Lilah saya…

27 12 2008

ala... x ready lg...

DARI luar jendela, hujan masih lebat membasahi bumi. Malam jadi pekat. Syahdu saja terasa. Lalu jiwa mula dihambat rindu. Baharu tadi dapat ‘bertemu’ Khadijah Khalilah di Yahoo Messenger. Mahu bersemuka, berdakap dan bersama; jasad terpisah antara benua. Cukuplah bertemu secara maya buat mengubat rindu di kalbu. Terasa lama benar tidak bersua, usai terpisah kerana juang dan ilmu-Nya. Moga kita sama-sama cemerlang dunia akhirat, sahabat!

Khadijah Khalilah. Teman sebilik, sebelah meja, sebelah katil, sebelah almari, setalam makan, dua kepala, empat tangan, empat kaki (bukan berkaki empat), dua jiwa, satu persahabatan.

Lama tidak merisik khabar Lilah saya ini. Di hujung khabaran baharu tahu sahabat saya ini diserang lelah dek cuaca sejuk di Morocco sana (Rabat lah). Kalau dulu-dulu, selalu sahaja Lilah (selaku warden merangkap ketua kebersihan sejagat) akan memaksa saya memakan ubat. Bila tiba musim sejuk, mudah benarlah saya diusik lelah, batuk, demam dan yang berkaitan. Maka, sahabat saya inilah antara yang paling prihatin dan sangat baik hati ‘merawat’ pesakit luar kawalan di Salsabiela sana. Kekadang, tatkala liat mahu ke farmasi (juga gara-gara ‘ikat perut’ atau ‘kurang bajet’) sedar-sedar Lilah sudah belikan ubat lalu disuruhnya makan. Terima kasih, sahabat. Haru.

Bila malam-malam, kami selalu ‘pillow-talk’ sama-sama. Kadang-kadang sampai larut pagi. Ada sahaja yang ingin dikongsi, teman bicara. Ada masa kita ketawa bersama, juga menyeka air mata yang mengalir di pipi seorang sahabat. Susah senang kita harungi. Adatlah hidup penuh pancaroba, kelemahan dan kekurangan, juga kelalaian buat kita terjerumus melakukan kesalahan, namun sahabatlah cermin yang bersuara. Mengingatkan kita mana yang salah dan benar, lalu dari situ sebenarnya simbahan kasih sayang, meskipun tidak dapat kita lihat dengan mata; kerana layaknya dirasai dengan hati.

Buat Khalilah saya; moga cepat sembuh. Moga sentiasa ceria dan tenang selalu. (Lilah kalau senyum, cantik sangat, boleh jadi model Colgate) 😀

Benarlah sahabat, kekadang kita berkongsi mimpi yang sama dalam tidur yang rindu.

~Tiba-tiba rasa nak melepaskan bicara di Melati Jiwa pula sebelum minum susu panas dan masuk ke kamar, tidur dan mahu mimpi sahabat…~

Rindu kamu.

(ok Lilah… 1, 2 mula!)

Terkapar-kapar ku kelemasan
Sakit dilambung ombak kerinduan
Di dalam tidur di dalam jaga
Diburu oleh mimpi yang serupa
Mengapa aku jadi tak menentu
Keranamu…

Ku menyusuri jalan berliku
Membiarkan hari-hari berlalu
Tiada salam tiada pesan
Memaksa diri untuk melupakan
Namun wajahmu bermain di mata ku
Tiap waktu…

( korus )
Malam ku suram, siang ku kelam
Ku kegelisahan, mencari-cari
Kemana pergi, harga diri ini
Bertanyakan berita, merisik khabar
Mendengar cerita, melaluinya
Kau kuhampiri, tiap hari
Bersama luka dihati

Mengapa aku jadi tak menentu
Kerana mu…

~ Sudirman, Merisik Khabar.