Kawan Karib (I)

14 12 2008

zd242paddedted_pink

MASA kecil-kecil dahulu, tiba satu zaman yang mana kami ‘budak-budak-sekolah’ suka benar main tukar-tukar buku untuk tujuan koleksi ‘personal detail‘, ‘kenalilah diriku’, ‘biodata’ dan yang seerti dengannya.

Pada suatu ketika, sekitar tahun 1994/1995, keluarga kami telah berpindah daripada Kampung Marhum, Pekan ke perumahan Peramu Jaya 3, juga di Pekan. Cuma sekitar kurang lebih 10 kilometer. Maka, mulalah saya berpisah dengan orang-orang tersayang di kampung, termasuklah nenek, Tok Leng, Mak Darat dan Mak La. Rakan karib waktu itu ; Norazian Che Puzi.

Azianlah rakan sepadang, sepinggan, sebantal yang ke hulu hilir sama-sama. Rakan ketawa, menangis, merajuk dan sebagainya. Kalau pergi main parit atau berbasikal keliling kampung, alamatnya sama-samalah kami kena marah. Namun, budak nakal memang begitu. Tetapi hakikatnya, Azian tidaklah nakal, saya saja selalu merekrut dan mempengaruhinya supaya sama-sama berprojek nakal-nakal. Ah, sangat tragis. Sukar. Sebagai budak sekolah yang baharu hendak membesar dan mengenal identiti sendiri, perpisahan tika umur begitu sangat menyanyat hati dan menyeksa jiwa dan raga. (adegan yang pilu) 😀

Mula-mula saya di SK Peramu Jaya, saya rapat dengan seorang gadis kecil yang sangat sopan santun dan pendiam (walhal saya ini sangatlah banyak bercakap). Kami selalu makan keropok dan minum air sirap sama-sama di kantin. Entahlah, bagi saya, Nurul Fizzah Abdul Razak ini sangat baik orangnya. (malangnya sekarang saya tidak dapat menghubunginya).

Sejak berpindah, sekali sekala saya minta mak abah hantar balik kampung hujung minggu. Atau waktu cuti sekolah. Pada suatu petang yang kehujanan, kami tidak dibenarkan main di luar rumah. Jadi, berkumpullah saya, Azian dan beberapa orang sepupu sepapat di anjung rumah Mak Darat, di kampung. Aha…. kami menulis buku biodata. Main tukar-tukar.

Salah satu elemen dalam ‘kenali diriku’ itu selain makanan kegemaran dan hobi; sahabat karib. Maka saya dengan ‘angkuhnya’ (persis menunjuklah kepada Azian), saya katakan padanya “Ena dah ada kawan karib baru” lalu saya pun menulis nama Fizzah. Azian diam saja. Kemudian, bila tiba Azian pula menulis biodatanya, sampai elemen yang sama, Zian pun berkata, “Zian pun dah ada kawan karib baru” lalu dia menulis sebuah nama; yang pasti bukan nama saya. Pada ketika itu, saya mula mengalami bibit-bibit merajuk dan seperti-mahu-menangis. Aduh, cemburu yang teramat sangat. Saya (waktu itulah) bagaikan tidak boleh terima Azian sudah ada kawan baik yang lain. Namun, saya tidak berapa ingat berapa lama episod merajuk itu berlaku antara saya dan sepupu saya itu. Alahai Azian, tabah betul kamu menghadapi saya yang banyak kerenah ini :D. (Tapi, Azian sangat baik) – kerana yang nakal itu saya.

Kekadang bila teringat fasal masa dulu-dulu, rasa rindu sungguh untuk kembali bersama. Itulah indahnya ukhuwah dalam agama Islam ini. Kita dengan saudara seislam ini; bagaikan batang tubuh yang sama – satu anggota sakit, satu badan terasa demamnya.

Alhamdulilah atas nikmat persahabatan ini.

(nanti saya sambung lagi episod seterusnya – saya sudah sangat mahu makan laksa penang yang mak buat dari petang tadi. Tadi mak abah ke Kuantan, rasa tidak mahu makan sendiri, maka sekarang sudah sampai seru untuk saya makan sebelum Amin ‘menjamah’ kesemuanya…)

*Malam semalam disebabkan terlalu letih mengacau rendang, saya telah tertidur sebelum sempat makan malam, jadi sangat ‘teraniaya’ bila diulit sekalian mimpi ‘bab makan’ sehingga saya bagaikan benar-benar berada di gedung makanan. Langsung menjelang subuh, masih ada episod lain; mimpi Amin masak megi (mi ruski) yang ‘macam-best’, namun bilamana juadah itu mahu masuk dalam mulut, mak pun panggil bangun subuh. Aduh… moralnya, saya harus berhenti menaip sekarang dan bersegera ke meja makan bersama abah dan mak.

Bersambung…