Salam Asyura

7 01 2009

barang-baru

SEDAR tidak sedar, sudah sepuluh Muharam. Sekejap benar waktu berlalu. Dan terlalu benar banyaknya dugaan yang telah melanda kita, umat Islam di sini, sedunia.

Baharu pagi tadi, menyempat separuh siang menyelesaikan ‘kes-umat-Islam’ yang berlaku di daerah Pekan ini. Mahu ‘naik-darah’ juga jadinya bila berhadap begini. Itulah realiti yang biasa terjadi. Mahu lunaskan dakwah, tidak boleh dengan marah, tidak juga boleh dengan belaian. Tegas dan berhemah. Sabar itu kepalanya. Kalau kepala ini pun terpenggal, usah dicarilah tegaskah, berhemahkah… ~ Moga Allah hidayahkan kesabaran dan ketakwaan.

Tengahari, balik sahaja rumah, siap-siap untuk masak. (Mak pesan suruh beli ikan, tapi…)

Antara sebab kenapa ‘terlalai’ dari tanggungjawab beli ikan;

– Ada anak kucing belang-belang yang menangis kuat sangat, jadi abah suruh tengok (sebenarnya abah suruh ambil).

– Bila naik rumah, kucing ni tak mahu makan, jadi mandikan dia dulu, syampu cap kucing. Bagi minum susu (anak kucing, ibu susuannya lembu – susu cap lembu, jenis kucing).

– Lepas kucing kenyang, dia nak tidur, tapi tak mahu tidur sendiri (jadi tukang dodoi pula). Tak mahu tidur dalam sangkar tapi mahu ‘lending’ atas katil. Manjalah sangat ‘barang-baru-ini’.

– Tapi, bila tersedar dari tidur, dia nangis lagi kuat-kuat.

Penat sudah jaga ‘barang-mainan-baru-abah’ ini. (tapi bila lihat mata ‘barang-baru-ini’ dalam-dalam, rasa kasihan sangat. Tentu anak kucing ini adalah dari salah satu kes mangsa anak terbuang. Kecil-kecil sudah tercerai dari ibunya. Kalau tengok mukanya, rasa kasihan sangat).

DALAM hal sekecil-kecil pun, kekadang kita boleh dilekakan dari tanggung jawab. Ini baru hal ‘mainan’. Jika hal yang lebih besar?

Salam Asyura. Moga ada kebaikan yang kita peroleh. Moga ada kebajikan yang kita usahakan.

Sebenarnya perjuangan ini makin berat. Moga diringankan dengan berganding bahu dan terus berdoa.

 

~ Pening sudah, mukaddimah demam sudah masuk bab satu. Mak suruh makan minyak ikan~