Maju…

29 02 2008
 
MENGANTUK tanpa sebab. Mungkin hanya lebih enak menjadi sebab untuk ke pembaringan. Andai tiba waktu pembaringan yang tidak membuka kembali katup mata yang ‘lena’, tentu kita juga yang menyesal tidak berhabisan memanggung amal bertundaan. Allah…

Sebetulnya, tersangat banyak kewajiban menuntut diurusi seribu satu perkara. Namun, kekadang jadi hilang punca pula. Tidak tahu di mana harus dimulakan, tidak tahu bagaimana. Tahu-tahu, jadi ‘selesa’ sahaja ‘buat-kerja-sendiri’. ~ Tuhan, bantulah…

Entahlah apa seronoknya mengulum gula-gula lolipop sambil mata menjamah kitab maqosid sepagi. ‘rasa-macam-syok-sendiri’ saja. ~ Makan gula-gula ni boleh buat kita ‘happy’, kan? 😉 saya suka…

“Na, tidak patut kita memulakan dengan terlalu banyak permulaan. Tak jadi kerja!” <fokus!Serius!>

Terasa cemburu dengan pesta buku yang ‘bergemparan’ di serata dunia. Hangat-hangat Pesta Buku Islam Jakarta 2008; terasa mahu ke Indonesia sahaja. Insya Allah, jika tiada aral melintang, mahu jejak ke sana juga. Tidak sekarang, nantilah…

Orang kita; masih ‘terkebelakang’ dalam senarai kategori ‘ulat buku’… mahu tunggu buku berulat barangkali. Bagaimanalah bangsa kita mahu ‘maju’? Atau dengan bangunan pencakar langit, kemajuan teknologi itu ini, terasa sudah maju? Hakikat modal insan itu harus bagaimana? Kalau kemajuan dan kecanggihan teknologi hanya membuatkan manusia semakin ‘buas’ dan liar menggonggong ‘dunia tanpa sempadan’ sehingga lupa hakikat diri, majukah ‘insan’ itu?

Melulu membuta tuli, kaya dengan budaya ikut-ikutan; tandus ilmu dan akal fikiran. Majukah ‘insan’ itu? Bilakah kita mahu benar-benar maju rohani dan jasmani, jika ‘selesa’ di takuk ini? Menjadi air yang bertakungan dan berbusukan?

~rasa seperti mahu pencen dari menulis; namun tak cukup kuat bertekad seperti itu. Dan pastinya tidak akan bertekad untuk itu. Kekadang, bercurahan idea mahu menulis, berkongsi; namun kekangan waktu dan hambatan ‘kerja’ membuatkan saya lebih diacah-acah ‘terliur’ saja.~





Budaya

23 02 2008

keris_dapur_nogo_sosro.jpg

RINTIK-RINTIK hujan di balik jendela mengusik lopak-lopak air belakang rumah. Kedinginan mula menggigit liang-liang roma. Sedetik memejamkan mata; meneraju pemikiran untuk sejuta langkah mendatang, menyapa seribu memori lalu di kantung kenangan. Ah, hari suram seperti ini mencuri penumpuan saya! ‘Ter’katup udah kitab syarah al-arbain an-nawawiyah. Aduhai, mudahnya hati berbolak balik. Mahu dicambuk sahaja yang nakal-nakal itu.
Lama sudah tidak meluangkan masa di sini; agak sibuk dengan urusan pelbagai.

Rindu untuk menulis itu ada, namun selalu sahaja cemburu pada masa untuk bersama-sama lambakan kitab yang perlu dijamah itu. Urusan tesis ini akan terus menerus mengganggu fokus menulis sehinggalah ‘hak’nya benar-benar selesai. Ya, saya masih sedang mencuba. ~kamu akan menjumpai sebuah ‘kehidupan’ dengan menulis…

Alhamdulillah, usai ‘Hari Malaysia’ yang sangat bermakna itu. Terasa sangat bersyukur menjadi rakyat Malaysia. Saya menyokong pernyataan bahawa; seorang anak watan akan lebih ‘ter’gilap semangat patriotisme setelah dia melihat negaranya ketika dari negara lain. ~ antara lainnya; Malaysia sangat kaya dengan budaya. Tidak salah berbudaya selagi mana selaras dengan syariat.

Seingat saya, saya tidak pernah berpeluang menyaksikan dikir barat, zapin dan silat secara langsung ketika di Malaysia sehinggalah semalam, di Mohamedia, Morocco. Memang terpegun melihat dikir barat yang mantap dengan paluan kompang, gendangan pelbagai. Teruja. Saya memuji persembahan itu sebagai; bagus; tahniah! ~kalau orang Melayu pun teruja, orang arab pasti ‘tidak sangka’ kita punya budaya se’hebat’ itu. Hihi…

Saya meminati seni mempertahankan diri. Dulu-dulu, ketika zaman kanak-kanak lagi, pernah mahu Aki ajarkan silat (saya dan sepupu saya, Azian saja yang semangatnya). Namun, pindah dari kampung dan usia Aki yang mendahului cita-cita membantutkan harapan kami. Ketika saya sudah berpindah meninggalkan kampung, saya masih mahu ikut masuk gelanggang silat gayung di Peramu Jaya, Pekan walaupun mak abah seperti bagi tidak bagi saja. Saya pendam. Entah kenapa mahu sungguh ‘bersilat’ (hihi… kelakar pula).

Sehingga sekolah menengah, akhirnya saya menyertai dengan rasminya persatuan taek-won-do (siap jadi presiden lagi). Namun, tidak lama; sehingga tali pinggang biru, saya berpindah sekolah, dan waktu itu tidak berpeluang untuk terlalu aktif kerana masalah kesihatan. (rasa pingin main bola jaring la pula…).

Walau bagaimanapun, ilmu dan pengalaman terasa sungguh mahal meskipun tidak banyak yang dipelajari. Nilai itu tetap ada. (Nyaris kami hendak ke Kedah untuk kejohanan Taek-won-do usai kejohanan peringkat negeri Pahang di Kuantan, lima enam tahun yang lalu)

Budaya Malaysia. Saya kira tidak salah kita ‘berbangga’ dengannya. Budaya itu keistimewaan kita. Kenapa mesti kita menyisihkan budaya? Cuma, perlu di’terap’ budaya itu mengikut acuan Islam; dan keistimewaan itu bertambah mahal.

(saya tidak mahu berhenti menulis lagi; tapi saya perlu berhenti untuk kembali membaca ‘kerja’ yang gendala ini) ~moga Allah permudahkan.





Bermula!

11 02 2008
BERMULA! Ya, segala-galanya benar-benar bermula. (terasa mahu bicara keras-keras tapi masih sedar bahawa ia hanya meninggikan kebodohan dalam kemarahan sedang merendahkan nilai diri).

Jadual kuliah sudah penuh. Kehadiran di kuliah sudah bermula pagi ini walaupun hambar. (di antara sifat bangsa ini yang saya tidak suka; tidak berdisiplin. Bukan hendak pukul rata bangsa ini tetapi itulah hakikat yang dapat saya baca; bukan terjemah!).

Sepanjang minggu sudah jadi sangat padat; dengan kuliah di universiti, praktikal (insyallah akan berakhir dalam masa terdekat), kelas bahasa perancis, tesis, kelas warasy, tadarus harian dan usrah. – jadikan waktu bererti.

Bila bermula musim ini, rerumput udah mula berbungaan. Waktu sudah mula berlari. Ya, bermula untuk berlari dengan sangat pantas. Sungguh, saya terasa takut dihambat masa. Dengan ajal yang mendekat. Tuhan, diri ini lemah. ~moga ‘bersambutanlah’…

Tidak perlu mengumpul terlalu banyak ‘perkara’ untuk mematikan kehidupan; kerana yang berulangan itu sudah terlalu banyak. Terasa terlalu banyak juga cubaan dan telahan ikhlas untuk membaja pohon jiwa. Tiada apa lagi yang harus dipertahankan setelah kerap kali membaiki luka dan lara; setelah berlalu jutaan derap di atas kapas putih yang tidak putih lagi kini. Jika dulunya mendamaikan, lembutnya menyelesakan tapak kaki bertijak; tiada apa lagi yang tinggal. Ada alas kaki yang egokah? Saya tak fikir perkataan ‘ego’ atau ‘sombong’ itu sesuai. Saya membacanya sebagai ‘tersinggung’. Saya memanjangkannya dengan ucapan; terima kasih. Bukan halnya mengharapkan dihargai, dihormati. Cukuplah jika yang berakal dan berhati itu mengamalkan nilai pekerti seperti Rasulullah anjurkan. Cukuplah. Tidak perlu disanjung, cukuplah memahami, dan tidak menuduh seenak rasa. Ada masa dipujuk hati menjadi tegar; untuk berkali-kali. Namun, segalanya telah bermula. Bermula untuk menghargai nyawa dan hati yang ada. ~tersinggung yang membunuh jiwa.

Segala-galanya bermula. Ya, benar-benar bermula. Jangan matikan langkah! Atau ada nadi yang berdarah dalam telahan.

~saya tidak belajar untuk mengasari sesiapapun, namun kali ini terasa amat dikasari setelah sangat cuba untuk berlembut; terima kasih~

Bermula!





…atau aku jadi mati.

8 02 2008
SUARA Jumaat. Ya, masih dalam nyawa yang sama. Namun darah yang berbeza. Dalam tegang udara yang sarat berpuisi. Saya kira Jumaat ini tidak seperti Jumaat selalu. Suara beburung pagi dibaham harimau lapar yang buas. Pohon yang rimbun dibakar hidup-hidup hingga tiada sehelai daun hijau yang melambai, namun saya arif; akarnya masih mencengkam tanah… masih… masih… jika Tuhan benarkan, akan bertumbuh pucuk hijau dari rentung hitam semalam.

Dikejar bayang hitam.
Sejuta nafas bergelora menjadi satu.
Selangkah berlari, tiga langkah berhenti,
tiga langkah untuk dua kaki.
Yang dikejar berkejaran;
berselimut dalam satu kegelapan,
menangis dalam lagu ketawa.
Memekar senyum kembang
dalam kuncup rohani mendingin.
Dingin membeku dalam api segar;
marak merah hitam melebur salju.
Roh terus canggung melayang
sedang yang mengejar dikejari.
Usah terus berlari,
bila yang putih itu merisik.
Bukakan nafas rindu.
biarkan kenal putih yang punya Nama.
Jenuh kuajari jiwa.
Kembalikan Dia padaku,
atau biarkan aku mati.
Biarku mati meneguk rindu,
dari gersang membenci cinta.
Seribu jadi satu.
Aku yakin Dia.
Aku ingin Dia.
Bawakan aku pada Dia;
atau aku terus mati.
Ratibkan nama-Nya pada nafasku
atau aku jadi mati.
2328; 080208

~aku melihat ada nyawa yang tidak mahu mati, sedang ada nadi yang bersembur dijerkah maut seribu tahun. Aku masih mahu pertahankan ; bahawa aku lebih mahu banjir itu melimpahi hayatnya, liang lahadnya. Aku lebih mahu ‘kematiannya’ dalam tangis daripada ‘kehidupannya’ dalam senyum, dan neraka itu hampir. Walaupun aku ini lemah menunggu segunung gula-gula, aku tidak rela berenang di dalam secamca madu! Aku pecah.~