Kelahiran (II)

31 10 2008

FADHILATUL Aufa binti Irfan. Maka dengan rasminya saya menjadi Achik Na kepada bayi comel ini. Baharu tengahari tadi selesai urusan pendaftaran dan pengeluaran sijil kelahiran bayi. Sudah dua hari berturut-turut mak cik ini ke pejabat pendaftaran. Nasib baik Tok Abahnya sudi temankan Acik Na dia. Semalam, dokumen asal tidak lengkap. Alhamdulilah, sebelum zohor tadi, selesai juga. Sempat juga saya perbaharui kad pengenalan sendiri – lewat sudah.

Bila sudah jadi mak cik, terasa diri tua pula (ehem, maksudnya dewasa). Tanggungjawab pun sudah bertambah sama. – hakikatnya, setiap hari yang bertambah, kita sentiasa bertambah dengan tanggungjawab dan soal jawab di akhirat nanti. Namun, biasanya kita lupa dan tidak sedar.

Isu perjuangan – entah kenapa, hari ini kerap sungguh bangkit isu yang memang sudah dominan ini. Tetapi, sejauh mana kita benar-benar serius memperjuangkan ‘perjuangan’ itu? Islam – bangsa – bahasa – budaya – dan apa lagi? Memperjuangkan syariat Islam itu adalah kewajipan. Tanggungjawab menyebarkan dakwah dan mengembangkan islah bukan tugas main-main. Seriusnya perlu. Pengorbanannya besar. Kesabaran harus selalu.

Dahulu kita sangat kecil untuk tanggungjawab yang sangat besar ini. Tika itu kita masih memakai label nama ibu yang melahirkan – dengan kaki kecil atas kain batik ibu. Kini, kita adalah atas nama sendiri dan atas tanggungjawab juga amanah tersendiri. Memikul atas bahu sendiri, berpijak atas tapak kaki sendiri. Satu-satunya kuasa yang tidak pernah berubah dari kaki ini kecil hingga kini – rahmat Yang Maha Pencipta. Dia Yang Esa. Sedang kita menuju kepada-Nya.

(sebenarnya tadi tika rehat-rehat, terasa banyak perkara yang ingin saya tulis, namun lupa pula bila sudah sampai malam). Kelmarin, saya ke hospital memandangkan selalu saja pitam, pening dan ‘gelap mata’ di samping keletihan dan seperti hilang tumpuan. Setelah melakukan ujian darah dan pemeriksaan kesihatan yang membuatkan saya terpaksa ‘bertapa’ di hospital sekitar empat lima jam tanpa teman dan makanan – rasa sangat tidak daya. Waktu doktor menyatakan bahawa saya menghidap Anemia, saya cuma angguk-angguk saja. Letih sudah. Biasa kalau dulu-dulu, bila jumpa doktor di Hospital Pekan, mak temankan. Tapi kali ini, mak di hospital besar, dan saya di unit pesakit luar di ‘hospital kecil’.

Sebetulnya saya sudah mengantuk, tapi masih mahu menaip. Hajatnya mahu warwarkan nama anak saudara sulung saya itu sahaja yang utamanya. Mahu tulis satu dua perkara lain, namun rasa tidak daya pula. Rasa semacam tidak boleh berfikir pula (uh, tidaklah seteruk itu – hiperbola saja).

Waktu untuk makan ubat sudah tiba. Sebelum Tok Ma si Aufa ni berleter sebab saya lewat makan malam, lebih baik saya bertindak segera. (Baiklah, mak… saya tengah makan la ni). Lain waktu saya sambung lagi, insyaAllah. Wassalam.

p/s: (kepada Farah Hanan, saya sudah lama cuba hubungi kamu, namun tiada respon, di mana kamu ya?)





Kelahiran

24 10 2008

ISNIN lalu, Oktober 20, kakanda sulung saya selamat melahirkan bayi perempuan di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang. Berakhir sudah penantian 9 bulan 11 hari ‘ummi’nya. Saya juga menanti, dan tumpang gembira dengan lahir ahli baru dalam keluarga ini.

Terasa lama tidak mencoret di sini. Dulu-dulu biarpun sibuk dengan kuliah dan pelajaran di universiti, selalu saja menyempat berbicara dengan Melati Jiwa. Tiap hari, pasti mahu nukilkan sesuatu, meskipun tidak sempat dientrikan ke laman ini, namun tulisannya ada. Kini, waktu sedikit hilang entah ke mana. Saya pun tidak faham. Kepala rasa berat. Kekadang terasa seperti dihempap gunung. Allah…

Lewat petang semalam, usai memberikan sedikit taklimat buat para pelajar yang akan ‘terbang’ ke Morocco malam tadi, hujan renyai-renyai mengiringi berangkatnya pelajar kita ke lapangan terbang Kuantan. Saya terus sahaja pulang ke Pekan memandangkan tidak bercadang untuk turut ke lapangan terbang. Menyinggah di masjid dalam perjalanan ke Pekan, kami ditimpa hujan lebat. Pekena ‘air-cond’ kereta pula hingga ke rumah sudah buat saya pening dan seram sejuk. Tiba di Pekan, hujannya makin lebat. Langsung kuyup sebelum naik rumah. Alhamdulilah, demamnya makin kebah berbanding semalam, namun selsema dan rasa ‘pusing’ masih ada. Moga Allah rezekikan kesihatan yang baik untuk kita semua.

ANAK saudara sulung – Bila menatap wajah comel yang suci tanpa dosa itu, tergambar seribu satu fitrah insani – milik Tuhan, dari Tuhan dan akan kembali kepada Tuhan. Dari setitis air yang tidak punya apa, menjadi manusia yang mempunyai erti. Erti kehambaan bertuhan.

Kita senang mengaku hamba Tuhan, namun sejauh manakah kita benar-benar menjiwai peranan itu? Dunia ini amat singkat untuk kita perhambakan diri pada-Nya. Menuju negeri abadi.

Kelahiran adalah titik tolak menuju kematian. Dari sudut yang berbeza, seolah-olah tercermin bahawa manusia/makhluk dilahirkan untuk dimatikan. Namun, dalam ertikata yang sebenar; maqasid lahirnya kita sebagai makhluk Tuhan di muka bumi ini adalah untuk beribadah, menghambakan diri pada Tuhan yang Maha Agung.

Kita perlu bersyukur dengan nikmat dilahirkan ke dunia ini. Walau apapun keadaan kita di daerah fana ini, bersyukurlah. Sangat tidak patut untuk kita ‘mendesak izrail’ mengambil nyawa yang telah Allah pinjamkan ini. Tidak patut wujud istilah ‘bunuh diri’, kecewa dengan hidup, tidak mahu hidup lagi, putus asa dengan nyawa. Syukur. Redha. Sabar itu sangat perlu. Ujian dan dugaan adalah rukun kehidupan. Berusahalah agar tidak tergugat iman kita menghadapinya, melainkan dapat meneguhkan keyakinan kepada Allah. Biarlah seberat mana, sebesar manapun dugaannya, Allah SWT tempat kita bergantung. Usah sampai kita berputus asa dari rahmat-Nya yang Maha Hebat. Yakinlah.

Kita tidak hidup untuk selama-lamanya. Percayalah, tiba masanya, kita tetap akan kembali. Kembali kepada Tuhan yang Maha Mengasihani. Jika terasa diri bersalah dalam menjalani tanggungjawab kehambaan kepada-Nya, gunakanlah sisa nyawa yang masih ada untuk bertaubat, moga hujung nyawa kita kembali suci sepertinya bersih bayi di awal kelahiran.





Perginya tanpa isyarat

15 10 2008

BAHARU tadi saya masih terbaca status mesej seorang rakan sekolah lama. Bunyinya berbaur sedih. Tidak senang melihat rakan berduka. Di pinggir tetingkap YM nya ada gambar seorang kanak-kanak lelaki yang ceria. Senyum yang manis.

Menyapa beliau beberapa hari lalu, baharu saya tahu ; sehari sebelum raya, adiknya pergi buat selama-lamanya. Allah lebih menyayangi adik kesayangannya. Jenazah kecil itu selamat dikebumikan pada hari raya pertama lalu. Saya tahu sahabat saya ini sedang mengalami perasaan yang sukar dalam hidupnya. Saya mengenalinya sebagai seorang abang yang sangat ‘berbahagia’ dengan adik-adiknya. Bila ada kelahiran adik baharu, saya kira satu dunia mahu dia canangkan. Itulah antara roh mahabbah dalam kekeluargaan.

Umurnya baharu 3 tahun 8 bulan. Ya, sangat kecil untuk menahan tiang konkrit yang besar itu. Allah… berat untuk saya bayangkan. Namun, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Buat saudara Faidhi dan keluarga, kami ucapkan takziah. Moga Allah kurniakan ketabahan buat kalian. Sabarlah dengan dugaan ini. Yakinlah, Allah Maha Adil dalam setiap perhitungan-Nya.

Buat semua pengunjung Melati Jiwa yang budiman, marilah kita sama-sama sedekahkan al-Fatihah untuk arwah Faiz Aiman bin Fauzi. Al-Fatihah…

Dunia ini terlalu sementara. Maka bersedialah untuk menghadapi sebarang keadaan yang mungkin tidak kita jangka. Kita tidak menjangka bila masanya kita akan kehilangan sesuatu yang disayangi. Dan, kita juga tidak menjangka bila saatnya kita sendiri yang akan pergi meninggalkan segala yang disayangi di sini, di dunia ini, menuju wilayah abadi.

Buat Faidhi ; Ada kalanya, senyum itu bermakna tabah.





Salam Lebaran Aidilfitri

10 10 2008

CANGGUNG sekali bila sudah sangat lama tidak menyinggah di sini. Sudah sangat banyak perkara yang berlaku, lalu kuat juga gelora rasa mahu menumpah tulis. Namun, entah apa sibuknya hingga 24 jam berlalu sangat laju. Boleh jadi, itu namanya tanggungjawab. Kita punya banyak sebab untuk berehat dari ‘kerja’ hidup, namun belum tentu kita punya walau satu sebab untuk melepaskan diri dari soalan di hadapan Tuhan jika ‘kerja’ hidup tidak dilangsaikan dengan sempurna tika di dunia.

Mohon maaf kepada sesiapa yang punya urusan dengan saya, belum dapat saya lunasi dengan baik. Bukan mahu berdiam diri, namun berada di luar capaian internet dan telefon untuk beberapa jangka masa membuatkan saya gagal dihubungi dan menghubungi. Namun, saya akan cuba berikan komitmen terbaik selagi mampu. Mohon maaf. Tunjuk ajar, bimbingan dan peringatan saya berbesar hati menyambutnya.

Ramadhan berlalu sudah kesayuan yang hening. Terasa seperti gugur hati meruntun lebat hujan dingin yang menutup hari akhir penuh barakah lalu. Mahu saat itu selamanya. Mahu sentiasa berada dalam jemputan Tuhan. (terlalu banyak perkara yang tidak mampu dirungkai dengan kata-kata).

Syawal ini, saya tidak mahu ketinggalan menukil sesuatu di Melati Jiwa. Kepada sekalian pengunjung laman ini, saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, mohon maaf zahir dan batin. Moga Allah berkati kita semua hingga ke syurga. Terima kasih atas sokongan dan kunjungan kalian ke Melati Jiwa. Bagi saya, tiada apa yang sangat bagus di sini, namun sudah cukup puas bagi saya bila dapat berkongsi sesuatu yang saya rasa mahu kongsikan dengan pembaca yang senang membacanya. Mohon maaf jika bait bicara saya selama ini ada mengguris perasaan sesiapa, atau berbaur tidak senang di hati sesiapa – maafkan saya. Jika salah, betuli saya. Moga Allah berkati kalian.