Jual Beli Terlarang Secara Syara’

30 11 2007

Assalamualaikum.

Kepada para pembaca sekalian, terutama sahabat-sahabat semester 5, Rabat yang dipertanggungjawab memperihalkan jual beli ditegah oleh syara’, moga perkongsian slide ini sedikit sebanyak dapat membantu. Selamat studi. 🙂 Salam jumaat.





“Mahu tunggu gula-gula…”

27 11 2007

1419222458_af3f6321f3.jpg

ENTAH bagaimana, badai dan pelangi itu datang sederap. Terasa cukup menjadikan mata terpaku sedang jantung berdegup kencang. Ada genang yang mahu gugur bersama segunung rasa.

Terlalu banyak perkara berlaku sejak akhir-akhir ini. Ada yang sangat manis, ada yang sangat pahit. Tuhan Maha Adil. (pening pula rasanya)

Kekadang, apabila terlalu banyak perkara yang datang, sebilangan perkara boleh ‘ter’pergi. Terlalu banyak masalah datang, rasa sabar bolehjadi ‘ter’pergi (nauzubillah). Bolehjadi juga, sabar semakin kuat mendakap jiwa, dan lahir pula ‘redha’ meresap damai di hati. Bolehjadi juga, seorang yang lemah lembut, bila ditimpa ‘badai’ tiba-tiba sahaja dia jadi kasar dan agresif. Ada juga yang ‘banyak cakap’ tiba-tiba jadi semacam bisu. Tidak kiralah bagaimanapun ujian itu datang, yang pasti kita kembalikan pada Tuhan. Segalanya kurnia, dan dugaan. Segalanya ada bayaran.

Memaku diri di dewan kuliah lewat pagi tadi, kelihatan para pelajar mula studi berkumpulan. Masing-masing bagai cacing kepanasan (bukan sehelai cacing kekeringan) menerpa ke sana sini menjelang imtihan nihaie yang semakin hampir. Terkejut pun ada juga. Udahlah assingment masih terbeban, perihal tesis ijazah lagi, entah bagaimana peperiksaan akhir semester diawalkan pula. Universiti Muhammad V ini sudah mula menghambat warganya supaya melangsaikan urusan peperiksaan sebelum Eid Adha ini! Aduhai, bukan pelajar sahaja yang lunyai, para pensyarah juga tempias. – demam studi untuk ahli Rabat.

Atas beberapa urusan, saya berniat untuk berhenti seketika manulis di sini. Ada umur saya oceh lagi. (setiap hari saya akan menulis juga, cuma tidak semestinya akan dipos ke sini). Saya pun tidak tahu apa yang saya taip hari ini di sini. Cuma sekadar merepek sebelum tidur sahaja. Kepada dua pihak yang datang merisik ‘dengan tiba-tiba’ itu, insya Allah akan saya pertimbangkan. Kepada sidang buletin Iskandariah itu, maaf jika artikel saya kelewatan. Saya akan cuba hantar dalam waktu terdekat. Masih dalam proses mencanai.

Dalam mamai dan kantuk yang semakin kuat menerjah biji mata ini, saya masih ingin mengucapkan ‘bittoufeq wannajah’ kepada semua yang akan menghadapi peperiksaan, di mana anda berada. Selamat studi dan lakukanlah yang terbaik. Moga Allah berkati usaha kalian. Minta maaf zahir batin. Doakan kejayaan bersama.

“mahu tunggu gula-gula…” (buat yang memahami… ~ukhti…)

21;12 (waktu untuk benar-benar tidur. Entah kenapa letih betul hari ini. -bukan sebab terpaksa berkejar-kejar ‘terjerumus’ ke pasar gelap petang tadi… huhu. Duit pun kena beli)





Kesihatan Kucing

25 11 2007

ketiduran.jpg

 APABILA suhu mencecah 10 darjah celsius, pagi-pagi lagi perut sudah kepingin diisi. Mulalah mencapai keju, biskut coklat dan turut mengunyah gula-gula kenyal yang ‘bahagia’ itu (mungkin ada menu tambahan; roti cicah kari). Selain itu, kesejukan yang semakin bertambah ini menyebabkan rasa kesunyian sahaja dan ingin ‘peluk kucing gemuk – bawa tidur. Sejuk-sejuk begini, “macam best je” buat perangai sebegitu. Namun, semua itu sedikit mustahil di sini, kecuali pergi ke rumah Kak Pah; ada kucing belang-belang yang suka tidur dengan orang. ~~ (dulu kami ada memelihara kucing yang ‘best’ tetapi atas sebab-sebab rasmi Villa Salsabiela, kami terpaksa sedekahkan kucing itu kepada yang lebih munasabah)

Kucing ini, penjagaannya perlu rapi. Namun tidaklah keadaan ini menyusahkan kita jika dilakukan dengan kasih sayang dan mempunyai rasa tanggungjawab. Menjaganya sama seperti menjaga bayi. Mungkin kucing anda dihidapi penyakit, atau demam namun, mereka tidak dapat memberitahu anda. (seperti bayi, mungkin dia akan menarik perhatian anda dengan menangis dll) Walau bagaimanapun, anda akan dapat membaca ‘isi hati’ kucing anda melalui perubahan tabiatnya. Jika kucing anda demam, bawa jumpa doktor. Pastikan kebajikannya terjaga. Pastikan anda tekun memberikan ubat kepada kucing mengikut keperluan. Biarkan kucing anda tidur yang cukup (walaupun untuk sepanjang hari) untuk memulihkan kedemamannya itu. Jangan dikejut tidurnya. Biarkan sahaja dia berehat. Namun, jika dalam keadaan biasa (sihat), adalah merupakan suatu tabiat yang buruk jika kucing anda bertabiat tidur sepanjang hari. Tabiat makan-tidur ditambah dengan pemakanan yang tidak sihat boleh menyebabkan kucing anda mengalami obesiti (kegemukan), diabetis, kegagalan buah pinggang dan sebagainya. Selain itu, seekor kucing juga boleh dihidapi FeLV (Feline Leukemia Virus) yang boleh membawa kematian.

Seharusnya anda mengawasi pemakanan dan aktiviti kucing anda agar sentiasa sihat dan ceria selalu. Sama seperti ‘melentur buluh biar dari rebungnya’, kucing-kucing ini boleh ditarbiyah sedari awal usianya. Jika melihat kucing anda mula menjadi malas atau bertabiat buruk, lenturlah mereka dengan kasih sayang dan ‘ketegasan’. Anda mampu mengubahnya! 🙂

Pastikan juga kucing anda cukup bersenam dengan aktiviti-aktiviti yang tidak berbahaya. Bermain-main dengan kucing juga dapat mengendurkan tekanan yang anda alami. Seharian belajar, bekerja pasti rasa terubat bila dapat meluangkan masa dengan si manja anda. Lihat matanya dalam-dalam, pasti rasa ada kefahaman antara anda dan kucing anda 🙂 jika kucing anda merajuk, tidak mahu makan dan sebagainya, pujuklah baik-baik. Mereka hanya mahu bermanja dengan anda. (semasa kucing saya demam dulu, dia tidak mahu makan melainkan kita menyuap nasi ke mulutnya)

Dulu-dulu, arwah kucing saya suka benar makan gula-gula POLO yang berangin itu. Selalu Ukhti beli bila ke Pasar Mini Abdul Fattah dan Izzah di sebelah rumah kami. Apabila Mak menggosok gigi pagi-pagi juga, kucing saya itu akan tunggu dan bertenggek di singki. (dia suka bau ubat gigi). Kalau ada donat, dia akan menjilat gulanya sahaja. Rotinya dijamah sikit-sikit. Emak saya pernah menjangkakan, jika tabiat kucing ini berterusan, dengan ditambah unsur-unsur lain (seperti malas/kurang bersenam) dia mungkin dihidapi diabetis. Pernah suatu hari, telapak kakinya luka, dan lambat pula sembuh. Kata Mak, mungkin lukanya lambat baik sebab dia ni diabetic.

Kami adik beradik selalu melarikan kucing itu antara satu sama lain. (bukan apa, Amin, kalau dia ‘mengeram’ dengan kucing itu, dia tidak mahu melepaskannya ke tangan orang lain. Amin selalu sorok kucing dalam bajunya; hanya kepala kucing sahaja tersembul keluar dari leher baju dan dibiarkan menempel atas pipinya – bawa tidur.) Kekadang, kami yang senior-senior ini berkomplot untuk ‘bermain’ kucing, sehingga kekadang kucing itu sudah rimas dan menyorokkan dirinya sendiri di bawah katil atau di dalam/belakang almari baju. Seisi rumah akan gagal menemuinya. Dia hanya akan keluar apabila mendengar suara Mak balik kerja. Senang hati sahaja (dengan muka basi) menuju ke arah Mak dan minta didukungi. Mak akan dukunglah dia. Bila ada antara kami yang ingin mengambilnya dari dukungan, dia akan menarik tangannya, dan hanya menjeling, menarik muka masam. Bila tak tahan sangat, baharu dia mengomel. Keras sahaja suaranya.  Marahlah tu…

Kucing kami selalunya bukan yang jenis ‘banyak cakap’, pendiam sahaja, cakap bila perlu. Tetapi cukup banyak berbicara dengan tingkah lakunya. Rata-rata kucing yang kami bela juga penakut sedikit dengan orang asing. (langsung ada yang lintang pukang lari apabila melihat anak tikus – takut benar melihat makhluk itu), selain cepat-cepat menyorok bawah katil bila ada orang datang rumah atau terdengar bunyi ribut, guruh.

Banyak suka duka kami bersama. Namun kini dia telah pergi buat selama-lamanya. ~~

 (hari ini ada jemputan ‘makan-makan’ di Sale. Semua akhowat Asia, Universiti Muhammad 5 dijemput ber’haflah’. Kali ini akhowat Malaysia dan Thailand bersama. – nampaknya, saya masih berkesempatan untuk menjalankan aktiviti makan sepanjang hari. – santai, Ahad )  





Menunggu sesuatu dari langit?

24 11 2007

langit

KHAMIS lalu, entah apa yang melanda seisi Villa Salsabiela sehingga wujudlah istilah ‘kelas delay hari ini’ – amboi, sesuka hati sahaja empunya mulut itu. Alasan prof. selalu lewat memulakan hissoh tidak boleh diguna pakai. Sebagai pelajar, kita tetap harus selalu memintas guru ke kelas, bukan guru menunggu anak murid. (falsafah yang penting!). Hujan agak lebat hari tersebut. Teksi pun tiada yang mahu berhenti tumpangi kami. Jadi, terpaksa menggunakan plan B; jalan kaki seperti biasa, tetapi perlu tingkatkan kelajuan. Pun begitu, banyak perkara diocehkan sepanjang jalan. Sehinggalah ketika menghampiri pintu kuliah, ada suara menyapa, “Apa khabar?” terkejut yang amat. Spontan sahaja menjawab, “Alhamdulillah, kher…” – tercengang sedikit. Aduhai, sejak bila pula ustaz boleh berada di belakang kami? Udahlah banyak ocehnya kami pagi itu, berkepul-kepul asap keluar dari mulut. Segan bukan main lagi – cuma nasib baik ustaz pun kelewatan. Tidaklah terlalu rasa bersalah walaupun sejam sudah berlalu dari waktu atas jadual sebenar.

Teringat pula, ketika mengikuti kelas pertama dengannya awal semester ini, ustaz menunggu pelajar Malaysia di pintu, turut menyapa saya dengan “apa khabar?” suka benar beliau mempraktiskan bahasa Melayu yang kami promosikan padanya tahun lalu.

Pagi itu, kelas “siasah syar’ieyyah” seperti tidak menjadi sahaja. Pembelajaran hanya lebih tertumpu kepada perbincangan; daripada hal yang berkaitan dengan silibus minggu lalu sehinggalah isu semasa. Isu permasalahan pelajar universiti, isu Fakulti Pengajian Islam, pergaulan bebas atara lelaki dan perempuan, isu bertudung dan sebagainya. Itupun sudah cukup membingitkan dewan kuliah. Semangat betul budak-budak arab ini kalau diajak berbahas, berdebat (udah tidak jadi perbincanganlah) – begitulah selalu.

(emm… terasa berat pula untuk menghabiskan penaipan ini – nikmat sungguh menikmati ‘kouskous billaban’ tika ini, ~ aduhai… nantilah saya sambung balik)

Dulu-dulu ketika sekolah menengah, pernah juga hinggap ke gegendang telinga ini isu-isu berkenaan pelajar-pelajar universiti yang ragam pelbagai itu. Namun, saya perhati, isu yang melibatkan masalah dari fakulti pengajian Islam lebih popular diketengahkan. (amboi, macam fakulti lain itu malaikat sahaja). Kondisinya, saya kira begini;

1)Agama itu fitrah. Setiap manusia pada fitrahnya akan terpanggil untuk kembali kepada agama, keharmonian bertuhan, dan sebagainya.

2)Bidang Pengajian Agama itu suatu bidang yang berat (dari segi tanggungjawabnya). Barangsiapa yang berada di dalam bidang agama itu, tentu sahaja dugaannya lebih berat (terutama dalam menjadi role model kepada masyarakat, juga menyampaikan ilmu).

3) “nak minta bidang profesional, ‘result’ tak cukup bagus, ‘so’ belajar agama ‘je la’. Senang sikit. Asal dapat ijazah udah la” – pelajar yang memegang pundak tanggungjawab agama ini bukan ahlinya. Sekadar lulus dapat sijil, penghayatan sifar, atau atas permintaan ibu bapa – kasi lega hati orang tua saja. Itulah sebabnya saya kira kenapa i)bila pelajar Pengajian Islam buat salah, satu negara, dunia pandang. ii)timbulnya ungkapan “nama saja budak mengaji agama, tapi berdating, berkepit berdua juga lelaki perempuan” – hati-hati: itu adalah fitnah kepada Islam! (selain menjadi fitnah kepada ibu bapa di rumah itu, keluarga, agama, bangsa dan negara. Kalau rasa tidak boleh elak, kahwin sahajalah. Alasan bertunang bukan lesennya lagi. Apatah lagi entah bertunang entah tidak, tapi nampak macam laki-bini dah. – ada cop Halalkah?)

 Saya tidak memandang isu ini sebagai isu main-main (atau kita memandang Islam itu sebagai barang mainan?). Di dalam perbincangan kami lalu, timbul isu bertudung di kalangan pelajar agama (memanglah orang Arab ni rata-rata Islam, tapi samalah dengan orang Melayu ; Islam tapi…) di mana-mana sama sahaja. Pokok pangkalnya kita ini umat akhir zaman. (terdapat banyak isu yang ditimbulkan, tetapi saya hanya ketengahkan isu ini sebagai contoh dan gambaran) ruang diskusi antara pensyarah dan pelajar udah jadi seperti ruang berdebat pula. Ustaz memulakan isu apabila katanya pada suatu petang ketika pulang lewat dari kuliah, beliau ternampak seorang mahasiswi Fakulti Pengajian Islam yang ‘bersalin kulit’ sebelum meninggalkan kuliah. Jika paginya tutup litup bertudung, aurat terjaga tetapi petangnya; tudung sudah terbang entah ke mana, bersolek, gincu itulah inilah (difokuskan oleh ustaz sebagai ‘mutabarrijah’), pakaian yang tidak patut dipakai oleh “orang Islam”, bergaul bebas pula dengan lelaki. Apakah semua ini? Ada di kalangan ahli ‘debat’ itu mengatakan; sebilangan pensyarah anti kepada mahasiswi yang tidak bertudung, menyebabkan markah mereka untuk semester itu mungkin dimonopoli oleh penyarah; suka hati mereka hendak beri berapa pointer. Jadi, puak-puak free hair ini akan bertudung ketika sesi kuliah dengan pensyarah tersebut dan tidak dengan penyarah yang ‘cool’ sahaja. Ada juga mengatakan bahawa mereka ini hanya berpakaian menutup aurat atas ‘kongkongan’ ibu bapa, jadi apabila berada di luar pengawasan penjaga; mereka merasa terlalu merdeka untuk memakai apa sahaja, berkepit dengan sesiapa sahaja, keluar dengan sesiapa sahaja, bertabiat seperti jin atau malaikat, tiada siapa yang larang (cukup dahulu).

Dalam senario ini, kita dapat simpulkan; jika timbul ‘berita buruk’ di kalangan Fakulti Pengajian Islam, bukanlah bermakna fakulti ini yang ‘buruk’ tetapi sebilangan penuntutnya itu yang berperangai ‘buruk’. Bagi komuniti sekeliling, jalankanlah tanggungjawab menegur sahabat-sahabat mereka yang mula keluar tanduk itu, janganlah dibiarkan sahaja mereka tergelincir. Tidak sayangkan sahabatkah? Atau tidak takut nanti Allah tanya langsaikah tanggungjawab kita? Perihal penuntut yang ‘rasa tidak bersalah itu’ (anda suka-suka sahaja menjalani hidup dengan “ikut cara akulah!”, tapi tidak takutkah Allah tanya kenapa tidak “ikut cara Tuhan?” atau anda mahu dibalaskan perbuatan anda itu “ikut cara Tuhan?”. Itu antara anda dengan Tuhan, tetapi antara anda dengan manusia? (ibu bapa yang harapannya menggunung tinggi itu? Saudara mara? Rakan-rakan yang menyayangi anda? Rakan serumah anda? Sebilik anda? Rakan sekuliah anda? Pensyarah anda? Apakah anda fikir mereka tidak memikirkan ada? Apakah anda fikir mereka tidak sedih? Tidak kasihankah mereka yang 25jam sehari memikirkan anda? Sedangkan mereka juga punyai banyak hal yang menghurungi mereka. Mereka pun hidup juga, ada mata dan telinga dan segala pancaindera. Atau anda melihat mereka hanya seperti tunggul? (ini bukan soalan kosong, fikirkanlah. Moga Allah perkenan mengurniakan taufiq dan hidayah).

Kekadang kita tidak tahu, dalam ‘seronok’ kita menikmati hidup ‘ikut cara aku’, masih ada tangan yang menadah tangan mohon anda kembali pada Tuhan. Masih ada mata yang menangis saban malam memohon Allah kembalikan anda kepada cahaya-Nya… tapi anda tidak tahu, atau menyedarinya… (atau anda hanya mahu menunggu kutukan dari langit?)

“Wahai Tuhan yang membolak balikkan hati, jangan Kau palingkan hati kami setelah Kau beri petunjuk…”





Walau hanya sedetik dua…

23 11 2007

embunan-biru.jpg

 BILA kesejukan beranak-pinak menerjah saraf dan deru suara laut itu kedengaran bertambah kuat, seperti mendekat… ~ sejuk! Usai melunaskan cinta fajar Jumaat (sambil menjadi nurse… hihi) masih juga ada sesuatu yang menghantui fikiran. Perisitiwa lewat tengahari semalam sedikit sebanyak menggugat suara harmonis dalam jiwa ini. Tidaklah terlalu ingin memikirkan kejadian itu, namun selalu sahaja dihambat bayangan-bayangan yang entah bila akan habisnya. Cukup untuk memberi kesedaran dan peringatan. Ya Rabbuna… ditegur oleh seorang sahabat: yang betul ‘ya rabbana’, huruf nida’ didepan: jangan ulangi kesilapan yang tak layak utk dilakukan oleh ‘student’ universiti yang belajar dalam b.arab – terima kasih.

Sekitar menghampiri jam satu tengahari semalam, kami selesai mengurusi satu dua perkara di Kedutaan Besar Malaysia di Maghribi dekat Rue Bir Kacem, Rabat. Kami melalui jalan biasa yang agak lengang tika itu; mencari teksi. Tidak berhajat untuk jalan lambat-lambat, namun, terasa jauh sahaja perjalanan kami. Lambat pula sampai ke simpang jalan besar. Berkira-kira untuk pulang ke rumah sebelum (sepatutnya) mengikuti kuliah seterusnya pukul 3 petang di Souissi. Sesi sebelah paginya sudah begitu hangat seisi dewan kuliah biarpun dalam sejuk berhujan. (sebetulnya saya pingin memperkatakan perihal isu yang hangat kami bincangkan bersama Ustaz Imroni dalam hissoh pagi semalam, namun terasa mahu kongsikan peristiwa tengaharinya itu. Insya’ Allah, saya akan pos entri berkenaan ‘isu hangat’ kami itu esok. Jika berkesempatan)

Ketika sekitar tujuh lapan meter kami lewati sebuah simpang empat menuju jalan besar, tiba-tiba ada dentuman kedengaran. Spontan kami berpaling serentak. Serpihan kaca sedang berhamburan kira-kira satu dua meter di atas paras bumi sebelum bertaburan di permukaan jalan tar. (seperti dalam filem pula) Sekitar lima enam saat seorang mak cik lewat 50-an tersembul keluar dari tingkap kereta. Tangannya berpaut pada tingkap, menahan dari tercampak keluar. Beliau ‘menikmati pemandangan simpang empat itu secara live melalui tingkap kereta’ ketika dirinya tersembul keluar hingga ke paras pinggang dari tempat duduknya di sebelah pemandu.

Beberapa detik, kereta tersebut terbabas memakan bahu jalan. Sementara kereta Honda yang merempuh sisi kirinya tersasar ke simpang bertentangan. (kereta yang satu lagi itu tidaklah teruk sangat remuknya, dan tidaklah membabitkan adegan kaca yang bersembur dan mak cik yang tersembul keluar dari tingkap)

Pemandu wanita yang bersama-sama mak cik berkenaan keluar dari kereta setelah bahagian hadapan kereta itu dipenuhi asap putih. Wanita itu kelihatan seperti hilang arah. Tangannya berlumuran darah, direnjis-renjis dan ditekup ke kepalanya. Dia menjerit. Menjerit sepuas hatinya barangkali. Waktu itu kawasan tersebut lengang. Hanya kebetulan seorang lelaki awal 40-an mendekati tempat kejadian sebelum beberapa orang sekitar kawasan itu mula mengerumuni tempat kejadian. Mereka cuba menenangkan keadaan. Mangsa masing-masing panik (lebih kepada trauma barangkali) seorang budak perempuan yang ada di kerusi belakang juga dihurung trauma (mulanya nampak seperti pengsan)… dan sebagainya.

Di sini, bukanlah saya ingin perincikan tragedi kemalangan itu, tetapi apa yang membuatkan debar melaju; kami baharu sahaja melalui simpang itu, jika lewat sedikit sahaja – tidak mustahil maut dirempuh kereta Honda tersebut. Segala-galanya berlaku sekelip mata, dalam tempoh waktu yang singkat.

Setiap satu kejadian yang berlaku pasti ada hikmahnya. Pasti ada hitungannya. Mungkin Allah datangkan misal yang umum, tetapi sebenarnya suatu teguran kepada hamba-hamba-Nya yang berfikir. Namun, janganlah sampai Allah ‘tegur’ kita dengan perkara yang sangat besar dan hebat hanya kerana kesalahan atau kemaksiatan yang sengaja (suka-suka) sahaja kita lalaikan. Kita tahu kita buat sesuatu perkara yang salah, (tetapi minta dijauhkanlah) agar tidaklah sampai nak tunggu kena rempuh dan penyek dilanggar kereta, baharu nak sedar kesalahan itu. Cukuplah Allah ingatkan kita dengan melihat kereta yang dirempuh itu hampir mengenai kita, tapi Allah masih selamatkan kita walau hanya dengan sedetik dua; kita terselamat. Sama-samalah ambil pengajaran dengan apa yang Allah datangkan. Kita tidak sempurna dan kita selalu leka. Tetapi janganlah terus menerus melekakan diri dan menjahilkan diri daripada kembali ke jalan Allah, syariat Allah.

Kita pun akan mati. Atau apakah kita memikirkan apa yang kita buat ini free-free sahaja, tanpa hisab di hadapan Tuhan? Boleh jaminkah kita hidup lagi esok hari?





Mak cik yang tersenyum itu…

22 11 2007

 

 KITA tidak tahu tahap keimanan seseorang. Kita juga tidak tahu di mana Allah sembunyikan orang yang benar-benar soleh di kalangan kita. Orang yang hatinya benar-benar suci mendampingi Ilahi. Hatinya setenang air dikali. Langsung ketenangannya itu terlimpah pada zahirnya. Sehingga setiap mata yang memandang kepadanya merasa tenang. Mendekatinya mendapat bias keharmonian yang riang bemain-main dengan tasbih hatinya. Subhanallah.

Kekadang, kita dibelenggu kerumitan, kesusahan dalam urusan kita. Membuatkan dahi kita berkerutan memikirkan permasalahan yang timbul. Sepanjang perjalanan kita hanya melemparkan pandangan ke luar cermin keretapi; pandangan kosong yang tepu dengan selirat bingung di minda. Kebetulan, kita duduk di sebelah mak cik tua yang happy-happy sahaja lagaknya. Dia memandang kepada kita, tersenyum (mungkin terdetik di hati kita; 1) mak cik ni senyum ada apa-apa ke? Nak minta sedekah la tu. Anda memegang dompet kemas-kemas. Atau 2) gembiranya mak cik ni. Seronok juga jadi macam dia. Anda senyum padanya, dan dibalas dengan senyum yang rahmah)

Keretapi berhenti, anda bangkit dari duduk;
1) Bangun, ambil barang dan terus sahaja turun cepat-cepat. Bimbang dengan mata mak cik itu yang asik memandang anda. Menuruni tangga keretapi, menuju ke perut terminal. Anda ingin mengambil teksi. Anda letak barang dalam teksi, menyelok poket; alamak, dompet tertinggal dalam keretapi!
2) Anda beritahu mak cik itu, anda akan turun di perhentian tersebut. Mengambil barang. Minta diri untuk lalu. Anda senyum dan beri salam padanya. Dia juga membalas senyum anda. Anda terasa bahagia sahaja. Menuruni tangga, ada seorang pak cik pula membantu anda menurunkan beg/barang anda yang berat itu. Anda ucap terima kasih. Dia tersenyum, dan turut mendoakan; moga Allah membantu kamu dan memudahkan urusanmu, anakku. Anda mendapatkan teksi. Langsung menuju ke destinasi seterusnya. Ketika anda ingin membayarnya, kata pemandu teksi itu; tak mengapa, saya belanja kamu. Fi sabilillah. – Subhanallah.

Sesuatu yang bermula dengan senyuman. Sesuatu yang bermula dengan detik hati (niat).

Saya sengaja memisalkan dua keadaan di atas. (saya ingin menzahirkan maksud saya, tetapi tidak pandai menyusun kata. Tunjuk ajar, respon dipersila)

Tidak mustahil Allah menyembunyikan kekasih-Nya di kalangan kita. Kita melihat mereka biasa sahaja, mungkin kanak-kanak, mungkin orang tua, atau seseorang yang kita lekehkan, namun di sisi Tuhannya dia luar biasa. Tidak seperti kita. Mereka ini adalah hamba-hamba yang memiliki hati yang hidup. Sentiasa menghidupkan asma’ Allah bersama denyut nadinya. Subhanallah… sehingga kemuliaannya dan keberkatannya terlimpah kepada sesiapa sahaja yang bersamanya, di mana sahaja dia berada, sehingga yang mendampinginya itu dimudahkan urusan oleh Allah – kerana keberkatannya. Subhanallah.

Berdoalah, buatlah selalu solat hajat, meminta kepada yang Maha Memberi. Mintalah agar Allah hadirkan kepada kita orang-orang yang soleh yang dapat membimbing kita, mengingatkan kita pada Tuhan. Percayalah, fitrah kita ini mahu sentiasa menuju kebaikan, cuma bila fitrah itu dikotori, dirosaki… langkahnya mahu sahaja selalu ke arah kejahatan.

Dari nasyid di atas; “Alangkah sukarnya mendidik nafsuku yang tidak dapat melihat kebenaran-Mu. Bantulah hamba-Mu dalam mendidik jiwaku ini”. Ketahuilah, nafsu itu apabila sudah menjadi tuan, kita akan menjadi hamba. Nafsu itu, jika matanya sudah terbuka, kita akan buta dari melihat kebenaran Tuhan!

~ muhasabah ~





Jangan Jadi Hamba Kepada Bala Ujian

21 11 2007

 merah-embun-bunga.jpg

 HANGAT berhujan. Panas sahaja perasaan ini. Baharu dijentik satu dua perkara yang ‘sedikit’ besar, sudah jadi ‘panas’ dalam dingin hujan di tanah Rabat ini. Ada debar yang laju menyesakkan dada dalam ketar tulang belulang dikesit kesejukan alam. Bukan hendaknya mempersalahkan sesiapa dalam satu dua hal ini, tetapi cukuplah untuk diri ini belajar bersabar. Tidak bijak bertindak melulu, apatah lagi memberontak. Belajar untuk bertenang, rasional.

Manusia ini, jika hendak diambilkira perihal masalahnya, tidak akan ke mana-manalah kita. Apa guna memikirkan masalah? Lebih baik berusaha mencari jalan penyelesaian. Tipulah kalau kita tidak runsing dengan masalah yang menyepak kotak minda. Tetapi, tidak tipu juga kalau kita tidak runsing, belajar bertahan; walaupun ribut taufan masalah sehebat mana pun melanda, tetap tenang, tiada gusar. Tidaklah wajib masalah itu disulami kerunsingan dan keserabutan.

Besar sangatkah masalah itu? Hebat sangatkah ujian itu? Mana lebih besar, ujian atau Pemberi Ujian? Mana lebih besar, Tuhan atau hamba? Mana lebih berkuasa? ~ Jangan jadi hamba kepada bala ujian.~

Kita ini hamba Allah. ~ Jangan jadi hamba kepada bala ujian.~

Jika kita terperosok dalam kegusaran memikirkan bala ujian yang dirasakan besar, maka akan jadi kecillah kita. Akan jadi hambalah kita; hamba kepada bala ujian. ~ Jangan jadi hamba kepada bala ujian.~

Tuhan tidak zalim pada hamba-hamba-Nya. Moga kuat, tabah hadapi mehnah dan tribulasi. Kita tidak seorang! Kita tidak mati walau dicaci. (ada masa, kita juga perlu jadi besar; kita tidak kecil walau diperlekeh dan diperkecil – Besar juga kita ini)

Kembali kepada Tuhan.
Allah…

(terasa mahu sahaja kubakar jiwa yang panas itu dengan ‘api rahsia’ yang mampu mengajar matanya dibanjiri ‘kedinginan api tahlil’ itu, kerana hangatnya membenamkan naluri…)





Jangan lidah mendahului hati

20 11 2007

“ISTIGHFAR – jangan lisan mendahului hati” selalu sahaja peringatan itu sampai ke gegendang telinga ini. Tetapi entah sampai ke hati atau tidak (mungkin sampai untuk persinggahan. Aduhai hati…) Betapa besarnya istighfar itu, hanya manusia yang benar-benar menggunakan akalnya sahaja akan mengambil iktibar.

Tidak sedarkah bahawa kita ini sentiasa sahaja melakukan dosa? Atau, kita selalu mengakui diri kotor berdosa pada Tuhan, tidak sempurna, tidak baik dan yang sewaktu dengannya. Pun begitu, lupa pula kita untuk bertaubat. – mengakui berdosa tetapi tidak berusaha untuk bertaubat. Lidah lancar menobat diri begitu begini, namun tidak terkesan di hati. Hakikatnya, taubat itu juga anugerah daripada Allah yang perlu kita cari, minta. Janganlah kita berlagak dengan Tuhan, sedang sesedut nafas, sesuap rezeki segalanya tidak akan berlaku tanpa izin dan rahmat dari-Nya.

Tika ‘berasa’ bersalah, sering diiringi ‘istighfar’ itu. Namun, ia lebih bermakna (kerana ‘rasa’ itu dari hati) daripada menjadikan istighfar itu sebagai latahan yang suka-suka sahaja meniti bibir. – Lisan mendahului hati – Namun , jika lisan disusuli detik hati untuk bertaubat; baguslah daripada tiada ‘rasa’ langsung. Seolah-olah perlu pula untuk kita ‘istighfarkan’ atas lafaz istighfar yang diluahkan dalam kelalaian. Moga Allah ampuni kita.
Adakah kita ini terlalu bergantung pada keduniaan, sehingga hilangnya menghantui hidup kita?

Hadirkanlah rasa bersalah dalam hati, biarkan hati merasa, lidah melafaz, mata bergenangan, dahi bersujud.

Bersucilah lahir dan batin.

Dia Maha Tahu.

(aduhai, kenapalah internet ini buat hal pula? Hampir seharian tidak sudi diakses di laptop ini, membuatkan saya berasa seperti merajuk untuk bertapa di depannya. ~ moga tidak tersangkut hati ini pada dunia…)





Thousand-year Egg

19 11 2007

 

telur seribu tahun

 AHAD; antara hari yang sesuai untuk santai dan mengurusi hal ehwal rumah tangga yang tidak terurus pada hari yang lain. Juga terangkumlah aktiviti sambilan seperti makan sepanjang hari, berehat-rehat, kemas-kemas, jalan-jalan dan sebagainya (aktiviti membaca, mana?). Aktiviti makan sepanjang hari membuatkan saya terpanggil untuk menyelongkar stok makanan dari Malaysia. Ingatan pertama saya ialah; biskut coklat. Entah bagaimana, ingatan sejak dua tiga hari lalu juga hinggap balik di benak ini; rasa mahu makan bubur kacang hijau.

Melihat-lihat bungkusan yang masih berbalut dengan surat khabar dan diplaster itu, tiba-tiba saya terlihat sebuah kotak sederhana besar. Laju sahaja ingatan saya teringat; telur padi! Ah, bagaimana boleh lupa? Saya menghargai usaha (saya tidak pasti Emak atau Angah) mengkotakkan tiga bungkus telur padi itu untuk saya bawa ke tanah Maghribi ini. Tahun lalu, saya minta Emak titipkan telur padi melalui saudara Firdaus yang kebetulan pulang ke Pekan. Semestinya saya menyambut baik rezeki seperti itu. Tambahan pula barang seperti itu tahan lama (seribu tahun tu…), tiada di sini pula. Bukan selalu dapat peluang begini.

Telur padi (nama Inggerisnya: century egg) – saya tidak fikir ramai antara kita yang biasa memakannya. Walau apapun, saya menyedari hakikat bahawa saya memang gemar memakannya sejak kecil lagi. Waktu di kampung dulu, saya takut hendak makan telur tersebut sebab warnanya hitam. Macam seram saja. Tetapi, lama-kelamaan jadi kegemaran pula. Seperti apa yang saya kenal, telur padi ini adalah telur yang disalutkan dengan tanah liat yang turut disalutkan dengan padi, kemudian dijemur (agaknyalah) hihi. Entahlah bagaimana saya hendak ceritakan penghasilan telur padi ini. Tetapi penghujungnya, bila kita kikis lapisan padi dan tanah liatnya itu, kupas kulitnya; kita akan temui telur tersebut (biasanya telur puyuh atau telur ayam) akan bertukar jadi warna hitam jernih. Biasanya dihidangkan dengan sedikit cuka; makan macam biasa, dengan nasi. Rasanya; kena makanlah baru tahu bagaimana. 😉

Berbalik kepada bungkusan kotak sederhana besar itu, rupa-rupanya di dalamnya ada tiga bungkus telur puyuh yang ‘dipadikan’ itu, banyak juga yang pecah membuatkan saya sedikit terkedu. (patutlah tahun lalu Mak membungkusnya di dalam bekas plastik yang keras – tidak ada yang pecah). Jadi, di antara aktiviti tambahan minggu ini ialah; menjemur telur padi di Maghribi. Wah, seperti seronok sahaja. Mana-mana telur yang terselamat dari keterpecahan itu dijemur kembali. (Kasihan, terima kasih.)

Oh, saya tersilaplah berkenaan pembuatan telur seribu tahun tu; saya teka saja (tu la ada orang suka sangat main teka teki dengan saya, kan dah terbawa-bawa tabiat penekaan itu)

The century egg (a.k.a. preserved egg, thousand-year egg, thousand-year-old egg; Chinese: 皮蛋; pinyin: pídàn or Chinese: 松花蛋; pinyin: sōnghūadàn) is a Chinese delicacy made by preserving duck (or less commonly chicken) eggs in a mixture of charcoal and lime for (despite the name) around 100 days. It is greenish in color, and has a creamy cheese-like flavor and strong aroma

Tambah pengetahuan lebih lanjut, di sini

(saya baharu sahaja berniat untuk mengambil gambar telur berkenaan dari atas sutuh (sedang dijemur) tiba-tiba ada pula gambarnya di website ini. Jadi saya pinjamlah gambarnya itu 🙂 terima kasih.

p/s: Kepada sahabat saya yang sakit itu, moga cepat sembuh. Juga yang sangat rajin menyediakan masakan gulai rebung untuk dinner semalam itu; terima kasih, jaga diri, berhati-hati selalu (simpati). Sekarang ini, ramai yang tidak sihat (mungkin perubahan cuaca, atau juga ditimpa kemalangan seperti jatuh tangga dll. Kalau di Rabat, sudah lama tidak hujan. Suhu pun makin menyejuk). Jadi jagalah kesihatan anda baik-baik. (kalau tak sihat, dah terpaksa rehat di rumah, kuliah tidak dapat hadiri – namun adalah lebih baik daripada jatuh, pitam di kuliah = Berehat di rumah lagi bagus) Pun begitu, mencegah lebih baik dari mengubati (pesanan untuk diri sendiri juga). Pesanan ini tiada kena mengena dengan yang ada di Maghribi, mahupun Mesir.





Negara 99 peratus…

18 11 2007

oren1.jpg

DINGIN pagi, biru langit bertenung, kicau burung bernyanyi, bayu laut berbisik…
(sengaja buat intro seperti itu, mentafsir alam). Alhamdulillah, masih Allah beri kesempatan untuk kita menikmati hidup hari ini. Moga terus meningkat ketaatan kepada Allah, menjauhi maksiat dan sentiasa berusaha menjadikan hari ini lebih baik daripada semalam supaya tidaklah kita tergolong sebagai orang yang celaka. Nauzubillah.

Pulang dari kelas perancis petang semalam, bersetuju temani Khalilah saya ke Marjane. Lebih kepada “rasa mahu jalan-jalan”. Bukan berbeli-belah pun. Juga sebagai salah satu peluang untuk saya menelah alam. Moga lebih dekat kita pada Allah.

Saya tidaklah kerap ke pasaraya itu. Kali pertama saya ke sana kerana mengiringi Datin Rohana (isteri Duta Besar Malaysia ke Maghribi, TYT Datuk Mohd Noor) sekitar 2005 kalau tidak silap. Kondisinya semalam, tika melalui ruangan masuk ke bahagian membeli belah, kami lihat berduyun-duyun manusia beratur di pintu sebelahnya yang berasingan. Macam-macam rupa, macam-macam gaya. -kaunter membeli arak- saya perhatikan muka-muka yang “tidak bersalahpun” beratur di situ sambil memegang dozen air haram itu. Saya kira, tidak sampai 5 peratus yang ada di situ adalah non-muslim. Selebihnya rata-rata “macam orang Islam je” siap ada yang berkopiah lagi (kata Lilah, berkopiah sebab sekarang musim sejuk kot. Tutup kepala, sejuk). Kesal dengan tabiat minum arak dikalangan masyarakat ini. Jika di Malaysia, masih ada alasan, sekurang-kurangnya punya sekitar 40 peratus rakyat bukan Islam. Tapi di sini 99 peratus Islam. Tapi…?

Seperkara lagi, apabila masuk waktu maghrib, kami mencari-cari juga tempat solat di situ kerana bimbang kelewatan teksi untuk pulang ke rumah. Kami bertanya kepada seorang pegawai yang tercatuk di pintu masuk. Malangnya, dia menjawab bahawa tiada tempat solat di situ. Habis tu, mereka semua ni bersolat di mana, bagaimana? (di negara yang 99 peratus itu…)

Apa alasannya mereka memilih cara itu untuk memenuhi hidup yang sementara ini? Dan tegarkah alasan itu untuk dikendong tika bertemu Tuhan nanti? Duhai diri, mengertilah bahawa Padang Mahsyar itu dahsyat. Kita akan dipersoal… Kita akan dipersoal… bersedialah.

(semalam saya berkira-kira untuk menyiapkan sebuah entri, tetapi kantuk menyerang mata; saya tidak menyempat menaip habis. Lain kali, Insya Allah.)

waktu entri ini ditaip, saya sedang mendengar suara kecintaan yang sangat syahdu.