Kawasan Larangan

16 01 2009

jangan-buang-kucing-di-sini

ANDA berada di kawasan larangan membuang kucing. Sila patuhi etika kemanusiaan dan kebinatangan. Dilarang membuang kucing di sini. Kerjasama anda semua amat dihargai.

“Abah, nampak tak apa yang saya nampak?” tanya saya sebelum keluar dari perut kereta. Abah pandang sekeliling, tapi gagal mengesan apa-apa perubahan.

“Saya nampak. Ada perempuan pakai baju warna pink tu. Beberapa saat yang lalu…”

“La… patutlah ada kotak satu lagi depan pintu kita. Abah pun pelik juga…” akhirnya abah juga menyedari.

SEJAK memang diketahui umum bahawa keluarga kami ini ‘mesra-kucing’, malah di kedai gambar kami pun, macam-macam aksi kucing jadi modelnya, maka mulalah kami dijenamakan sebagai; nurseri kucing – pembela kucing – klinik kucing – tempat buang kucing.

Semenjak dua ini, selalu saja saya sempat menjejaki suspek yang melakukan jenayah pembuangan haiwan (kucing) di rumah/kedai kami. Bulan lalu, seorang (yang dirahsiakan namanya) dengan suka-suka-hati-dia-saja memberi arahan begini kepada rakannya; “kau letak je kucing tu kat kedai sebelah…” (ekoran daripada seekor binatang yang kuat benar mengiau di ‘tempat mereka’).

Waktu itu di ‘kawasan kami’ memang sudah ada ‘kucing ibu’ yang sedang berpantang lepas bersalin 5 ekor anaknya. Maka, semakin gamatlah keadaannya. (perkhidmatan mengurut ibu kucing selepas dan sebelum bersalin pun ada juga biasanya.)

Bukan hendak marah atau apa, cuma kekadang; “suka-hati-mereka-saja” membuang-buang di tempat kami. Kekadang, masalahnya sebab kami ini tidak cukup kaki tangan untuk menyelenggara anak-anak dan ibu-bapa kucing yang terbuang itu. Tidak diselenggara, tidak sampai hatilah sangat. Jadi, berpada-padalah ya.

Namun, selain kes jenayah ‘pembuangan’, kami juga sering menjadi mangsa jenayah ‘kecurian’ yang dilakukan oleh para manusia tidak bertanggung jawab yang ‘suka-hati-dia-saja’ mencuri ‘ahli keluarga kami’. Tak baik tau! (Mak kata, nanti mak nak tuntut di akhirat siapa yang curi kucing kami tu).

Mencuri adalah satu kesalahan. Patut dihukum! ~Tapi, kalau curi hati?~

Berbuat baiklah kepada semua yang Allah hadirkan untuk kita. Siapapun mereka. Selagi bukan namanya musuh (yang wajib diperang), maka berbuat baiklah. Bersangka baik dan ikhlaslah selalu. Semua itu rahmah.

Tapi awas! Jangan pula ‘berbuat baik’ dengan apa-apa yang dianjurkan oleh “Musuh Yang Paling Wajib Diperangi” yang berada dalam sanubari kita itu pula. Sekuat laung untuk boikot Israel, kuatkanlah juga ‘laung’ untuk boikot nafsu dan syaitan yang bakal menjanjikan sebesar-besar jihad itu. Sahutlah jihad terbesar ini! Allahuakbar!