Antara Yang Bernama Air dan Api

26 03 2009

Waktu itu, dinihari yang mempunyai titisan hujan yang damai. Mengetuk gegendang telinga dengan baik-baik saja, dari jendela kamar.  Barangkali sepasang mata ini sedang katup meraikan pembaringan seperti sekujur mayat berkafan, namun bagai ada suara dari rasa terdalam di perdu hati membisikkan; “antara yang bernama air dan api…” lalu layar mata dipintas gambaran azali. Katup mata jadi rapat, memerah genang yang sukar.

Saya tidak pasti apakah yang sedang saya fikirkan tika dinihari itu, cuma bagai terlintas frasa jiwa; “kejahatan dan kedosaan itu bagai api yang memakan kayu-kayu kering” lalu datang pula frasa bening dari butiran tasbih; “dan air di kali itu bagai mencanai jasad batu yang keras menjadi lunak”. Katup mata jadi rapat, masih memerah genang yang laju.

Barangkali itu pengajaran dari sanubari yang ingin dibicarakan buat pagi ini.

Yang bernama api; fitrahnya membakar dan menyala. Memiliki keturunan dari neraka, membawa hangat dan perit, bias kepada azab abadi bila janji Tuhan tiba. Pasti.

Api yang membakar daunan, ranting kering; ah, sangat mudah. Sekali sambar sudah jadi makanan api yang mengenyangkan neraka. Begitulah laksana pahala dan amal kebajikan yang rangup-rangup diratah api dosa. Tanpa sengaja dan tanpa sedar. Kenapa amal kebajikan itu rangup dan kering? Tidak ikhlas, riak, ungkit, hilang suntikan iman lalu keringlah sebuah pengabdian pada Tuhan. Bagai daun yang tidak hijau, malah layu dan mati. Kerana itulah mudah sahaja dimakan api. Di mana imanmu yang basah kepada Tuhan? Kering iman. Berbakaranlah dalam kedosaan.

Air yang bening itu, namanya bibit cinta dari Pencinta. Kamu tahu bukan, batu itu fitrahnya keras dan degil. Sedang air itu sejenis lena yang sangat damai dan sabar, tidak lemah tapi lembut. Begitulah halnya kebajikan dan amal ibadat yang kamu lakukan. Untuk melentur keras batu yang menjadi jantung dalam sanubari, bukanlah dengan sekelip mata. Perlu berkali-kali dan selalu, lalu panjanglah jalan mujahadah. Kerana itulah air itu juga namanya sabar. Berikhlaslah.

Namun, apa kamu tidak percaya, bahawa “kun fa yakun” itu hak Tuhan? Banyak perkara perlukan sebab untuk terjadi, dan perlukan sunnatullah untuk mendampingi alam. Namun, apabila yang berlaku itu tanpa sebab, yakinlah pada imanmu bahawa itulah namanya Jalal dan Jamalullah. Maka wajiblah kamu benar-benar sedar bahawa tiadalah kuasa yang sangat hakiki melainkan Kekuasaan Allah Yang Maha Esa. Allah Maha Agung, lalu bersedarlah kita ini hamba.

Lalu biarkan genang dingin memahat keras batu di sanubari itu…





38 haribulan, 58 jam sehari

17 03 2009

BARANGKALI ada bulan yang bersepai jatuh di atas hari-hari yang membina tahunan. Lalu, bertaburanlah hari membentuk besar kepalanya yang tersendiri, sehingga menjadikan 38 haribulan sebagai sepurnama. Seterusnya, menjadilah 58 jam dalam sehari. Ah, itu barangkali namanya sebuah kerosakan atas muka bumi.

Maka, rindulah benarnya saya pada Melati Jiwa. Terasa sunyi pula tanpa cerita, perkongsian. Selalu sahaja, pabila berada di kafe, dalam kenderaan, menikmati bintang malam, atau di pembaringan menatap buku-buku yang mesra menceritakan ilham dan ilmu Tuhan, teringat benar pada Melati Jiwa. Ingin rasanya berkongsi bicara di sini. Jadi dalam sesempit waktu ini, mahu juga perkatakan satu dua perkara.

Kitab Suci. Al-Quran, bacalah selalu. Biarlah betapa sibuknya kita menelaah kitab-kitab yang bertambun, dua tiga puluh rak sekalipun, Kitab Agung ini mesti diberi haknya. Mesti dibaca, ditafsir, difahami dan diamalkan. Jika bukan kerana kitab inilah manual hidup kita sebagai seorang muslim, tentu kita sudah jadi kafir. Samalah seperti kereta, sudah namanya Volvo, usahlah kita sibuk buka buku manual Proton, atau Honda untuk merujuk hal ehwal enjinnya. Kalau hendak buka buku Produa, cukup sahajalah menjadi Kancil. Kurang lebihnya begitulah.

Zikir. Kita semua tahu bahawa hati itu milik Allah. Harus ingatannya pun kepada Allah selayaknya. Bukan pada yang lain. Lebih-lebih lagi dunia itu mudah membawa kepada kedurjanaan. Jika benar hati kita penuh dengan ingatan pada-Nya, tiadalah sempat berbuat dosa maksiat. Mengajari hati menyebut Allah itu perlu kepada ‘keselaluan’ bukan pada kadang-kadang sahaja. Berzikir pada Allah harus dididik sentiasa. Juga mengajari akal supaya mesra mengagungkan Allah dalam apa sahaja perkara. Iman itu bukan takat pada lojika, nescaya sukarlah untuk percayai kiamat dan alam ghaib. Kerana itulah Iman itu pada ketaatan. Lojika tidak mudah untuk taat pada sesuatu yang tidak mengikut sifir kejadiannya.

Selawat. Apakah kita ini hanya berselawat dan menyebut-nyebut nama baginda ketika Maulidurrasul? Atau pada tiap hari yang lain, kita ini bukan umat Muhammad? Sedang pada Hari Kiamat, mahu pula dapat syafaat Nabi Muhammad. Apabila kita mencintai sesuatu, kita tentu mahu dampingi selalu. Hendak selalu menyebut dan memanggil. Bertemu dan bersama. Serupalah juga seperlu kecintaan pada Allah dan Rasul. Kalau benarlah kita mencintai keduanya, pastinya selalu disebut-sebut, dirapati dan diulang-ulang selalu. Buat selalu apa yang disukai-Nya, dan menjauhi apa yang dibenci.

Apa kita ini akan hidup untuk selama-lamanya tanpa mati? Atau kita sudah tahu bahawa kita akan masuk kubur bila? Jadi tunggu apa lagi? Berzikirlah, berselawatlah, bacalah Al-Quran, seterusnya jadilah seorang hamba yang bertakwa dan beriman hingga selama-lamanya.

Kita ini banyak dosa? Bertaubatlah, atau masih mahu tunggu nyawa di kerongkongan?

Biarlah kita ini sesibuk manapun, janganlah sampai kesibukan dunia itu menjadi fitnah kepada hak akhirat yang lebih utama dan abadi itu.

Duhai hati, bersabarlah. Duhai Tuhan, Allah Yang Maha Esa, takwakanlah setiap detik nadi ini bernyawa kepada-Mu.