Ciku…

23 04 2008

LAMA sudah terasa mahu makan ciku. Bukan mengidam sangat pun, namun rasa seperti sangat mahu. Kalau dulu-dulu selalu ‘cup’ (tempah) awal-awal buah ciku dari pokoknya lagi. Silap-silap kalau ada ciku yang dicup itu hilang, alamatnya gegerlah satu rumah. Bukan nak makan sangat pun, tapi suka. Kalau tidak ‘booking’ dari pokok pun, sederhana masak udah dipetiknya. Balut dalam kain, letak dalam tong beras. Sehari dua, kekadang sudah masak diperam. Terlebih peram, udah berair, rasa baur masam-masam sikit. Rindu pula mahu petik ciku belakang rumah. Biarpun ada kerengga dan semut hitam. Seronoknya… ~ Astaghfirullahal’azim… jangan sampai kehendak terhadap dunia itu mencicirkan kehendak terhadap akhirat yang lebih abadi ~

Sempat beberapa tahun saja merasa hasil berbakti pada tanah. Waktu di rumah sewa di perumahan Peramu Jaya 3, Pekan dahulu, ada laman, ada tanah. Bolehlah saya buat-buat rajin mencangkul batas di tepi rumah. Kami ada pokok cili, pokok tomato, kunyit, serai, pisang, belimbing buluh dan sebagainya. Sempat buat batas, tanam jagung. Sudah sampai bibit-bibit putiknya, lembu masuk pagar, rasa seperti mahu menangis sahaja tengok batas dijamah lembu. Sedih betul. Bukan sekali begitu, tapi dua kali. Bila diingat-ingat, rasa kasihan sahaja budak darjah tiga itu (sayalah tu). Boleh saja beli jagung di pasar tani, tapi sudah suka main cangkul; biarlah dia.

Bila sudah berpindah ke Taman Mentiga Jaya, Pekan, lamannya tiada lagi. Depan belakang jalan tar saja yang ada. Maklum saja rumah kedai. Aduhai, semacam rimas sahaja. Rindu mahu ada laman dan jiran seperti di kampung dulu (seperti di Kampung Marhum; kampung saya membesar). Dulu-dulu, saya, Angah dan Azian selalu main petang-petang di padang depan rumah aki (saya dan Angah dari ‘rumah pantai’ sebab rumah kami dekat pantai. Tak jauhpun dengan rumah ‘Mak Darat’ yang Azian duduk. Jalan kaki lima minit sudah sampai. Azian (sepupu) panggil datuknya Aki, tapi kami sebagai cucu saudara memanggilnya ‘Tok Keling’ sebab dia gelap; pun dari keturunan india+bugis. Belah abah, kami tak sempat bermanja dengan datuk sebab abah kata, arwah pak (datuk) meninggal awal sebab kanser kolon. Jadi, kami merasa dicucukan Tok Leng dan Mak Darat (isterinya; Azian panggil ‘tok’).

Hari ini usai bersengkang mata dengan tesis dan laporan praktikal, tumpuan mula hilang menjelang petang. Perhabis nasi goreng dengan Anis, bila mula menghadap Pena Peribadi, terasa mahu makan ciku pula. Sengaja meraikan rasa hati dengan menulis di status YM, tiba-tiba sepupu saya dari Sheffield itu menegur dengan ayatnya sebaris: arwah tok suka makan ciku. Laju saja mata seperti mahu berair. Udahlah jiwa sentimental sedikit semenjak dua ini. Rindu sangat. ~ Tuhan, aku mahu bertemu mereka ~

Pernah suatu petang, Tok potong buah ciku letak dalam piring. Kulitnya udah dibuang. Kekadang tok letak dalam peti, bila lepas makan nasi tengahari, kami makan dekat beranda yang selalu kami mengaji Quran dengan Aki petang-petang. Satu kali itu, saya tahu Tok suka makan ciku, tapi saya rasa tak cukup ambil sekali atau dua kali. Apa yang saya ingat, memang saya ‘terpaksa’ makan lebih banyak daripada Tok makan. Sedap sangat. Manis saja. ~ subhanallah, nikmat dunia sudah tidak terkata, kalau nikmat syurga? ~

Bila rindu itu datang, layar di mata nampak segar seluruh raut wajah insan-insan yang dikasihi. Rindu itu datang tidak dipanggil tapi datangnya selalu bawa ombak di tubir mata. Sesekali dapat berbicara dengan dia yang memahami kenangan dan kisah lama bersama, sedikit sebanyak rindu ini terubat. Terima kasih, Tuhan.

Kalau dulu, buat-buat malas kupas kulit ciku, mak tolong kupaskan. Buat-buat malas atau konon-kononnya sibuk untuk makan, mak tolong suapkan. Kalau sekarang, dalam rajin atau malas, ciku pun tiada; (rasa mahu balik Malaysia). Tidak mengapalah, kita harmonikan nikmat yang ada di sisi kita. Kalau tiada tangan mak yang menyuapi ciku seperti di tanah air, di sini ada tangan kakak-kakak yang menyuapi strawberi dan aprikot. Merasa juga makan bersuap.

~ minggu ini harus perhabis menghafal syair asal Muhammad Iqbal dalam bahasa Urdu. Agaknya kalau balik India, udah boleh faham bahasa hindi ~





Diserang Virus!!!

22 04 2008

DISERANG. Gara-gara mahu memuat turun aplikasi Kamus Dewan dari internet, Pena Peribadi saya : Si Dell ini diserang virus pula. Nyaris-nyaris saja hilang fail-fail tesis dalamnya. Cuak. Itulah akibatnya bila tidak berhati-hati mengurusi tetamu yang bertandang. Disangka teman, rupa-rupanya musuh bertanduk. Saya pun tidak pasti bagaimana boleh diserang. Saya rasa sudah betul apa yang saya klik. Silap tekan pula. ~ ujian ~

Begitulah kita, saban hari, detik waktu yang berlalu kita sentiasa diperhatikan dan terdedah dengan bahaya serangan dalam senyap atau ‘bising’. Canggung langkah sedikit, gelincir. Bila-bila sahaja boleh diserang seribu satu macam virus yang handal-handal. Anti-virusnya?

Iman kita ini, bukan murah-murah : namun bagai senang-senang sahaja dicerobohi virus beraneka. Malanglah kalau kita tidak sedar bahawa kita ni sebenarnya dijangkiti virus yang mampu membawa ‘maut’!  ~ kalau rasa fail tesis itu berharga, fail iman? ~

Virus yang menyerang iman, hadirnya bolehjadi dianggap biasa. Dirasakan teman, hakikatnya lawan. Mula-mula dia datang, dia menyapa, salamnya bersambut : macam baik saja. Terus-terus selalu sahaja mahu ke hulu hilir bersama. Tidak sedar, makin bersama, makin tipis iman di dada. Suatu hari, Tuhan jentik pintu hati. Ada tazkirah yang lagaknya seperti rotan dan cemeti. Pedih rasa ‘ter’sebat. Bila pakai cermin mata, telek ‘member’ dekat-dekat : ah, penangan syaitan rupanya! ~ pekena anti virus cepat-cepat ~

Dalam banyak hal yang kita henyak dalam hidup ini, kita tidak sedar dengan tipu daya musuh iman itu. Duduk, berdiri, berjalan dan sebagainya perhitungan iman tetap ada. Banyak hal, kita selesa dengan pilihan, pekerjaan, rutin yang kita buat. Namun, adakah segala perbuatan kita itu disaring dengan ‘anti-virus’ yang boleh dipercayai? Ada banyak juga anti-virus yang sebenarnya me’marhaban’kan lagi tentera-tenteranya bersarang, menyerang secara senyap dalam pekung iman kita. Berhati-hatilah. ~ Ya Allah, peliharalah iman kami selama-lamanya ~

Anti-virus yang dipercayai harus punya lesen yang sah di sisi undang-undang al-Quran dan as-Sunnah. Harus bebas dari perkara-perkara yang kabur, bimbang kalau-kalau tanpa sedar iman kita terjebak dalam arus kelabu yang akhirnya menghitamkan hati. Anti-virus juga perlu di‘update’ setiap masa. Supaya iman kita sentiasa segar dan bertenaga dengan ingatan yang kuat kepada Allah. Jangan sesekali mencuba-cuba terima sesuatu perbuatan, perkara atau apa sahaja tanpa saringan syariat Islam. 

Kekadang, sesuatu perkara itu bukanlah asing bagi kita. Sudah cukup kenal, namun perkenalan kita dengannya tidak diteliti dari segi hukum hakam dan undang-undang syariat yang betul. Tidak hairanlah bila suatu masa, saya ditanya : “salahkah saya (lelaki) berbual dengan kawan saya (perempuan) tu? Bincang pelajaran saja. Kalau jumpa, bukan buat apapun. Tanya khabar saja.” Semacam malas sahaja saya untuk menjawab ‘soalan’ seperti itu. Cukup untuk kita sama-sama ingat ; Ulama zuhud, seperti Maimu’ bin Mahran, mengatakan, “Tiga hal yang jangan sampai dirimu melakukannya, antara lain, … jangan engkau mendatangi wanita meskipun engkau beralasan: “Aku ingin mengajarkannya kitabullah.” (Siyar A’lal Nubala, 5/17) 

Selalulah ingat, bahawa syaitan itu virus terbesar iman kita. Namun, teringat pula prof saya yang mengajari Usuluddin semester musim bunga-musim panas ini, katanya; (lebih kurang begini) manusia itu apabila dia melakukan kejahatan/kemaksiatan, dia didorong oleh syaitan. Namun, jika dia sudah beristi’azah (lalu dia membaca a’uzubillallahi min asy-syaitonirrojim) tetapi kejahatan itu masih terdorong; maka dia bukan lagi didorong oleh syaitan, bahkan nafsu. Siapa lebih jahat? Syaitan atau nafsu? Bila nafsu sudah buat kerajaan sendiri (menang pilihanraya dalam diri), syaitan sudah boleh goyang kaki. Tak perlu bersusah payah menggoda insan, sebab nafsu insan itu sendiri sudah macam dia.

Kalau kita kira dari segi kebahayaan virus ini; virus nafsu yang jahat itu asalnya dari dalam diri insan. Kemudi hati dan imannyalah yang harus waspada terhadap selumbar dalam daging itu. Berhati-hati dengan setiap bisikannya. ~ Awas, virus! ~

Dalam 99 kebaikan, syaitan itu masih mahu menyelitkan walau satu kejahatan. Yang mana tidak mustahil dengan satu kejahatan itu, habis punah 99 kebaikan yang telah dibina.

Wallahu a’lam.

~masa untuk berbicara dengan Melati Jiwa sudah habis, saya harus berhenti sekarang dan berkalih kepada ‘bicara’ munazoroh al-adyan pula. Peperiksaannya insya Allah petang nanti. Doakan kecemerlangan bersama~

… semalam, malamnya berbulan yang sangat terang; ah! Perlu kuat! Sabar itu indah …





Nilai

20 04 2008

SEMALAM saya duduk di dalam api, tapi baharu tadi saya duduk di dalam peti. Tidak mahu sejuk-sejuk sangat. Ada pelita yang menerangi; tidak seperti api yang membakar, panas dan melecurkan. Ada gerimis hangat-hangat dari kolam mata yang meluhurkan budi dan kasih. Cuaca hari ini jadi sebuah cinta yang subur. Tolong jangan pergi lagi. Cukuplah apa yang sudah berlalu.

Dulu-dulu saya ada tulis tentang dia. Selalu. Dalam senyum dan air mata. Saya baca selalu-selalu. Saya baca ulang-ulang. Bila tutup mata, saya mahu dia ada. Mahu dia senyum dan genggam tangan erat bersama. Tolong jangan halang, tolong jangan sesiapa hancurkan hubungan ini. Sesiapapun jangan: sama ada orang lain, saya ataupun dia sendiri. Kita usahakanlah, ya. Mahu kita damai dan berkasih sayang. Seperti dahulu, bahkan lebih lagi. Kita dari darah yang sama.

Dulu saya pernah hilang dia. Tolong jangan dihilangkan lagi, jangan pula menghilang. Kalaupun saya tampak buat-buat sibuk pada waktu tertentu, sayang itu masih ada. Bukan mahu mengunci bicara, tapi suatu masa, terasa diri tiada erti. Terasa putus asa dan kecewa. Maaf kalau saya gagal fahami dia. Saya tidak harap dia faham saya, tapi cukuplah kalau dia dapat senyum pada saya, dan saya senyum padanya.

Saya pun salah. Banyak. Tapi kalau dia salah, saya kesal sebab gagal berusaha mengelakkan salahnya. Saya pun tak sempurna. Tapi saya mahu dia lebih baik. Mahu dia sama-sama dengan saya menuju ke arah kebaikan. Kita sama-sama baiki diri. Kalau saya salah, bantulah saya. Betulilah saya. Saya sangat perlukan dia, dan kalian semua. Saya syukur kalian di samping saya. Terima kasih. Tuhan sangat Adil.

Susahkah kita, senangkah kita – kita bersama-samalah. Ini suatu harapan dan rayuan. Kita sama-sama doa, ya. Mohon maaf atas segala silap dan salah. Mohon maaf pada Tuhan. Kita syukur pada Tuhan. Terima kasih kerana masih mendakap saya sehingga saya merasa kasih sayang seorang sahabat. Rindu kita yang dulu. Kalau dia menangis lagi, biar jari ini yang seka. Maafkan saya tidak mampu jadi pendamping yang baik untukmu, yang benar-benar mendamaikanmu. Maaf. Tolonglah jangan pergi lagi. 

Kalaupun dia tidak anggap saya sebagai yang sahabat yang akrab atau apa-apapun, mohon maaf saya hadir dalam hidupnya. Tapi, percayalah kita ditakdirkan bertemu, pasti Allah punya perancangan terbaik untuk kita. Saya tidak memaksa dia menerima saya sebagai sahabat, tetapi cukuplah jika dia tersenyum, dan saya mampu membalas senyumnya.

Kita hiduplah kerana Allah. Kita semua dihitung. Setiap denyutan nadi kita dipersoal.

Maafkan saya, terima kasih.
Saya sayang dia. Terima kasih, Tuhan kerana hadirkan dia dalam peluang saya masih bernyawa.





Jangan ikut rasa

19 04 2008

“AKU sedang melihat sebuah api membara membakar sejuta nyawa yang rangup seperti biskut kelapa!”

(Alkisah) Saya sedang menasihati lembu dan kambing supaya makan sawi hijau yang tumbuhnya dengan disirami hujan yang turun dari langit. 

Apakah kita ini lupa Tuhan itu Maha Pengasih? Bukan setakat hujan yang diberi, bahkan udara, tanah yang ‘kau’ pijak ; nyawa. ~ Janganlah berlagak dengan Tuhan ~

(Alkisah) Saya sedang berusaha menghalau nenas yang suka-suka hati bertumbuh dalam reban bertingkat-tingkat. Ada duri yang dipanggung daging-daging segar : sangat sukar untuk dicabut. ~ halau! ~

Saya (kami) benar-benar melihat mayat rentung yang masih berjalan, merayau-rayau, keluar-masuk-keluar. Saya kira dia tidak begitu rentung, namun lebam-lebam pada rona hitam kelabu itu membawa aura kebencian yang menusuk rongga jantung, peparu, usus dan sebagainya. Tapak tangan pun jadi radang. Tekak pasang lampu merah. Tunggu masa hijau. ~ kami masih bersabar ~

Merpati putih nampak jinaknya macam kapas yang mahu dipijak tapi ditiup angin.

Kami bukan kertas putih. 
Ya, ada dakwat yang tumpah. 
Ada tulisan. 
Bukan wahyu, mandat cuma. 
Kami bukan sempurna, 
tapi kami kenal hitam dan putih. 
Kami hidu kelabu yang hitam. 
Kami bukan sempurna. 
Tapi kami tidak buta, bisu dan pekak.

~ Barangsiapa yang tidak faham entri kali ini, sila abaikan ~

– Kami juga menunggu!





Mahu jaga dengan baik…

17 04 2008

SELALU sahaja apabila kita terlalu menjaga sesuatu dengan baik, akhirnya kita hampir kehilangannya. Kekadang, kita cuba untuk lakukan yang terbaik untuk sesuatu yang kita sayang, namun di persimpangan kita diduga seribu satu macam halangan. Walaupun barang amanah itu dalam dakapan kita, entah kenapa mesti jatuh memakam debu dan jadi kotor. ~ sangat kesal ~

Dalam banyak hal, kita cuba untuk jadi yang terbaik. Sudah tentu. Namun, bukan senang untuk menjadi yang terbaik. Sekurang-kurangnya berwawasanlah. Ya, kita perlu ada wawasan. Kita perlu ada impian. Ada hajat yang ingin kita tunaikan, namun kata seorang sahabat saya semalam: “hajat saja tidak cukup; mesti ada kemampuan.” Mampukah kita untuk merealisasikan impian kita itu? Kita selalu nampak target, tapi kurang menilai kemampuan diri. ~ rancang dengan apa yang ada di tangan, bukan yang kita angan-angankan… ~

Kekadang, saya melihat dunia ini bala. Tetapi kita kena usahakan untuk dapat pahala. Setiap yang diciptakan itu tidak sia-sia. Pasti ada hikmahnya.

Kita berwawasan, bercita-cita untuk sepuluh tahun mendatang; cukup bersediakan kita untuk cita-cita tertinggi : bertemu Yang Maha Agung? Cukup bercita-citakah kita untuk maut yang mendatang esok, hari ini, sekejap lagi, sesaat lagi? Cukup bercita-citakah kita untuk menghembus nafas terakhir dengan husnul khatimah?

~ Kita semua akan mati. Tiada yang terkecuali. Gapailah bintang setinggi manapun, ingatlah bumi yang akan kita diami perutnya. ~





Untuk seorang dinda…

16 04 2008

Muhammad Amin,

Salam semerbak cendana dan rindu
bertautan kasih biar beribu batu
untukmu;
Selamat hari ulangtahun kelahiran ke 16,
moga diberkati usia
bertakwalah
bersyukurlah
Kita hamba bertuhan.
Jadilah mukmin yang soleh.

Waktu berkejaran, berlarianlah kita memintas satu sama lain. Sedar tidak sedar umur meningkat, usia memendek. Makin dekat dengan kematian. Berusahalah, ber’sedar’lah menuju Dia. 

Saban hari, janganlah sampai kita ini leka meneguk air laut yang hanya menambah haus itu. Makin diteguk, makin haus. Berusahalah menuju Dia. Kelak menikmati tegukan madu firdausi yang enak segarnya berpanjangan.

Bila kita yakin dengan janji Allah: yakin dengan segala kenikmatan, ganjarannya yang tak terhingga; juga yakinlah azab siksa Allah itu juga maha pedih, dahsyat. 

Bila kita yakin… berusahalah.

Duhai Tuhan Yang Maha Tahu… bantulah, bimbinglah kami…

~Allah… Allah… Allah…~





Jatuh sakit

14 04 2008

ALHAMDULILLAH, usai banyak perkara dalam masa yang sangat singkat ini. Namun, sedikit sebanyak terkilan juga cuti musim bunga ini berlalu tanpa sempat untuk saya berehat (kalau mahu benar-benar berehat itu namanya sudah berada di syurga). Hajatnya mahu lunasi tesis sesiapnya, namun apakan daya, kita juga perlu berkhidmat kepada khalayak. Moga Allah berkati.

Sebetulnya saya sangat pening bagai diserang migrain saja tika ini. Udahlah sejak malam semalam lagi perut ini tidak diisi. Hanya alasi dengan segelas susu sebelum tidur. Bukan halnya tiada makanan, bahkan berlambak. Namun, itulah bila Allah tarik sedikit dari nikmat-Nya, terasa seolah-olah lemah benar hidup ini. Ya, pergantungan kita 100 peratus kepada Allah. ~ Allah… Allah… Allah… ~

 * * *

Baharu selesai masak bubur gandum, selewat jam 2 petang baharu cuba-cuba untuk makan juga. Namun, seperti biasa: pasti keluar semula. Walaupun kepala ini pening-pening juga, selagi ada waktu senggang, pastinya diusahakan untuk diisi dengan urusan tesis yang tergendala ini. (mahu menulis di Melati Jiwa pun curi-curi masa)

(pun begitu, sempat lagi ke kedai beli beras sepuluh kilo. Huhu)

Sehingga malam, haru sangat bila Khalilah saya susah-susah saja masakkan bubur nasi untuk saya. Walaupun ayam kurmanya nampak enak, namun saya tidak jamin saya mampu memakannya. Memadai dengan dua pinggan bubur. Alhamdulillah, hampir seharian, baharu dapat isi perut. Namun, tidak lama… perut mula jadi sakit seperti dirobek-robek dengan belati tajam. Sakitnya seperti 4 tahun lalu; bila minum air kosong pun, rasa perit perut seperti ditusuk pisau. Kembali di hadapan Dell ini dan sambungi taipan tesis. Tidak lama; mual, muntah. Keluar sudah makanan-makanan tadi. Sangat sakit dan letih. ~ Allah baharu duga sedikit ~

Kata mak, saya tak cukup rehat;
SIV 6,7,8 April – SUKMA 10,11 – Mesyuarat Agung Khas 12 April 08
(sedar-sedar cuti musim bunga dah habis)

Namun, kitalah yang menjadikan hari-hari yang berlalu itu bererti. Seronok sahaja dapat berkampung dengan adik-adik tahun satu di Perkampungan Musim Bunga lalu. (meskipun terpaksa tunda projek kami, insyaAllah akan saya cuba lunasi minggu ini). Insya Allah, laporan SEMPURI 08 akan saya cuba siapkan dalam waktu terdekat – Saudara Fahd pun dah tanya-tanya.

SUKMA – Sangat pingin sejak semester lalu lagi. Sekali sekala bersukan: dapat pula dewan bola keranjang yang tidak kurang hebatnya itu – pasti tak lepaskan peluang (Alhamdulillah – hingga ‘ter’nasib baik menjaring bola dari jarak sekitar 3 meter dari sisi. Tidak sangka juga dapat ‘gol’ dari jarak jauh…) Namun, (aha…) bangun pagi esoknya, terasa seperti sakit yang dialami ketika keluar dari dewan bedah 3 tahun lalu. Walaupun begitu, masih sangat bersemangat untuk sesi bola tampar (Alhamdulillah – Gelombang Biru johan!), sakit tangan walaupun tak jadi pemain utama.

Muktamar – Semangat itu ada, namun suara tidak berapa mahu keluar. Udah seperti suara angsa saja. Huhu. Hampir hilang suara. (Namun, saya tetap menyimpan tidak puas hati untuk beberapa perkara). Tunggu muktamar duwali bulan 7 nanti. 

La hawla wala quwwata illa billah. 

Saya rasa harus berhenti bercerita di sini. Harus urusi perkara yang lebih penting. Moga Allah bantu. Moga kita semua sihat sejahtera selalu, moga terus gagah untuk beribadat kepada-Nya. 

(baharu jatuh sakit sedikit, udah tidak berdaya : bagaimana jika dijatuhkan dengan dugaan yang lebih besar?) ~ uzkurullah…

Allah… Allah… Allah…

(Bila sakit-sakit, rasa nak mak ada kat sisi saja… macam bayi yang mahu gapai tangan bondanya saja)

Na, studi urdu la… “mey bohot acchi larki hu” 😉