Pagi Yang Ceria

28 12 2008

dec-28-08-inderapura

BOLEH tahan juga aktiviti pagi ini. Seperti semalam, cuma bezanya hari ini bawa kamera bersama. Sempat juga dalam jarak dua tiga (atau mungkin empat) kilometer berjalan kaki melihat alam (flora dan fauna), ‘menembak’ apa yang dirasakan patut. Seronok juga sejak agak lama tak punya masa untuk mengambil gambar sambil jalan-jalan bersenam. Bezanya kali ini berdua dengan mak. Selalunya kalau buat projek ‘menembak’ semacam ini, biasanya berganding dengan abah. Namun, semenjak dua ini abah masih tidak berapa sihat. Usai selesaikan sarapan untuk abah, kami berdua pun mula berjalan sehingga ke Taman Tasik Inderapura – berjalan dua tiga pusingan sambil meninjau-ninjau burung-burung pagi yang keluar mencari rezeki. Sempat juga mengambil gambar tiga empat jenis burung, termasuklah burung raja udang coklat (semacam merah). Semalam kami nampak dua ekor raja udang biru di parit sebelah jalan besar, tapi silapnya tidak ada kamera pula.

Subhanallah, Maha Sempurna Allah SWT menciptakan sekalian alam ini.

Semenjak mak mengalami hipertensi yang agak membimbangkan, kami mula merubah sedikit sebanyak cara pemakanan, juga bersenam bila cuti hujung minggu. Jadi, aktiviti kekeluargaan bertambahlah. Secara tidak langsung, saya juga turut terlibat dalam program kesihatan ini. (kalau tidak, tentu culas untuk keluar berjoging pagi-pagi).

Namun, gara-gara ketekunan mak menjalankan aktiviti senamannya yang tampak konsisten itu, selalu sahajalah saya perlu kejar mak kerana ditinggalkan jauh ke belakang. Apa tidaknya, bila mak sedang bersenam, saya juga sibuk mengamati-keindahan-alam dari lensa kamera. Jadi, sempatlah terpaksa berlecak, lalu mulalah air masuk ke dalam kasut dek mahu tangkap gambar burung. Paling tidak pun, akhirnya berlari anak mendapatkan mak, “mak… kerengga gigit saya…” lalu, baharu jalan jadi cepat. Minta mak pegangkan kamera dan menghukum mandatori sang kerengga yang telah menceroboh masuk ke dalam baju. Bisa juga kena gigitannya. 😦

bersama-bonda
(Tidak sempat mahu muat naik gambar-gambar tadi, ini saja yang sempat) Kami mahu bersiap untuk ke kenduri kahwin saudara Alias Baharom di Kampung Parit, Pekan. Senior saya tika di Morocco dulu. Selamat pengantin baru buat Abang Lias dan Abang Mie (semalam, maaf tak dapat hadir) serta pasangan masing-masing. Moga diberkati hingga ke syurga. 🙂