Perpisahan Itu Suatu Kesukaran

28 08 2009

Perpisahan adalah suatu hidup yang susah.

Perkara yang sangat sukar

Amat sukar.

Perpisahan adalah kesukaran yang berat.

Lalu keberatan itu membebani segenap jiwa dan raga.

Barangkali lebih rela tidak bertemu,

Lalu mengenali, jika akhirnya berpisah.

Ogos 28, 2009 – Bay 2. 10.45am

PERTEMUAN kami sudah berakhir. Ini adalah permainan waktu. Pabila kita menunggu, waktu menjelma menjadi suatu makhluk yang menyeksakan lalu dirasakan sangat panjang dan lama. Sedang pabila kita tidak mahu ia pergi dengan deras, lalu waktu berlari dengan lajunya dan memintas seribu satu bicara. Maka, kelu sudah menjadi lafaz tersimpan.

Terasa bagai baharu saja anak-anak muda itu mendaftar hari pertama Kursus Intensif  Bahasa Arab (KIBA), sedar tidak sedar, saya sudah berdiri di hadapan mereka pada hari terakhir yang entah bila lagi akan dapat bertemu kembali.

Untuk ke seribu kalipun, saya cukup merasai bahawa perpisahan itu sukar. Ya, amat sukar.

— tulisan terhenti di sini dulu. adik saya kemalangan.





Khabarkan Padaku Bicaranya

15 08 2009

Khabarkan padaku bicaranya

bersama redup mata yang masih punya jiwaku.

Kalimatkan rawan itu.

Sangatlah tidak bersanggup sepi begini

untuk tawar di awal purnama

dan langsung bisu ke penghujungnya.

Apakah tidak mata redup itu tahu

betapa jiwa ini disentap

dihancur saban hari

tanpa khabarnya?

Dan tahukan aku apa salahku.

Jiwa ini tidak kuat untuk segunung derita

lalu tiada bayaran airmata yang melaut

hingga lemas nafasku menanti khabarmu

pada suara keras segumpal cinta.

Sungguh aku tidak lagi tahan.

Dermakan sedetik hayat,

moga tidak mati aku merindu suara itu,

parau yang membenih iqamat pertama tika lahirku.

Khabarkan padaku bicaranya.

Atau aku enggan bernyawa.

Ogos 15, 2009





Luklu dan Marjan

9 08 2009

Ibu kejut marjan bangun pagi. Biasa kalau dia tak mahu buka mata, dia nganga mulut bila panggil. Tadi ibu panggil dia tak mahu bangun pun. Semalam dia tidur atas batu, tapi tadi dalam air. Dia tak mahu gerak langsung. Humm… janganlah tinggal ibu lagi. Ibu sedihnya…

SUDAH banyak hari, Marjan tak mahu makan. Jadi, ibu kenalah suap dia. Bila suap, memang dia makan. Lalu, berenang-renang, memanjat-manjat dan kemudian tidur hampir 20 jam. Tak tahu dah hendak dibuat bagaimana lagi.

Minggu lalu, Luklu pergi (meninggal dunia) setelah lebih seminggu menghidap selsema. Memang sedia maklum, bagi bayi kura-kura seperti Red Ear Slider (RES) atau juga dipanggil kura-kura Brazil ini, jika dihinggapi flu, akan membawa maut. Kasihan ibu lihat budak kecil itu kerap bersin. Ternganga-nganga mulut dia. Udahlah comel, bersin kecil pula. Tapi, memandangkan ibu tidak punya masa untuk ke klinik, Luklu akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir sebelum sempat menerima rawatan. Faktor klinik haiwan yang terletak jauh dari rumah dan ibu yang terlalu sibuk bekerja menjadikan Luklu semakin parah menghidapi demam kura-kuranya. Lalu, di penghujung ceritera, ibu hanya mampu menanggung sedih sedang nasi sudah jadi bubur. ~ yang kekal hanyalah Allah, sedang makhluk akan mati~

Spesis kura-kura adalah binatang yang pintar, dan beremosi. Kita akan tahu bahawa perasaannya melalui gerak dan mimik mukanya. Contohnya Marjan selalu buat muka masam bila kena paksa makan. Dia akan pandang tepat-tepat, marah la tu. (di samping suka mengigau waktu tidur). Walau bagaimanapun, kura-kura mudah mengalami trauma dan jika keadaan berlarutan, perlu segera mendapatkan konsultasi doktor bertauliah.

Pemakanannya juga harus menepati diet yang seimbang. Kekurangan kalsium akan mengganggu pembesarannya. Namun, terlalu kerap dan banyak makan akan membuatkan mereka mengalami obesiti dan ini membahayakan kesihatan dan masa depan. Kura-kura yang obesiti perlu istiqomah mengamalkan diet dan kurangkan makanan berlemak. Bagi kura-kura seperti RES, perlulah diseimbangkan waktu untuk berjemur, berada di darat dan di dalam air. Terlalu lama di daratan boleh mengakibatkan masalah buah pinggang dan rekahan pada cengkerang. Pun begitu, terlalu lama berenang atau berendam juga meningkatkan kebarangkalian mengalami selsema kura-kuranya yang boleh membawa maut.

(Sebenarnya ada banyak lagi info tentang RES ini) Tapi abah kata, “Ish, banyaknya penyakit dia kena jaga… letih nak jaga barang macam ni…”

Barangkali, tidaklah berat manapun menjaganya, cuma kekadang masa itu kadang-kadang menjadikan kita tak cukup tangan (banyak tangan jadi serupa labah-labah pula). Jadi, perlu utamakan yang utama.

Begitulah dunia ini penuh pancaroba. Tidak ke mana kekayaan (bekerja macam ni boleh jadi kaya ke?) yang ingin dikejar jika akhirnya kita kehilangan nyawa-nyawa yang disayangi. Sifir ; biarlah sedikit asalkan diberkatinya daripada banyak yang memudaratkan.

Sedikit kata yang tersimpul atau lebih dikenali sebagai kesimpulan;

Adalah lebih baik para ibu mengutamakan lebih banyak waktu bersama anak-anak berbanding bekerja yang melalaikan tanggugjawab yang lebih utama. Selain keutamaan tarbiyah, perhatian juga perlu dari segi kesihatan, emosi, kebajikan dan kasih sayang anak-anak.

*Luklu dan Marjan adalah sejenis kura-kura yang masih bayi. Mereka adalah spesis binatang, atau haiwan bukan manusia.