Kawan Karib (II)

29 12 2008

ug4-1

HENDAK menulis, namun seperti tak tertulis pula. Ada urusan pelbagai yang menghambat supaya didahulukannya. Walaupun begitu, sebenarnya roh menulis itu tetap ada. Projek penulisan? Oh, masih sangkut dan moga dapat berjalan dengan jayanya (jangan minit terakhir saya terpaksa menolak lamarannya… – oh, tidak!). Saya akan berusaha untuk penuhi. Doakan saya…

Rentetan episod yang lalu; Kawan Karib (I). Saya telah menoktahkan cerita fasal merajuk dengan Azian. Juga tentang Fizzah.

Sambungan;

Baru-baru ini, saya bersama sahabat yang bernama Farah Hanan Aminallah, (dan individu yang terbabit) pergi mengikuti kursus Pra Perkahwinan di resort dekat dengan rumah saya. Boleh jadi, waktu itu adalah kali kedua saya bersama Farah dengan jangka waktu yang lama sejak 3 tahun lebih tidak bersua. Kali pertama jumpa dan bersembang agak lama adalah bila Farah baru pulang cuti dan bertandang ke rumah. Jadi, gara-gara terlalu lama memendam rindu dan cerita antara dua insan ini, saya jadi susah benar hendak berhenti bercakap dengannya. Meskipun kursus itu mengambil masa 2 hari, namun masih tidak mencukupi untuk kami saling bertukar cerita (walhal setakat yang saya kenali, saya adalah antara manusia yang paling tidak berkenan bercakap-cakap di belakang ketika menghadiri seminar atau ceramah atau apa-apa yang perlu diberi perhatian di hadapan, namun bila Sang Farah ini ada di sebelah, mulut jadi gagal dikunci). p/s: Jangan tiru aksi ini.

Seingat saya, kami mula rapat bermula darjah 4. Farah satu kumpulan dengan saya (termasuk juga si Nurul Aina (kembar nama), Nadzrul Shah, Salihin dan Hanif.) Dulu-dulu lagi, Farah selalu kena gastrik. Kekadang pucat saja mukanya, lalu perlu ke hospital. Kasihan sahabat saya seorang ini. Farah baik, nampak pendiam tapi dengan saya, mulut dia jadi banyak juga. Boleh tahan. Seorang yang manis sangat. Kekadang, seronok juga saya mengusik gadis ini. Ahah. Saya pun tidak pasti kenapa saya berkenan sangat dengan budak cerewet ini :-D.

Ketika waktu makan dalam kursus baru-baru ini, suka saya tengok Farah lama-lama. Iyalah, inilah dia orangnya yang selalu teman saya makan keropok di kantin (macam Fizzah juga). Dari bangku sekolah rendah, hinggalah sekolah menengah; menu keropok di kantin sekolah jadi antara ‘kegemaran’ kami. Kekadang kami pergi borong keropok dan jambu batu yang diletak asam boy dengan pak cik di pagar masjid sebelah sekolah bila petang-petang ada kelas taek-won-do. Wah, nikmat sungguh bersahabat.

Namun, bila tingkatan 4, saya sudah mula berpindah ke sekolah di daerah lain – Jerantut. Kami sudah jarang punya waktu bersama, meskipun dahulu kami selalu selalu benar berahsia dan kongsi cerita. Kekadang, abah bising gara-gara bil telefon rumah melambung. Memang benar, waktu untuk bersama di sekolah pun tidak mencukupi untuk kami berbicara, hingga ‘terpaksa’ bersambung dalam telefon pula (padahal, esoknya di sekolah dapat jumpa lagi).

Dulu-dulu, hampir tiap pagi saya akan dapat bunga. Itupun kalau si pemberi bunga itu ‘lewat’. Tahu sudah. Sahabat saya seorang ini, Siti Nur Sharbanu Azmi namanya. Tiap kali dia terlewat (bermakna saya terpaksa menunggunya dan mungkin telah terlepas satu dua buah bas ke sekolah), dengan tersengih-sengih dia akan menghulurkan sekuntum bunga pada saya. Jadi, tidak jadilah saya mahu marah. Tapi, kekadang, saya pula yang lewat. Aha, sungguh setia Banu menunggu. Kami satu perumahan yang sama. Cuma rumah Banu di lorong belakang. Farah pula di perumahan yang lain. Jadi, selalu sahaja pergi balik dengan Banu. Kekadang, ada masa kami ke masjid petang-petang untuk mengulangkaji pelajaran (‘study’ lah sangat). Bila Farhana (yang baru-baru ini melahirkan seolah Abdullah Fahri itu) berpindah ke taman perumahan kami, geng kami pun bertambahlah.

(tak habis lagi, tapi mahu berhenti sebelum laksa pahang yang kami buat tadi habis) 😀

bersambung…