cepat-cepat saya balas stereng. Dan akhirnya kembali seperti biasa.

Saya mula menggeletar, dan mula rasa pening yang teramat sangat. Asma’ul husna masih terpasang di IKIM. Bunyi keriut brek kecemasan masih terngiang-ngiang menjerit di telinga. Keadaan kereta yang berkocak-kocak masih terasa. Bahu dan dada baharu terasa sakit disentap tali pinggang keledar. Alhamdulillah, saya masih bernyawa. Apabila melihat gaung di hadapan beberapa detik sebelum itu, saya hanya ingat bahawa ajal sudah sampai.

Dengan terketar-ketar, saya tiba di rumah. Kaki dan tangan jadi lemah. Bila mak tanya, saya jawab; kereta terbabas.

Semalam, kami ke bengkel, periksa brek kereta. Kata Pak Cik Jak, brek baik lagi. Masih bagus. Saya cuma boleh duduk dalam kereta. Masih fobia untuk memandu dan tangan masih sakit. Bertambah sakit. Minta abah periksa angin tayar, baharu tahu bahawa salah satu angin tayar belakang terlebih 10 tekanannya. Patutlah kereta terangkat di belakang dan tayar terkunci. Ditambah lagi dengan tayar depan yang tidak sama bunganya (gara-gara tukar mengejut bila hampir meletup tika terlanggar lubang di jalan lama suatu masa dahulu). Perkara serupa ini nampak sahaja remeh, tapi bila tak kena gayanya, boleh meragut nyawa. Kata Pak Cik Jak; kereta memang membantu kita, tapi ada masa kereta membunuh kita. Kata abah, kalau bawa laju dan jalan ke gaung itu ada palang besi atau pembahagi, tidak mustahil kereta boleh terbalik dalam keadaan tayar pun tak sama tekanannya itu. Syukur Allah selamatkan.

Semalam, sekembali dari pergi berurut di kampung, baharu perasan bahawa bumper belakang kereta jatuh sedikit. Ada kesan dilanggar. Kiranya, benarlah kancil tempoh hari melanggar kami dari belakang. Cuma alhamdulillah tidak kemek. Jadi, esok abah kena bawa kereta ke bengkel lagilah.

Nak menaip di sini pun, rasa sengal-sengal saja bahu ini. Saya mahu berehat. Doakan moga keadaan baik dan saya cepat sembuh. Tadi, doktor kata saya masih trauma. Kegagalan fungsi anggota pun boleh disebabkan stress yang terlampau dan trauma. Saya perlu berehat lagi. Doakan saya.