Walau hanya sedetik dua…

23 11 2007

embunan-biru.jpg

 BILA kesejukan beranak-pinak menerjah saraf dan deru suara laut itu kedengaran bertambah kuat, seperti mendekat… ~ sejuk! Usai melunaskan cinta fajar Jumaat (sambil menjadi nurse… hihi) masih juga ada sesuatu yang menghantui fikiran. Perisitiwa lewat tengahari semalam sedikit sebanyak menggugat suara harmonis dalam jiwa ini. Tidaklah terlalu ingin memikirkan kejadian itu, namun selalu sahaja dihambat bayangan-bayangan yang entah bila akan habisnya. Cukup untuk memberi kesedaran dan peringatan. Ya Rabbuna… ditegur oleh seorang sahabat: yang betul ‘ya rabbana’, huruf nida’ didepan: jangan ulangi kesilapan yang tak layak utk dilakukan oleh ‘student’ universiti yang belajar dalam b.arab – terima kasih.

Sekitar menghampiri jam satu tengahari semalam, kami selesai mengurusi satu dua perkara di Kedutaan Besar Malaysia di Maghribi dekat Rue Bir Kacem, Rabat. Kami melalui jalan biasa yang agak lengang tika itu; mencari teksi. Tidak berhajat untuk jalan lambat-lambat, namun, terasa jauh sahaja perjalanan kami. Lambat pula sampai ke simpang jalan besar. Berkira-kira untuk pulang ke rumah sebelum (sepatutnya) mengikuti kuliah seterusnya pukul 3 petang di Souissi. Sesi sebelah paginya sudah begitu hangat seisi dewan kuliah biarpun dalam sejuk berhujan. (sebetulnya saya pingin memperkatakan perihal isu yang hangat kami bincangkan bersama Ustaz Imroni dalam hissoh pagi semalam, namun terasa mahu kongsikan peristiwa tengaharinya itu. Insya’ Allah, saya akan pos entri berkenaan ‘isu hangat’ kami itu esok. Jika berkesempatan)

Ketika sekitar tujuh lapan meter kami lewati sebuah simpang empat menuju jalan besar, tiba-tiba ada dentuman kedengaran. Spontan kami berpaling serentak. Serpihan kaca sedang berhamburan kira-kira satu dua meter di atas paras bumi sebelum bertaburan di permukaan jalan tar. (seperti dalam filem pula) Sekitar lima enam saat seorang mak cik lewat 50-an tersembul keluar dari tingkap kereta. Tangannya berpaut pada tingkap, menahan dari tercampak keluar. Beliau ‘menikmati pemandangan simpang empat itu secara live melalui tingkap kereta’ ketika dirinya tersembul keluar hingga ke paras pinggang dari tempat duduknya di sebelah pemandu.

Beberapa detik, kereta tersebut terbabas memakan bahu jalan. Sementara kereta Honda yang merempuh sisi kirinya tersasar ke simpang bertentangan. (kereta yang satu lagi itu tidaklah teruk sangat remuknya, dan tidaklah membabitkan adegan kaca yang bersembur dan mak cik yang tersembul keluar dari tingkap)

Pemandu wanita yang bersama-sama mak cik berkenaan keluar dari kereta setelah bahagian hadapan kereta itu dipenuhi asap putih. Wanita itu kelihatan seperti hilang arah. Tangannya berlumuran darah, direnjis-renjis dan ditekup ke kepalanya. Dia menjerit. Menjerit sepuas hatinya barangkali. Waktu itu kawasan tersebut lengang. Hanya kebetulan seorang lelaki awal 40-an mendekati tempat kejadian sebelum beberapa orang sekitar kawasan itu mula mengerumuni tempat kejadian. Mereka cuba menenangkan keadaan. Mangsa masing-masing panik (lebih kepada trauma barangkali) seorang budak perempuan yang ada di kerusi belakang juga dihurung trauma (mulanya nampak seperti pengsan)… dan sebagainya.

Di sini, bukanlah saya ingin perincikan tragedi kemalangan itu, tetapi apa yang membuatkan debar melaju; kami baharu sahaja melalui simpang itu, jika lewat sedikit sahaja – tidak mustahil maut dirempuh kereta Honda tersebut. Segala-galanya berlaku sekelip mata, dalam tempoh waktu yang singkat.

Setiap satu kejadian yang berlaku pasti ada hikmahnya. Pasti ada hitungannya. Mungkin Allah datangkan misal yang umum, tetapi sebenarnya suatu teguran kepada hamba-hamba-Nya yang berfikir. Namun, janganlah sampai Allah ‘tegur’ kita dengan perkara yang sangat besar dan hebat hanya kerana kesalahan atau kemaksiatan yang sengaja (suka-suka) sahaja kita lalaikan. Kita tahu kita buat sesuatu perkara yang salah, (tetapi minta dijauhkanlah) agar tidaklah sampai nak tunggu kena rempuh dan penyek dilanggar kereta, baharu nak sedar kesalahan itu. Cukuplah Allah ingatkan kita dengan melihat kereta yang dirempuh itu hampir mengenai kita, tapi Allah masih selamatkan kita walau hanya dengan sedetik dua; kita terselamat. Sama-samalah ambil pengajaran dengan apa yang Allah datangkan. Kita tidak sempurna dan kita selalu leka. Tetapi janganlah terus menerus melekakan diri dan menjahilkan diri daripada kembali ke jalan Allah, syariat Allah.

Kita pun akan mati. Atau apakah kita memikirkan apa yang kita buat ini free-free sahaja, tanpa hisab di hadapan Tuhan? Boleh jaminkah kita hidup lagi esok hari?


Tindakan

Informasi

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s




%d bloggers like this: