Kerana Coklat

24 12 2008

cokelep

RASA merajuk dengan Pesona Peribadi. (memang salah saya asalnya – gara-gara mahu sangat makan coklat lewat malam tadi, merebahkan diri di pembaringan, mencapai Pesona Peribadi lalu menaip agenda terpenting 24hb (hari inilah, berkuatkuasa jam 8 pagi) adalah = membeli coklat.

Usai mencatat peringatan penting itu, saya membelek tarikh-tarikh lain. Rupa-rupanya saya telah tersilap ‘save’ dalam ‘folder‘ yang lain. Untuk mengubahnya, saya dengan gatal jari telah memadam sekalian agenda yang sebelumnya. Ah, habis sudah segala tarikh penting yang dicatat sejak di Morocco terpadam! Licin! Rasa terpana dan cuba tidak mahu rasa-macam-nak-berair-mata. Lalu saya dengan canggung sekali buat-buat sibuk sehingga mematikan telefon bimbit buat seketika. Kononnya tiada apa-apa berlaku.

Namun, tanpa disedari sebenarnya saya masih mencuba-mencuba kalau-kalau masih perkenan ‘undo’ atau menyelongkar ‘tong sampah’. Namun, terlajak padam, memang tak sama seperti terlajak perahu. Lalu dengan jiwa yang bergelora dan cuba ditenangkan, saya dengan jauh hati telah meminggirkan Pesona Peribadi dari kamar peraduan, berkalih dan tidak mahu menatapnya lagi. (buat waktu itulah). Sejurus, menekup muka dengan bantal dan cuba buat-buat tidur. Namun, naluri berbisìk, ‘salahkah saya nak makan coklat?’. Urmm… sedihnya. Pejam mata.

Pagi ini, selesai hantar mak kerja dan menguruskan satu dua perkara di bank, segera saya menyinggah ke 7-Eleven. Tanpa teragak-agak, tangan ini telah mengambil satu bar coklat hitam dengan buah-buahan dan kacang (biarlah kecilpun, asalkan dapat hilang mengidam). (Ada banyak pilihan, namun memandangkan sedang pakai baju ungu, pilih saja yang sama warna – nampak sepadan saja) 😀

Dalam hati ini masih ‘bengkak’ lagi teringat data-data yang terpadam dalam agenda semalam. Tapi, tak mengapalah, dapat makan ‘cokelep’ rasa terubat sikit. (sikit sahajalah).

Pokok pangkalnya; itulah dunia. Dunia bukan untuk selama-lamanya kerana sifatnya yang sangat sementara. Jadi, kita bersederhanalah (tak jadi pula mahu beli coklat besar) dengan apa yang dipinjamkan di dunia ini. Bersyukur dengan nikmat dan ujian walau bagaimanapun keadaannya. Yakinlah, seindah manapun kenikmatan di dunia, di akhirat nanti lebih abadi.

Begitu jugalah jika nikmat yang ada disalah gunakan. Tentu sahaja azab di akhirat itu adalah suatu kedahsyatan yang tiada taranya.

Kembali kepada Allah.

(Alhamdulillah, dapat juga nikmat coklat) 😉