Nafas Pilihan Raya

1 03 2008

pilihan-raya.jpg

CEMBURU dengan kehangatan PRU di Malaysia waktu ini. Bukan selalu dapat berada dalam zon ini. Bertahun-tahun, baharu menjelma semusim. Hendak memilih bersifat berkecuali? Oh, pastinya tidak terjangkau untuk ‘begitu’! Kita membaca; membaca nafas-nafas yang berlegar di sekeliling kita; tidak mahu tandus untuk menterjemah. Kalaupun tidak untuk khalayak ramai; sudah cukup melepas idam untuk khalayak jiwa dan minda sendiri.

Mengundi? Seorang sahabat mengingatkan bahawa saya tidak cukup umur. Aduhai, ingatkan udah besar; tidak cukup umur lagi rupa-rupanya (lambat sangat 25 Ogos…). Kalau anakanda sultan Murad; Muhammad Al-Fateh itu sudah mentadbir negara tika usia belasan tahun lagi. (mestikah usia menjadi penghalang?) Kita? ~AUKU?

Kota Konstantinopal, teguh Rumeli Hissari dengan 3 purnama menggempar jiwa Kaisar, Maharaja Rom dalam kekagetan. ‘Kekuatan’ Istanbul tika itu adalah kekuatan jiwa pemimpinnya. Bahkan empayar di seluruh dunia yang jatuh itu adalah kerana kepincangan politiknya. Kerajaan diri adalah hati. Sebesar manapun ‘kerajaan’ itu; lihatlah siapakah empunya hatinya. Dari daging nan segumpal itulah lukisan ‘kerohaniannya’ terzahir.

Hangat pilihanraya di tanah air; benar-benar terpanggil untuk ‘bersama’ bernafas dalam ‘udara’ yang sama. Jika Malaysia itu sekangkang kera sahaja dengan tanah Tariq ben Ziyad ini; mahu sahaja saya turut berada di Malaysia. (Pastinya bukan untuk ‘suka-suka’).

Negara – Cukup kenalkan kita dengan negara kita? Dari mana kita mengenal negara kita? Bagaimana kita mengenalinya? Dari media? Dari ilmu, dari hati, emosi atau apa?

Pilihan raya; antara usaha bagaimana kita mencorakkan negara. Kita yang berperanan. Patut terkecualikah kita? Apakah kita ini tiada nilai dan tanggungjawab dalam mencatur halatuju negara?

Usah sibuk-sibuk mempertikaikan sebesar-besar perkara jika soal taharah untuk bersolat pun kita pandang remeh. Hendak membina agama dalam diri pun masih pincang, bagaimana mahu membina agama untuk ‘kesuburan’ negara? Mahu ‘bertani’ pohon yang baik; pasti dengan benih yang baik. Namun jika terlalu ‘bersemangat’ menanam; tanpa ilmu dan ‘jiwa’ tidak dapat dijamin kebertumbuhannya;- kerana terlalu semangat mengorek tanah untuk menanam benih sehingga tidak bertumbuhan; tertimbus terlalu dalam. – usaha bersemangat tanpa ilmu yang sia-sia.

Perjuangan? Kita ini mahu berjuang, ya? Berjuang dengan ilmu atau dengan semangat? ~bahawasanya amatlah rugi bila tin yang sangat kuat bunyinya bila ‘diketuk’; isinya kosong.

“Jika kamu seorang yang berpandangan, maka pastikan dirimu juga seorang yang berpendirian. Sesungguhnya pandangan boleh menjadi rosak hanya kerana kamu berbelah bahagiā€ – Abu al-Tayyib al-Mutanabbi.

~Kita suka makan ikan, tetapi bencikan tulang ikan.~