Dikejar bayang hitam.
Sejuta nafas bergelora menjadi satu.
Selangkah berlari, tiga langkah berhenti,
tiga langkah untuk dua kaki.
Yang dikejar berkejaran;
berselimut dalam satu kegelapan,
menangis dalam lagu ketawa.
Memekar senyum kembang
dalam kuncup rohani mendingin.
Dingin membeku dalam api segar;
marak merah hitam melebur salju.
Roh terus canggung melayang
sedang yang mengejar dikejari.
Usah terus berlari,
bila yang putih itu merisik.
Bukakan nafas rindu.
biarkan kenal putih yang punya Nama.
Jenuh kuajari jiwa.
Kembalikan Dia padaku,
atau biarkan aku mati.
Biarku mati meneguk rindu,
dari gersang membenci cinta.
Seribu jadi satu.
Aku yakin Dia.
Aku ingin Dia.
Bawakan aku pada Dia;
atau aku terus mati.
Ratibkan nama-Nya pada nafasku
atau aku jadi mati.
2328; 080208
~aku melihat ada nyawa yang tidak mahu mati, sedang ada nadi yang bersembur dijerkah maut seribu tahun. Aku masih mahu pertahankan ; bahawa aku lebih mahu banjir itu melimpahi hayatnya, liang lahadnya. Aku lebih mahu ‘kematiannya’ dalam tangis daripada ‘kehidupannya’ dalam senyum, dan neraka itu hampir. Walaupun aku ini lemah menunggu segunung gula-gula, aku tidak rela berenang di dalam secamca madu! Aku pecah.~
Tinggalkan Jawapan