Berusaha!

31 03 2008

al-umm.jpg

KANTUK masih berbasa basi menyambut pagi baharu. Dingin sedikit-sedikit menerkam tengkuk. Tingkap di hujung katil itu tidak boleh dikatup kerana sedang ‘berprojek-gam-cermin-mata’. Aduhai dunia. Sepanjang saya tidak menaip di sini, entah berapa kali patahnya. Alhamdulillah, baharu usai berusaha mencantumnya untuk kali ketujuh setelah patah buat kali keenam kurang 30 minit lalu. Sabar itu indah.

Sebetulnya terlalu banyak perkara berlegar dalam nafas musim bunga kali ini. Namun selalu sahaja tidak sanggup meninggalkan taipan tesis yang insya Allah berbaki 50 peratus pembikinannya itu. Mahu dioceh segala-galanya, masa sangat ketat mengekang jemari. Dengan kitab berlambakan minta ditelaah. Tak mengapalah. Mana yang ada sahaja. (kalau menulis di sini pun, bukannya untuk siapa-siapa juga; tetapi terasa sangat suka untuk diri sendiri). ~ Na, berusaha!!

Saya ini sedang menyiapkan ‘projek kami’ sebenarnya. Nanti marah pula Kanda Dibah nun di sana. Namun, malangnya selalu sahaja apabila saya mahu menyambung kerja yang terbengkalai itu, fikiran jadi kosong. Seperti degil sangat untuk diajak berfikir. Aduhai, sabar itu indah… ~ berusaha!

Hari ini ulangtahun kelahiran sahabat saya, Anis yang comel itu. (ahah, ada yang menjadi tua hari ini 😛 ) Moga dalam rahmat dan redha-Nya selalu. ~Syukur Anis lahir ke dunia ni, kalau tidak tentu saya tak tahu nak sakat siapa selalu-selalu. 😉

Semalam saya ada berbicara dengan seorang kenalan tentang seni. Saya sebenarnya kurang bersetuju apabila nilai ‘seni’ itu dicampur-adukkan dengan nilai ‘kurang-moral’ yang kononnya cuba mengangkat nilai estetika yang tinggi dalam karyanya. Saya tidak kisah jika pelakunya adalah ‘orang-bukan-Islam’, namun jika orang yang mengaku Islam melakukannya; saya seperti tidak boleh terima.

Memang kita ada kebebasan. Tetapi bebas seperti mana yang kita mahu? Mahu liberalkah? Ataupun bebas memilih cara hidup ‘tersendiri’; namun tiada batasan ‘keagamaan’kah? Dalam apa perilaku sekalipun, jika kita Islam; perlu Islamlah segala perbuatan ini. Islam itu ada garis panduannya. Jika kita merasa Islam memberatkan kita; barangkali hati kita itu bukan Islam. Kalau bukan Islam…? ~ kita pun perlu berusahalah untuk sentiasa meninggikan nilai Islam itu dalam apa perkara sekalipun…

Sebetulnya perbincangannya hanya bermula dengan menelek satu dua laman fotografi yang kenalan saya itu lanjutkan. Saya memandang hasil fotografi itu adalah karya seni yang tidak harus dipandang enteng. Saya kira seni itu indah. Tentu sahaja indahnya lebih bernilai bila ada garapan Islam yang paling tidakpun dapat mengingatkan kita pada Pencipta Alam ini. Kita kan hamba bertuhan… (Apapun, terima kasih sudi berkomentar)

(banyak leter pula pagi-pagi ini ; sedang mencari ruh untuk menulis, jadi curah di Melati Jiwa dulu).

Insya Allah, jumpa lagi kemudian.

(Moga sahabat saya tenang-tenang selalu. Terima kasih)

(Universiti di Rabat ini laju benar taqwimnya berlari. Seperti baharu sahaja belajar, sudah dua tiga subjek usai peperiksaan (termasuk peperiksaan mengejut). Fiqh muqoron dan maqosid syariah sudah habis nihaie pun. Tau-tau sudah habis satu wehdah.) ~ Allahummaj’alna minannajihin fiddunya wal akhirah…

Ainaa… berusaha!

 





Bila rindu…

5 03 2008
ANGIN kuat sungguh hari ini. Sejuk semacam sahaja. Semalam udah seharian dilanda ‘seakan-akan-demam’. Letih seperti ‘jatuh sakit’. Moga sejahtera senantiasa.

Usai muzakarah ilmiah bersama Azian dari Sheffield juga adik-adik junior dari Kenitra secara online -sekitar sejam-, baharu terasa letih bercakap . Terus terasa ingin lelap dengan ‘tekun’ di pembaringan untuk lima-sepuluh minit. Ah, kandas. Jam tiga baharu bergegas ‘mengejar’ bas untuk ke Hassan. Lewat hampir 30 minit ke kelas perancis.

Kekadang, hati ini sangat rindu untuk pulang ke kampung (entah kenapa petang ini sentimental sahaja). Sedar tidak sedar cuma berbaki lebih kurang 10 minggu sahaja lagi sesi pengajian ijazah pertama ini! Cepatnya waktu. Allah… semacam belum sedia untuk terjun ke dalam masyarakat di tanah air. Namun hati sudah merindui hijau sawah padi, suam-suam hujan tropika menangisi hari dan yang paling dirindu; bau mak abah yang penuh kasih sayang itu. ~ semacam hilang bicara.

Teringat. Balik cuti musim panas yang lalu, abah masih sakit-sakit. Namun, semangatnya sangat kuat mahu berusaha untuk sembuh. Seribu satu ikhtiarnya. Kata abah, dia mahu sihat ketika majlis kahwin Ayong, dia mahu sihat ketika hari raya juga. Malam sebelum majlis kenduri Ayong, abah awal ke pembaringannya. Sakit katanya. Tidak berdaya untuk bangun. Waktu keluarga abang Irfan datang malam itu pun, abah tidak bangkit. Alhamdulillah, esoknya abah ‘nampak sihat’.

Hari mahu berangkat kembali ke Maghribi, fikiran sangat tidak keruan. Sedikit-sedikit ‘makan hati’ dengan Angah yang merajuk itu. ‘Terasa’ dengan abah; sangat tidak bersedia tinggalkan Malaysia dengan nafas begitu. Sebelum bertolak, menahan sebak salami mak, abah. Waktu itu berjujuran juga air mata ketika seperti tenggelam mendakap abah, cium pipi abah. Membaca genang di kolam matanya dalam-dalam. Teringat; melepasi zaman kanak-kanak dahulu kali pertama memeluk abah kuat-kuat ketika darjah enam, sebelum UPSR. Moga kembali cuti lalu bukan kali terakhir merapat bau abah. ~ rindu dengan sangat.

(terasa harus berhenti menaip; atau banjir pula Salsabiela ini)

Waktu saya di pondok dulu, abah sakit sampai dua minggu tidak berapa boleh bangun. Abah tidak bagitahu saya pun, sehingga saya menghubunginya. Kami buat bacaan yasin, solat hajat juga. Doakan abah cepat sembuh. Tika itu Angah juga sakit-sakit. Bila saya bicara dengan seorang sahabat, dia membalas; jangan sampai kecintaan kita pada makhluk itu mengatasi cinta pada al-Khaliq, siapa pun mereka, meskipun ibu ayah kita. Cintakan ibu ayah juga ada batasnya. – sejenak saya sedikit terkedu. Ya, kita semua pinjaman. Barang dipinjam, sampai waktu tetap harus dikembalikan. Benar, mencintai Pencipta Cinta itulah yang abadi.

(saya sudah gam cermin mata saya untuk kali keempat, tetapi belum untuk kali kelima – malam semalam telah patah sekali lagi) ~dunia sangat sementara.





Panas

4 03 2008

2097231858_1bcfedd97d.jpg


LAJU. Saya sudah mula dihambat desakan waktu yang maha hebat. Waktu melaju sedang diri terkapai-kapai mahu memintas seribu perkara dalam sesaat. Panas. Getar, gentar, bersabar.

08 Mac 08 – Panas. Demam pilihan raya di Malaysia. Kami di sini pula berdemam peperiksaan. Baharu dua kali muhadharah, udah dimomok dengan peperiksaan; fiqh muqoron. Tesis?

Letih.

“Ujian adalah tarbiyah dari Allah. Apakah kita kan sabar, ataupun sebaliknya. Kesenangan yang datang selepas kesusahan, semuanya adalah nikmat dari Tuhan.”

Kita sebagai hamba selalu sahaja tidak sabar dengan ujian Pencipta.

Kita selalu lalai; hanya ingat untuk kembali pada Tuhan setelah ‘dicubit’ dengan ujian-Nya.

Kenapa harus begitu? Ataukah solat kita yang lima itu tidak dapat mengingatkan kita pada Allah? Solatkah kita?

Di saat kita merasa sangat letih dan lemah untuk menghadapi hidup, tidak cukup kuatkah kita menopang doa? Ataukah kita tidak berdoa?

Kita hamba bertuhan. Dia ada. Kita ada Dia.

(oceh sementara menunggu kuliah usuluddin bermula; saya tidak suka berada dalam udara yang tepu dengan pertelingkahan. Panas. Bertenanglah semua…)

Pesona Peribadi,
04 Mac 2008, Mudarraj el-Hebaby, Souissi, Irfane 09;01am
~Moga Allah kurniakan kesejahteraan, kesihatan yang baik untuk kita semua.~
Bersyukurlah…

(cermin mata yang patah untuk kali ke-4 itu sudah dicantum kembali dengan gam untuk kali ke-4)





Nafas Pilihan Raya

1 03 2008

pilihan-raya.jpg

CEMBURU dengan kehangatan PRU di Malaysia waktu ini. Bukan selalu dapat berada dalam zon ini. Bertahun-tahun, baharu menjelma semusim. Hendak memilih bersifat berkecuali? Oh, pastinya tidak terjangkau untuk ‘begitu’! Kita membaca; membaca nafas-nafas yang berlegar di sekeliling kita; tidak mahu tandus untuk menterjemah. Kalaupun tidak untuk khalayak ramai; sudah cukup melepas idam untuk khalayak jiwa dan minda sendiri.

Mengundi? Seorang sahabat mengingatkan bahawa saya tidak cukup umur. Aduhai, ingatkan udah besar; tidak cukup umur lagi rupa-rupanya (lambat sangat 25 Ogos…). Kalau anakanda sultan Murad; Muhammad Al-Fateh itu sudah mentadbir negara tika usia belasan tahun lagi. (mestikah usia menjadi penghalang?) Kita? ~AUKU?

Kota Konstantinopal, teguh Rumeli Hissari dengan 3 purnama menggempar jiwa Kaisar, Maharaja Rom dalam kekagetan. ‘Kekuatan’ Istanbul tika itu adalah kekuatan jiwa pemimpinnya. Bahkan empayar di seluruh dunia yang jatuh itu adalah kerana kepincangan politiknya. Kerajaan diri adalah hati. Sebesar manapun ‘kerajaan’ itu; lihatlah siapakah empunya hatinya. Dari daging nan segumpal itulah lukisan ‘kerohaniannya’ terzahir.

Hangat pilihanraya di tanah air; benar-benar terpanggil untuk ‘bersama’ bernafas dalam ‘udara’ yang sama. Jika Malaysia itu sekangkang kera sahaja dengan tanah Tariq ben Ziyad ini; mahu sahaja saya turut berada di Malaysia. (Pastinya bukan untuk ‘suka-suka’).

Negara – Cukup kenalkan kita dengan negara kita? Dari mana kita mengenal negara kita? Bagaimana kita mengenalinya? Dari media? Dari ilmu, dari hati, emosi atau apa?

Pilihan raya; antara usaha bagaimana kita mencorakkan negara. Kita yang berperanan. Patut terkecualikah kita? Apakah kita ini tiada nilai dan tanggungjawab dalam mencatur halatuju negara?

Usah sibuk-sibuk mempertikaikan sebesar-besar perkara jika soal taharah untuk bersolat pun kita pandang remeh. Hendak membina agama dalam diri pun masih pincang, bagaimana mahu membina agama untuk ‘kesuburan’ negara? Mahu ‘bertani’ pohon yang baik; pasti dengan benih yang baik. Namun jika terlalu ‘bersemangat’ menanam; tanpa ilmu dan ‘jiwa’ tidak dapat dijamin kebertumbuhannya;- kerana terlalu semangat mengorek tanah untuk menanam benih sehingga tidak bertumbuhan; tertimbus terlalu dalam. – usaha bersemangat tanpa ilmu yang sia-sia.

Perjuangan? Kita ini mahu berjuang, ya? Berjuang dengan ilmu atau dengan semangat? ~bahawasanya amatlah rugi bila tin yang sangat kuat bunyinya bila ‘diketuk’; isinya kosong.

“Jika kamu seorang yang berpandangan, maka pastikan dirimu juga seorang yang berpendirian. Sesungguhnya pandangan boleh menjadi rosak hanya kerana kamu berbelah bahagi” – Abu al-Tayyib al-Mutanabbi.

~Kita suka makan ikan, tetapi bencikan tulang ikan.~