Bukan hidayah, tapi dakwah

13 09 2008

PADA tika tertentu, saya berasa mahu berhenti memikirkan hal ehwal manusia. (ayat ini sebenarnya saya tulis beberapa hari lalu apa bila rasa sedikit putus asa dengan makhluk, manusia. Tidak juga putus asa, kecewa ada sedikit barangkali). Juga waktu itu sedang masih marah pada manusia. Namun, saya adalah sebahagian dari mereka. Maka saya sedar, persandaran makhluk hanya pada Tuhannya.

Hari ini saya menanggung banyak perkara, termasuk sedikit rajuk dengan abah. Marahkah? Tidak baik pula begitu. Bukan satu perbuatan yang murni untuk merajuk, namun terasa hati barangkali. Namun, bila teringat pelawaan abah lewat subuh tadi, terasa tidak baik pula untuk saya berdiam dari abah. Abah baik. Tapi saya waktu ini tengah sentimental. Sikit-sikit rasa nak keluar air mata. Sejak saya pulang ke negara tropika ini, keadaan makin ‘parah’ bila serangan nyamuk-nyamuk semakin ‘menyakitkan’ saya. Entah kenapa. Manusia lain yang ada di rumah ini tidak pula ‘disantapnya’, sedangkan saban pagi, sepanjang malam juga, terasa rentung saya ‘dimakan’ sekalian nyamuk itu. Usah kata Sheltok, Bygone segala, macam-macam cara sudah. Jadi, pagi tadi, kata abah kalau mahu tidur, bagitahu abah, nanti abah pasangkan kelambu. Pokok pangkalnya saya culas nak berkelambu. Iyalah, orang lain tidur tanpa kelambu kenapa perlu saya duduk dalam benda alah itu? (Sebab mereka tidak dijamah nyamuk dengan sebegitu dahsyat). Malam nanti saya tidak tahu bagaimana keadaannya. Kalau perlu sangat, nanti saya pasang sendirilah ‘kelambu’nya (merajuk dengan nyamuk ~ sedih).

Bukan itu sebenarnya yang mahu saya ketengahkan. Itu luahan rasa semata-mata.

Hari ini saya juga menanggung beratnya beberapa perkara. Kekadang kita buntu dengan ujian Allah yang tidak kita ketahui apakah rahsia di sebaliknya.

Kita diuji dengan seribu satu macam dugaan dan keletah manusia yang punya ‘nyawa’ untuk meluap, meletup. Barangkali saya ini marah dengan sikap manusia yang memeningkan kepala saya. Bolehjadi sesiapa sahaja yang berdepan dengan kerenah dunia yang melibatkan pertentangan dengan norma budaya, agama, tentu kita akan jadi ‘panas’. Alangkah bagusnya jika sabar mereka mengatasi ‘kepanasan’ yang bertandang.

Contoh; bila naik isu disiplin remaja, keruntuhan akhlak, salahguna dadah dan pelbagai lagi masalah masyarakat yang membabitkan Melayu Islam, sepintas lalu akan ada marah yang membuak di dada atas kerosakan yang timbul. Kita akan tidak puas hati dengan ‘perangai’ mereka ini yang membelakangkan agama. Bila timbul isu yang ‘parah’ di kalangan orang yang tahu agama, tetapi masih memijak agama mereka (Islam) darah kita makin bersirap. Marah. Bergelodak jiwa bila rasa mereka memperlekehkan ilmu dan agama. Tahu agama, ada ilmu, namun masih melakukan maksiat dan kerosakan di muka bumi.

Namun, jika semua orang Islam di bumi ini marah kepada ‘orang Islam’ yang melakukan kesalahan tadi, siapakah yang akan mendoakan agar mereka ini kembali ke pangkal jalan? Dan ketahuilah bahawa perjalanan untuk ‘kembali-ke-pangkal’ jalan itu bukannya mudah dalam keadaan terkontang kanting tanpa doa dan usaha para pendakwah yang ikhlas. Sangat sukar.

Kita terlalu mudah melenting bila lihat kerosakan yang dibuat, tetapi kenapa tidak kita cuba untuk menyelami hati, jiwa dan keadaan ‘perosak’ itu? Kenapa mereka melakukannya? Apakah masalah yang mereka hadapi? Bagaimanakah keadaan sekeliling mereka, latar belakang, keluarga atau kisah silam mereka? Adakah manusia yang prihatin terhadap ‘kerosakan’ yang dialami oleh golongan ini di dalam jiwa mereka, dalam pergelutan emosi dan pencarian identiti mereka? Kita tidak berhak untuk terlalu mudah menunding jari dan menghukum seseorang. Kita perlu belajar untuk menyelami dan memahaminya. Belajar untuk duduk di tempatnya. Memang mereka mempunyai ilmu, tapi bolehjadi mereka tidak sedar, atau sedar tapi tidak punya kekuatan untuk berubah. Atau mereka  memang tidak tahu bahawa mereka salah. Peranan kita?

Kita bersyukur dengan ilmu dan agama yang menjaga kita sehingga hari ini. Tapi kita tidak tahu esok bagaimana. Semua ini kurnia dari Tuhan. Bukan kuasa kita memberikan hidayah. Tetapi tanggungjawab kita menyampaikan dakwah. Mereka yang bermasalah; pimpinlah mereka sebagai manusia seperti kita. Saya sangat mengingati kata-kata seorang manusia istimewa yang saya temui, kata beliau; “mereka juga manusia seperti kita. Jika mereka salah, tegurlah mereka dengan kemanusiaan dan kasih sayang, kerana mereka juga manusia. Dan manusia mempunyai perasaan”.

Ini adalah tanggungjawab.





Dunia dan kebalaannya

8 09 2008

DUNIA sudah sangat tua, uzur, tenat dan akan mati pada bila-bila masa. Dunia ini sudah sangat akhir dan kiamat sudah sangat dekat. Dunia sangat bala. Dunia juga medan pahala bagi ahli ibadah yang ikhlas menjadi hamba Allah.

Sesekali keluar untuk membaca masyarakat, tentu saya diserang sindrom ini. Panas, lemah dan ada waktu hampir hilang pertimbangan, kesedihan. Tidak kurang juga kekadang jadi sangat marah sehingga akhirnya ada derai air mata yang turun.

Bangsa yang musnah – Melayukah? Saya jadi sangat benci melihat bangsa ini yang sedang tidak sedarkan diri. Tidak sedar asal usul diri dan sesedap rasa saya meluahkan kebencian saya di sini. Tapi bukan semua begitu. Ya, yang saya benci itu pada puak ‘Melayu’ yang berambut merah, dengan pakaian tidak cukup kain, dengan tali leher yang mengikat waktu solat para korporat tertentu, perut-perut khianat, rasuah dan sebagainya. Itu baharu bicara tentang ‘bangsa’ belum agamanya.

Lihatlah, bacalah dunia hari ini; bangsa Melayu sedang rosak dan akan mati – melainkan segelintir.

Bala ini berada di kampung, bandar, pinggir bandar, bandar besar dan seterusnya. Juga di dalam dan luar negara; dalam keadaan subjeknya adalah – Melayu!

Sesetengah pendosa mengatakan perlakuan dosa lampau mereka adalah kerana kejahilan. Dari situ, mereka mahu rasa selamat kerana ‘yakin’ dengan pengampunan atas kejahilan tersebut. Sesetengahnya pula melakukan dosa bukan kerana kejahilan tapi kerana nafsu, maka itu adalah kezaliman yang keji. Kerana ilmu yang tinggi, dosa jadi mainan kerana ‘yakin’ ampunan Tuhan akan tiba. Mengulang dosa dan mengulang taubat. Tanpa sedar hayat dunia mati. Kerana dunia sudah sangat tua. Bagi yang berasa sentiasa muda melakukan dosa, bertaubatlah senasuhanya. Yang mana lebih seronok? Ketika sedang dating dengan Izrail, pilih ungkapan “rupa-rupanya inilah solatku yang terakhir” atau ungkapan “rupa-rupanya inilah dosaku yang terakhir”. Sila pilih.

Moga Ramadhan yang tiba ini meningkatkan ketakwaan kita pada Allah SWT.





Sukarnya membuat pilihan…

3 09 2008

SAYA sedang mengalami apa yang biasa pembikin filem alami (contohnya, pembikin filem seperti tetupai_xp). Jadi untuk menjadikan waktu yang terluang itu bererti di samping mengelakkan tekanan mental yang juga biasa dialami golongan ini, maka saya telah menyelinap ke laman Melati Jiwa untuk menstabilkan emosi yang terganggu. (komputer yang ‘keras’ tidak mahu diapa-apakan – tidak berfungsi semasa proses mengedit filem. Atau langsung akan hilang projeknya bila tidak sempat ‘save’).

Antara sebab kenapa saya sedang termanggu-manggu di arena ini adalah gara-gara hilang kawalan tabiat yang sepatutnya. Punca? Oh, kerja yang terlampau banyak bagi saya dan masih belum disiapkan. Maka alkisahnya bermula bila menjelma suatu makhluk yang saya beri nama ‘timbunan kerja yang membusut’. Makhluk ini sangat berbahaya untuk kesihatan mental dan fizikal seseorang manusia seperti saya.

Oh, sukarnya membuat pilihan. (tajuk lain) Sekarang saya punya dua perkara yang perlu saya putuskan. Salah satu daripadanya perlu lunas hari ini. Saya mahu siapkan hari ini! Moga harapan saya ini dimakbulkan. Jadi, saya perlu berusaha! Lain kali sahaja saya sambung tulisan di sini. – saya ini sedang berusaha! –

~ wah, seronoknya waktu bersenang-lenang tanpa perlu memerah otak ~ sekarang saya perlu fokus. Sudah tidak mahu hilang tumpuan lagi kerana terasa seperti hilang pedoman.

Moga Allah bantu kita semua. Berusaha!

-Try not to cry-