Istiadat Konvokesyen Pertama Graduan Malaysia di Maghribi – 17.07.08

17 07 2008

ALHAMDULILLAH, baharu usai makan malam juga makan ubat demam, pening dan selsema. Sebetulnya saya masih lagi fobia ‘minum’ ubat yang dalam bentuk sirap. Dari dulu lagi hingga sekarang, mungkin. Saya lebih bersedia menelan pil sehingga 24 biji sehari seperti empat tahun lalu berbanding segelas ubat minum atau sesudu dua cuma. Oh, minta jauhlah. Saya sangat fobia.

Saya tidak kira ini adalah waktu yang sangat selesa untuk menulis, namun memandangkan Isyak di Maghribi ini sudah cecah pukul 10.13 malam baharu masuk waktunya, saya terpaksa menahan mata untuk berehat. Jika makan malamnya terlewat, atau langsung terus tidur lepas Isyak tanpa makan usai pulang kerja, saya cuma ada waktu pagi untuk membaca dan menulis sebelum masuk pejabat.

(hilang idea menulis sambil berselsema. Aduh)

Sebetulnya saya tidaklah mahu cerita pasal waktu-waktu makan, tidur, membaca, kerja itu. Namun, lebih kepada penekanan pada diri sendiri bahawa bila tanggungjawab makin banyak, kita perlu lebih bijak mengurusi diri dan waktu. Aha, saya selalu sahaja lupa makan sehingga hampir seminggu tidak makan nasi kerana sibuk atau tidak sempat, melainkan makanan yang ringan-ringan serupa roti dan biskut (selain nasi) dan vitamin setiap hari.

Alhamdulillah, saya kira hari ini saya semakin lega bila banyak perkara dapat selesai. Sekurang-kurangnya manuskrip antologi 50 penulis seluruh dunia itu sudah dapat disiapkan, tinggalnya kulit buku yang masih belum ada. (pereka kulit buku kita menghilang pula di balik pelangi).

Selain urusan penulisan, saya rasa ‘perasaan’ usai majlis Istiadat Konvokesyen Pertama Mahasiswa-Mahasiswa Malaysia di Maghribi. ‘Perasaan’ – terdiri dengan rasa pelbagai, merangkumi gembira, sedih, haru, rindu dan sebagainya.

Awal pagi tadi, tika malam sudah tua dan fajar mula muda, saya hubungi keluarga dan guru di tanah air. Rasa ‘kurang’ bila hari yang mengembirakan kita tanpa keluarga dan insan yang disayangi. Kata abah, anggap sahaja mak abah dan keluarga berada bersama di dalam majlis ini. Saya haru. Saya rindu.

Majlis konvokesyen pertama di sini; saya sangat hargai usaha ini dan mahu ucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat. Persiapan dan perjalanan majlisnya cukup mengharukan. Langsung saya melihat tanggungjawab yang lebih besar di sebalik penghargaan yang dipamerkan hari ini secara abstraknya. Moga Allah mudahkan segala, bantu usaha dakwah ini. Kerja agama harus diteruskan lebih tuntas di dalam gelora masyarakat nanti.

Saya akan pulang ke Malaysia dalam perkiraan dua minggu sahaja lagi. Saya sudah mula menghitung air mata dan mula merengek supaya waktu tidak terlalu cepat berlari. Saya masih mahu di sini. Masih rindu rafisa ummi di medina, laban di rumah mama Fouzia yang segar selain mama Amina di Diour Jamaa yang mengajar hidup anak rantau. Saya masih mahu Ramadhan di sini dan menyambung sarjana langsung. Namun saya menyedari panggilan dan perjuangan dalam keluarga itu adalah lebih besar. Boleh jadi pembinaan agama yang paling dekat dan kuat adalah bermula dari rumpun ini; keluarga. Ya, saya akan pulang, dan sangat mahu berbakti kepada masyarakat. Moga Allah rezekikan juga peluang untuk menyambung pengajian sarjana dalam waktu terdekat ini, insya Allah.

Apabila saya ditanya apakah perihal Maghribi itu, saya mula tidak tahu kenapa saya menjawabnya sebagai; keseluruhan Maghribi adalah darah dalam jasadku.

Saya mula dipanggil cinta kepada tanah air dengan baktinya, juga rindu yang mula menebal pada tanah Tariq ben Ziyad ini bagai tidak mahu untuk saya tinggalkan. Ya Tuhan, ‘perasaan’ ini sukar.

Dalam hidup kita ini banyak perkara yang bernama ujian dan dugaan. Sifatnya adalah berat, maka ringankanlah dengan doa. ~ Doakan saya, doakan kebaikan untuk kita semua di dunia dan akhirat ~

~saya gembira dan terharu, juga sangat teringat keluarga bila majikan saya menghadiri majilis istiadat konvokesyen tadi, juga ustaz musyrif tesis ijazah saya yang turut hadir, langsung memberikan saya segelas air setengah penuh. Saya tahu Ustaz Awwam sibuk, namun beliau masih sedia luangkan masa bersama, juga menghargai pertemuan terakhir ini, moga masih ketemu, tidak di sini, di sana…~