Persediaan dan keputusan

27 05 2008

DITIMPA hujan berjalan ke kuliah pagi ini. Buat saya rasa sesak-sesak nafas. Sebetulnya saya tika ini sedang tercatuk di depan pintu rumah – tiada kunci. Jadi, saya kira mahu peruntuk waktu untuk bercerita dengan Pesona Peribadi sebentar.

Rasanya sudah lewat saya pulang ini, usai berbincang dengan kawan arab, langsung ke pasar. Namun di manakah gerangannya ahli Salsabiela yang lain? Masih belum temu jalan pulangkah?

Hari ini kalau ikut kiraannya kami akan duduki peperiksaan syafawi Feqhu l’Lughah. Entah kenapa saya seperti tidak terlalu membaca sejak semalam ; kurang ulangkaji. Barangkali hangat-hangat saja imtihannya baharu duduki minggu lalu. Saya sedikit hilang tumpuan untuk membacanya lagi, tambahan pula perut ini meragam saja ; ayam masak merah semalam pedas sangat – tapi saya tidak dapat menahan diri dari meratahnya. Sedap! ~ Dan sakit.

Mengikuti komentar peperiksaan lalu oleh Ustazah Dr. Badawi dalam keadaan kasut yang basah sangat membuatkan saya tidak selesa. Dengan pakaian yang kehujanan, saya rasa sengal sendi dan mengantuk. Ah. Namun, kuat saja firasat bahawa ustazah tidak akan mengulangi peperiksaan hari ini. Lewat komentarnya, ustazah bacakan markah. – berdebar – lambat pula tiba giliran saya. Akhirnya, nama pelajar Melayu terakhir ; Bint Suhaimi ; 14 – hari ini dapat mabrouk. 😀 Alhamdulillah. Terima kasih kepada yang sudi mendoai. (siap ustazah tayang lagi kertas peperiksaan di depan dewan ~ malu). Tidak rugi saya pulun menghafal kata-kata Ibn Khaldun dalam kitab Muqaddimahnya (sampai hampir terlanggar tiang lampu depan maqha waktu berjalan ke kelas). ~ Tuhan, pimpini daku menjadi hamba bersyukur dan bertaqwa…~

(Anis dah balik – dengan kunci pintunya ; saya ‘ter’sengaja buat dia terkejut bila terpandang saya di hadapan pintu. Tentu dia tak sangka akan ada manusia jadi penunggu hari ini) :p

Saya berhenti dahulu. Malam nanti mahu lunasi telaah untuk dua subjek lagi esok. Syafawi. Insya Allah. Moga dipermudah. Cemerlang dunia akhirat.

~ Esok, peperiksaan terakhir untuk sesi ini. Persediaannya bagaimana?
~ Entah bila-bila kita di datangi Izrail yang mendepankan kita dengan nafas terakhir. Persediaannya bagaimana?
~ Suatu masa yang pasti, kita akan berkumpul di Padang Mahsyar untuk ‘peperiksaan’ besar di hadapan Tuhan. Persediaannya bagaimana?





Pesanan buat kita

25 05 2008

AHAD yang separa kantuk. Keletihan barangkali. Semalam sahaja sudah agak kelewatan tidurnya. Namun, seperti tiada pengisian yang lekat di kotak minta. Petang semalam usai sudah peperiksaan Turath Islami – bahasa Amazigh (Berber) yang masyhur di Maghribi ini. Pukul 2 petang ini peperiksaan akhir untuk munazarah adyan pula. Peluang terakhir. Moga Allah permudahkan. Moga cemerlang dunia akhirat.

Saya tidak pasti saya ini mamai atau apa. Tidak pasti bagaimana untuk menyusun perkakasan dalam minda yang sangat berselerak, hilang pun ada. Cukuplah Allah ada. – barangkali saya perlu cukup rehat. ~ Sesungguhnya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang ~ Allah… Allah… Allah…

Saringan terakhir tesis. Moga segala-galanya baik-baik sahaja. Khabarannya semalam, insya Allah, hari perbentangan tesis 4 Jun ini. Doakan saya, kami.

Kira-kira minggu depan adalah minggu terakhir dalam hitungan peperiksaan kami. Sekitar satu atau dua subjek lagi. (satu lagi itu sudah usai peperiksaannya namun, dengar-dengar dia masih mahu buat lagi – oral) cuma bersedia. Kemudian, hanya tunggu natijah. (dan saya akan peruntukkan masa untuk projek kita. Maaf kalau nampak tak cakna saja semenjak dua ini – tidak boleh tumpu). Insya Allah, saya cuba yang terbaik.

Hakikatnya ; kita sudah sangat hampir dengan garisan penamat. Jika kita berjalan lambat-lambat, namun terus menerus, dengan izin-Nya, kita akan sampai juga. Jika kita berlari pun akan sampai, namun boleh jadi kita terjatuh atau cedera. Tekanan dan dugaannya lebih dahsyat. Marhalah pengijazahan 5 tahun, 4 tahun, dengan 3 tahun, mana yang lebih baik? Sepertinya tidak sempat merendang pohon ilmu yang disemai. Adakah cukup kukuh ilmu segala itu untuk kita berteduh dan berpaut padanya? Langsung, sekeping ijazah itu nilainya untuk sepohon jiwa ilmu yang rimbun, atau hanya telahannya laksana pucuk taugeh yang hanya mampu bercambah, tidak mampu berdahan, berimbun, memayungi… taugeh yang rangup – dan sangat lembik begitu sahaja bila sedia dihidang?

Ilmu ini punya marhalah yang lebih panjang daripada berian usia yang kita terima. Teruskan berilmu, belajar, mencari, mengajari. Sekeping ijazah bukan nilaiannya. Berjuanglah untuk ilmu Allah. Ini jihad kita. Allahu Akbar!

Dalam meniti arus perjuangan ini, berpesan-pesanlah selalu sesama kita. Ingatkanlah sesama kita bahawa Allah itu Maha Ada. Betuli, ajari, ingati. Kita tidak mampu berjuang seorang diri. Pesanan buat kita… ~ Moga kita dalam reda Allah, kasih sayang Allah, restu-Nya… ~

 





Wilayah keletihan

20 05 2008

“ANGIN, mari kita bernafas dan bersenyum…” – Siapa kata angin yang menderu itu nyaman pada bahasa nafasnya? Boleh jadi, angin itu cemas. Atau tidak langsung bernafas dengan hidupnya. Senyumnya dalam debaran. Atau dia menangis, lalu senyumnya mati.

(Di luar sana, beburung sedang sangat bising berpekikan ; ada masalahkah dengan alam ini?) 

Saya fikir saya punya banyak perkara untuk diselesaikan ; sehingga suatu masa saya hilang punca – tidak tahu apa yang sedang berlaku, apa yang patut dilakukan dan apa yang akan berlaku. ~ Allah ada ~

Hari ini hari lahir sahabat saya ; Khalilah saya. (saya kira saya jadi orang pertama dalam rumah ini ucap selamat hari lahir dan kucup pipinya tengah malam tadi 😉 ) Lilah sangat baik pada saya. Moga Allah berkati Khalilah saya selalu.

(Hilang bicara sebenarnya). Saya sambung lain kali sahajalah bicaranya. Seperti terlalu letih, namun terlalu rindu mahu bicara dengan Melati Jiwa. 

Kalian, doakan saya dan kami. Moga Allah permudahkan urusan, cemerlang dunia akhirat.

Hampir sahaja saya tidak mengenal apa itu hari dan bulan. Mujurnya masih berada dalam hitungan tahun. Mentari terbit dan tenggelam. Pasang surut kaum pantai dan laut. Biarkan semuanya berlalu. Biarkan Allah hitungkan segala. (saya sedang penat)

Saya sedang dihambat wilayah keletihan dan kesibukan. Wilayah kecemasan.

~ Sampai suatu masa saya makin faham kenapa Ibn Hazam Al-Andalusy itu ‘berkata’ begitu dalam sisip merpatinya merempuh helaian-helaian zaman ~

~ Sampai suatu petang, saya terpaksa ‘menyiat’ sepasang lembaran awal pada Wilayah Cinta dan Jalan Jauh ke Ramallah. – sangat tidak berniat (saya sayang sangat buku tu) ; namun ada ‘tragedi’ yang ‘tumpah’ di situ. Moga tidak sedetikpun berulang ketersinggungan seperti itu. Petang itu adalah hari ini ~

(maaf saja, entri kali ini tidak berbumi ~ di awan dan di bulan) – abaikan –





Selamat Hari Lahir Mak 1505

15 05 2008

Salam. Selamat hari lahir, mak yang disayangi. Harap mak sihat sejahtera, tenang sentiasa. Moga dalam rahmat-Nya. Moga Allah ganjari mak saya dengan kebaikan dunia akhirat. Saya rindu mak..

15;05;08 10;28am (waktu tempatan, Ma)

JAM tangan saya menunjukkan tarikh hari ini adalah 14 haribulan Mei. Saya pun tidak pasti kenapa tarikhnya lewat sehari. Hendak dikatakan mati, masih berdetik ; hidup lagi. Nasib baik saya tidak terlepas tarikh keramat ini. Menyempat utusi sms ke telefon bimbit Abah (sebab, saya cuba hantar pada Mak, tapi tidak sampai) ketika di dalam kelas tadi. Sekembali; Alhamdulillah, dapat juga dengari suara kerinduan itu. Ya Allah, terima kasih atas pemberian ini.

Mak letih. Katanya banyak kerja di hospital, projek itu ini, kursus segala. Kalau ikutkan hati mahu saja suruh mak duduk rumah sahaja. (Seronok juga kalau jadi suri rumah sepenuh masa). Kasihan mak, kerja dari pagi sampai petang, bantu abah di kedai pula. Abah pun masih sakit-sakit. Waktu telefon tadi, abah sedang baring tunggu Isya’. Dengar abah cakap-cakap dari belakang; katanya – doakanlah dia selalu, ikhtiarnya sudah, hanya Allah belum sembuhkan (pasrah saja nada abah). Moga kita semua bersabarlah dengan apa jua ujian Allah…

Curahkanlah kasih sayang sebanyak-banyaknya untuk kedua ibu bapa kita; kerana dengan sebanyak itu belum tentu mencukupi. Berbaktilah sehabis daya. Moga Allah berkati kita di dunia akhirat.

~ Saya tanya mak; umur mak berapa? Mak jawab, 25. – wah, kita hampir sebaya ; mak ketawa. Saya tanya lagi ; mak pencen bila? Mak jawab ; dalam 3 tahun lagi. Saya tanya ; lepas pencen mak nak buat apa? Tanam anggur ke? (awal pula interbiu). Mak kata ; mak duduk tolong abah je – hehe, takpe, nanti mak timang cucu saja banyak-banyak ya… (kami gelak) ~

Waktu kelas Maqosid Syariah tadi, setelah selesai sesi menghantar ‘kerja sekolah’ (siap kena buat peta minda lagi), ustaz bertanya satu soalan; witir paling sikit berapa? satu rakaat atau 3 rakaat. Maka jumhur menjawabnya 1 rakaat, dua orang dari dalam dewan itu menjawab 3 rakaat. Maka, dengan tersenyum, ustaz membalas; barangsiapa menjawabnya satu rakaat, maka sila ambil sebiji kurma dari saya (lantas dia pun keluarkan sekotak besar buah tamar dan mengagihkannya seluruh dewan – termasuklah ashabul 3 rakaat itu 😉 ). ~tamar hari khamis~

(hehe, mesej hari lahir untuk mak kali ini 100% Bahasa Melayu. Rasa janggal pula mengungkap rindu dan sayang dalam bahasa ibunda. Namun, bahasa kita tetap ada ruhnya yang tersendiri 😉 )

i miss you, mom… (rasa macam demam)





Tembikai

13 05 2008

MANIS katanya. Sejuk. Baru keluar peti. Merah. Sedapkah? Saya tahu itu. Kami (sama kak Iman dan Fatema) ke J3 semalam. Awal-awal lagi udah nampak. Besar-besar tembikainya. Entah macam mana boleh terbeli juga. Ah, nampak sedap sungguh. ~buat biasa-biasa.~

Kari ikan semalam sedap sungguh. Boleh puji kelas pertama; walaupun pedas! 

Ada tembikai dipotong comel-comel dihidang sekali. Saya tengok saja.

Sedap ya? Saya tanya saja.

Saya pandang lama-lama; saya tengok saja. ~ah, macam sedap saja…~

Dulu-dulu pernah suatu Ramadhan, kami buka puasa ramai-ramai di rumah nenek. Meriah betul. Apa yang paling seronok ada jus tembikai; banyak sangat. Dengan penuh kegembiraan saya meminumnya seenak rasa. – kemudian sepanjang malam saya tidak boleh tidur ; lelah. Semacam udah sampai ajal saja.

Begitulah keseronokan dunia ini tidak untuk selama-lamanya. Jika mahu sangat selesa, bimbang kalau-kalau di hujung waktu diuji sampai nyawa terasa jadi sempit. – Peruntukkan hak yang sepatutnya: jangan zalim.

Jika ingin mendapatkan kesenangan untuk 5 minit, pastikan kita dapat bahagia untuk 5 jam. Jangan dengan keseronokan 5 jam kita menderita selama-lamanya di alam akhirat. 

-seperti seronoknya tembikai itu menghempap rongga peparu-

Bila dihambat peperiksaan dan urusan pelbagai, baharu terasa mahu ‘membeli’ kembali 5 minit bersantai sambil makan couscous. (bukan tembikai)

Walaupun saya tidak menyempat ‘bercerita’ dengan Melati Jiwa, namun tanpa disedari saya telah mencuri waktu ‘berbisik’ dengan Pesona Peribadi dalam mudarraj ini. Maaf 😀 contoh yang tidak boleh ditauladani.

Bateri makin sesak; saya berhenti sekarang.

1254, 130508. alhebaby. Soussi

::: menghitung hari… detiknya pasti tiba, insyaAllah… 160 hari lagi!!! :::

 





Berusaha!!!

6 05 2008

BERUSAHA! Ya, sangat perlu untuk berusaha. (sebenarnya saya sedikit terkilan). Baharu pagi semalam, saya berkira-kira bahawa sesi ijazah kami akan berakhir dalam 4 hingga 6 minggu lagi. Jika dilihat pada takwim, segala urusan universiti akan berakhir untuk sesi ini pada 14 Jun. Ya, sangat dekat. Namun, tiba di kuliah tengaharinya, saya dikhabarkan bahawa para pensyarah digesa supaya menghabiskan urusan peperiksaan, munaqashah bahas, pemarkahan (dan sebagainya) menjelang 20 Mei! (Aduhai, suka hati sahaja percepat tarikhnya…) – cuak – 

Semalam, mahu menghantar manuskrip tesis untuk di‘tasheh’. Namun, hampir sejam menunggu, ustaz tidak kunjung tiba juga. Kami ulangkaji sikit-sikit. Kemudian, saya kembali semula. (udahlah seorang diri pergi dan balik) Sempat menyinggah ke pasar sekejap, beli ikan dan sayur sedikit. Pulang. Cuaca yang sangat selesa. Panas tidaklah sangat terik, dengan tiupan angin manja-manja. Cuaca kelas pertama. 

Saya bau aroma buah tembikai susu yang sangat men’damai’kan. Ah, seperti sudah di musim panas. Di depan pasar, banyak sungguh buah-buahan. Macam-macam ada. Ada tembikai merah yang 10 kilo sebiji, buah ceri merah yang mengiurkan, aprikot besar dan kecil; beraneka pilihan – cuma, ciku tiada. 

(saja-saja mahu tulis semua ini kerana terasa sangat bahagia melihat ‘alam’)

Berbalik kepada realiti. Ya, realitinya kami perlu bersedia untuk tempoh 2 minggu ini. (Ah, seperti tidak percaya sesi ijazah ini akan berakhir dalam 14 hari dari sekarang!) Kenapalah universiti kami ini suka benar membuat kejutan. 

Apa yang perlu dibuat?

Allah hadiahkan senyuman untuk mengindahkan sebuah kesabaran.
Bertenang.
Berusaha!

~ Kekadang, bila suatu takat, kita teruja dengan ‘kehidupan’ ; tetapi jika ada tangan yang menggapai, memimpin biarpun bertatih seperti bayi, jika ada suara yang berbisik lembut untuk menguatkan sekeping hati, jika ada bibir yang tersenyum untuk mendamaikan jiwa, jika ada doa yang dipohon dengan kasih sayang dan keikhlasan – saya jadi teguh. ~

doakan kecemerlangan kami di dunia akhirat.

Pecutan terakhir!
Berusaha!

Allahu Akbar!!!





Dulu-dulu, kita…

4 05 2008

ADA sepinggan kuah kari semalam atas meja. Di kalangan beberapa ketulan kentang itu ada satu dua daun kari. Dari depan pintu bilik, berdiri tidak jauh dari meja makan, melihat isi pinggan itu. Sekilas pandang, sangat terlihat seperti ciku ranum yang manis. Ah, kentang sudah jadi ciku. ~rasa mahu pulang ke kampung~

Waktu ini, dari paras Salsabiela yang kami diami; kedengaran suara beburung sedang bergurau senda dari luar jendela. Jika di kampung, suaranya lebih harmoni. Barangkali suara desa itu lebih mesra berbanding suara wilayah atlantik ini.

Teringat bening pagi berjirusan di perigi. Hangat-hangat sahaja curahannya. Suara burung menyambut. Jika pulang musim panas lalu, periginya masih sama. Namun, terasa banyak lainnya. Ya, salah satu daripadanya; saya sudah besar. Sudah tinggi. Saya rasa perigi itu rendah, kecil. Ah, kenangan itu terlalu jauh saya tinggalkan. Mencapai timba pagi itu, seperti mahu gugur airmata. Dipeluk kerinduan yang sangat dalam. Lebih dalam dari dasar perigi di depan saya. Saya rindu Aki dan Tok.

Tentu sahaja sangat canggung menimba setelah bertahun-tahun tidak berjumpa perigi. Pagi itu, saya di sisi perigi yang sama. Namun, airnya tidak semesra dahulu. Tidak semesra kasih Aki dan Tok yang dulu. Nyaman, redup tidak menyilau; namun sangat terang. Tuhan Tahu saya amat merindui saat itu.

Dulu-dulu kami selalu bising-bising main buih sabun di perigi. Pagi dan petang. Kalau sudah dekat maghrib, Tok akan tegur ; jangan galak sangat maghrib hari. Kami akan senyap-senyap serta merta. Waktu itu, kami kecil-kecil lagi. Bahu pun baharu separas pinggang Aki. Angah tinggi sedikit dari saya. Masa kecil dulu, saya gemuk juga. (aha… ketawa kecil).

Entahlah kenapa. Saya pun tidak faham ; kenapa ‘budak-budak’ suka main air. Suka juga main buih sabun. Kekadang kami tunggu Tok memberus kain, kami kumpul buih sabun banyak-banyak. Entahlah apa seronoknya. Kalau lepas bersabun, buih-buih, Aki suruh kami budak-budak kecil ini berdiri dekat-dekat dia, kena jirus sekali – dua tiga orang kami berebut-rebut peluk Aki. Saya pun nak juga. Kalau tidak, nanti saya merajuk. Saya pun tidak faham kenapa masa kecil dulu, saya kuat sangat merajuk. Bebaru ini, sempat bersembang dengan Azian melalui YM ;


Semakin saya mengingati, semakin saya menyedari bahawa kita benar-benar tidak akan memilikinya lagi ; waktu yang telah berlalu. Ya Allah…
~ rindu dengan sangat ~





Ombak

3 05 2008


TUTUP Pesona Peribadi, telefon bimbit. Tutup Yahoo Messenger. Tutup Skype. Tutup mata. Tutup mulut.

Buka kolam dalam mata. Wudhuk. Buka rukun 13. Buka Kitab Suci. Buka mulut. Buka lapangan bicara kecintaan – Tuhan dan hamba yang hina.

Saya melihat sejuta ombak mendebur. Putih, besar. Dia datang dengan suara.
Dia datang, dia pergi. Saya tidak pasti datangnya ombak itu membawa khabar baik atau buruk.
Tampak cantik. Berbisik-bisik, dengan suara tanpa huruf.
Dia datang lagi. Saya tidak pasti adakah pantai menunggu atau menghalaunya.
Dia datang lagi. Pantai masih setia.
Dia datang lagi, saya tidak pasti pantai muram atau ketawa.
Dia datang lagi. Saya tidak pasti datangnya memujuk pantai atau membuatnya menangis.
Dia datang lagi, dengan bentuk pelbagai. Pantai masih sama, namun digubah ombak.
Dia datang lagi ; pantai sudah berubah.

Saya tidak pasti di mana mata bagi wajah pantai.
Saya tidak pasti adakah air itu adalah tangisnya, atau kasih sayangnya.
Saya tidak pasti banyak perkara.

Namun,
saya pasti Tuhan Tahu segala perkara.
Saya pasti Tuhan Tahu segala damai dan badai. Tuhan tidak pernah zalim kepada hamba-Nya.
Saya pasti Tuhan dengar segala rintih hamba-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar.
Kalau saya tidak tahu apakah yang bibir saya doakan, hati saya bisikkan; Allah Maha Mengetahui.
Kalau saya diam. Allah jua Maha Tahu.

Rasa mahu terjun ke dalam Al-Quran. Mahu tenggelam dalam lautan damai. Allah Tahu.

Allah hadiahkan senyum untuk indahkan sebuah sabar.

Allah sangat Tahu.

Tuhan… hadiahkan aku sejuring nyawa yang tenang dalam jasad kesabaran pada-Mu… 0959 030508





Tenangkan, kuatkan…

1 05 2008

Keampunan – Mirwana

Takku sangka di malam ini

Tiada lagi purnama yang menerangi

Hanya sementara terselindung balik awan

Diselubung kegelapan sehingga ku terpenjara

Lantas ku berlari jauh

Mencari cahaya untuk menyuluh

Jalan untukku pulang

Wahai Tuhan Yang Agung

Kau Yang Maha Pengampun

Andai diri Kau hukum

Itu keadilan-Mu

Kupohon maghfirah-Mu

Ampunilah dosaku

Tempat untukku mengadu

Kasihanilah hamba-Mu

Di sinilah hakikatnya

Aku tunduk aku akur

Dengan takdir-Mu

Sebarang janji seringkali aku mungkiri

Tidakkah pernah sekali kau menjauhkan diri

Sedari mula tidak mungkin dapat aku lari

Dari ujian semua dugaan telah Kau beri

Walau hidupku penuh noda dosa yang terpahat

Tidak henti Kau anugerahkan ku secukup nikmat

Sungguh Kau lah yang Satu, Tunggal tiada serikat

Ku mohon sejahtera diri ini dunia akhirat

SEBETULNYA terlalu banyak yang berlegar tidak terluah sekitar tiga empat hari ini. Namun semacam tidak punya kudrat pula untuk menulis. Hingga malam ini juga seperti sangat tidak kuat untuk hidup. Cukup Allah masih perkenan temankan diri ini. Cukuplah Allah untuk segala-galanya.

Tiba suatu masa, terasa suatu rasa buntu yang melampau.

Saya tidak mahu berputus asa dengan Tuhan.

… Kepada sebatang nyawa di dalam diri;

kita sama-sama tidak kuat

tetapi kena sama-sama berusaha untuk jadi kuat

Berusaha!

Banyakkan selawat,
moga diberi ketenangan dan kekuatan.

Saya masih mahu taip sesuatu, namun kepala ini sudah rasa seperti kebas, pusing-pusing serupa pitam. Saya berhenti dahulu.

~ tadi Ali Imram tegur, terima kasih Tuhan kerana pujukku dengan halaman-halaman itu… ~

Allah… Allah… Allah…