Kecintaan Itu Bernama Puisi Rindu (II)

13 02 2009

TERASA terlalu lama saya tidak menjenguk laman Melati Jiwa. Sebelum ini, meskipun tidak menulis di sini, singgah juga meninjau-ninjau. Minggu lalu (hingga hari ini juga) sangat sibuk. Ini pun baharu saja kembali ke Pahang. Urusi beberapa perkara di ibu negara, lalu berkejar kembali ke Pekan pula. Perkara begini sangat mencuri tenaga saya. Jujurnya, saya berat sedikit untuk menerima perkara yang perlu dilakukan mengejut. Namun, kerapnya begitulah. (Padahal, bila tiba saat kematian pun, akan mengejut juga). Apapun, alhamdulillah, Allah urusi dan bantu terlalu banyak perkara; moga kita terus berusaha untuk mensyukuri-Nya.

Pertama, mohon maaf kepada pengunjung Melati Jiwa yang sebilangannya kerap benar bertanya, bilakah mahu ‘update’ dan sambungi tulisan lalu. Insya Allah, dengan keberkatan Jumaat ini, kita cuba kongsikan sesuatu.

Awal pagi ini, ada panggilan yang diterima; berita kematian. Sebetulnya, hampir sepanjang minggu ini, ada sahaja khabaran kematian yang sampai kepada kami. Baharu kelmarin, ustaz Adham kembali ke rahmatullah. Ukhti hubungi saya tika itu di Sri Kembangan, katanya ustaz baharu meninggal jam 8 malam itu. Ada haru dan tangis yang menyusuli. Allah, terimbas segala kenangan, lalu besarlah rasanya sebuah kehilangan.

Semalam pula, anak kepada saudara kami yang berada di Kampung Marhum, Pekan dijemput Ilahi. Usianya pun muda  lagi. Belum sempat menghirup nafas baharu, pagi ini ada lagi khabaran kematian. Seorang sahabat abah yang meninggal kerana menghidapi kanser. Namun itu semua penyebab, hakikatnya Tuhan juga penentunya.  Oleh itu, kepada diri; bersedarlah kamu bahawa kematianmu juga sedang sangat hampir. Maka awasilah, setiap detik yang kamu usahakan untuk duniamu, pastikan akhirat menjadi dasarnya supaya kamu tidak menyesal bila dijemput kembali menghadap Ilahi sedikit masa nanti. Sedikit saja masa nanti. ‘Bersabarlah’ menantinya. (Apa benar kamu menantinya?).

Perkara yang sangat biasa kita dengari, dan sangat tahu tentangnya; seruan berzikir dan berselawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W. Sedarkanlah diri kita semua bahawa berzikir dan mengingati Allah siang dan malam itu adalah suatu kewajipan. Jika di dalam kehidupan seharian, kita dituntut supaya sentiasa mengingati Allah, di dalam solat apatah lagi.

Permasalahan yang membelenggu kita adalah; di dalam solatpun, kita masih lalai dari mengingati Allah. Habis, saat bilakah lagi mahu kita ingat pada Kuasa Agung yang meminjamkan segala kurniaan kepada kita?

Analoginya, secara mudah digambarkan seperti ini; katakan anda sedang bercakap dengan seseorang. Anda memanggilnya, tapi dalam masa yang sama anda tidak pandang kepadanya. Malah, anda memalingkan pandangan ke arah lain, bahkan mungkin langsung membelakanginya. Sedang lidah anda terus memanggil namanya. Selain itu, ada juga meminta-minta pelbagai kehendak padanya, tapi anda tidak mahu pun untuk mengenalinya. Bila bercakap dengannya, anda acuh tidak acuh saja. Bahkan  selalu saja melakukan kebenciannya.

Begitu jugalah dalam solat. Kita bermula dengan “Allahu Akbar”, namun adakah benar kita sedarkan hati, jiwa dan akal kita terhadap “Allah Maha Besar” itu? atau kita mula menjelajahi alam, memikirkan “apakah yang hendak anda buat lepas ini? Alamak, kunci hilang, di mana ya? Oh, baharu ingat, ada letak dalam kocek baju dalam almari belakang pintu… (dan sebagainya)”. Sedar-sedar, andapun sudah selesai memberi salam kedua. Maka, dengan cepat-cepat anda pun mahu segera meluru mendapatkan kunci yang hilang itu “nasib baik aku ingat di mana letaknya” lalu anda sebenarnya lupa akan kehilangan yang lebih besar; kehilangan kewajipan akhirat; solat.

Dengan begitu mudah, kita mempiciskan hal ehwal solat untuk dunia yang sangat sedikit. Kerugian yang lebih besar, kita tidak menjaga adab dengan Tuhan. Itulah namanya biadab. Kita hanya menyebut nama-Nya, tetapi menjahilkan diri untuk mengenali-Nya sedang Dia sangat mengenali kita langsung mengurniakan segala macam anugerah kepada kita. Lalu, di manakah kebertanggungjawaban kita pada-Nya yang telah menghidupkan kita?

Ingatlah, kita ini hamba. Ya, hanya hamba. Oleh itu, janganlah belajar untuk menjadi biadab dengan Tuan. Ikhlaslah menjalani beribadatan pada-Nya. Kamu hanya hamba. Dan tuanmu itu Tuhan Yang Maha Agung; Allah SWT.

Ringkasnya, bagaimana mahu beradab dengan Tuhan?

“Selalulah muroqobah (ingat-ingatkan sentiasa) akan Kewujudan-Nya, Keagungan-Nya, dan Kesempurnaan-Nya dalam setiap apa yang kita lakukan sebagai hamba. Sesungguhnya hamba tidak akan terlepas dari pengawasan Tuhannya. Jika kamu sedang bersolat, belajarlah untuk mendidik hati dan akalmu untuk mengingati akan “Kewujudan, Keagungan dan Kesempurnaan-Nya” itu.

Bersambung…