Sangat ‘bermainkah’?

25 01 2008
 
JUMAAT yang selalu dinanti. Tidak pasti ada titip bersambutan ataupun hanya harapan sehala yang layu. Berperang dan memerangi, kemudian jadi letih. Tapi tidak pula mahu jadi bisu. Mahu selesa melihat denyut nadi yang bertahlil. Biar hangat terbakar. Biar menyambar. Selawat dan salam buat Kekasih Ilahi. Allah Maha Tahu.

Sepetang ini membuatkan saya rasa seperti mahu muntah dan rasa nafas berhabuk. Berhabuk darah yang mengalir dalam jasad ini bila telinga pun bingit memuntah benci dan sengketa sendiri. Tumpuan saya jadi hilang. (tidak faham dengan persoalan yang buat-sakit-hati, di samping pesta apa entah yang membingitkan alam Bloc A0 ini. Sekolah depan rumah ini tidak reti menjaga ketenangan dan kedamaian sejagatkah?) saya menyeru agar kalian bersabar.

Lewati blog alqasam yang sudi menyapa Melati Jiwa, saya benar-benar tertarik dengan ingatan yang dinaqalnya daripada Syeikh As-Syadzili, membuatkan saya juga ingin berkongsi di sini;

“Apabila dzikir terasa berat atas lidahmu, anggota tubuh berkembang menurutkan hawa nafsumu, tertutup pintu berfikir untuk kemaslahatan hidupmu, maka ketahuilah bahawa semua itu adalah petanda banyaknya dosamu atau kerana sifat munafiq yang tumbuh dalam hatimu. Tiada jalan lain selain dari berpegang teguh kepada jalan Allah dan ikhlas dalam pengamalannya “.

Allah… merimbun salah dan dosa menzalimi diri sendiri. Sebetulnya, usai saya membaca kata-kata di atas, jiwa jadi kelu. Terdiam sejenak; yang ada hanya mahu diperuntukkan ruang untuk hati menekuni muhasabah. Mahu bisukan bicara lainnya, mahu hidupkan bicara hamba bertuhan. Mahu matikan rindu dunia, mahu hidupkan cinta akhirat… dan sedari diri ini hamba, Dia itu Tuhan.

Tuhan, adakah hamba ini sangat ‘bermain’ dengan masa-Mu? Sangat lalai dengan nikmat-Mu? Ampuni… Ampuni… ~ Allahummaghfirlana…

Umur, usia, waktu… -moga kita sentiasa muda untuk beribadat; hargai usia.

Berkata Baha ad-din an-Naqsyabandi;
Wuquf-i zamani: “memeriksa penggunaan waktu seseorang. Mengamati secara teratur bagaimana seseorang menghabiskan waktunya. (Al-Kurdi menyarankan agar ini dikerjakan setiap dua atau tiga jam). Jika seseorang secara terus-menerus sadar dan tenggelam dalam dzikir, dan melakukan perbuatan terpuji, hendaklah berterimakasih kepada Allah, jika seseorang tidak ada perhatian atau lupa atau melakukan perbuatan berdosa, hendaklah ia meminta ampun kepada-Nya.

~hati milik Allah~

~aku lebih mahu banjir itu melimpahi hayatnya, liang lahadnya. Aku lebih mahu ‘kematiannya’ dalam tangis daripada ‘kehidupannya’ dalam senyum, dan neraka itu hampir~ na3uzubillah.

Berhenti.





Merancang

24 01 2008
SEPERTI menjalani sepanjang hari yang tepu dengan soalan, jawapan; membaca dan berfikir seterusnya merancang. Bagus juga jika hari ini dapat dihabiskan dengan ‘merancang’ semoga rancangannya dapat diselenggara sebaiknya. Moga Allah berkati.

Lewat petang semalam, sahabat sebelah meja, sebelah kata masih membuatkan saya terharu dan dikesit keseganan yang amat. Bukan sekali dua begitu. Kerap juga. Saya jadi segan. Semenjak dua ini kesihatan sedikit terganggu. Walaupun udah dipesan supaya ke hospital dan makan ubat, saya masih selesa menangguh jadual untuk berjumpa doktor hingga ‘sampai seru’. Namun, tidak disangka-sangka, sahabat saya yang comel ini telah belikan ubat di farmasi untuk saya. Bukan satu, tapi dua. Alahai, ngapa selalu susaha-susah sahaja. Terharu. ~ Allahu yajziki bilkher… (terima kasih buat Khalilah saya…)

Sedar tidak sedar, mahu tidak mahu, memang kena juga gerakkan fikiran ini untuk merancang ‘masa depan’ yang semakin mendekat ini. Semester 6 (musim bunga-panas) akan bermula tengah Februari. Tesis; masih dalam marhalah mengumpul bahan. Moga Allah bantu. Tadrib; letih pun letih juga, tapi kena kuatkanlah. Urusan untuk pengajian lepasan ijazah pun sudah perlu diatur dan diurusi dalam waktu terdekat. Udah tidak boleh bermain-main, tidak boleh ditunda-tunda. Waktu kecemasan. Sahabat-sahabat sudah mencadang itu ini. Mana-mana rancangan terdekat sudah perlu digerakkan ‘kerja’nya atau nanti terbengkalai. ~ nasib baik sekarang ini masih dalam cuti sebelum buka semester baru.


Lewat petang ini, ada sesuatu yang dibicarakan dengan seorang sahabat yang saya kagumi; ilmunya, semangatnya, pekertinya.

Sahabat: karya macam mana…ok?
Saya: alhamdulillah, skrg turut menulis utk dua buah mjlh di mesir juga
Sahabat: kira nak jadi sasterawan ye
Saya: tak mahu juga. ‘ter’jadi. Mana2 la slagi ada ruang utk berdakwah… x sikit pun, banyak…
Sahabat: jgn tenggelam dalam dunia tu cukupla… kita hidup dalam dunia realiti
Saya: insyaAllah
Sahabat: “tenggelam di lautan bahasa sehingga terlupa lautan dunia”
Saya: na3uzubillah… moga Allah ingatkan

Saya setuju sahaja dengan pandangan sahabat. Ya, malanglah jika tenggelam atau ditenggelamkan. Tapi kalau sambil menyelam minum air itu bonus. (namun, kalau tak kena gayanya boleh karam juga bila kembung berair). Saya melihat peluang untuk menulis ini sebagai salah satu medan kita berdakwah. Ulama-ulama dahulu juga menulis. Setakat mana yang mampu, jika berkemampuan untuk menulis genre ilmiah; tulislah. Namun, saya kira tidak salah juga jika kita olah bahan ilmiah itu untuk dikongsi dengan cara sastera. Ini dari satu sudut sahaja. Saya pun tidak menulis karya sastera semata-mata. Terdapat banyak lagi sudut dan cara lain untuk berdakwah. Jadi, tidak salahkan jika terjun ke medan ini?

Di akhir bicara kami, saya masih ingin mempertahankan rancangan saya untuk menyambung pengajian ke peringkat Sarjana. Terasa rugi pula jika tidak sambung master setelah berpeluang habisi ijazah pada usia 21 tahun (insya Allah). Namun, sedikit sebanyak kata-kata akhir beliau membuatkan saya sedikit terkesima…

Sahabat: bagusla tapi harus diingat tiada tempat yang lebih mulia bagi seorang wanita melainkan dirumahnya, itu wawasan utama yang lain sampingan je
Saya: (terkena kat batang hidung; terima kasih atas peringatan)

~layan Opick yang menginsafkan dengan ‘astaghfirullah’nya…





Imbas

23 01 2008

ALHAMDULILLAH. Selesai urusan ‘menjawab’ setelah sekian lama wakil yang merisik itu bertanya-tanya. Maaf jika tidak mampu persembah yang terbaik. Sedikit sebanyak, langsai satu urusan ini membuatkan saya berasa sedikit selesa untuk menulis di sini atau di mana-mana setelah tidak terasa terikat dengan tanggungjawab yang tidak selesai. Moga Allah permudahkan urusan.

Dugaan Allah itu datang dan pergi dengan hikmah dan peringatan. Kepada saudari Khuzaimah (Kak Kay), salam takziah dari kami semua. Moga akak dan keluarga tabah menghadapi ujian Allah ini. – beliau kehilangan abangnya yang meninggal dunia pada Jumaat lalu, menghidapi kanser peparu. Moga Allah tempatkan rohnya di kalangan hamba-hamba yang soleh. ~ al-Fatihah. Sabarlah, tabahlah.

Dulu-dulu, waktu percubaan SPM saya goyah diuji kehilangan Aki yang disayangi. Sabar itu penting. Setahun kemudian, tok pula menyusuli suaminya ke pusara bergandingan. Allah… dalam sedar dan tidak saya berjalan ke tanah perkuburan Islam Kampung Marhum, Pekan, Pahang. Waktu itu segalanya jadi tidak keruan. Saya dijadualkan ‘terbang’ ke Morocco dua tiga hari kemudian. Namun, alhamdulillah Allah menyempatkan saya bertemu arwah saat hujung nyawanya. (ketika saya di Morocco, bila saya hubungi ibu saudara sepupu di kampung, saya masih bertanya kabar Tok, dan mahu bercakap dengannya – saya lupa Tok sudah tiada, dan Mak Cik Ain terdiam – maaf)

Di kuburan, saya dapatkan sepupu rapat saya (Norazian Che Puzi). Kami membesar sama-sama. Di kampung yang sama, bumbung yang sama. Petang-petang kami main kejar-kejar di padang depan rumah. Sama-sama dikejar lembu. Sanggup dimarahi abah sebab tidak terus pulang ke rumah usai balik tadika; kami berprojek tangkap ikan di parit. Berbasikal hingga ke hujung kampung. Tengik dimakan hari. Semua itu jadi seronok sahaja bila ‘berjamaah’ biarpun berdua. ~ berdua lebih baik.

Cuti musim panas lalu, bagaikan dirancang sahaja pertemuan yang ‘sama’ dengan sejarah 2 tahun lalu. Waktu itu, Zian akan ke UK dan saya mahu membantu mengemas bagasi dan mengutip saat-saat bersama. Bermalam di kampung sehari dua, sangat-sangat tidak cukup. Namun waktu sangat terhad untuk kami memanjangkan pertemuan. Walaupun menjejak rumah yang sama seperti zaman kanak-kanak dulu; hakikatnya segala-galanya berubah. Menimba air di perigi pun terasa kekok. Merasai dinginnya menyebabkan syahdu datang menerpa. Sedangkan jika masa kecil-kecil dahulu, bila Aki jirus kami berdua dengan air perigi; kami akan jadi seronok sangat. Hingar bingar perigi itu saban pagi dan petang. ~ Aduhai… rindunya.


Kekadang, kita tidak cukup hargai insan di sekeliling kita. ~ maafkan…

Kekadang, kita merasakan orang yang kita sayang itu adalah untuk selama-lamanya…

Al-Fatihah…

(sebulan ini, terasa tahap kesihatan sedikit menurun. Moga lebih peka. ~ amalkan gaya hidup sihat!)

hampir sebulan juga memendam rindu. Bukan ego, tapi biarlah dulu. Abah pun sibuk saja. Sukar pula hendak berbicara dengannya. Moga Abah cepat sembuh. (Abah tak balas pun emel saya…)





“Sama-sama sirih”

16 01 2008

PREJUDISKAH? Kenapa entah, naik muak untuk bicara lagi. Bukan halnya prejudis atau apa, cuma bangkit rasa “tidak-berguna-berunding-lagi” (hal rundingan di sini tiada kena mengena dengan isu rundingan pada entri sebelum, cuma mungkin masih berbaur isu “diskriminasi jantinakah?”).Kalau benar-benar mahu, langkaui sejuta dayanya. Kenyataannya di sini; memang tidak mahu; itulah bangkit jutaan dalihnya. Runding baik-baik pun tidak guna kalau telinga tuli, ada lidah bisu.

Kita ini manusia yang punya akal fikiran. Kita bukan robot yang mesti bertindak mengikut buku manual buatan manusia. Apalah bagusnya mengikut telunjuk seperti ‘bertuhankan’ hukum dan peraturan manusia? (birokrasi pun berpada-padalah). Apakah undang-undang dan hukum Tuhan itu lebih lekeh? Atau sesuatu itu hukumnya; boleh-je-kalau-memang-dah-tak-ada-cara-lain-lagi. Terima sajalah.

~ bukan halnya tiada cara lain lagi; tapi malas atau memang langsung tidak mahu ‘menyerabutkan’ diri dalam usaha menjaga hak Tuhan. Siapa sebenarnya yang liberal? Mahu jadi bagaimana sebenarnya? Mahu kebebasan yang bagaimana sebenarnya? Islam ini jumud sangatkah? Cuba untuk mencari alternatif melepasi ‘tohmah’ dan memurnikan kaum itu jumudkah? Taksubkah? Mahu Islam yang bebas ya? Bukan Islam liberalkah?

“Kalau meringan-ringankan sedikit satu dua hal dalam muamalat ni (rukhsah la… darurat la…), okey saja. Bukan hal akidah pun. Tidak kafirlah. Buat apa susah-susah mahu merumitkan keadaan. Islam itu syumul, Islam itu mudah.” ~ ya, mudah sangatlah kalau macam tu. Buatlah agama sendiri! ~ susah-susah saja hidup di dunia yang bermasalah itu; kenapa tidak pilih untuk hidup di dunia yang tiada masalah? Masuk tanah sahaja.

Kalau bunga sendiri tidak mahu dipakaikan duri padanya, mujur sahajalah pagar mahu menyelamatkannya daripada dikumbangi.

Kamu mahu apa sebenarnya? Kamu mahu bagaimana sebenarnya? Mari kita berunding.

~ ingatkan sawi rupa-rupanya sama-sama sirih.kenapalah tidak mahu sirih kembali ke gagang.





Lelaki memang tidak boleh dirunding?

16 01 2008
“LELAKI memang tidak boleh dirunding!” ; maksud saya; ego. (perempuan tidak egokah?) Sengaja saya ketengahkan pernyataan yang dihamburkan oleh suatu suara yang sedang ‘panas’. Dalam hening suhu 8 darjah selsius malam ini, (tanpa disedari) saya dikesit bahangnya juga. Panas juga.

Benarkah lelaki tidak boleh dirunding?

Saya membaca perkara ini adalah suatu fenomena yang berlaku melibatkan persekitaran dalam diri (emosi, perasaan) dan persekitaran luar (masyarakat, rakan setempat, cuaca, iklim). ‘Kehangatannya’ berlegar antara dua pihak yang berlainan jenis, sama ada secara berkumpulan ataupun individu.

Seorang lelaki diajak berunding (atau dikemukakan cadangan kepadanya) dengan keadaan dia sedang terdesak, sibuk (atau buat-buat sibuk), sedang bersedih, kebosanan atau tidak mahu diganggu, dan beberapa keadaan lain yang seerti dengannya ; boleh jadi dia akan dibaca sebagai ‘ego’ oleh si pengajak runding. – bila tindak balas yang ‘kurang’ memuaskan dibalas oleh lelaki itu.

Contoh; Ahmad sedang ‘sibuk’ dengan peperiksaan. Dalam masa yang sama dia juga ‘disibukkan’ dengan beberapa masalah yang ‘menyerabutkan jiwanya’. Pada suatu hari, Siti menghubunginya untuk berunding sesuatu (untuk menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan mereka dan kemaslahatan orang sekeliling juga.) – Siti pun sibuk juga, ada masalah juga…

Siti berkata; Maaf kiranya mengganggumu.
Ahmad: Tiada apa. Ok saja.
Siti: Maaflah saya bertanya, cuma inginkan kepastian; kenapa paku di dinding surau itu masih belum dicabut lagi? Bukan apa, risau kalau-kalau terkena jemaah kita yang bersandar di dinding. (dalam hal ini, Ahmad memang seorang pencabut paku di dinding surau; maksud saya; itu memang kerja dia la)
Ahmad: Ada pakukah? Tak perasan pun. Paku itu dah dibengkokkan kot. (mungkin memang dia tidak perasan kerana urusannya banyak; sibuk)
Siti: Emm, atau mahu saya tolong cabutkan sahaja (tapi si Siti itu tidak pandai cabut paku itu. Lagipun, tidak cukup kelengkapan). Atau mahu saya carikan sesuatu untuk menutupnya, atau bagaimana? Kasihan juga kalau ada warga tua lenguh dan mahu bersandar sementara menunggu di surau. (saya tak tahu nak buat contoh macam mana)
Ahmad: Suruhlah mereka bersandar.
Siti: …
Ahmad ‘hilang’ entah mana. Tiada respon. Sibuk atau buat-buat sibuk. (mungkin Ahmad ada urusan yang lebih penting untuk diutamakan daripada ‘berunding’ dengan Siti)
Siti: (setelah lama Ahmad tidak merespon apa-apa) Emm… tak mengapalah. Maaflah kiranya paku itu tidak patut dicabut (maknanya bukan bidang tugas Ahmad). Maaflah saya mengganggu waktumu. Mohon maaf, terima kasih.
Ahmad: sama-sama. (‘tiba-tiba’ sahaja {tidak lama kemudian} paku itu dicabutnya – hal di sini; Ahmad kan seorang tukang cabut paku di surau. Dia ada segala kelengkapan. Ketika siti ‘bertanya’ padanya itu, paku itu memang berada di depan Ahmad.)

(maaf, saya tidak menjumpai contoh lain yang lebih baik melainkan hanya dapat mendatangkan cerita seperti di atas)

Ahmad – kenapa tidak berterus terang sahaja kalau sedang sibuk (mungkin dia ingin menjaga hati Siti). Tapi dikira sebagai ‘menjaga hati‘kah bila dia menjawab soalan Siti dalam endah tidak endah sahaja.

Bila Siti rundingkan adakah dia perlu lakukan sesuatu, atau bagaimana, Ahmad memberi respon yang membuatkan Siti ‘terdiam’. Saya kira, tidak salah Siti kalau dia berkecil hati, berdiam sahaja atau mungkin dia jadi marah, dan kemudian marahnya membuak-buak (terpulanglah siapa watak Siti itu).

Saya juga melihat Ahmad semacam sedikit ‘ego’ apabila ‘seakan-akan’ kerjanya dipertikai (habis tu, kalau dia lalai, takkan orang nak ingatkan pun tidak boleh). Bila Siti tawarkan mahu membantu, dia membatu pula. Acuh tidak acuh sahaja. Sedangkan akhirnya dia lakukan juga apa yang diperkatakan oleh Siti itu. (mungkin Ahmad tiada ‘mood’ waktu itu. Jadi dia bersikap seperti watak di atas).

Siti pun, tidak wajar juga kalau hendak beriktikad bahawa “lelaki memang tidak boleh dirunding” sebab tidak semua lelaki begitu. Namun, saya mengira; Siti akan berpernyataan begitu dengan begitu keras hanya pada waktu itu sahaja. Kerana boleh jadi dia memang sangat terasa/tersinggung berbaur perasaan marah. Walau bagaimanapun, saya pasti di belakang waktu dia akan ‘melembutkan’ sedikit pernyataannya itu; sebagai contoh; “sebilangan lelaki memang tidak boleh dirunding apabila dalam keadaan tertentu”

Ini hanyalah suatu pandangan peribadi. Tiada kena mengena di antara yang hidup dan yang telah kembali ke rahmatullah. Perbincangan dipersila.

Cukuplah dahulu. Saya pun mahu berunding dengan mata saya ini; mahukah dikatup dan tidur atau…

p/s; (ada diskriminasi jantinakah?)





‘Perkara’

9 01 2008
SUAM-suam sahaja kepala ini. Pening membawa kantuk yang lemah, bagai hilang nyawa untuk terus hidup (saya tidak fikir kecewa itu bermakna putus asa). Cukuplah apa yang telah berlaku itu Allah hitungi. Betuli niat, tambahkan ikhlas dan redha. Pasti ada hikmahnya. ~dikecewakan, dan kecewa.~

Tempoh masa tiga tahun itu waktu untuk menambah ilmu atau menukar kewarganegaraan?

Sudah banyak kali juga belajar untuk tidak menzahirkan rasa, namun bila sampai tahap tertentu, pasti disimbah banjir juga. Entahlah kenapa. (mungkin perlu dirembesi ‘banjir’ untuk meruntuhkan gunung amarah). Kita bukan sempurna untuk memenuhi setiap kehendak, segenap perkara. Pastinya setiap insan itu berusaha ke arah kebaikan; dan cukuplah kebaikan itu ‘ada’; bukan untuk menunjuk-nunjuk.

Ciri-ciri orang munafik itu ada tiga; apabila berjanji; mungkiri, apabila berbicara; dusta, apabila diberi amanah; khianat. (muttafaqun ‘alaih) ~ini hadith yang diajarkan kepada kanak-kanak di Darul Quran untuk silibus minggu lalu.~ saya tidak tujukan pada siapa-siapa. Pertimbangkanlah ciri-cirinya. (Lain kali jangan mudah-mudah menebar janji. Menggula-gulakan ‘budak-budak’ besar. Alahai, indahnya bicara bila ingin memujuk, menutup salah, menutup mulut. Sudahnya, janji tinggal janji. Semacam tiada apa-apa yang berlaku.) – banyak cantik…

Kata seorang sahabat; ini bukan membina, tapi menjunam. – saya fikir; lebih tepat ‘menghunjam’ (siapa yang memahami siapa? Sama-sama faham tidak bolehkah?) ; sabarlah…

‘Keadilan tidak akan tertegak di muka bumi ini.’

…dan tidak adil juga jika menyalahkan sebelah pihak. Perlu juga belajar untuk menerima; bukan melenting. (diam membatu, seakan menyetujui itu bukan ‘belajar-untuk-menerimakah’?)

Ya, saya akui kelemahan. Tapi beginikah caranya? (sudahlah…)
Cukuplah, malas bicara ‘perkara’ ini lagi!

Cukuplah Allah Tahu apa yang terbaik untuk hamba-Nya.

Biasakan yang betul, betulkan yang biasa – belajarlah juga untuk berubah dan meningkatkan kualiti diri.





Lembah dan Gunung

7 01 2008

 

 

Kau siramkan wangian mawar putih

Kepada sebuah kenangan yang layu

Bisakah merubah detik-detik yang berlalu

Dari sekadar impian yang kaku

CUBA-cuba juga untuk menyempat berbicara di sini. Akhir-akhir ini banyak benar urusan, banyak juga suka duka bertandang. Nikmat dan ujian Allah itu datang dan pergi, tinggalnya kita sahaja adakah teguh, adakah goyah. Moga Allah titipkan kesabaran, moga kita kuat. ~haru~

6 Januari 2008, saya mula ‘bertugas’ di Darul Quran al-Haj Basheer; pening dengan 1001 kerenah anak-anak yang sangat menuntut kesabaran. Sedang pengajaran di depan, yang di belakang duduk bawah meja, ada yang duduk melukis, mengasah pensil, ada yang mengadu seribu macam hal, mahu minum air, ke tandas dll. Aduhai anak-anak… tulus benar. ~Saya melihat lembah kasih sayang dan gunung kesabaran.~

Hari ini (7 Jan) usai proses mendaftar di Centre de Langues et de Communication Globale (CLCG), Hassan, Rabat. Kelas Perancis akan bermula 14 Januari. (tentu pening penyelenggara di situ memarkahi kertas ujian pengetahuan bahasa Perancis kami) Nasib la…

Urusan pembaharuan kad pengenalan (tajdid bitoqoh wathoni) masih terbengkalai. Moga dapat diselesaikan segera. ESOK!

Nafas rasa tersekat; titipan doa buat orang jauh. Ukhti tidak begitu sihat, moga Allah sembuhkan, moga Allah bagi kekuatan. Kekadang, bila diminta berbicara, memang saya mati kata. Selalu sangat begitu. Ada masanya bila keadaan sangat tegang, dan perasaan amat padat di dada; tiada kata. Cukuplah andai dapat kita bertemu, pasti Ukhti akan saya dakap, dan naluri kita berbicara, biarpun tanpa suara. Dari sini, saya tenung sahaja ‘mata’nya di alam yang lain. Sabarlah sayang. Teguhkan keyakinan pada Allah. Didoai selalu. (ya Allah…)

Kepada para pengunjung blog ini, moga dapat kita berkongsi manfaat di Balai Baca; saya titipkan 4 fail baru, selamat membaca.
1) kitab Tafsir Jalallain
2) kitab al-Milal wa an-Nihal
3) kitab Feqh al-Waqi’
4) program aplikasi Syarah Arbain Nawawi (oleh Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimen) -kepada anak-anak usrah, moga program ini dapat membantu.

Adakalanya, terasa sangat panjang usia meniti hari dengan sulaman benang dan jarum…
… tidak tahu sampai bila ~sabar, na~

~Tuhan Kau Tahu…~ 

 





Zon ‘sibuk’ dan Wilayah ‘rindu’

2 01 2008
SUATU hari yang sejuk. Angin yang tidak kurang kuatnya turut membuatkan kepala jadi pening-pening. Separuh hari di luar rumah dengan cuaca begini mampu menjadikan diri ini ‘demam’ dan pening kepala. Lewat petangnya disapa hujan renyai-renyai menggesa ahli Salsabiela ke sutuh, ‘angkat kain di ampaian, hujan sudah turun’.

Alhamdulillah, dijangka dua tiga perkara, dapatnya enam tujuh urusan dapat dilangsaikan setengah hari. Bermula paginya ‘ziarahi’ mama. Namun terpaksa menolak lembut pelawaan makan tengaharinya -masakan kambing- dek harus ke Temara sebelum petang. Menuju ke Hassan, berbincang di Dar ath-Thaqofah untuk merisik ‘dewan’nya untuk ‘program’ kami, insya Allah. Langsung ke bangunan Jama’ah al-Hadhariyyah al-Kharijiyyah untuk urusan kelulusan permohonan ‘kami’. Nasib juga dapat pungut maklumat di pusat bahasa asing bersebelahannya sebelum ke pejabat polis untuk perbaharui kad pengenalan maghribi. ~banyak betul urusan dalam satu pagi~

Tengaharinya, ‘gamble’ ke Temara. Kalau ikutkan sanggup berteksi sahaja, namun kemudahan terbatas pula. Mahu tidak mahu, cuba-cuba naik bas 58 ke Temara (Agdal-Riyadh). Harus segera ke Darul Quran al-Haj Basheer untuk bertemu pengetuanya. Alhamdulillah, dalam pertemuan yang singkat dan layanan yang baik, saya diterima memulakan praktikal ijazah (tadrib) hari ini juga. Namun, saya pula yang tidak bersedia. Hingga Ahad minggu ini, saya akan mula ‘bertugas’. Mahu tidak mahu, praktikal ini memakan masa 2 bulan juga. Dua hari seminggu. Rabu, dari jam 3 petang hingga 5 petang (alahai… malamlah baharu sampai ke rumah nanti), dan Ahad jam 9 hingga 11.30 pagi. Mengajar budak-budak arab di Darul Quran. ~bertambah ‘sibuk’ bulan ini, bila kelas diploma bahasa perancis juga bermula 7 Januari ini. Mengajar lagi. Belajar lagi. Tesis lagi. Bila banyak bergerak begini, duit pun banyak yang terbang dan diterbangkan; ikat perut (huhu)~

Setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya. Redha dan ikhlas…

Semalam saya ditanya; pernahkah suatu ketika merasa terlalu ‘rindu’ hingga menitiskan air mata. Jawab saya; terasa ingin menangis tanpa sebab.

Entahlah, terasa lama tidak menghubungi keluarga di Malaysia. (insya Allah, akan dihubungi)
Dulu-dulu saya fikir, kalau berada dalam zon ‘sibuk-sibuk dengan urusan pelbagai’, kita tidak akan punya ‘masa’ untuk melayan ‘rindu’ pada keluarga dan kampung halaman. Tetapi, pada masa tertentu, saya rasa ‘pernyataan itu’ salah. ~baca doa rabitah~

– Mereka yang merasa rindu kepada sesuatu yang dirasakan jauh; tidak bersama, tiada di sisi.
– Tetapi, mereka tidak merasa rindu kepada yang sangat dekat; kerana tidak kenal, tiada rasa cinta.
– Mereka yang sangat mengenal Tuhannya, merasa sangat rindu pada Tuhannya meskipun Dia berada sangat dekat di dalam jiwa, di dalam hatinya; sebab itulah cintakan Yang Maha Pemberi Cinta itu ‘sangat istimewa’… ya, sangat istimewa… sangat abadi…

~Allah…Allah…Allah~





Gulai Tempoyak

1 01 2008
MAKAN sepanjang hari tidaklah bermakna makan banyak-banyak. Cuma tabiat hari cuti. (sebab itu lebih elok berpuasa). Lama sudah pingin makan gulai tempoyak. Ke pasar pagi ini dapat juga ketemu ikan-yang-macam-bagus untuk digulai-tempoyakkan. Walaupun bahan tidak begitu mencukupi, tetapi cukuplah untuk lunasi rasa ‘mengidam’ (dengan tempoyak yang nenek titipkan raya lalu). Alhamdulillah ~suka~

Fosil di dalam periuk? (ketawa). Beberapa orang ‘ahli arkeologi Salsabiela’ telah menjumpai fosil kepala binatang (yang dikenali sebagai kambing) di dalam periuk (periuk-perang-pagi). ~macam tiada ‘barang’ lain saja hendak dimasak~ Jika di Malaysia, tidak pula buat perkara begitu. Bila ramai-ramai di perantauan begini, beraneka latar belakang, kaum dan bangsa… ‘up’ sikit la… (hihi)

(kantuk pula) Esok pagi punyai agenda bersama mama Amina di Hayyu l’Muhit. Pusing-pusing medina untuk urusi dua tiga urusan (untuk ‘projek’ besar kita juga)insya Allah. Dengar khabar, keputusan peperiksaan semester ini akan mula diumumkan mulai esok. Jika tidak menyempat menjengah papan kenyataan pada paginya, hingga Khamis sahajalah berjalan ke kuliah.

Rasa ‘bagus’ dan ‘selesa’ bila dapat santapi laban banan malam ini. (hilangkan igauan ‘fosil’ di tekak) ~hihi~ Bukan selalu.

Rasa seperti mahu terbang. (tapi terjelepuk pula jatuh ke tanah)

‘Lamaran’ pihak seberang nil itu masih belum saya buat apa-apa tindakan. Mohon maaf atas kelewatan. Moga tidak menunggu. Insya Allah, sebelum hujung minggu ini, akan saya utusi hitam-putihnya.

Banyak masa manusia mencari-cari waktu untuk menjadikan dirinya ‘selesa’, sedang dia lupa bahawa hakikat keselesaannya itu hanyalah menunggu-nunggu saat kematian.

Sedarlah, (dalam lazatnya menikmati gulai tempoyak itu) kelak rasai saat nyawa tersekat di kerongkongan; dan merasa sakitnya mati. Persiapi amal.

Ya Allah, jadikan matiku sebagai kerehatan dari segala kejahatan.