“Sama-sama sirih”

16 01 2008

PREJUDISKAH? Kenapa entah, naik muak untuk bicara lagi. Bukan halnya prejudis atau apa, cuma bangkit rasa “tidak-berguna-berunding-lagi” (hal rundingan di sini tiada kena mengena dengan isu rundingan pada entri sebelum, cuma mungkin masih berbaur isu “diskriminasi jantinakah?”).Kalau benar-benar mahu, langkaui sejuta dayanya. Kenyataannya di sini; memang tidak mahu; itulah bangkit jutaan dalihnya. Runding baik-baik pun tidak guna kalau telinga tuli, ada lidah bisu.

Kita ini manusia yang punya akal fikiran. Kita bukan robot yang mesti bertindak mengikut buku manual buatan manusia. Apalah bagusnya mengikut telunjuk seperti ‘bertuhankan’ hukum dan peraturan manusia? (birokrasi pun berpada-padalah). Apakah undang-undang dan hukum Tuhan itu lebih lekeh? Atau sesuatu itu hukumnya; boleh-je-kalau-memang-dah-tak-ada-cara-lain-lagi. Terima sajalah.

~ bukan halnya tiada cara lain lagi; tapi malas atau memang langsung tidak mahu ‘menyerabutkan’ diri dalam usaha menjaga hak Tuhan. Siapa sebenarnya yang liberal? Mahu jadi bagaimana sebenarnya? Mahu kebebasan yang bagaimana sebenarnya? Islam ini jumud sangatkah? Cuba untuk mencari alternatif melepasi ‘tohmah’ dan memurnikan kaum itu jumudkah? Taksubkah? Mahu Islam yang bebas ya? Bukan Islam liberalkah?

“Kalau meringan-ringankan sedikit satu dua hal dalam muamalat ni (rukhsah la… darurat la…), okey saja. Bukan hal akidah pun. Tidak kafirlah. Buat apa susah-susah mahu merumitkan keadaan. Islam itu syumul, Islam itu mudah.” ~ ya, mudah sangatlah kalau macam tu. Buatlah agama sendiri! ~ susah-susah saja hidup di dunia yang bermasalah itu; kenapa tidak pilih untuk hidup di dunia yang tiada masalah? Masuk tanah sahaja.

Kalau bunga sendiri tidak mahu dipakaikan duri padanya, mujur sahajalah pagar mahu menyelamatkannya daripada dikumbangi.

Kamu mahu apa sebenarnya? Kamu mahu bagaimana sebenarnya? Mari kita berunding.

~ ingatkan sawi rupa-rupanya sama-sama sirih.kenapalah tidak mahu sirih kembali ke gagang.





Lelaki memang tidak boleh dirunding?

16 01 2008
“LELAKI memang tidak boleh dirunding!” ; maksud saya; ego. (perempuan tidak egokah?) Sengaja saya ketengahkan pernyataan yang dihamburkan oleh suatu suara yang sedang ‘panas’. Dalam hening suhu 8 darjah selsius malam ini, (tanpa disedari) saya dikesit bahangnya juga. Panas juga.

Benarkah lelaki tidak boleh dirunding?

Saya membaca perkara ini adalah suatu fenomena yang berlaku melibatkan persekitaran dalam diri (emosi, perasaan) dan persekitaran luar (masyarakat, rakan setempat, cuaca, iklim). ‘Kehangatannya’ berlegar antara dua pihak yang berlainan jenis, sama ada secara berkumpulan ataupun individu.

Seorang lelaki diajak berunding (atau dikemukakan cadangan kepadanya) dengan keadaan dia sedang terdesak, sibuk (atau buat-buat sibuk), sedang bersedih, kebosanan atau tidak mahu diganggu, dan beberapa keadaan lain yang seerti dengannya ; boleh jadi dia akan dibaca sebagai ‘ego’ oleh si pengajak runding. – bila tindak balas yang ‘kurang’ memuaskan dibalas oleh lelaki itu.

Contoh; Ahmad sedang ‘sibuk’ dengan peperiksaan. Dalam masa yang sama dia juga ‘disibukkan’ dengan beberapa masalah yang ‘menyerabutkan jiwanya’. Pada suatu hari, Siti menghubunginya untuk berunding sesuatu (untuk menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan mereka dan kemaslahatan orang sekeliling juga.) – Siti pun sibuk juga, ada masalah juga…

Siti berkata; Maaf kiranya mengganggumu.
Ahmad: Tiada apa. Ok saja.
Siti: Maaflah saya bertanya, cuma inginkan kepastian; kenapa paku di dinding surau itu masih belum dicabut lagi? Bukan apa, risau kalau-kalau terkena jemaah kita yang bersandar di dinding. (dalam hal ini, Ahmad memang seorang pencabut paku di dinding surau; maksud saya; itu memang kerja dia la)
Ahmad: Ada pakukah? Tak perasan pun. Paku itu dah dibengkokkan kot. (mungkin memang dia tidak perasan kerana urusannya banyak; sibuk)
Siti: Emm, atau mahu saya tolong cabutkan sahaja (tapi si Siti itu tidak pandai cabut paku itu. Lagipun, tidak cukup kelengkapan). Atau mahu saya carikan sesuatu untuk menutupnya, atau bagaimana? Kasihan juga kalau ada warga tua lenguh dan mahu bersandar sementara menunggu di surau. (saya tak tahu nak buat contoh macam mana)
Ahmad: Suruhlah mereka bersandar.
Siti: …
Ahmad ‘hilang’ entah mana. Tiada respon. Sibuk atau buat-buat sibuk. (mungkin Ahmad ada urusan yang lebih penting untuk diutamakan daripada ‘berunding’ dengan Siti)
Siti: (setelah lama Ahmad tidak merespon apa-apa) Emm… tak mengapalah. Maaflah kiranya paku itu tidak patut dicabut (maknanya bukan bidang tugas Ahmad). Maaflah saya mengganggu waktumu. Mohon maaf, terima kasih.
Ahmad: sama-sama. (‘tiba-tiba’ sahaja {tidak lama kemudian} paku itu dicabutnya – hal di sini; Ahmad kan seorang tukang cabut paku di surau. Dia ada segala kelengkapan. Ketika siti ‘bertanya’ padanya itu, paku itu memang berada di depan Ahmad.)

(maaf, saya tidak menjumpai contoh lain yang lebih baik melainkan hanya dapat mendatangkan cerita seperti di atas)

Ahmad – kenapa tidak berterus terang sahaja kalau sedang sibuk (mungkin dia ingin menjaga hati Siti). Tapi dikira sebagai ‘menjaga hati‘kah bila dia menjawab soalan Siti dalam endah tidak endah sahaja.

Bila Siti rundingkan adakah dia perlu lakukan sesuatu, atau bagaimana, Ahmad memberi respon yang membuatkan Siti ‘terdiam’. Saya kira, tidak salah Siti kalau dia berkecil hati, berdiam sahaja atau mungkin dia jadi marah, dan kemudian marahnya membuak-buak (terpulanglah siapa watak Siti itu).

Saya juga melihat Ahmad semacam sedikit ‘ego’ apabila ‘seakan-akan’ kerjanya dipertikai (habis tu, kalau dia lalai, takkan orang nak ingatkan pun tidak boleh). Bila Siti tawarkan mahu membantu, dia membatu pula. Acuh tidak acuh sahaja. Sedangkan akhirnya dia lakukan juga apa yang diperkatakan oleh Siti itu. (mungkin Ahmad tiada ‘mood’ waktu itu. Jadi dia bersikap seperti watak di atas).

Siti pun, tidak wajar juga kalau hendak beriktikad bahawa “lelaki memang tidak boleh dirunding” sebab tidak semua lelaki begitu. Namun, saya mengira; Siti akan berpernyataan begitu dengan begitu keras hanya pada waktu itu sahaja. Kerana boleh jadi dia memang sangat terasa/tersinggung berbaur perasaan marah. Walau bagaimanapun, saya pasti di belakang waktu dia akan ‘melembutkan’ sedikit pernyataannya itu; sebagai contoh; “sebilangan lelaki memang tidak boleh dirunding apabila dalam keadaan tertentu”

Ini hanyalah suatu pandangan peribadi. Tiada kena mengena di antara yang hidup dan yang telah kembali ke rahmatullah. Perbincangan dipersila.

Cukuplah dahulu. Saya pun mahu berunding dengan mata saya ini; mahukah dikatup dan tidur atau…

p/s; (ada diskriminasi jantinakah?)