Saya masih di sini…

14 07 2009

Barangkali entah berapa lembar yang hilang dari halaman di Melati Jiwa. Iyalah, bila gatal jemari mahu menulis sesuatu, selalu saja jadi terbantut gara-gara berada di luar pautan internet, atau yang paling biasa; sibuk.

Entahlah, saya sendiri tidak tahu apakah ada di dunia ini manusia yang tidak sibuk. Siapa pun kita. Jadi pelajar, maka bersibuklah dengan jadual kuliah, kerja kursus, menelaah pelajaran dan sebagainya. Bila bekerja, juga sibuk dengan hal ehwal pekerjaan. Bila jadi pensyarah, bagai dua kali ganda pula ‘kesibukannya’. Tidak kurang juga seperti pelajar, juga dalam masa yang sama adalah pengajar. Tambahan lagi bila kita juga pelajar (insyaAllah, bakal menyambung Sarjana Syariah dan Pengurusan – doakan saya).

Walau apapun alasan kita dengan “kesibukan”, bersedarlah dengan sepenuh keimanan bahawa kesibukan yang paling utama adalah bersibuk untuk sentiasa bersama-Nya, lalu bakal menjadilah akhirat itu sebagai destinasi utama. Itulah hakikat pekerjaan kita sebagai hamba Tuhan.

Iya, memang sangat lama Melati Jiwa ‘terbiar’ sehingga bersawang. Dan memang ramai juga yang bertanya mengapa lama tidak menulis. InsyaAllah, saya akan cuba peruntukkan masa dengan lebih baik selepas ini.  Kalau ikutkan hati, memang bergunung hajatnya kepada bangsa. Tapi untuk menuju ke puncak, pasti dengan melalui anak tangga yang banyak. Lalu, moga-moga saya ini sedang berada di ‘zon perusahaan’ ke arah itu.

Agenda penulisan; insyaAllah dalam masa terdekat, kita akan bersama Grup Karyawan Luar Negara lagi untuk pembukuan antologi puisi yang bakal berada di pasaran tidak lama lagi. Juga dalam pembikinan, usahasama antologi penulis wanita dengan Dewan Bahasa dan Pustaka. Doa-doakanlah moga dimudahkan urusan. Untuk jangka masa sedikit panjang, masih dalam peringkat awal penulisan buku teks Ulum Quran untuk pelajar Diploma Pengurusan Institusi Islam khususnya, amnya untuk semua mahasiswa, pelajar. Jangka masa ‘secepat mungkin’, masih menghutang tulisan berkenaan kesihatan wanita, usahasama dengan pengurus DeSegar. ( 😀 maaflah kiranya patik  masih menyebabkan projek ini terbengkalai. Patik akan cuba siapkan sesegera mungkin).

Jadi buat masa ini, saya masih sangat ‘sibuk’ dengan para pelajar Kursus Intensif Bahasa Arab tajaan Yayasan Pahang dan MARA bagi pelajar perubatan. Walau bagaimanapun, kursus ini bakal berakhir sekitar awal September, lalu akan bermulalah ‘kesibukan’ yang lain pula bagi melengkapkan saya sebagai manusia.

Dunia ini penuh pancaroba.

Maka, saya pun tidak sempatlah untuk meneruskan tulisan di sini memandangkan sebentar lagi para pelajar akan mula memasuki dewan kuliah. Kita ketemu kemudian sahajalah ya…

Oh ya, cuma satu lagi mahu saya sampaikan hajat di hati; kira-kiranya minggu hadapan saya mahu ‘mencari’ Lu’lu dan Marjan barangkali. Jadi, dengan tiba-tiba saya berasa gembira untuk mencari ‘perkara’ tersebut, sehingga bersusah payah mahu khabarkan di Melati Jiwa.

Lu’lu dan Marjan itu dinisbahkan sebagai ‘perkara’ comel seperti gambar di atas. ‘Perkara’ ini diinspirasikan oleh kejora saya.

Sekian, dimaklumkan. (“,)/