Demam Peperiksaan Semakin Kebah

28 12 2007
ALHAMDULILLAH. Usai sudah hampir segala-galanya. Cuma berbaki peperiksaan akhir semester lima ini untuk subjek bahasa Inggeris dan Perancis. Berlalunya hari semalam bagaikan selesai ‘beban besar’ setelah ‘amat tersiksa’ dengan penantian dan ‘perjuangan’.

(Semalam, 27 Dis; seawal paginya berjalan ke kuliah; langsai oral Siyasah Syarieyah yang bertundaan masuk hari ke tiga bagi fauj A. Alhamdulillah, senang hati sahaja mahu pulang ke Salsabiela. Tambahan pula hidap pening-pening semalaman hingga ke pagi, demam juga jadinya sikit-sikit. Tentu sahaja pulang awal dari kuliah dapat peruntukkan waktu tidur sebelum peperiksaan komputer jam tiga. Baharu sahaja ingin bersenang-senang di bilik, ada panggilan telefon – perlu segera ke kuliah; imtihan nihaie qiroat! – kesilapan pada iklan; dalam iklan tersebut, peperiksaan itu sudah kami langsai dan hanya untuk fauj B! Mahu tidak mahu, berkejaran pula menahan teksi. Usai peperiksaan yang udah kelewatan itu, merajuk sudah untuk kembali ke rumah. Lebih baik tunggu sahaja di kuliah walaupun lagi 3 jam. Cari ‘port’ lelap menekup muka di meja beberapa minit, kemudian turun cari ‘member’ bercakap. Hangat pula isu politik dangan Rachied. Jam 3; peperiksaan bertulis dan amali i’lamiyat. Punyalah susah, tawakal sahaja menjawabnya. Cuba yang terbaik. Insya Allah kher)

Rentetan ‘peristiwa hitam’ dengan Madam Dauodi, tersiksa sungguh saya menghadapi peperiksaan dengannya. Gementar habis. Si Mourad jenuh sudah bagi semangat saat-saat akhir di depan pintu, jangan menangis! Moga Allah lembutkan hati ‘ustazah itu’ Allahumma yahdiha, wa yarhamha. Sebelum memasuki peperiksaan dengannya lalu, saya taipkan sesuatu di Pesona Peribadi (sebab tiada teman hendak berbicara, bicara saja pada skrin). Saja-saja untuk hilang debar, fikir hal lain;

Terjemah. Masih belum saya langsai ‘daurah istidrak’nya. Ah, benar-benar mencacatkan reputasi lulus-tanpa-istidrak. Namun, pasti ada hikmahnya. Letih sudah menjadi penanti mingguan. Mahu diterjah terus bilik peperiksaan, bimbang dihalau lagi. Ah, penantian itu benar-benar menyeksakan. Separa waras jadinya (bukan saya sahaja) bila asyik dengan peperiksaan bertundaan, menjadi bertambunan. Saya tidak selesa benar dengan tabiat menangguh-itu-ini di alam Muhammad V ini. Sabar, tenang.

Sedang cuba untuk menekuni hafalan ‘buku teks’ itu, sambil bersandar dekat dinding, pencilkan diri seorang-seorang, tiba-tiba ada orang yang mencium pipi saya dan terus berlalu. Terpana. Saya pandang saja dia melewati saya. Sedetik, dia berpaling dan tersenyum. Ah, Aboul Haya’ yang nakal itu (geram la tu kalau orang tengah tekun-tekun ‘buat kerja’). Sama sahaja dengan si Eltiyazid itu yang suka mencubit dagu saya bila suka-suka tenungnya lama-lama. Lewati tahun ketiga berada dalam masyarakat ini, saya membaca bangsa arab ini mudah sangat menzahirkan isi hatinya. Teringat dulu, bila kami cakap-cakap fasal suatu masa kita semua akan berpisah, Fatema tiba-tiba jadi sedih, menitiskan air mata. Katanya, kasih sayang kita tidak sanggup untuk berpisah. Bila berkasih sayang, mendamaikan sahaja, tapi bila disampuk angin panas, taufan sahaja. Sebab itu mereka tegar berperang. Setiap yang dijadikan itu, punya hikmahnya yang tersendiri. Mungkin saya ini hanya pada takat membaca perihal mereka, tidak mampu lagi untuk menterjemah bahasa alam, bahasa penciptaan. -agaknya, itulah sebabnya ‘istidrak’ madah terjemah ini. Ah… (alhamdulilah ‘ala kulli hal) 1413 251207-sedang menunggu giliran peperiksaan terjemah nusus ajnabi (perancis-arab) ; oral.

Biarkan sahaja segala-galanya berlalu. Apa yang pasti, semester ini banyak sungguh dugaannya.

(…dan gosip hangat terus sahaja menjalar dua tiga hari ini, walaupun sedang ‘hangat’ peperiksaan) ~ ade ke patut, budak perempuan ni bercinta dengan pensyarah kami. Siap luah perasaan, siap nak terjun tingkap lagi… aih, bagaimana tu? ~ cinta itu buta ya?

Dunia ini kenapa? Dunia ini bagaimana?





‘Barzakh’

20 12 2007
ALLAH… rasa yang menyaluti jiwa ini bercampur baur. Seribu satu macam rasa. Seperti segala-galanya bergabung menjadi satu. Sampai satu takat, terasa ingin dihamburkan sahaja airmata dalam hening fajar. Bangkit dari kematian yang sementara, seolah-olah ada roh yang ‘lain’ berlegar menerusi arus darah dalam batang tubuh. Antara berat dan ringan, antara sedar dan tidak, antara … dan … ~barzakh~
Usai menerima ‘pengajaran’ lewati jam dua tiga pagi tadi, saya mula merasa untuk mengumpul seluruh sisa diri untuk terjun ke dalam roh sendiri. Membetuli seribu satu kesalahan, menekuni seribu satu pengertian. “Kembalikanlah kepada Allah”. Berhentilah mujadalah, banyakkanlah muzakarah. Tiada guna mempersoal itu ini dengan emosional; sebaliknya rasional; sebaiknya dengan kembali kepada Tuhan. – rasional semata tidak cukup; bolehjadi sekular sahaja. Jika tidak mahu kembali kepada Pencipta segala sesuatu, ciptalah ‘bumi’ yang lain dan ber’tapa’lah kamu di sana.
Sebetulnya saya pingin menaip perkara lain, sejak semalam; sebelum semalam lagi. Hajatnya ingin menulis sesuatu usai peperiksaan seputar falsafah Ibn Tufail semalam, namun dibawa pula langkah ini ‘wuquf’ di lapangan Bab l’Had itu sepetang. Membaca – Menterjemah – Belajar, sambil makan-makan buah zaitun hitam berdua.
……kata-kata saya udah hilang. Ke mana entah. Nanti sahajalah saya singgah lagi di sini. Masih mahu terusi studi perihal Ibn Khaldun untuk peperiksaan minggu depan. Bittoufeq wannajah insya’ Allah.
Morocco ini masih belum raya eiduladha, sehingga Jumaat. Entah apa keadaannya sehingga kelewatan begitu. Salam Eidul Adha buat semua kaum muslimin dan muslimat, di mana sahaja kalian berada. Maaf zahir dan batin.
(saya mampu untuk menerima ‘kebencian’ untuk diri saya, tetapi tolong jangan libatkan pihak lain dalam kebencian itu… – laksana, buruk pada anak, kenapa sampai dipersoal tarbiyah ibu bapa. Berpada-padalah. Boleh jadi ibu bapanya itu udah cukup baik mengingati dan menasihati anak, tetapi si anak yang mengorakkan kakinya menuju arah yang tidak benar. -jangan mudah-mudah sahaja tunding jari. Tidak mustahil suatu ketika anda pula yang ditundingi. Allah Maha Adil. Allah Maha Tahu – salahkah menyebut nama Tuhan?)
Saya mengakui kesalahan, saya minta maaf. Allahumma yahdina.




Isu Hangat di Zon Peperiksaan, Rabat S5, EI

14 12 2007

nafas-ilmu.jpg

Usai minum susu dua gelas dan disuapi nasi goreng (terima kasih tukang suap :p ), terasa ingin menconteng sesuatu sahaja di sini. Lama sudah tidak berziarah, gara-gara kesibukan teramat di wilayah ini. Sambil makan biskut kelapa, Dodo yang separa lemau itu, saya ‘attach’kan taipan saya kelmarin;

Menitip detik-detik teleku di surau fakulti yang sejuk ini, terpanggil pula untuk mengukir sesuatu di lembar Pesona Peribadi ini.

Terlalu lama pula rasanya saya tidak meluangkan masa berceritera dengannya. Ya, masa jadi suntuk bila urusan jadi banyak. Bila duduk seorang-seorang begini, terasa banyak pula ingin diluah sementara menunggu waktu zohor, lewat usai dhuha di hujungan. Saya masih di lelaman universiti merempat sementara menunggu kelas IT jam 1 nanti. Entah serabut apa hingga tidak menyempat mengikuti kelas semalam.

Semalam; seribu satu kejadian berlaku. Bertitik tolak dengan peristiwa semalam, kuliah jadi kecoh hari ini.

Isu hangat pelajar semester 5, fakulti Pengajian Islam semalam menjadi oceh tergempar di kalangan kami hari ini. Berlanjutan hingga peperiksaan terpaksa ditunda, rentetan desakan sebahagian pelajar yang benar-benar ‘kekosongan otak’ untuk menghadapi peperiksaan, terutama yang terlibat dengan kes semalam. (saya kira, perihal tidak-sempat-studi itu masalah bersama yang berkait dengan kelewatan para pensyarah menghabisi silibus, ditambah lagi penukaran taqwim fakulti di saat-saat akhir; membuatkan serba serbi jadi gopoh)

Menjelang hari ini, makin ramai kawan-kawan sekuliah yang sakit-sakit berikutan menghadapi hari ‘jin’ semalam yang begitu dahsyat merasuk saraf mereka. Langsung semacam ada yang lumpuh separuh badan, histeria, berjeritan sana sini semacam gila, hilang waras.

Saya berhenti dahulu untuk solat. Anggarnya udah masuk waktunya tapi masih belum azan. Oh, azan pun.
12.12.07 – 1225pm


Apa yang berlaku pada 11.12.2007;

– Kami ada peperiksaan lisan subjek terjemahan bahasa asing (perancis).
– ‘Ustazah’ datang lambat. – tengahari
– Kami (pelajar melayu dan arab) studi berkumpulan di dalam dewan yang bising itu.
– Saya keluar untuk bertemu Ustaz ‘Awwam, urusi satu dua urusan berkenaan tesis.
– Ketika ‘ustazah’ masuk ke bilik kuliah, saya masih di luar.
– Selesai bicara dengan Ustaz ‘Awwam, saya dapati rakan-rakan semelayu semuanya tiada. Tanya-tanya budak arab, mereka mungkin sedang menduduki peperiksaan, bersama kawan-kawan yang kami studi bersama-sama tadi.
– Saya pun bagi nama pada ‘budak politik’ yang jaga pintu. Maknanya, saya akan masuk bertujuh selepas itu.
– Bila kumpulan pertama selesai, mereka menyerbu keluar, dan kami menyerbu masuk. Tapi… saya tidak nampak walau seorang pun muka melayu yang keluar. Rupa-rupanya mereka semuanya tidak masuk peperiksaan lagi. Saya seorang sahaja melayu yang masuk dengan 5 orang Marghribi, dan seorang Palestini. Jadi berdebar sangat, rahang jadi getar.
– Budak-budak arab yang disoal sebelum saya semuanya lancar-lancar. Fasih bahasa perancisnya (tetapi tidak yang selepas saya)
– Saya disuruh baca teks perancis. (baca sajalah dengan ‘suka hati’). Baharu baca sedikit, dia suruh berhenti. Katanya, kamu tak perlu bacalah. Kamu bukan pandai bahasa Perancis pun. Kata saya, kami pelajar ajnabi ikuti kelas asas bahasa Perancis (termasuklah pelajar Palestini itu). Kata ‘ustazah’ itu, kamu terjemahkan sahaja ke bahasa arab, tanpa baca. Saya sedikit terkedu. (udahlah tengah-tengah teks). Mati kata. Kata saya, saya boleh terjemah secara keseluruhan. Madam jadi marah. Dia mula ungkit seribu satu hal. Saya tengok sahaja dia, sambil bela diri sikit-sikit. Sejuk tangan.
– Dia marah saya tak hafal teks silibus dia (yang banyak itu). Kata saya, jika dia mahu dengari, saya akan huraikan apa yang saya faham dalam pengajarannya. Saya cuma hafal isi-isi pentingnya. Dia jadi marah lagi. Dia suruh juga saya sebut ‘harfu bi harfin’. Sebut satu-satu dengan sempurna. “Apakah di negara kamu, tidak boleh menghafal?” – telinga jadi panas. (takde kerja nak hafal buku teks!)
– Sedar atau tidak (walaupun saya masih duduk juga), saya ‘ter’halau keluar. Aduh. Katanya dia akan bagi saya 0 (sifar), kerana saya tidak menjawab soalannya. Saya disuruh keluar dan menghafal silibusnya sebiji-sebiji.
– Terkesima.
– Bila keluar, saya tak tahu hendak tuju ke mana. Budak-budak arab serbu tanya-tanya. Saya bebaskan diri. Saya nampak Raja’ sedang menelaah. Saya dapatkan dia. Kata saya, “Raja’… saya rasa nak nangis.” saya tekup muka, dan hujan jadi lebat.
– Saya diserbu sekali lagi. Fatima mula memeluk saya. Saya cerita pada mereka dalam sekat-sekat.
– Airmata tak mahu berhenti. (saya tak suruh mereka menyumpah seranah ‘ustazah’ tu.) Kata Raja’ kamu doalah “hasbiyallahhu wa ni’mal wakil” sebab katanya saya dizalimi. Orang arab pun berat untuk hafal muqoror sebiji-sebiji. Saya dengar ada suara yang cakap “jin apakah yang merasuk ‘ustazah’ itu sampai dia tidak bertolak ansur dengan orang yang lemah”. Saya minta diri, ke surau. Saya sudah cuba untuk berhenti menangis. Pedulikan apa mereka nak kata, nak pandang. Di surau saya dikerumun lagi.
– Cuba jadi tenang. Saya cuba hafal. Terima kasih kepada yang mendoakan.
– Sekitar jam dua, teman-teman semelayu masuk menyusuli selepas kak iman menemani saya dengan biskut dan minuman yogurt. Baharu perasan, Anis utusi sms bahawa mereka memasuki kelas komputer.
– Sekitar jam tiga, saya masih gagal menghafal walaupun satu perenggan. Tekanan jadi bertambah.
– Saya jangka, syafawi akan berlanjutan ke hari lain – ramai yang masih belum mendudukinya. Tidak mungkin sempat dihabisi hari ini. Saya berkeputusan untuk pulang. Berhenti menghafal. Mahu ke pasar beli barang untuk makan malam. Mahu studi untuk peperiksaan esoknya – falsafah Ibn Tufail.
– Saya berjalan seorang. Mata masih basah. Di simpangan, Fatima mendapatkan saya. Cuba menenangkan. Katanya Muna (pelajar Palestin) itu juga disuruh keluar kerana tidak hafal ‘muqoror’. Malah, seorang lelaki dewasa yang (saya kira dia sudah bekerja, tetapi menyambung semester ini) juga menerima nasib yang sama. (takde kerja dia nak hafal sebiji-sebiji kata-kata ‘ustazah’)
– Usai solat asar, saya berniat untuk mula ke dapur. Masak awal supaya dapat makan awal, dan tumpu studi subjek esoknya (yang agak berat itu)
– Kak Su utusi sms. Katanya, semua pelajar yang gagal peperiksaan pertama, dikehendaki mengulang pada petang itu juga (dauroh istidrak).
– Berdebar.
– Kalau kena periksa semula pun, saya masih tidak menghafalnya. Katanya Madam mahu habisi semua peperiksaan hari itu juga kerana dia mahu bermusafir, tidak mahu adakan peperiksaan pada hari lain. (itu hal dialah…)
– Saya bersiap, berjalan mahu menunggu teksi. Petang makin sejuk. Cuba hafal lagi.
– Sebelum sempat ambil teksi, Kak Su utusi mesej lagi; terbaru, tidak perlu ke kuliah. Istidrok tunda minggu depan. ~ Alhamdulillah.
– Jika tidak kerana berlaku histeria, dan Maryem yang terkulai, longlai kakinya tidak mampu berdiri lagi, tentu lanjut peperiksaan hingga malam.
– Kuliah jadi banjir air mata. Tekanan bertambah. Budak-budak jadi baran. Mereka mula menentang Madam. Ayah Maryem juga datang ke kuliah, marah-marah Madam. Maryem diusung keluar. Kakinya jadi lumpuh. Tekanan padanya terlalu kuat. Udahlah pagi itu dia punya masalah dengan kertas peperiksaannya, ketika ujian lisan dengan Madam, dia dituduh membawa nota (wallahhu a’lam. Tapi sepanjang perkenalan saya, Maryem memang seorang yang sangat lemah lembut, dan sangat baik). Madam ‘memaki’ dia di depan kami. Saya turut terkesan dengan suaranya yang tinggi itu juga. Maryem sudah kembali ke rumah, tetapi bila Madam umumkan peperiksaan istidrok harus dilangsaikan petang itu juga, dia dihantar oleh ayahnya ke kuliah semula. Semua jadi tertekan. Langsung histeria.
– Keesokannya, tidak ramai yang ke kuliah pada pagi itu. Saya asyik disapa dan ditanyakan khabar – ya, cerita semalam sudah meluas. Saya kata baik-baik saja. Ketika kami sedang belajar, ustaz bertanya perihal ‘assignment’, Najwa (rakan rapat Maryem) tiba-tiba menangis. Kami buat ‘assignment’ itu bersama-sama. Maryem juga. Aboul Haya’ cuba jadi juru cakap Najwa, terangkan pada ustaz. Tapi bila sebut nama Maryem, dia jadi sebak. Dia menangis. Makin kuat, dan kuat. Saya usap-usap lengannya. Dia menangis lagi. Muna cuba tenangkan dia pula. Tiba-tiba dia menjerit. Histeria. Sangat gerun dengan jeritan yang kuat itu.
– Saya jadi trauma. Fobia.
– Kuliah jadi macam huru hara. Peperiksaan kami ditunda. (sebab pelajar ramai-ramai minta tunda)
Sehingga semalam, pagi-pagi lagi sudah berlaku histeria ketika kelas baharu hendak dimulakan; ketika bacaan al-Quran. Akhirnya, bila pengsan dan dipapah dengan dua orang pelajar lelaki ke kereta, pelajar lain pula yang hampir histeria – Melika. Mata-mata berair. Saya nampak Hayat menangis salam mimik muka yang sangat tragis. Entah macam mana, seorang lagi histeria – Najla’. Berjerit-jeritan pula di luar sana. Suasana dewan kuliah jadi tegang.
– Petang semalam kami langsai peperiksaan bertulis yang ‘melampau’ dengan soalan yang berlambak dan masanya kurang 30 minit (siap ada soalan survey lagi tu…) Sebelum peperiksaan itu, seorang lagi pelajar yang ‘hampir pengsan’ – Saedia. Tekanan dan tangisan.
~Allah~
– Saya dengar-dengar, mereka akan buat idrab (demonstrasi) minggu depan. (Menentang Madam Daoudi?)
– Peperiksaan semester kali ini sangat teruk. … Dan kuliah jadi huru hara.

Moga Allah permudahkan. ~~~udahlah ini tahun akhir saya…
~ diantara isu hangat di Zon Peperiksaan, Muhammed V, Rabat, Semestre 5, Etudes Islamiques

(sambung menghafal ‘buku teks’)





Ibn Tufail

5 12 2007

2043305762_d19b3a5761.jpg

Ibn Tufail
Ahli falsafah yang mendahului zaman.
oleh hosmu pada 20/10/2005, 9:41 am

Dunia Islam telah melahirkan ramai ahli falsafah yang hebat. Namun begitu, falsafah Islam tetap dianggap sebagai satu kelompok yang hilang dalam sejarah pemikiran manusia. Maka tidak hairanlah, sejarah lebih mengenali tokoh-tokoh falsafah Yunani dan barat jika dibandingkan dengan ahli falsafah Islam.

Walaupun beberapa tokoh falsafah Islam seperti al-Kindi, al-Farabi, dan Ibn Sina mendapat pengiktirafan dari Barat, tetapi mereka tidak mendapat tempat yang sewajarnya jika dibandingkan dengan ahli falsafah Yunani seperti Plato dan Aristotle. Kajian-kajian mengenai tokoh berkenaan masih belum memadai dan jauh daripada memuaskan.

Walaupun para sarjana, ilmuwan, dan ahli falsafah Islam telah menghasilkan sejumlah karya-karya yang besar tetapi kebanyakan tulisan mereka belum diterjemahkan.

Tidak kurang juga yang musnah disebabkan oleh peperangan dan penaklukan yang dilakukan oleh kuasa asing. Malahan kajian yang dibuat terhadap pemikiran falsafah beberapa tokoh terkenal seperti Ibnu Rusyd tidak diberikan penilaian yang adil. Kajian dan terjemahan yang dibuat oleh S.Van den Berg terhadap kitab “Lima Baida al-Thaan”, tulisan Ibnu Rusyd mengenai metafizik misalnya tidak mendapat sorotan yang meluas wahal kajian tersebut dapat membantu kita memahami dan mendekati pemikiran ahli falsafah itu dengan lebih mendalam lagi.

Begitu juga dengan pemikiran falsafah Ibn Tufail tidak banyak diketahui oleh umat Islam sendiri. Ibn Tufail yang lahir pada tahun 1106 Masihi di Asya, Granada lebih dikenali sebagai ahli hukum, perubatan, dan ahli politik yang handal. Semasa pemerintahan al-Mu’min ibn Ali, Ibn Tufail atau nama asalnya, Abu Bakr Muhammad ibn Abdul Malik ibn Muhammad ibn Muhammad ibn Tufail al-Qisi pernah dilantik sebagai pembantu gabenor Wilayah Sabtah dan Tonjah di Maghribi.

Beliau juga pernah menjadi doktor peribadi kepada pemerintah al-Muwahidin, Abu Ya’kub Yusuf. Selepas bersara, tempatnya digantikan oleh anak muridnya iaitu Ibnu Rusyd. Semasa hayatnya, Ibn Tufail pernah dilantik sebagai menteri dan merupakan ahli politik yang dihormati oleh pihak pemerintah.

Selain itu, beliau juga melibatkan dirinya dalam bidang pendidikan, pengadilan, dan penulisan. Walaupun Ibn Tufail dikatakan telah menulis banyak buku tetapi hanya sebuah sahaja kitab yang diwariskan kepada generasi umat Islam hari ini. Kitab itu ialah “Hay ibn Yaqzan” yang memuatkan pandangannya secara umum, dengan gaya bahasa yang menarik dan imiginasi yang indah. Buku ini dianggap sebagai warisan paling unik yang ditinggalkan oleh seorang ahli falsafah Islam.

Buku ini kemudiannya diterjemahkan ke dalam berbagai-bagai bahasa dunia. Yang menarik dalam buku itu, Ibn Tufail berusaha menerangkan bagaimana manusia mempunyai potensi untuk mengenali Allah. Katanya, semua ini dapat dilakukan dengan membuat penelitian terhadap alam sekitar dan sekelilingnya.

Menerusi buku itu, Ibn Tufail cuba merangka satu sistem falsafah berdasarkan perkembangan pemikiran yang ada pada diri manusia. Beliau berusaha mengungkap persoalan serta hubungan antara manusia, akal, dan Tuhan. Untuk itu, beliau telah menggunakan watak Hayibn Yaqzan yang hidup di sebuah pulau di Khatulistiwa sebagai gambaran percampuran empat unsur penting dalam kehidupan iaitu panas, sejuk, kering, dan basah dengan tanah. Watak itu hidup terpencil dan dapat mempertahankan kelangsungan hidupnya dengan pimpinan akal dan bantuan pancaindera. Langkah Ibn Tufail menggunakan analog! watak tersebut dalam bukunya dianggap sebagai suatu perkara yang luar biasa dalam penulisan karya yang berbentuk falsafah.

Watak itu tidak pernah mengenali kedua-dua ibu bapanya. Tetapi alam telah memberinya seekor kijang yang menyusu dan memberinya makan. Setelah dewasa, dia mengarahkan pandangannya terhadap perkara yang ada di sekelilingnya. Di sini dia mulai membahaskan tentang kejadian dan rahsia perubahan yang berlaku disekelilingnya. Pada anggapannya di sebalik alamnya terdapat sebab-sebab yang tersembunyi yang mentadbir dan membentuknya. Hay bin Yaqzan selalu membahas dan menganalisa sesuatu perkara sehingga dia mampu mengetahui bahawa kebahagian dan kesengsaraan manusia itu bergantung kepada hubungannya dengan Allah. Dengan watak “Hay” itu, Ibn Tufail berjaya membuat huraian yang menarik sekaligus membantu kita memahami pemikiran falsafahnya.

Buku itu juga mengandungi pengamatan Ibn Tufail mengenai ilmu metafizik, matematik, fizik, dan sebagainya. Ibn Tufail melihat alam ini sebagai baru dan ditadbir oleh Tuhan yang satu dan berkuasa penuh. Dalam diri manusia pula terdapat roh yang menjadi sumber dan asas kehidupan mereka di muka bumi ini. Falsafah Ibn Tufail bukan sekadar menyentuh perkara yang berkaitan dengan metafizik tetapi juga sains tabii seperti fizik. Ibn Tufail mendapati bahawa lapisan udara yang tinggi lebih sejuk dan nipis daripada lapisan yang rendah. Hal ini disebabkan kepanasan berlaku di permukaan bumi bukannya di ruang dan lapisan udara.

Beliau juga mendapati bahawa kepanasan boleh dihasilkan melalui geselan, gerakan cahaya sama ada daripada apt ataupun matahari. Meskipun pandangan itu dianggap sebagai satu perkara yang biasa pada hari ini tetapi pandangan ini sebenarnya telah menyediakan landasan kepada ahli sains untuk melakukan kajian terhadap kepanasan dan segala fenomena yang berkaitan dengannya. Pemikiran falsafah Ibn Tufail juga meliputi perkara yang berhubung dengan masyarakat. Beliau menyifatkan masyarakat terdiri daripada sebahagian besar anggota-anggota yang malas. Lantaran itu, mereka mudah terpengaruhi dan terikut-ikut dengan nilai yang sedia ada tanpa mahu memperbahaskannya.

Ibn Tufail hidup hampir sezaman dengan Ibnu Bajjah. Maka sebab itu beliau mudah menerima pandangan falsafah Ibnu Bajjah, al-Farabi, dan beberapa ahli falsafah Islam yang lain dengan baik. Menurut sesetengah pengkaji dan pemikir, Ibn Tufail banyak dipengaruhi oleh falsafah Ibnu Bajjah sebagaimana yang dapat diperhatikan pada pertengahan buku Hay bin Yaqzan yang banyak membawa saranan yang terdapat dalam kitab “al-Mutawwahid”. Dalam buku itu, Ibnu Bajjah telah melakukan pembelaan terhadap tulisan-tulisan al Farabi dan Ibnu Sina.

Namun begitu, Ibnu Tufail tidak menerima saranan itu bulat-bulat melainkan selepas dibahaskan secara kritis. Selain itu beliau seorang yang berpegang kepada logik dalam mengungkap realiti alam dan kehidupan manusia.

Barangkali bertitik tolak daripada sikapnya itu, beliau tidak menyepi dan mengasingkan diri seperti mana yang dilakukan oleh segelintir ahli falsafah lain. Sebaliknya beliau bergiat dalam hal-hal yang berkaitan dengan kemasyarakatan dan mengambil bahagian secara aktif dalam urusan pemerintahan serta kenegaraan. Kegiatan ini dilakukannya sehingga beliau menghembuskan nafas yang terakhir pada 1185 Masihi.

(moga perkongsian ini bermanfaat, terutama bagi mahasiswa semester 5, Rabat yang akan menduduki ‘imtihan nihaie’ Tarikh al-Fikr bil-Gharb Islami, 12 Disember ini. Selamat studi. Buat yang berangkat ke tanah suci, moga beroleh haji mabrur, moga selamat pergi dan kembali, dimudahkan urusan, diikhlaskan amal. Doakan kami di sini…)





Mencipta Ceria

2 12 2007

ceria

Usai ‘bermain gula-gula’ awal pagi, entah kenapa terpanggil untuk utusi taipan untuk abang. Seputar keluarga dan doa, terasa tenang kerana tidak memendam. Fajar masih terlalu awal – laju sahaja menikmati ‘harsya’ dua dirham yang dibeli lewat petang semalam sekembali pulang dari kuliah. Pagi-pagi begini, perut perlu dijaga kebajikannya.

Hajatnya hendak menelaah dua tiga perkara pagi ini sebelum ke kuliah markaz di medina jam 10 nanti. Bak kata Ustaz Jai, tiada istilah Ahad untuk bercuti dalam kamus pelajar universiti. Semua hari adalah hari belajar. Usah dibeza-bezakan. Semalam kami imtihan nihaie dengannya, tetapi hari ini (ahad) masih ada kuliah. Ilmu bukan untuk peperiksaan. Bukankah begitu?

Semalam, warga Salsabiela dilanda perbagai rasa. Adatlah belajar di Morocco ini, lebih-lebih lagi Rabat. Punyalah berlambakan durus dan muqoror untuk 3 subjek, tetapi syafawi sekali gus satu masa. Peperiksaan mengikut laihah pula. Semakin dekat nama pelajar Melayu, semakin beraneka sindrom menerjah puak-puak Salsabiela, sehinggalah langsai peperiksaan wahdah Sunnah itu, sindromnya masih berbaki (hihi)

Selesai imtihan, saya ajak Kak Ayu ke medina kejap. Mencari satu dua barang yang tertunda pencariannya sejak bulan lalu (selain pingin minum ‘asir burtuqal dan makan sandwich sardin goreng yang ada salatoh dan mayonis dan lain-lain itu). Kalau ikutkan petang itu kami ada peperiksaan oral Perancis. Namun, setelah sedikit tergesa-gesa ke kelas, peperiksaan tunda minggu depan. Kembali dari medina sudah sedikit letih. Mahu sahaja tidur mati sekejap, namun bimbang pisang berbuah dua kali (bagus juga, boleh buat cekodok pisang dua kali). Minggu lalu, usai kelas hadis, balik ke rumah, tidur sekejap sebelum ke kelas perancis. Tapi sedikit terlajak. Natijahnya, bila dalam kelas, semacam mamai lagi. Saki baki mimpi masih enak saja. Jadi, bila Madam tanya itu ini, berpandangan sajalah. Tidak tahu apa yang hendak dicakap, dijawab. -tak faham-.

Tidaklah hajat untuk banyak berceloteh di sini, namun hari ini antara hari yang perlu disantaikan sedikit minda. Terasa mahu tulis juga sesuatu di sini. Bukan untuk tatapan sesiapa pun, untuk diri sendiri juga. Rasa suka begitu. Mengingatkan hari yang ‘suka’ semalam. (pok pok pok, bujang lapok…) ada sukaneka yang ‘berlaku’ semalam. Rasa macam bahagia sahaja berada bersama kawan-kawan yang juga diiktiraf sebagai adik beradik. Bila balik kuliah berjalan ramai-ramai begitu, banyaklah aktiviti yang dijalankan bersama-sama. – dan kita mencipta ceria. Terima kasih sahabat, kerana memahami.

(rasa pening kepala pula) Pingin menulis lagi, tapi cukuplah di sini dahulu. Ada harsya dan keju yang memanggil-manggil, ada kitab dan durus yang minta ditelaah. Moga cemerlang semuanya.

Kekadang, Allah bagi kita merasa perit dan pahitnya ‘ribut‘ supaya nanti kita lebih gembira mendapat ‘gula-gula dari langit’. – hati yang tahu, biarpun lidah tidak merasa.

(Sahabatku yang comel itu semakin menunjukkan kecomelannya bila membuatkan ku’terpaksa’ berenang dalam kotak penselnya mencari pensel untuk menjawab surat cintanya padaku sebelum berjuang menggoreng cekodok pisang di dapur. – rasa macam nak cubit je budak ni…)