Kecintaan Itu Bernama Puisi Rindu (I)

30 01 2009
“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat untuk Nabi. (Oleh itu) wahai orang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepada-Nya.” (al-Ahzab;56)

JUMAAT ini cepat benar mengejar usia yang makin dekat ke pangkalan. Apabila waktu yang ditetapkan itu tiba, maka kita akan beradulah di dalam perut bumi; yang bernama liang lahad.

Dunia ini bukan untuk selama-lamanya. Kita akan mati. Ya, sangat akan mati. Dan pernyataan ini sangat benar. Jesteru, percayalah bahawa kita akan kaku di pembaringan. Lalu, dalam mahu atau tidak, kita pun diselenggara. Dengan cermat sebagai ‘orang baru lepas mati’, kita pun dimandikan. Iya, mandi macam biasa. Cuma kali ini kita ‘dimandikan’.

Dengan ‘keharuman’ air mawar, kita pun dipakaikan pakaian putih bersih. Itulah saatnya tubuh kita ini dikafankan. Kita pun dunia ini lagi tidak pandai untuk pakai kain kafan sendiri. Kalau mahu disuruh pakai sendiri, waktu hidup pun tak terpakai. Jadi, bila kita mati nanti, dengan penuh cermat, akan adalah yang menolong kita pakai kain kafan tersebut. Waktu itu, kita dalam keadaan paling bersih setelah dilahirkan, dihidupkan kemudian dimatikan.

Kita diurusi bagai pengantin. Putih bersih. ‘Cantik’ sangat.

Disolatkan, diusung ke perkuburan. Mengapa? tidak gembirakah diusung? Waktu hidup dulu mana pernah kita diarak begitu. Sekali itu sajalah.

Kita pun dikebumikan. Iya, dimasukkan atau ditanam di dalam bumi. Dulu-dulu kita duduk diam-diam dalam perut emak. Tapi bila dah besar macam ni; sudah pandai baca entri macam ni, maka tentulah tidak muat hendak masuk perut emak semula. Jadi, ke perut bumilah kita ‘tidur’ pula. Duduk diam-diam ya.

Tapi, boleh diamkah? Nanti, malaikat bergandingan pun menjengah. Waktu itu kita seorang diri sahaja. Kalau ada amalan, bolehlah jadi teman. Kalau baik amalan, malaikat pun datang dalam keadaan baik-baiklah. Kalau sebaliknya…

Cerita ini panjang lagi. Lambat lagi habis. Saya pun terpaksa potong dulu yang panjang itu. Nanti episod lain, saya sambung lagi kalau ada umur.

Cuma, konklusi untuk kali ini;

Nanti, kita kan dah mati. Lepasi alam barzakh, kita pun bangkit semula di Mahsyar yang Allah telah janjikan. Malah, wajib pula kita beriman padanya. Waktu itu, kita tentu mahu tunggu syafaat Nabi kita. Jadi, macam mana nak dapat syafaat kalau tak ikut sunnah?

Dulu-dulu, waktu Baginda Nabi Muhammad berada di hujung hayatnya, Baginda sebut nama kita. “Ummati… ummati…” kenapa? Sebab Nabi sangat kasih dan cintakan kita ini, umat Baginda. (Sebab itulah kalau orang bercinta, dia suka sebut nama ‘kecintaannya’ selalu).

Habis tu, kita ini cintakan Nabi atau tidak?

Moga ‘kecintaan’ ini bersambutan.

Para muslimin muslimat sekalian, tidak rugi kita cuba amalkan selalu selawat ini, moga bertambah kecintaan kita kepada Manusia Agung itu. Percayalah, cinta itukan boleh dipupuk.

Pupuklah hatimu untuk mencintai Baginda...

Ayuh, pupuklah.

Kecintaan itu bernama puisi rindu.

Bersambung…





Dunia, bersujud sudah!

27 01 2009

DUNIA, pada ketika kamu memanggilnya, maka dia akan datang kepadamu dengan segala macam pesona sehingga kanu tidak sabar untuk memilikinya.

Namun, apabila kamu mahu melihat akhirat, dunia akan mencuri pandanganmu. Pada tika itu, bayangan dunia pasti masih hidup di balik kelopak matamu meskipun kamu mahu katup dan tidak mahu melihatnya. Lalu kamu pun mengadu kepada Pencipta Dunia, sehingga matamu jadi basah.

Apabila kamu memilih akhirat, dunia akan merayu padamu. Tika itu, boleh jadi kamu pun goyah dengan rayuan yang sememangnya kamu bisa cair. Lalu kamu menutup telingamu. Tidak mendengarnya. Enggan menyelami bisikannya. Lalu, kamu sangat rindu dengan suara azan dan al-Quran di samping tahlil yang menggegarkan jiwamu.

Apabila kamu tidak mahukan dunia, nescaya dunia akan melamarmu. Lalu kamu menjadi sedih; kenapa masih dunia mencarimu sedangkan kamu sangat mahu melepaskannya. Dunia pun mula berbisik dalam hatimu. Maka kamu semakin kuat diuji. Lalu, kamu harus sentiasa mendidik hatimu dengan zikir tulus kepada Pemilik Hati Yang Maha Agung. Bila lama-lama, kamu pula mabuk dengan cinta dari syurga. Bermakna, gagal lagilah dunia untuk kali ini.

Apabila kamu menolak dunia, nescaya dunia akan sujud kepadamu. Maka, sekuat badai di lautan api, kamu pun tundukkan nafsumu. Lalu, kamu benamkan dahi ke bumi Tuhan dengan lautan iman yang sangat rindu. Kamu harus terus mendidik hatimu untuk Tuhan. Seraya seluruh kerajaan dirimu menjadi aliran zikir yang mengalir dalam darah ke segenap saraf. Menjadi makanan setiap sisi daging dan organ. Kamu ajarkan sekalian jasad menyebut nama Allah. Akhirnya, kamu sedar bahawa kamu itu tidak wujud. Kerana yang wujud itu Allah. Abadi selama-lamanya.

Maka katakanlah pada dunia; sudah cukup Tuhan untukku. Lalu aku bersedia untuk memilih akhirat.

 





Ayuh, sertai!

22 01 2009

gerhanask1-2

ESOK, 23 Januari 2009, bertempat di tempat letak kereta masjid Sultan Ahmad Shah, Kuantan akan diadakan Hari Solidariti Palestin. Boleh kata seharianlah esok. Dari pagi sampai malam, sekali kuliah maghrib dan solat hajat.

Sesi pameran dan program sebelah siangnya dari jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengahari.

Bagi yang berkelapangan, marilah beramai-ramai sertai kami!

😉

 

~alamak, rasa macam demam pula…~





Lensa Jati di Fotopages kini berpindah

20 01 2009

ALHAMDULILLAH. Pertama, terima kasih kepada junior saya, saudara Asyrazi atas keperihatinan beliau menyelamatkan saya dari terus menggunakan produk yang disokong ramai puak Israel itu, sejak saya membina Lensa Jati di Fotopages.

Jadi, setakat ini, http://www.photoblog.com/lensajati/ merupakan satu alternatif blog foto untuk saya terus menggempur karya fotografi di sana.

Sehubungan itu, anda pun dijemputlah berkunjung ke laman foto Lensa Jati yang baru itu.

Jadi, entri kali ini hanyalah untuk membuat pengumuman ini. Memandangkan saya sedang sibuk dengan projek penulisan buat minggu ini, maka tidak sempatlah untuk saya berceloteh panjang.

Insya Allah, esok saya akan cuba untuk berkongsi dengan anda semua satu selawat – ingatkan saya jika terlupa.

Ketemu nanti.

Wassalam.

Ayuh, teruskan doa buat saudaramu di Palestin, boikot Israel!





Sempat?

19 01 2009

SEMPAT rasanya. Baru balik dari perpustakaan. Kepala rasa pening-pening pula. Tiba-tiba mata diterjah kantuk yang entah dari mana asal usulnya. Aduh, ini bukannya waktu tidur. Waktu kena betul-betul diuruskan dengan baik. Ada empat buah buku yang perlu dibaca sebelum hujung minggu. Ada lembaran manuskrip yang perlu disiapkan sebelum hujung bulan. Sempat ke?

Pagi tadi sempat lagi hantar mak naik ambulan. Saya tak naiklah. Saya naik letak barang saja. Mak bertugas ke Chini minggu ini. Di kem PLKN di sana. Maka, berdiamlah mak di kem sana sehingga hari Jumaat. Moga segala urusan kerja mak di sana dimudahkan. Banyak-banyak selawat dan zikir 😉 Sayang mak!

Saya rasa, tempoh masa untuk beberapa urusan yang agak banyak juga ini sudah makin pendek. Tapi saya harap sempat untuk urusi semuanya. Moga Allah mudahkan.

Pun dalam keadaan macam ini, sempat lagi saya ‘menembak’ habuan-habuan Lensa Jati bila keluar rumah. Ada saja aktiviti yang mahu dibuat, sambil sempat menghalau stres yang suka ketuk pintu jiwa.

Bila banyak masa ‘menembak’, maka sempat lagilah pula ber’fotopages‘. Almaklum saja Fotopages saya yang lama itu sudah berhutan rimba lama tidak diselenggara. (Gara-gara lupa username dan password langsung). Jadi, senang-senang, saya buat sajalah laman blog foto yang baharu. Lalu lahirlah blog kedua di bawah ‘Galeria Ainaa Suhaimi’ yang masih menggunakan nama Lensa Jati (selain lensajati.wordpress.com yang juga terbengkalai lagi pembinaannya, ini versi anak cicit dialah). Sempat lagi. (boleh faham ke?)

Antara sebab saya terpaksa juga (tak terpaksa pun, suka saja…) hidupkan Lensa Jati di Fotopages pula antaranya;

– Saya kan suka muat naik gambar untuk Melati Jiwa.

– Sekarang kapasiti gambar dalam blog ini sudah makin terhad dan akan habis. Untuk muat naik dengan kapasiti yang lebih besar, tentulah saya perlu upgrade ke akaun berbayar.

– Saya tidak mahu bayar. Sebab saya hendak blog yang free dengan kapasiti unlimited 😀

– Dengan merajinkan diri memuat naik di Fotopages sambil menulis entri di sana, saya dapat menghubungkan link foto di sana ke Melati Jiwa.

– Jadi, saya pun dapatlah menambunkan gambar tanpa had di Melati Jiwa juga.

– Maka, jimatlah duit saya dengan blog yang percuma dan kerajinan yang bertambah. 😉

Sempat lagi saya berleter di sini, sedangkan saya kena baca buku.

Ok, jumpa lagi. Selamat datang juga ke laman Lensa Jati di http://ainaasuhaimi.fotopages.com/

Oh, saya tak sempat beli ikan di pasar tadi. Lupa. 😀





Saya kan kakak…

18 01 2009
Selagi tidak menangis adik yang seorang lagi tu, selagi itulah disakatnya... Haih, Amin... Amin...

Selagi tidak menangis adik yang seorang lagi tu, selagi itulah disakatnya... Haih, Amin... Amin... (gambar sekitar tahun 1996)

“MARI sini, saya tengokkan,” sambil mengusap kepala Amin yang tampak berbenjol sudah di bahagian belakangnya. Ada juga kesan merah-merah. Katanya bahagian bawah dagunya pun sakit. Saya usik sikit, “sakit ke?”. Terus, dari lengan sampai ke tangan, pun merah-merah sikit. Usap pun usap juga, leter pun leter juga. Tapi dalam hati ini, sayu sebenarnya. (Ya Allah, kenapalah sampai jadi macam ini adik aku)…

“Macam mana sampai boleh jadi macam ni? Cuba awak bagitahu saya…”

“Budak-budak tu, dia pulas tangan Amin ke belakang, pastu ada yang hentam kat dada. Belakang pun kena…” cerita Sang Amin sambil tunjuk bagaimana tangannya dipegang, dan sebatang tubuhnya ‘dibantai’.

“Kepala tu?”

“Lepas tu, diorang hentak helmet kat kepala Amin…” rendah saja nada Amin. Ada nada sayu, sangat kasihan. Sedihnya hati ini mendengarnya. Melihat pula dia yang hincut pagi-pagi. Rupa-rupanya bertumbuk malam tadi. Kasihan pun, leter masih lagi. Bukan mahu marahkan Amin, tapi jangan sampai berlaku lagi perkara begini.

Punca berlaku ‘kes belasah’ ini tidak dapat diketahui. Amin masih tak bersedia untuk bercerita barangkali. Jadi, bermain-mainlah selalu hal ini di benak.

Entahlah. Tapi, andailah saya berada tika Amin dibelasah oleh budak-budak itu, rasanya saya masih berani untuk menjerkah supaya mereka melepaskan adik saya. Walaupun ‘apalah sangat yang ada dengan jeritan/jerkahan’ orang yang lemah macam saya pula, perempuan pula… namun sekurang-kurangnya saya tidak mahu benarkan mereka menyakiti adik saya. Meskipun taek-won-do saya pun tak sampai tali pinggang hitam, tapi kalau keadaan terdesak, keselamatan diri sendiri jatuh tempat kedua. Yang penting, orang yang kita sayangi tidak disakiti. Lagipun, saya kan kakak.

“Amin, awak janganlah nakal-nakal sangat. Saya ni tak daya hendak jaga awak yang dah besar panjang tu. Tapi, apa-apapun yang berlaku pada adik saya yang seorang ni, awak kenalah tahu, saya ni sayang awak. Tunggu awak saja kena sayang diri sendiri.”

Saya kan kakak awak.

 





Kawasan Larangan

16 01 2009

jangan-buang-kucing-di-sini

ANDA berada di kawasan larangan membuang kucing. Sila patuhi etika kemanusiaan dan kebinatangan. Dilarang membuang kucing di sini. Kerjasama anda semua amat dihargai.

“Abah, nampak tak apa yang saya nampak?” tanya saya sebelum keluar dari perut kereta. Abah pandang sekeliling, tapi gagal mengesan apa-apa perubahan.

“Saya nampak. Ada perempuan pakai baju warna pink tu. Beberapa saat yang lalu…”

“La… patutlah ada kotak satu lagi depan pintu kita. Abah pun pelik juga…” akhirnya abah juga menyedari.

SEJAK memang diketahui umum bahawa keluarga kami ini ‘mesra-kucing’, malah di kedai gambar kami pun, macam-macam aksi kucing jadi modelnya, maka mulalah kami dijenamakan sebagai; nurseri kucing – pembela kucing – klinik kucing – tempat buang kucing.

Semenjak dua ini, selalu saja saya sempat menjejaki suspek yang melakukan jenayah pembuangan haiwan (kucing) di rumah/kedai kami. Bulan lalu, seorang (yang dirahsiakan namanya) dengan suka-suka-hati-dia-saja memberi arahan begini kepada rakannya; “kau letak je kucing tu kat kedai sebelah…” (ekoran daripada seekor binatang yang kuat benar mengiau di ‘tempat mereka’).

Waktu itu di ‘kawasan kami’ memang sudah ada ‘kucing ibu’ yang sedang berpantang lepas bersalin 5 ekor anaknya. Maka, semakin gamatlah keadaannya. (perkhidmatan mengurut ibu kucing selepas dan sebelum bersalin pun ada juga biasanya.)

Bukan hendak marah atau apa, cuma kekadang; “suka-hati-mereka-saja” membuang-buang di tempat kami. Kekadang, masalahnya sebab kami ini tidak cukup kaki tangan untuk menyelenggara anak-anak dan ibu-bapa kucing yang terbuang itu. Tidak diselenggara, tidak sampai hatilah sangat. Jadi, berpada-padalah ya.

Namun, selain kes jenayah ‘pembuangan’, kami juga sering menjadi mangsa jenayah ‘kecurian’ yang dilakukan oleh para manusia tidak bertanggung jawab yang ‘suka-hati-dia-saja’ mencuri ‘ahli keluarga kami’. Tak baik tau! (Mak kata, nanti mak nak tuntut di akhirat siapa yang curi kucing kami tu).

Mencuri adalah satu kesalahan. Patut dihukum! ~Tapi, kalau curi hati?~

Berbuat baiklah kepada semua yang Allah hadirkan untuk kita. Siapapun mereka. Selagi bukan namanya musuh (yang wajib diperang), maka berbuat baiklah. Bersangka baik dan ikhlaslah selalu. Semua itu rahmah.

Tapi awas! Jangan pula ‘berbuat baik’ dengan apa-apa yang dianjurkan oleh “Musuh Yang Paling Wajib Diperangi” yang berada dalam sanubari kita itu pula. Sekuat laung untuk boikot Israel, kuatkanlah juga ‘laung’ untuk boikot nafsu dan syaitan yang bakal menjanjikan sebesar-besar jihad itu. Sahutlah jihad terbesar ini! Allahuakbar!

 





Hitungan (I)

14 01 2009

medina-azzahara-sepanyol1

KITA tidak tahu. Barangkali kita juga tidak mahu. Namun bila apa yang dinamakan takdir itu menentu, kamu pasti akan fahami sesuatu. Meskipun belum bersedia untuk mahu. Ataupun, langsung tidak mahu untuk mahu. Makhluk yang bernama ‘masa’ itu akan terus berlarian. Meninggalkan sisa hidup kamu dengan pasti.

Menghitung hari, membenam rasa. Lalu saya mula sedari ; ini amat sukar.

Tunggulah ketikanya, pasti akan kelihatan apa itu hitungan. (uh, diri ini tidak mahu menunggu, dan tidak mahu melihat waktu yang tiba).

Belajarlah bersenyum dengan kasih sayang Tuhan. Takdir itu sebuah cinta dari langit.

Ini amat sukar.

… maka yang memudahkan itulah Allah, Tuhan Sekalian Alam.

 

(Lembar kali ini hanya sebuah monolog. Kalau kurang mengerti, boleh abaikan sahaja)





Jihad Selagi Mampu

12 01 2009

refugees_2

CUKUP! Jiwa sudah tidak tahan lagi. Palestin terus digilis. Saudara-saudara di sana sedang derita dengan tangis dan tragedi. Pembunuhan, penyeksaan, penyembelihan! Sedang saya di sini? Saya mesti lakukan sesuatu!

Bila makin baca berita saban hari, lagi tidak senang duduk jadinya. Kejap ‘call’ sana, kejap ‘call’ sini. Mesti lakukan sesuatu! Doa harus selalu, dan usaha harus padu. Kalaulah ada peluang, tentu sampai ke tanah Aqsa itu mahu saya jejaki. Mahu sama-sama bantu dan jihad.

Alhamdulillah, menyempat juga semalam daftar sebagai sukarelawan Sekretariat Solidariti untuk Palestin. Untuk waktu terdekat ini, insya Allah, kita akan buat Hari Solidariti Palestin pada 16 Januari.

Pada kesempatan ini juga, berkenanlah saya  menyeru sesiapa yang berminat untuk menjadi sukarelawan, bolehlah kita sama-sama berganding bahu (terutama sekitar Pahang). Selain sukarelawan Sekretariat Solidariti untuk Palestin, anda juga berpeluang menjadi sukarelawan bagi Badan Nadwah Islamiyah Pahang, (QUDWAH).

QUDWAH juga akan mengadakan program-program berbentuk motivasi untuk pelajar sekolah sepanjang tahun ini. Jika anda adalah pelajar IPT atau graduan di sekitar Kuantan, anda juga dipelawa untuk menyertai kami sebagai urus setia/fasilitator untuk program tersebut. (informasi)

Sebagai umat Islam yang mengucap dua kalimah syahadah, jangan kita lupa bahawa di bahu kita terpikul tanggung jawab. Tanggung jawab berdakwah, mencegah kemungkaran, menyeru kebaikan dalam hal sekecil-kecilnya hingga sebesar-besarnya. Dari amanah untuk diri sendiri sehinggalah terhadap masyarakat, negara, untuk Islam. Jika kita membantu agama Allah, tidak akan sia-sia. Ini janji.

Waktu terus berkejaran. Palestin masih dihujani peluru. Denyut nadi terus laju. Dari papan kekunci sebuah komputer, ada dialog yang meniti petang yang redup…

melati: tak tahan bila ghaza terus digilis, bagai dipanggil2 utk menyertai
sahabat: sudah sunnatullah. utk tahridul ummah dan persatuan ummat ini (tersenyum)
melati: huh.. kalaulah ada peluang utk ke sana…. wallah… mahu sama2 juang di sana
sahabat: (senyum)
sahabat: iraq, afghan semua sama
melati: ummm
sahabat: (masih senyum)
sahabat: bumi islam bukan gaza saja, bnyk. jd kita harus dukung dan support semua dunia islam
dan selalu semangat utk berjuang
sahabat: Allahu akbar
melati: Allahuakbar!

sejenak…

sahabat: dah nikah belum ni?
melati: belum
sahabat: kenapa belum?
sahabat: kamu tu dah cantik
sahabat: berilmu
sahabat: (senyum)
sahabat: seharusnya didampingi lelaki soleh
sahabat: (senyum lagi)
melati: kalau sampai jodohnya… adalah nanti (bersahaja)
sahabat: (senyum)
melati: tapi… lelaki itu harus sedia dimadukan
sahabat: maksudmu?
melati: juang dan jihad adalah suami pertama
sahabat: (masih senyum)
sahabat: ia lah
sahabat: harus tuh
sahabat: tapi kamu kalau dah nikah
sahabat: ketaatan kamu pada si suami pejuang itu
sahabat: jihad kamu adalah menjaganya
sahabat: (senyum lagi)
melati: (tidak puas hati)
melati: tp sy pun mahu juang
sahabat: (senyum)
sahabat: kamu nikah saja dulu
sahabat: nanti baru kamu tau mana yg lebih penting
sahabat: (masih lagi bersenyum)
sahabat: skrg belum nikah
sahabat: wajar saja semangat
sahabat: (seperti tergelak)
melati: (senyap – tidak mahu bicara lagi)

 

Untuk Islam, jihad selagi mampu. Moga syahid jadi penutup ajal yang satu. Terus! Terus! Terus!





Puisi Kecintaan

11 01 2009
gambarz_12041

ORANG ramai membakar bendera Israel ketika tunjuk perasaan membantah keganasan di Gaza, di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat, di ibu negara, semalam.

MACAM biasa, hujung minggu berdua dengan mak, jalan kaki sekitar tiga empat kilometer ke kawasan sekitar. Jalan perlahan-lahan, saya lagukan selawat sa’adah untuk mak. Mak hendak hafal, tapi lupa sikit-sikit perkataannya. Dulu, ada kumpulan Hijjaz nyanyikan selawat sa’adah itu. Pagi rasa hening saja. Demam pun sudah kebah sedikit, cuma ada batuk kecil dan masih ‘suara-orang-demam’ lagi.

Pagi-pagi lagi hati panas dengan berita-berita akhbar tentang Israel laknatullah. Geram sangat, jadi sayu di hujungan doa. Terasa lemah benar juang diri ini, sedang saudara-saudara di luar sana sangat derita dizalimi tanpa peri kemanusiaan. Sudah tidak ada kedamaian di tanah lahir sendiri, lalu menjadi padang jarak padang terkukur dengan simbahan darah yang segar.

Menghirup nafas pagi yang segar di sini, saya masih berjalan perlahan-lahan dengan mak. Banyak yang kami bicarakan. Berkenaan cara beradab dengan Tuhan, jangan sampai biadab. Wajib kita sentiasa merasa-rasakan adanya Tuhan, kewujudan-Nya, keagungan-Nya dan kesempurnaan-Nya. Dalam apa sahaja yang berlaku di dunia ini, itulah adab yang perlu kita hambakan kepada Tuhan – ingat akan kewujudan-Nya, keagungan-Nya dan kesempurnaan-Nya.

Melalui jalan-jalan lengang dekat pokok kemboja, saya teringat sesuatu lalu mengajak mak mengingatinya juga. Tentang pohon kemboja. “Mak ingat tak puisi kecintaan?” tanya saya. Mak diam saja, seperti sedang mengingat-ngingat memori itu. Langkah kaki terus berjalan. Lalu saya bicarakan untuk mak sebuah puisi kecintaan;

Kulihat bunga kemboja yang putih bertaburan,
kulihat daun dedaunan yang kering berjatuhan,
kutanya pada diri…
pernahkah Tuhan berjanji
adakah esok untukku?
Sedang aku berdosa…

Serangkap, dan kami bicarakan… Serangkap dan kami bicarakan…

Kulihat daun nyuir melambai
dibelai sang bayu…
kulihat pepasir memutih
dibelai ombak gemalai,
kutanya pada diri…
bilakah nanti diri ini
akan semesra itu
dengan sinar cinta-Mu…

Al-Quran adalah suara-Mu
zikir munajat adalah suaraku
di sinilah kita berbicara
dan berbual mesra…

Namun cahaya-Mu
membakar lautan rinduku
leburlah rasa
jiwa dan ragaku
namun kutetap cari dan mencari
cinta-Mu Ya Allah,
cinta Yang Hakiki…

Tuntunilah Ya Allah…
perjalanan ini Ya Allah…
Kegelapan malam yang kabur adalah kamarku
sinar cahaya-Mu yang meneranginya…
Tuntunilah Ya Allah…

Kami terus berjalan, mak pun sambung-sambung juga bait-bait puisi kecintaan. Ya, mak ingat lagi.

Lama berjalan, kami berdiam pula. Saya mula teringat kembali khabar pagi tadi – ya, masih sekitar isu saudara di Palestin sana. Puisi kecintaan?

Suasana hingar bingar, perang dan darah. Tangis dan tragedi. Puisi kecintaan?

Israel terus bertanduk. Manusia terus menjerit, demonstrasi serata dunia. Puisi kecintaan?

Palestin terus digilis.