Bermula!

11 02 2008
BERMULA! Ya, segala-galanya benar-benar bermula. (terasa mahu bicara keras-keras tapi masih sedar bahawa ia hanya meninggikan kebodohan dalam kemarahan sedang merendahkan nilai diri).

Jadual kuliah sudah penuh. Kehadiran di kuliah sudah bermula pagi ini walaupun hambar. (di antara sifat bangsa ini yang saya tidak suka; tidak berdisiplin. Bukan hendak pukul rata bangsa ini tetapi itulah hakikat yang dapat saya baca; bukan terjemah!).

Sepanjang minggu sudah jadi sangat padat; dengan kuliah di universiti, praktikal (insyallah akan berakhir dalam masa terdekat), kelas bahasa perancis, tesis, kelas warasy, tadarus harian dan usrah. – jadikan waktu bererti.

Bila bermula musim ini, rerumput udah mula berbungaan. Waktu sudah mula berlari. Ya, bermula untuk berlari dengan sangat pantas. Sungguh, saya terasa takut dihambat masa. Dengan ajal yang mendekat. Tuhan, diri ini lemah. ~moga ‘bersambutanlah’…

Tidak perlu mengumpul terlalu banyak ‘perkara’ untuk mematikan kehidupan; kerana yang berulangan itu sudah terlalu banyak. Terasa terlalu banyak juga cubaan dan telahan ikhlas untuk membaja pohon jiwa. Tiada apa lagi yang harus dipertahankan setelah kerap kali membaiki luka dan lara; setelah berlalu jutaan derap di atas kapas putih yang tidak putih lagi kini. Jika dulunya mendamaikan, lembutnya menyelesakan tapak kaki bertijak; tiada apa lagi yang tinggal. Ada alas kaki yang egokah? Saya tak fikir perkataan ‘ego’ atau ‘sombong’ itu sesuai. Saya membacanya sebagai ‘tersinggung’. Saya memanjangkannya dengan ucapan; terima kasih. Bukan halnya mengharapkan dihargai, dihormati. Cukuplah jika yang berakal dan berhati itu mengamalkan nilai pekerti seperti Rasulullah anjurkan. Cukuplah. Tidak perlu disanjung, cukuplah memahami, dan tidak menuduh seenak rasa. Ada masa dipujuk hati menjadi tegar; untuk berkali-kali. Namun, segalanya telah bermula. Bermula untuk menghargai nyawa dan hati yang ada. ~tersinggung yang membunuh jiwa.

Segala-galanya bermula. Ya, benar-benar bermula. Jangan matikan langkah! Atau ada nadi yang berdarah dalam telahan.

~saya tidak belajar untuk mengasari sesiapapun, namun kali ini terasa amat dikasari setelah sangat cuba untuk berlembut; terima kasih~

Bermula!