Bagai sangat tercabut jantung ini…

3 09 2009

“PAKAILAH kain kafan…” tersentak sebentar bila suara DJ seolah-olah kedengaran berkata begitu. Iya, dalam keadaan kelam kabut tahap gaban, memang lain yang dikata, lain yang didengar. Sebenarnya iklan di corong radio itu adalah ‘pakailah kain kapas’. Apa-apa sahajalah, apa yang benar, tika itu sedang sangat letih dan dalam sedar tidak sedar memacu kereta keluar simpang yang sangat sibuk menjelang tengahari.

Kekalutan itu bermula seawal pagi lagi.

Bukan tahapnya bagai nak mati, bahkan bagai dah mati, atau termati.

Keadaan mula jadi terdesak bila HSBC menelefon abah. Katanya ada cek kena tendang. Cek tersebut, sayalah yang menandatanganinya. Kata abah, kalau kene tendang, Bank Negara akan tutup akaun dan dikenakan denda. Tiba-tiba jadi makin cuak. Lagi terketar-ketar bila pegawai HSBC menelefon saya pula. Katanya, mesti buat segera urusankan pembayaran sebelum jam 11 pagi. Saya cuma ada kurang 45 minit. Keadaan makin tegang bila ada satu dua urusan di ofis yang membuatkan saya semakin dihambat waktu.

Mengisi borang keluar masuk, saya pun bergegas ke bank. Ya, saya juga mahu pos surat. Tapi sampul suratnya tiada. Sempat telefon abah, tanyakan jalan mana yang paling cepat untuk sampai ke HSBC. Bila kalut begitu, jalan pun boleh lupa.

Dalam kesesakan lampu isyarat, entah macam mana, saya telah tersilap jalan. Maksudnya, silap memilih laluan. Lorong yang dituju cuma sekitar 200 meter di hadapan, namun saya telah terpaksa melalui jalan lain yang sangat jauh untuk berpatah balik. Degup jantung makin laju. Ah, dunia saja semua ini!

Cuba bertenang dan bernafas. Tangan makin sejuk. Kereta sudah berada di hadapan HSBC, namun tiada walau satu ruang pun untuk parkir kenderaan. Ada lagi 3 minit. Rasa bagai kaki tangan mula menggeletar. Ah, saya tidak suka kalut dan stres begitu. Sekali lagi saya perlu pusing jalan lain dan berusaha untuk parkir di hadapan masjid. Akhirnya, pada minit ke berapa entah, dapatlah memarkir kereta nun jauh di hadapan masjid. Bermakna, saya perlu berjalan kaki ke bank. Boleh jadi, berlari barangkali.

“Saya tak ingat nombor akaun”

Wanita cina itu geleng kepala saja. Saya sangat cuak akibat sangat tergesa-gesa. Wanita itu minta saya tunggu sebentar sementara pegawai yang lain turun. Saya pun berdirilah (sebab kerusi semua penuh). Tiba-tiba seorang lelaki india datang kepada saya. Menyatakan sesuatu, namun saya kurang fahami (walaupun tok saya orang india).  Oh, rupa-rupanya dia ingat saya bekerja sebagai pegawai bank di situ, jadi dia minta masukkan deposit di ATM. (oh, macam tu…)

Pegawai yang dimaksudkan pun turun dan menyapa, “Cik Ainaa ke?” saya sengih ala-ala sumbing akibat cuak yang melampau. “Sempat lagi? Maaflah, susah dapat parking tadi.” Lelaki itu tidak menjawab cuma menggeleng. Saya pun mulalah makin ketar. Ah, dunia ini penuh pancaroba. Kemudian, dia tersenyum dan saya pun melunaskan urusan. – Alhamdulillah. Lega –

Keluar dari pintu kaca HSBC, saya melihat berbondong-bondong manusia dan kenderaan di bangunan bertentangan. Ya, itu namanya pejabat pos. Lalu, baharulah saya teringat surat yang tidak bersampul itu ada di dalam kereta. Dan kereta ada nun jauh di sana. Jalan kaki lagilah ya…

Sambil-sambil berjalan, saya meninjau-ninjau juga di mana tempat untuk beli sampul surat. Ada. Tapi sangat jauh. Dalam keadaan sesak begini, mustahil dapat parkir kenderaan.

Saya duduk dalam kereta dan hidupkan enjin. Terkelip-kelip. Tak tahu hendak buat bagaimana. Surat itu perlu dipos. Usah setem, sampul pun tiada. Lalu saya pun bercadang mahu buat sampul surat sendiri sahaja. Lipat-lipat, dan boleh guna gam di pejabat pos nanti. Saya keluar dan buka but kereta. Oh, entah dari mana datangnya sebungkus sampul surat dalam bonet. Baharu boleh tersenyum.

Tulis alamat sudah selesai. Tapi…

Nampak gayanya perlulah saya berjalan lagi ke pejabat pos yang lebih jauh dari HSBC (jauh sikit, tapi jauh banyak dari kereta).

Alhamdulillah. Selesai. Tapi…

Saya mula jadi tugu di hadapan pejabat pos. Terkebil-kebil dan mula rasa dahaga. Ish, bulan puasa ni. Setelah agak lama berdiri, baharulah saya memulakan langkah pulang (kembali ke kereta nun jauh di sana). Rasa macam nak menangis pun ada. Kaki tangan rasa lemah saja. Apapun, alhamdulillah urusan selesai.

Entahlah, semenjak dua ini, selalu saja disergah kekalutan yang membuatkan saya hilang arah. Tidaklah sampai sesat, cuma sangat tidak berdaya bila terpaksa, dipaksa, memaksa menggesa melunaskan urusan tertentu dalam masa yang singkat dan segera tahap gaban. Saya sangat penat. Dicampur terkejut terima panggilan bank sudah bagai hendak tercabut jantung. Itu belum panggilan izrail yang memang sudah pasti menghentikan degupan jantung. Astaghfirullahhal ‘azim.

Petang itu, bergegas urusan ke Tanjung Lumpur pula. Hingga selesai isya’. Ok saja. Cuma masih terkesan dengan kekalutan waktu pagi.

Malam, bila baharu dapat melepaskan lelah diri, baharu terasa sakit-sakit tangan. Barangkali letih sangat, tekanan urusan dan kerja, ditambah tidak cukup rehat. Maka, berehatlah untuk ibadat yang lebih berkualiti pula nanti.

Dunia tidak pernah menjanjikan kebahagiaan kepada penghuninya melainkan kesibukan yang melalaikan serta kerosakan yang memakan iman dan diri. Namun, dunia adalah medan untuk menjalani kebahagiaan di akhirat yang kekal abadi. Moga kita tidak tergolong dalam golongan yang rugi. Moga Allah limpahkan ketaqwaan kepada kita semua. Amen.


Tindakan

Informasi

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s




%d bloggers like this: