Cerita tesis

5 06 2008

HAMPIR sepagi saya dikerumun rusuhan perasaan manusia yang panas. Masalah biasa bila keputusan peperiksaan diumumkan di sini, pasti ada seribu satu macam ragam manusia yang menuntut ‘keadilannya’. Sebetulnya saya jadi penat sungguh. 

Sekembali dari kuliah, sempat menyinggah ke rumah adik-adik dengan hidangan jus tembikainya – awas, jangan minum dengan ‘seronok’ sangat. Lelah nanti. 

Melihat cucu-cucu Zahirah yang menggebu, semalam baharu tambah bilangannya dengan kelahiran anak baru; 7 ekor lagi. Namun, barangkali ibunya meroyan; langsung disantap anaknya 3 ekor sudah sepagi. Makanan asasinya cukup, entah kenapa dengan seronok dimakan pula anak yang masih merah itu. – generasi hamster di Bouhlal.

***

Esok, masih niat mahu betuli markah yang sangat sangsi itu. Moga ada rahmahnya.

Letih, mengantuk – sedang menjadi penunggu tangga lagi. Tidak punya kunci untuk masuk ke rumah. Aduhai… 14:16pm.

***

Nampaknya saya terlelap di tangga sejuk ini sekitar 20 minit, dan mereka masih belum pulang. (Kembali membuka Pesona Peribadi: saya ingin bercerita.)

Tesis ijazah; 

منهج الموازنة بين المصالح والمفاسد عند الأصوليين

 

 – Alhamdulillah, baharu semalam selesai munaqashah, setelah 3 hari berturut-turut berulang alik ke kuliah, kononnya perlu diawalkan perbincangannya pada Isnin, kemudian ditunda Selasa. Akhirnya jam 2 petang semalam kami berkumpul – seperti tarikh awal, 4 Jun.

Selesai giliran saya membincangkan hasil tesis, saya berdiam di idarah, hitungi keputusan semester akhir yang baharu sahaja diumumkan. Fatema mendapatkan saya dengan senyum-senyum ; mabrouk ‘alayk ya sohabti, hasolti awal nuqtoh! sab’atash ala ‘eisyreen. – gamam juga. Alhamdulillah, rezeki dapat markah tertinggi 17 untuk tesis. Kami berempat, (tiga orang bernama Fatema, dan Ainul Mardhiah itu saya). Tiga yang lain si Fatema-fatema itu 16, dan ada yang 15. Entah kenapa, bak kata Fatema tidak lama dulu, “sepanjang kita menulis tesis ini, kamu jadi ketua di kalangan kami”. Semacam mengarut sahaja. Namun, apa-apa perkembangan dan urusan saya wakilkan untuk berunding dengan penyelia tesis kami. Saya sangat hormati rakan semusyrif yang lain. Mereka banyak membantu. Sepanjang menyiapkan tulisan ini, hubungan kami jadi sangat rapat. Alhamdulillah. 

Seperti biasa, melalui suatu marhalah penulisan itu ; adalah sebuah bentuk kehidupan. Ada tawa dan tangis. Ada senang dan susah. Pernah saya hampir menangis di depan ustaz ‘Awwam bila saya terpaksa merangka, menyusun semula tesis saya dari awal sedangkan tika itu hanya ada sekitar 10 hari sebelum tarikh hantar. Saya menemui waktu jatuh yang mengelamkan jiwa, merasai putus asa dan sangat hilang semangat. Ustaz datang ke rumah berkali-kali, bantu sediakan bahan dan betuli walau kesilapan noktah dan koma. Moga Allah berkati beliau. Jasa beliau amat mahal terhadap kami; bagaikan ayah dan anak-anaknya.

Awal-awal dahulu kami diagihkannya kitab-kitab rujukan sebagai bantuan dan sokongan. Setiap orang dapat 1 kitab, namun saya dapat 3 kitab, dan beberapa lembar bahan bertaip untuk rujukan 😉 . Kata ustaz, anak Malaysia ini perlu dibantu lebih. Namun, jangan berdengki antara satu sama lain, berkongsi-kongsilah bahan yang dipinjamkan itu. Kami hanya ketawa. Ustaz selalu pesan jangan gaduh-gaduh, dan dia tersenyum.

Alhamdulillah, kami hadapi bersama, hingga ke garisan akhir ini. Suatu petang dulu, demam menyiapkan tesis, tertidur lalu dikejut rakan serumah katanya ustaz tunggu di bawah, bawa pen-drive untuk beri bahan rujukan pada saya. Saya terharu dengan muka basi yang demam. Hari lain, pagi-pagi lagi dengan berjalabah (jubah tradisi Maghribi) ustaz datang ke rumah, langsung betuli tulisan bahagian penutup tesis saya di depan pintu rumah. Canggung sungguh saya atas kebaikan ustaz. Banyak masa ustaz korbankan. Moga Allah berkati.

Beliau; fadhilatu al-ustaz ad-duktur Muhammad ‘Awwam.

Bateri sudah hampir kering, mereka masih belum pulang. Jam sudah 3.07 petang. Saya mahu berhenti bercerita. Sakit belakang juga lama sangat jadi penunggu. 😦