Dulu-dulu, kita…

4 05 2008

ADA sepinggan kuah kari semalam atas meja. Di kalangan beberapa ketulan kentang itu ada satu dua daun kari. Dari depan pintu bilik, berdiri tidak jauh dari meja makan, melihat isi pinggan itu. Sekilas pandang, sangat terlihat seperti ciku ranum yang manis. Ah, kentang sudah jadi ciku. ~rasa mahu pulang ke kampung~

Waktu ini, dari paras Salsabiela yang kami diami; kedengaran suara beburung sedang bergurau senda dari luar jendela. Jika di kampung, suaranya lebih harmoni. Barangkali suara desa itu lebih mesra berbanding suara wilayah atlantik ini.

Teringat bening pagi berjirusan di perigi. Hangat-hangat sahaja curahannya. Suara burung menyambut. Jika pulang musim panas lalu, periginya masih sama. Namun, terasa banyak lainnya. Ya, salah satu daripadanya; saya sudah besar. Sudah tinggi. Saya rasa perigi itu rendah, kecil. Ah, kenangan itu terlalu jauh saya tinggalkan. Mencapai timba pagi itu, seperti mahu gugur airmata. Dipeluk kerinduan yang sangat dalam. Lebih dalam dari dasar perigi di depan saya. Saya rindu Aki dan Tok.

Tentu sahaja sangat canggung menimba setelah bertahun-tahun tidak berjumpa perigi. Pagi itu, saya di sisi perigi yang sama. Namun, airnya tidak semesra dahulu. Tidak semesra kasih Aki dan Tok yang dulu. Nyaman, redup tidak menyilau; namun sangat terang. Tuhan Tahu saya amat merindui saat itu.

Dulu-dulu kami selalu bising-bising main buih sabun di perigi. Pagi dan petang. Kalau sudah dekat maghrib, Tok akan tegur ; jangan galak sangat maghrib hari. Kami akan senyap-senyap serta merta. Waktu itu, kami kecil-kecil lagi. Bahu pun baharu separas pinggang Aki. Angah tinggi sedikit dari saya. Masa kecil dulu, saya gemuk juga. (aha… ketawa kecil).

Entahlah kenapa. Saya pun tidak faham ; kenapa ‘budak-budak’ suka main air. Suka juga main buih sabun. Kekadang kami tunggu Tok memberus kain, kami kumpul buih sabun banyak-banyak. Entahlah apa seronoknya. Kalau lepas bersabun, buih-buih, Aki suruh kami budak-budak kecil ini berdiri dekat-dekat dia, kena jirus sekali – dua tiga orang kami berebut-rebut peluk Aki. Saya pun nak juga. Kalau tidak, nanti saya merajuk. Saya pun tidak faham kenapa masa kecil dulu, saya kuat sangat merajuk. Bebaru ini, sempat bersembang dengan Azian melalui YM ;


Semakin saya mengingati, semakin saya menyedari bahawa kita benar-benar tidak akan memilikinya lagi ; waktu yang telah berlalu. Ya Allah…
~ rindu dengan sangat ~