Ombak

3 05 2008


TUTUP Pesona Peribadi, telefon bimbit. Tutup Yahoo Messenger. Tutup Skype. Tutup mata. Tutup mulut.

Buka kolam dalam mata. Wudhuk. Buka rukun 13. Buka Kitab Suci. Buka mulut. Buka lapangan bicara kecintaan – Tuhan dan hamba yang hina.

Saya melihat sejuta ombak mendebur. Putih, besar. Dia datang dengan suara.
Dia datang, dia pergi. Saya tidak pasti datangnya ombak itu membawa khabar baik atau buruk.
Tampak cantik. Berbisik-bisik, dengan suara tanpa huruf.
Dia datang lagi. Saya tidak pasti adakah pantai menunggu atau menghalaunya.
Dia datang lagi. Pantai masih setia.
Dia datang lagi, saya tidak pasti pantai muram atau ketawa.
Dia datang lagi. Saya tidak pasti datangnya memujuk pantai atau membuatnya menangis.
Dia datang lagi, dengan bentuk pelbagai. Pantai masih sama, namun digubah ombak.
Dia datang lagi ; pantai sudah berubah.

Saya tidak pasti di mana mata bagi wajah pantai.
Saya tidak pasti adakah air itu adalah tangisnya, atau kasih sayangnya.
Saya tidak pasti banyak perkara.

Namun,
saya pasti Tuhan Tahu segala perkara.
Saya pasti Tuhan Tahu segala damai dan badai. Tuhan tidak pernah zalim kepada hamba-Nya.
Saya pasti Tuhan dengar segala rintih hamba-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar.
Kalau saya tidak tahu apakah yang bibir saya doakan, hati saya bisikkan; Allah Maha Mengetahui.
Kalau saya diam. Allah jua Maha Tahu.

Rasa mahu terjun ke dalam Al-Quran. Mahu tenggelam dalam lautan damai. Allah Tahu.

Allah hadiahkan senyum untuk indahkan sebuah sabar.

Allah sangat Tahu.

Tuhan… hadiahkan aku sejuring nyawa yang tenang dalam jasad kesabaran pada-Mu… 0959 030508