Sunyi

24 11 2008

fadhilatul-aufa-irfan1

SUNYI teratak ini. Benar kata mak, anak kecil itu rahmah. Rezki dari Tuhan. Bila Aufa tiada di rumah, sunyinya sangat terasa. Tanpa Ayong yang suka ‘menggigit’ itu juga buat saya rindu.

Semalam, terasa berat menghantar Aufa berangkat ke Sri Kembangan. Mak dan adik bongsu ikut sekali. Saya tinggallah dengan abah dan Amin. Abah tidak berapa sihat semenjak dua ni. Moga Allah sembuhkan abah. Allahumma yashfih.

Sunyi. Rindu. Sayu.

Fitrah kita sebagai hamba-Nya, dilahirkan menjadi ‘seorang hamba’, tetapi tidak mungkin hidup ‘seorang’ tanpa hamba-hamba Allah yang lain. Hidup seorang sangat sunyi sebagai manusia biasa. Begitu juga jalan menuju-Nya, sangat sunyi jika ‘berjuang’ berseorangan.

Perjuangan adalah kewajiban sekalian daie yang mencari-Nya. Meskipun perjuangan itu adalah menentang diri dan hawa nafsu, kita tetap perlukan peneman di jalan yang penuh liku. Perlu pembimbing. Berjuang menentang hawa nafsu memerlukan perjalanan rohani yang panjang. Tanpa guru, pemimpin, pendidik rohani, kita akan dipimpini syaitan. Perjuangan tidak boleh sendiri!

Perjuangan menyampaikan dakwah – bukan sembarangan pekerjaan yang boleh diurusi dengan dua tangan dan dua kaki. Bahkan, sekalian anggota harus bergerak, dibawah penyatuan hati yang mengajari akal mengenal Rab dan menjunjung Ad-Deen. Untuk mendidik hati, zikrullah harus selalu di samping paluan syahadah yang gegar dan hidup – la ilaha illallah…

Melihat realiti hidup kita dalam masyarakat; dakwah jadi isu utama. Bermula dari masyarakat keluarga, tetangga dan seterusnya. Kita gagal berdiri sendiri tanpa kekuatan dari Allah dan para mujahid yang setia bersama-sama kita mendampingi Islam dan mempertahankan kesuciannya. Dalam hal ini, kita memerlukan lebih dari seribu tangan dan seribu kaki dan jutaan anggota untuk berganding bahu menerus juang.

Ya Allah, diri ini berasa sunyi menuju-Mu. Rindu untuk bersama-sama menyibukkan jiwa raga dengan perjuangan Islami. Moga Allah kuatkan kita untuk terus menjalankan kerja agama dan menghadirkan ‘ahli’ yang dapat menyemarakkan juang ini. Terus menerus sehingga syahid menjadi tetamu-Nya.

~ Tuhan, hamba benar-benar rindu… ~





Hijab Sang Pencinta

21 11 2008

hadiah-hijab

25 OGOS lalu, saya mula berumur 21 tahun. Waktu itu saya di Pulau Pinang, sedang demam teruk. Saya pulang ke Pahang, demam sangat panas dan hampir tidak sedarkan diri. Mengalami halusinasi yang membuatkan saya jadi tidak boleh duduk sendiri. Terasa sangat terganggu. Bila keadaan jadi tidak boleh dikawal sendiri, saya panggil adik bongsu saya, pengang tangannya erat. Alhamdulilah semua sudah kembali baik. (imbas memori sebentar).

Entri ini termasuk antara tulisan yang melewati harinya. Sangat banyak ‘bank-tulisan-lewat’ ini. Barangkali sangat sibuk, dan tidak punya cukup waktu bicara dengan Melati Jiwa.

Ini pun, sambil-sambil memasak tengahari – sempat lagi mengomel di sini 😀

Semalam, hampir seharian saya menghadap hadiah hari lahir yang Angah berikan. Sebelum ini, saya cuma membeleknya sekejap-sekejap. Baharu semalam saya buka sampul plastiknya, mula membaca dan menghabiskannya. Kalau saya tidak pulang lagi semua buku perpustakaan, tentu saya juga belum baca novel Ramlee Awang Murshid itu. Mujur sahaja sempat ke perpustakaan kelmarin. Lega sedikit.

Hijab Sang Pencinta – sangat lunak dengan jiwa perjuangan menentang kemungkaran yang diadun dalam epik segar dan tersendiri. Kebatilan tetap akan tumpas dengan kebenaran, meskipun keadaannya seolah-olah kemenangan berpihak kepada kebatilan. Janji Tuhan sangat benar. Wajib kita berbaik sangka dengan Allah. Menerima ketentuan dan ujian dengan reda serta sabar. Yakin dengan Allah, kita tidak akan rugi.

Sebuah penceritaan orang sufi yang bertakwa dan sangat kuat tawakalnya kepada Allah. Sebuah lagi pengajaran tentang apa itu ‘ikhlas’.

Untuk tahu lebih lanjut, bacalah karya Ramlee Awang Murshid ini; episod terakhir Bagaikan Puteri ; Hijab Sang Pencinta.

(kekadang baca karya ini, terasa seperti pengembaraan Artakus oleh Ahmad Patria Abdullah, cuma barangkali Saga Artakusiad itu lebih lunak dan puitis, dalam keampuhan suara peperangan yang keras).





Nota bunuh diri : Bahasa

14 11 2008

CB029650

HARI ini Jumaat. Sedikit sebanyak, saya rasa bahagia setelah selesai meletakkan noktah akhir pada proposal master yang sangat lewat disiapkan. Terlalu banyak urusan yang perlu dilunasi. (Semalam, saya baharu saja menduduki ujian statik memandu. Aha, sempat juga setakat markah 90%. Bulan hadapan mahu masuk kerja, mulalah kalut mengambil lesen kereta.)

Pagi tadi, sempat saya ke sekolah lama (SMA Tengku Ampuan Fatimah, Pekan). Lama sudah tidak menjejak ke sana. Rasa gembira dapat bertemu para ustazah yang pernah mengajar saya dahulu. Dulu-dulu, selalu saja saya kena berdiri dalam kelas waktu kelas bahasa arab gara-gara tidak dapat jawab soalan ustazah Anum. Waktu yang paling kami suka dalam setahun adalah bila ustazah Anum sakit tekak, dan tiada suara untuk mengajar kami. Jadi, kami diam-diam buat kerja sekolah sajalah. Tidak perlu dengar leter ustazah. Namun, lima enam tahun tak dengar suara ustazah, rindu pula rasanya. Bila jumpa ustazah tadi, nampak seperti awet muda pula. Berseri selalu sifu bahasa arab saya yang seorang ini.

Sains dalam bahasa inggeris. Itu antara masalah yang dihadapi para pelajar di sekolah ini. Saya pergi mengambil laporan prestasi akademik adik bongsu saya yang sedang berada di tingkatan 1. Markah sains untuk keseluruhan tingkatan, paling tinggi pun 65%. Saya tidak melihat kesilapan ini hanya terletak pada pelajar, namun pihak pengajar juga harus lebih teliti dengan keputusan yang menyedihkan ini. Masalah kekurangan guru di sekolah menengah agama bukan isu baharu. Tetapi permasalahan belajar sains dan matematik dalam bahasa inggeris itu bukan isu lama yang tidak begitu wajar untuk terus dipertahankan.

Sekembali dari sekolah, saya buka emel, dan membaca coretan penulis muda tanah air ini di mel ADABUNA, langsung saya rasa mahu kongsikan di sini. Para pembaca juga dijemput bertandang ke blog beliau di http://kawat.blogspot.com

(di bawah ini adalah tulisan beliau, saudara Nazmi Yaakub)

“Nota bunuh diri

Saya terjumpa nota bunuh diri. Seorang Bahasa terkulai di kerusi dengan sebilah pisau di dadanya. Pisau itu ada tanda ‘Made in English’. Bersama-sama nota bunuh diri itu, ada slip keputusan peperiksaan. Ada cop mohor kementerian. Dalam tulisan rumi, dalam bahasa Inggeris. Ada timbunan akhbar hari ini.

Ini nota bunuh diri itu:-

Pejuang, sarjana, ahli akademik, birokrat dan semua yang ada kaitan dengan perjuangan bahasa Melayu boleh bungkus barang masing-masing dan balik kampung. Keputusan UPSR tak jejaskan pengajaran dan pembelajaran walaupun ajar dalam bahasa Inggeris.

Pengarang dan penulis berhentilah menulis novel dan cerpen dalam bahasa Melayu. Budak-budak lebih suka baca buku teks Sains dan Matematik yang dalam bahasa Inggeris.

Budak-budak suka belajar bahasa Inggeris. Baik budak bandar atau budak kampung, mereka semua bercakap, belajar dan mengiggau dalam bahasa Inggeris. Tak percaya, masuklah ceruk pedalaman dari Dabong di Kelantan hingga rumah panjang di Sabah dan Sarawak: semua budak-budak bercakap dalam bahasa Inggeris.

Pilihan raya nanti tak payah sokong mana-mana. Baik parti pemerintah atau parti pembangkang. Parti pemerintah dah tak boleh harap dan parti pembangkang pun lebih minat papan tanda dalam banyak bahasa. Atau lebih minat pinda tarikh peralihan kuasa. Atau mungkin isu bahasa ini bukan isu penting dalam agama. Dan tak lama lagi mereka pun akan cakap dalam bahasa Inggeris.

Dan percayalah, tak lama lagi negara kita akan setaraf dengan Amerika Syarikat (AS)! Ya setaraf dengan AS yang berada di ambang kemelesetan!”