Oh, tidak!

29 08 2008

OH, tidak! Saya tidak boleh terima! Tidak!

Gimik barangkali. Apa yang tidak boleh terima itu? 1. Sudah terlalu lama tidak menulis di Melati Jiwa. 2. Saya sedang menghabiskan ubat batuk yang perlu dikemam itu. Sejuk dia sampai terasa menular ke hidung, dan saya rasa sangat ‘hilang akal’ untuk menulis – oh, tidak! (kalau bukan abah yang bagi, tentu saya tidak memakannya. 3. Saya sedang berada dalam keadaan yang sangat keliru, maka saya menjadi seperti ‘tidak boleh terima keadaan seperti ini’ – oh, tidak! 4. Semalam saya sangat berniat untuk menyakat si Anis yang lama sudah tidak bersua itu, namun saya telah tersilap hantar mesej ke nombor abangnya barangkali, maka saya jadi sedikit ‘ter’malu – oh, tidak! 5. Kalau saya terus menulis mengikut figura 5, 6, 7 dan seterusnya, maka tentu saya tidak berhenti menaip di sini, maka bila abah balik solat Jumaat nanti, hidangan makan tengahari belum disediakan – oh, tidak!

Saya sedang dalam proses ‘baharu-mahu-pulih’ dari demam yang membuatkan saya hingga sekarang terumbang-ambing jadinya. Bolehjadi gara-gara ‘terjun’ ke dalam zon berhawa dingin melebihi 48 jam tanpa pakaian tebal yang sepatutnya, lalu membuatkan tulang belulang terasa dikesit selumbar bisa dan peparu jadi tak kuat. Demam panas hingga takah tidak sedarkan diri dan hampir hilang ingatan. Alhamdulilah, udah makin pulih. Minta dijauhkan malapetaka serupa itu. Semacam mimpi ngeri sahaja. La hawla wala quwwata illa billah. Sekarang ini sedang berusaha untuk siapkan proposal master saya yang sudah lewat seminggu dari target siapnya. Aha… ada orang nak ‘support’ saya belajar master? 😀

Dalam hidup kita, terdapat seribu satu macam kehendak. Dalam sedar atau tidak kita sebenarnya sedang menjalani takdir Tuhan. Sama ada kita mahu terima atau tidak, kita tetap perlu terima. Contoh; sakit. Adakah layak kita katakan; oh, tidak! Aku tidak mahu sakit begini! (amboi, suka hati kita sahaja tidak mahu itu ini. Allah kurniakan sakit tentu ada hikmahnya, paling tidak sebagai kifarah dosa menggunung yang kita lakukan. Atau sekurang-kurangnya supaya kita boleh ‘terbang’ lebih tinggi, seperti lelayang. Perlu ditarik-lepas selalu agar terbangnya betul).

Kenapa tidak begini? : Oh, tidak! Aku tak boleh terima terlepas qiamulail/ Oh, tidak! Aku tidak cukup taubat lagi! – ada beza, kan?

Semoga kita bersama-sama belajar untuk menjadi hambanya yang ikhlas dan sentiasa bersyukur.

Esok lusa, kalau izrail datang jumpa kita, sempat lagikah mahu katakan; oh, tidak! Aku tidak mahu mati lagi! (kalau sempat, cubalah. Kalau anggar-anggar tidak sempat, carilah apa itu takwa, apa itu iman, apa itu ihsan apa itu Tuhan, apa itu hamba. Jadi, tidak perlulah terlalu berlagak dengan Tuhan, sedang kita sendiri tidak tahu bila ‘expired date‘ kita di dunia ini. Selepas suatu jangka setelah tamat tempoh ini, akan menjelma pula suatu alam yang abadi. Kalau kita rasa cukup selesa untuk terus berbuat dosa dan mengkhianati orang, melakukan maksiat, ‘tanpa-ada-masa-untuk-bertaubat’ ; silakanlah menghadapi hari ‘hangat’ tika manusia dibakar seperti roti yang asalnya dari tepung putih, untuk ‘hidangan Tuhan’.